Home Novel Cinta Cik Skuter Asap Putih
Cik Skuter Asap Putih
Mastura Abdullah
4/12/2014 16:39:17
39,780
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 1

1

SESI tarik menarik beg sandangnya berlangsung beberapa saat hingga Yun naik minyak. Dia mengangkat kaki kanan sebelum menendang bahagian perut penyamun itu. Tidak begitu berjaya.

"Wah, main kasar nampak!" Suara penyamun itu kedengaran di sebalik topeng muka.

"Kau dah menyamun aku, kau kata aku kasar? Dasar penyamun bodoh alang!"

Yun menyumpah kerana sakit hati. Bengang betul apabila penyamun itu nampak nekad berebutkan beg sandang yang dipenuhi harta pusaka itu. Bukan duit bergunung tetapi komputer riba, telefon bimbit serta kamera Canon kesayangan. Dia mengangkat lagi kaki yang sama, dengan tujuan yang sama tetapi penyamun bertopeng biru bertindak pantas memaut kaki kanannya. Yun hampir jatuh namun sempat memaut lengan baju penyamun itu, tetapi tidak lama. Mereka sama-sama jatuh sebelum terdengar suara seseorang.

"Hoi!"

Penyamun itu pantas menoleh sebelum cuba untk berdiri. Nak larilah tu! Tak boleh, tak boleh, tak boleh! Yun sempat melibas kaki penyamun itu hingga dia terjatuh kembali.

"Aduh!"

Dua orang lelaki yang kebetulan lalu di lorong gelap disimbahi cahaya jingga cepat datang membantu. Penyamun itu tidak sempat bangun buat kali kedua. Kedua-dua belah tangannya sudah dilipat ke belakang. Yun bangun sebelum mengibas belakang seluarnya. Kemudian, telefon bimbit yang berada di dalam beg sandang segera dicapai.

"Hello, polis!"


"WAN, sambut!" Yun melaung dari jauh. Wan yang baru mengangkat muka terkocoh-kocoh menyambut sampul coklat hasil lontaran Yun. Mujur juga dia dapat sambut. Yun ketawa geli hati. Masih segar di ingatannya air muka Wan yang cemas menyambut sampul coklat tadi.

"Oi! Ni gambar jarak dekat ni. Kau ada kat situ, ya?"

"Aku selfie dengan penyamun. Ni semua salah kau. Last minute punya kerja! Tak pasal-pasal menghadap penyamun aku malam tadi." Cerita Yun dari jauh. Suaranya kuat seperti selalu, sambil menghidupkan komputer riba. Sementara menunggu proses muat naik grafik dan data, Yun memaku pandangan pada senarai semak tugasnya sepanjang minggu. Dia sudah menghantar laporan tentang operasi rumah urut di Puchong semalam, lalu tugasan itu dipotong dari senarainya.

"Betul ke, Yun? Kau kena samun semalam, ya?" Tanya Wan, sudah bertenggek di hujung mejanya. Setiap kali berbual, itulah pelabuhan Wan semenjak dua tahun yang lepas. Yun jadi lali walau pernah marahkan teman seperjuanganna itu.

"Gambar tu belum cukup jadi bukti lagi ke?" Tanya Yun, tidak mengangkat muka. Hanya kedengaran jemarinya sahaja pantas mengetuk papan kekunci.

"Sorrylah, Yun! Disebabkan aku, kau berdepan detik cemas pulak."

"Alah, sorry bagai! Macamlah insaf pun. Aku dah selalu, diulangi, SELALU diperdayakan kau. Janji sana sini, akhirnya janji tinggal janji. Lepas ni aku akan buat kau pulak tunggu aku."

Tukas Yun, meluahkan perasaannya.

"Alah, Yun! Dengan aku pun ambil hati jugak."

"Sebagai kawan, ada kau peduli aku? Eh, entah aku ni kawan kau ke tidak? Masa nak pakai, carilah, sengihlah panjang sampai ke telinga. Masa dah senang lenang, tanya khabar aku pun tak sudi. Dunia akhir zaman."

Yun pantas menjawab. Dia malas hendak memandang muka Wan. Nanti dia tidak jadi membebel dan lebih parah kalau dia jatuh kasihan. Senanglah hidup Wan. Lain kali Wan boleh menindas lagi. Yun menulis hingga ke hujung ayat.

"Yunnnn! Kau ni, macam menyampah kat aku aje!" Wan meneka.

Dari tadi Yun tidak sudi memandangnya. Hanya wajah komputer yang disinari cahaya sahaja menjadi peneman setianya sejak sepuluh minit yang lepas. Perlahan-lahan Wan bangun. Dia kembali menapak ke mejanya.

