3
POKOK
mempelam yang berdiri megah di hadapannya bagai memberi idea segar, lalu dia
mendongak ke atas. Memerhati dahan mana yang boleh dipijak untuk membawanya
lebih tinggi.
“Situ dan
situ, sampai sana. Okay, cun!” Dia mengatur rencana, separuh berbisik.
“Kalau ada
angsa terbang, aku tumpang dah...yang ada pokok mempelam ni aje. Apa kata kau
tolong pegang beg aku ni.”
Yun buat-buat
tanya sebelum menyerahkan beg galasnya kepada Aishah yang terpinga-pinga
menyambutnya.
“Kau nak
buat apa pulak tu?”
Yun tidak
menjawab sebaliknya dia sibuk mengalung tali kamera ke leher. Dengan lafaz
Bismillah, dia menguji kekuatan diri. Alah,
setakat pokok mempelam ni. Aku boleh panjat kejap aje ni. Jangan ada semut
tonggek cukuplah! Yun berbicara sendiri. Pap! Terasa punggungnya ditepuk
seseorang.
“Oi!
Turunlah, takkan nak ambil gambar sampai nak memanjat kut.”
“Shhhh...kau
ni Shah. Banyak cakaplah! Cover aku
boleh tak?”
Balas Yun,
marah. Kurang asam punya member!
Banyak-banyak tempat lain, situ jugak ditepuknya! Dia kembali mendongak ke
atas, mengangkat kaki seberapa tinggi yang boleh. Hujung kaki kanan memijak
dahan pertama lalu badannya dibawa naik lebih tinggi ke atas.
“Yun, kau
okay tak?”
“Okay!
Jangan banyak tanya, aku tengah fokus ni.”
Balas Yun,
memberi amaran. Dia wanita berdikari dan tidak gemar dirinya diambil peduli
begitu. Dia rimas. Dan untuk tugasan itu, dia sudah fikirkan risiko memanjat
pokok mempelam, demi mendapatkan kesan khas yang berkesan. Err? Betul ke? Ah,
iyakan aje! Dah sampai ke atas pun. Katanya sendiri sambil memegang dahan pokok
di bahagian atas kepalanya. Dia
melangkah berhati-hati namun suara Aishah yang penuh azimat berduri
sekejap-sekejap menyuruhnya berhati-hati, memaksanya memandang ke bawah.
“Kau ni
kan...hisy! Jangan banyak sangat cakap boleh tak! Kau nak kantoi ke?”
“Aku ni
bimbangkan kau. Turunlah! Kau nak sangat maklumat, biar aku aje yang masuk ke
dalam.” Bebel Aishah sambil bercekak pinggang. Seram pula melihat Yun berdiri
di atas dahan kecil itu. Dahan yang kecil itu terus meliut ke bawah bila Yun
memijaknya. Kalau jatuh? Aduh! Dia boleh bayang nangka busuk jatuh gedebuk.
“Tadi kau
kata kau tak nak masuk, kan?”
“Tu
tadi...”
“Tak payah
masuklah, bahaya. Cukup kat sini aje. Lepas ambil gambar, aku turunlah.”
Yun
memberi jaminan. Dari atas pokok itu, dia dapat melihat suasana di sebalik
tembok tinggi yang mengelilingi sebuah banglo mewah itu. Halamannya tenang
sahaja, bagai tiada apa yang berlaku namun apa pula yang berlaku di dalam rumah
tersebut? Maklumat yang diterima dari temannya mengatakan bahawa banglo mewah
itu merupakan kilang dadah. Dan kilang itu telah beroperasi selama dua tahun
tanpa pengetahuan sesiapa.
“Yun...”
“Eeee..sibuklah
kau ni!”
“Kau ada
nampak apa-apa ke?”
Yun tidak
menjawab. Hanya tangan kanannya sahaja yang digoyang ke kiri dan kanan tanda
tiada apa yang menarik perhatian.
“Kalau tak
ada apa, turunlah!”
“Sibuknyaaaaaaa.
Kejap lagi aku turunlah.”
Jawabnya
Yun, bengang. Suaranya mula tegang bila Aishah tak habis-habis dengan idea
penakutnya. Yun kembali menghantar perhatiannya ke kawasan banglo tersebut.
Tangannya juga tak kurang sibuk menghidupkan kuasa kamera lalu menalanya ke
arah banglo itu. Dia melaras kamera, cuba untuk melihat dengan lebih dekat
namun terasa kakinya bagai digigit sesuatu.
“Aduh!”
Yun
menjerit kecil lalu menyelak kaki seluar. Dia menjentik seekor semut tonggek
yang sudah memanjat sehingga ke betis.
“Kenapa
Yun? Semut ke?”
“Emm.” Dia
mencari pula kawasan laluan semut-semut itu. Kemudian, dia melihat
beratus-ratus ekor semut sedang berkawad di atas dahan yang sama dengannya,bagai memberi amaran yang dia akan diserang bila-bila
masa kerana mengganggu keamanan dahan pokok itu. Yun sempat mengambil gambar
barisan tentera semut tonggek itu sebelum bergegas turun dari pokok mempelam
itu.