"Kasihan Wan tu, Yun! Tajam sangat bom yang kau bagi tadi."

Yun mengangkat muka lalu menghadiahkan sebuah senyuman kala suara Nur Aishah menyapa telinganya.

"Sekurang-kurangnya aku jujur dan tidak kata di belakang. Kalau tak suka kejujuran aku, sila tutup mata dan tutup telinga."

Sahut Yun sambil menyudahkan berita yang sedang ditulis. Dia tidak pernah lupa titik di hujungnya. Kata Cikgu Senah, titik tu tempat pembaca tarik nafas. Kalau karangan tak ada titik, jawabnya, pakai oksigenlah pembacanya nanti. Baca sampai muntah! Mengekek Yun dan kawan-kawannya ketawa. Sampai sekarang Yun semat pesanan Cikgu Senah dalam-dalam.

Yun membaca kembali berita yang baru ditaip tadi sebelum mencetaknya dua salinan. Satu untuk simpanan fail sendiri, dan satu lagi untuk disemak oleh Ketua Editor, Puan Jannah. Dua tahun menyandang gelaran Wartawan Jenayah, Yun sudah betah dengan asam garamnya. Tambah pula Puan Jannah yang cukup cerewet dan sukar ditambat hati. Ada sahaja kesilapan kecil yang mencuri tumpuannya.


YUN mengunyah roti sahaja sementara menunggu Aishah. Kelibat teman seperjuangan ditilik juga sesekali dari celahan pengunjung Kompleks Pertama.

"Nah!"

"Opocot, kau meletup!" Yun melatah spontan, menyebabkan roti hampir terlucut dari genggaman.

"Bommm! Kebabom! He he he." Aishah menyahut sambil membuat aksi bom meletup dengan kedua-dua tangannya. Yun menjuihkan bibirnya.

"Ni mesti dari Sogo ni! Wangi semacam aje."

"Ha ha ha. Tajam betul hidung kau ni. Aku saja test perfume-"

"Oh, test perfume? Lepas tu, sedut bau kopi, kan?"

"Ha ha ha.Ini mesti kau biasa buat kerja ni kan, Yun?"Aishah menduga.

"Ada jugaklah. Waktu terlambat bangun. Waktu terlupa pakai perfume. Aku singgahlah mana-mana booth jual perfume."

"Ha ha ha." Aishah menghambur tawa sambil menepuk lengannya. Yun sengih cuma. Kenangan lalu terus berputaran di layar ingatan. Dia selalu juga ambil kesempatan tatkala promoter mempelawanya mencuba haruman mereka.

"Lucu lah kau ni, Yun! Nah! Ambil kad jemputan ni. Aku isytiharkan kau sebagai date partner aku malam tu."

Kata Aishah lantas menyerahkan sebuah kad undangan kepada Yun. Yun menyambutnya lambat-lambat. Dia membaca tajuk undangan itu dengan hati separuh. Tiada minat! Majlis Koktail Anugerah Glamor Selebriti.

"Kau ajaklah orang lain pulak. Aku menyampahlah majlis macam ni."

"Ah, aku tak kira! Aku nak pergi pi dengan kau jugak. Lepas tu aku nak cari dress yang sesuai petang esok. Kau temankan jugak. Lepas tu, aku-"

Ujar Aishah, teruja. Tangannya ligat mengira aktiviti yang bakal dilaksanakan sebagai persiapan ke majlis itu. Dia juga sudah mengira beberapa nama yang hendak didekati di majlis berkenaan. Yun di sebelah masih selamba mengunyah roti. Sahabatnya tiada reaksi lalu Aishah menarik muka lapan belas.

"Ni yang aku menyampah ni..." Adu Aishah.

"Menyampah apa pulak?"

"Menyampahlah...muka kosong tu. Tak sukalah tu!" Aishah menjuih bibirnya. Mengerti akan reaksi hambar yang ditunjukkan oleh teman seangkatannya. Yun ketawa kecil.

"Entah kenapa...aku tak suka. Mungkin bukan diri aku kut, nak berparti tak tentu hala."

"Eh, jomlah! Tunggu kau punya pasal, lambat kita sampai office nanti." Ajak Yun, terus mengetuai langkah mereka. Aishah mengikut di belakang. Dia masih mencari peluang untuk memujuk Yun. Majlis itu bakal berlangsung hujung minggu ini. Jika bukan Yun yang sentiasa bersedia membantu teman-temannya, siapa lagi? Takkan Wan kut!

"Yun...perlahanlah sikit!"

"Eh, apa motif perlahan? Kita di unit jenayah tak diajar perlahan. Kena pantas dan tangkas, Shah."

Usik Yun. Kakinya melangkah deras, seperti kata-katanya juga. Dia perlu segera sampai ke pejabat untuk menyiapkan laporan kerana malam nanti, dia punya janji temu dengan polis untuk menyerbu spa yang beroperasi sebagai pusat pelacuran.


YUN hanya sempat menjamah sebuku roti perisa vanila yang berharga lapan puluh sen sahaja malam itu. Semuanya gara-gara hendak cepat. Sesekali dia mengerling jam yang terlilit di pergelangan tangan. Setengah jam berlalu dan mereka berempat masih menanti di dalam Mitsubishi Lancer berwarna hitam.

"Hitam Satu kepada Hitam Dua...Hitam satu kepada Hitam Dua. Laporkan kedudukan anda!" Suara Inspektor An-Nasa'i kedengaran di belakang. Yun memasang telinga. Dia tahu detik terjahan bakal bermula bila-bila masa lalu dia mempersiapkan diri. Walau melaluinya beberapa kali, Yun tetap berdebar.

"Hitam Dua kepada Hitam Satu. Hitam Dua berada di posisi tepat, di bahagian belakang premis."Suara seorang lelaki, dari kelompok pegawai polis juga dicuri dengar oleh Yun. Walau kod itu tidak asing di telinganya namun dia perlu memberi perhatian juga, sebagai persediaan awal.

"Laporan kami terima, roger! Arahkan semua anggota bersedia."

"Arahan diterima, roger." Inspektor An-Nasa'i tidak menanti jawapan. Dia menjatuhkan tanan ke atas riba sebelum menolak pintu.

"Bersedia semua! Kita akan bergerak dalam kiraan sepuluh, sembilan, lapan, tujuh, enam, lima..."

Yun pantas menolak pintu kereta. Yang lain juga begitu tetapi bunyi tembakan mengejutkan mereka.

"Hitam Satu...Hitam Satu. Serangan dilakukan oleh seseorang dari dalam premis. Kami sedang bertindak. Mohon bantuan segera dari bahagian hadapan." Suara itu kedengaran sebelum Inspektor An-Nasa'i dan seorang lagi pegawainya ikut di belakang.

"Plan B! Anggota sila bertindak segera!" Arah Inspektor An-Nasa'i sambil berlari pantas. Belum sempat tiba di bahagian pintu masuk, kelibat tiga orang lelaki berlari keluar dari premis sasaran lalu, dia membuka langkah yang lebih panjang. Jarak mereka hampir lima puluh meter, namun Inspektor An-Nasa'i tidak mudah mengalah. Dia terus berlari walau lorong itu gelap tanpa cahaya lampu. Matanya sempat menangkap batang kayu di depan mata. Dalam masa yang sama, mindanya ligat mengatur strategi. Dia menyepak sebatang kayu sepanjang satu hasta ke hadapan dan bersedia untuk mengutipnya, namun ia gagal dicapai dalam keadaan diri sedang laju berlari.


KASIHAN Inspektor An-Nasa'i. Dia mengejar sepantas yang mungkin namun langkah manusia ketakutan lebih laju rupanya. Yun tidak dapat menahan hati lalu dia cuba membantu Inspektor Nasa'i. Aksi itu telah lama dilupakan, selepas cedera di bahagian pergelangan tangan sewaktu melakukan aksi 'The Head Stand', sebelas tahun lepas.

"Bismillahirrahmanirrahim!" Ucap Yun di dalam hati. Hampir lima meter dari kayu tersebut, Yun melompat setinggi mungkin dengan kedua belah tangan lurus ke atas. Dia memusing badan sebelum mendarat semula dengan lutut sedikit bengkok. Oh! Dugaannya tepat. Dia berjaya menggenggam kayu itu sebelum mengulangi aksi 'Flipback' beberapa kali.

"Nasa'iiiiiiiii...tunduk!"

Jeritnya kuat. Inspektor Nasa'i akur. Walau dalam keadaan laju, dia sempat tunduk. Kemudian, sepenuh tenaga dan kudrat Yun membaling kayu itu ke arah tiga lelaki yang masih berlari. Tepat! Ia mengenai salah seorang dari mereka lalu lelaki itu tersungkur jatuh. Yun berhenti berlari. Yun berhenti bukan kerana sasarannya tepat tetapi kerana pergelangan tangannya mulai ngilu dan berdenyut-denyut.


YUN ketawa kecil ketika Inspektor Nasa'i tak habis-habis membebel kepadanya sejak mereka keluar dari bangunan klinik pesakit luar. Tadah sahaja, apa yang susah. Sekejap lagi pasti Inspektor Nasa'i kering tekak dan penat sendiri.

"Awak ni Yun, tangan dan kaki kerja lebih cepat dari otak. Kalaulah apa-apa jadi pada awak, siapa yang kena jawab kalau bukan saya?"

"Saya sukarela, kan!"

"Awak suka, saya tak rela!"

Bidas Inspektor Nasa'i,tegas. Namun, Yun masih boleh ketawa. Begitulah sikap wanita yang dikenali semenjak dua tahun yang lepas. Tindakannnya sembarangan tapi yang sembarangan itulah yang sangat membantu. Kejadian seperti ini bukan kali pertama. Ia kali kedua dan kesudahan episod bantuan Yun, dia pasti mengiringi wanita itu keluar dari klinik pesakit luar.

"Yun, lain kali jangan buat macam tu lagi, ya! Nanti bertimpa-timpa masalah atas kepala saya. Nak uruskan yang tak bermoral lagi, kemudian, si kacau daun Yun lagi."

"Ha ha ha." Ketawa Yun berbunyi lagi. Inspektor Nasa'i hanya mampu membuang keluhan. Yun wanita tabah dan tidak mudah mengalah. Tafsiran itu belum terkalih sejak perkenalan pertama mereka.

"Ketawa-ketawa jugak. Apa yang jadi ni, awak jadikanlah iktibar. Saya bukan nak menakutkan tapi bimbang juga kalau ada yang berdendam dengan awak. Hasil tulisan awak bikin pasaran hitam mabuk kepayang sekarang."

Yun menjuih bibir sahaja.

"Kenapa saya pulak yang nak didendam? Bukan saya yang tangkap dia orang. Inspektor Nasa'i and the gang yang punya kerja, kan?" Usik Yun sebelum masuk ke dalam perut kereta milik pegawai polis itu, tetapi dia tidak sempat menutup pintu kereta. Beberapa kali dia menarik pintu kereta yang berat itu.

"E eh! Obes pulak ke pintu kereta ni? Bukan tadi mudah aje ke nak buka tutup?"

Bebel Yun, mencari reaksi Nasa'i di sebelah. Anehnya air muka lelaki itu! Pucat seperti berselisih dengan pontianak. Eh, barangkali memang ada pontianak di sebelahnya? Yun teguk liur. Dia menoleh ke sebelah lambat-lambat.

"Kenapa? Tak sangka?"

"Opocot!" Yun melatah spontan sambil mengurut dada. Wanita bertudung lilit itu nampak garang sekali.

"Kata sibuk, banyak kerja! Sibuk dengan perempuan ni?" Sergah wanita itu lagi sambil menunding jari hampir dengan hidungnya. Mata Yun berkedip-kedip. Biar tidak mengerti konflik apakah itu, namun dia cepat menutup hidungnya yang tinggi.

"Err...bukan, bukan! Jangan salah faham! Ini bukan macam yang sayang sangka."

Bukan macam sayang sangka? Oh, teman wanita Nasa'i kah dia?


"BUKAN macam yang disangka? Habis tu, ini siapa? Sayang telefon abang tadi, abang cakap abang sibuk, kan? Sayang telefon malam tadi abang tak angkat. Sayang mesej pun abang tak balas. Ini rupanya 'kerja' abang! Kalau abang rasa sayang bukan yang terbaik untuk abang, kenapa abang tak lepaskan sayang? Lebih baik kita putus saja. Hati sayang tak sakit, hati abang lebih bahagia."

Bidas wanita bertudung lilit itu, lancar. Dialognya sempurna seperti di dalam skrip drama.

Malangnya, ia salah sangka semata-mata.

"Bukan macam tu. Jangan buat keputusan terburu-buru!"

Yun tidak tahan dengan drama sebabak itu. Dia bingkas keluar dari perut kereta itu. Dia menyeluk poket lalu menyerahkan kad nama kepada teman wanita Nasa'i barangkali. Wanita itu kelihatan terpinga-pinga namun menyambut juga kad yang dihulurnya.

"Saya wartawan dari Unit Jenayah. Apa yang adik nampak salah sangka sahaja. Atas ihsan dan simpati Nasa'i, saya di bawa ke klinik. Saya tolong dia, dia tolong saya. Kami seri dan tak berhutang apa-apa lagi."

"Nasa'i. Saya balik dulu."

"Err...Yun. Awak nak balik dengan apa tu?" Tanya Nasa'i ketika melihat Yun pantas mengatur langkah di hadapan. Seolah-olah Suha tiada di antara mereka. Dia melangkah lebih hadapan, dan leka melihat derap langkah Yun dengan kening yang keruh.

"Abang!!!" Nasa'i pantas menoleh apabila dirinya diseru. Ah, dia terlupa akan Suha yang setia menunggu menagih jawapan.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.