"Jangan
cari pasal. Karang tak pasal-pasal!" Sempat dia membebel sendiri sebelum
tergesa-gesa melompat ke bawah.
"Ouchh!
Aduh duh!"
“ADOI! Pelan sikit boleh tak?”
Rungut
Yun, menahan sakit bila pergelangan kakinya disentuh Aishah. Sentuh yang
menyakitkan pulak tu. Nasib baik Aishah itu kawan yang baik dan cakna, kalau
tidak, pasti aku dah sepak sampai melekat kat dinding tu!
“Degil
sangat! Padan muka!” Balas Aishah lalu dengan sengajanya menepuk pergelangan
kaki Yun yang sedia sakit. Apa lagi, berdesing telinganya dengan jeritan
nyaring Yun. Keh keh keh! Degil sangat!
“Kalau nak
menyakitkan aku, baik tak payah tolong!”
“Aku buat
sendiri aje.”
Tokok Yun
lagi, cuba memicit kakinya. Aishah gelihati melihat gelagat Yun yang sedang
terkial-kial hendak memicit kakinya sendiri.
“Kau
ni...kalau aku boleh ibarat, macam bara. Pantang cuit, terus keluar api.”
“Mestilah!
Terutamanya dengan kau.”
“Eleh,
bukan dengan aku aje. Dengan semua orang pun.” Sengat Aishah, sengaja menambah
sakit di hati Yun namun teman seperjuangannya hanya tersengih-sengih. Sambil
tersengih, Yun gigih juga mencapai pergelangan kakinya.
“Hemm...budak
nakal jatuh pokok. Mari sini aku tolong, terkial-kial dari tadi. Menyampah
pulak aku tengok semangat tak putus asa kau ni Yun.”
“Asal kau
jangan tekan kuat-kuat, cukuplah! Sakit!”
Yun
mengalah juga akhirnya. Aishah lebih jaguh perihal mengurut orang. Sekali dia
cekau urat Yun, terpekik terlolonglah jawabnya. Itu yang Yun paling tak tahan.
Kekuatan jari jemari Aishah sama seperti kekuatan tangan seorang lelaki dewasa.
“Aku tak
nampak apa tadi.”
“Maksud
kau?” Tanya Aishah sambil mengangkat muka.
“Nak tahu
sahih atau tidak, penyamaran aje jalannya.”
“Kau ada
idea?”
Tanya
Aishah, meminta pendapat temannya. Yun mencebik sambil menggeleng. Dalam masa
yang sama, dia mengerah juga mindanya mencari jalan yang difikirkan sesuai
untuk masuk ke dalam banglo mewah itu.
“Jadi security lah!” Cadang Aishah sambil
memetik jari. Yun terus menggeleng. Dia tidak mahu penyamaran mereka melibatkan
banyak pihak. Jika ia hanya melibatkan diri mereka sahaja, dia boleh juga
bersetuju.
“Kenapa
pulak? Securitymesti boleh akses
masuk ke dalam rumah. Siapa nak syak security?”
“Rumitlah
Shah, nak melibatkan pihak ketiga pulak. Lainlah kalau kita ni memang berkerja
sebagai pegawai penyiasat. Setakat kita, press
ni...Tak nak lah aku. Karang jadi isu pulak.”
“Habis tu?
Nak menyamar jadi orang gaji?”
“Oi, kau
nak memasak pulak ke? Banyaknya masa yang kita ada ya? Lagi lama kita kat sana,
lagi tinggi risiko penyamaran kita terdedah.”
Terang Yun
lagi. Setakat ini, sudah dua idea Aishah ditolak bulat-bulat. Dia tidak mahu
penyamaran mereka kelak mengundang padah.
“Apa kata
kalau aku buat-buat berminat nak beli banglo dia?”
“Kau nak
beli banglo dia? Aku rasa dia sekeh aje kepala kau Shah.”
“Eee...cerewetnya
kau ni! Malaslah aku fikir.”
Komen
Aishah. Dia menarik hujung kaki Yun dengan kuat lalu bangun menuju ke arah
dapur.
“Kasar
jugak Minah ni.” Komen Yun dari jauh. Aishah senyum kecil. Dia mencuci tangan
dan bekas minyak sebelum kembali kepada Yun apabila mindanya sempat merencana
sesuatu. Barangkali idea ini lebih bernas untuk dilaksanakan berbanding
idea-idea sebelumnya.
“Tersengih-sengih
ni. Ada idea bernaslah tu.”
“Kita ke
sana sebagai wartawan nak? Tapi sebagai wartawan majalah.”
“Aku
kurang jelas.” Akui Yun dengan kening yang keruh. Gila ke apa nak mengaku wartawan? Karang tak pasal, dia sumbat aku
dalam penjara bawah tanah pulak.
“Interview aje dia...konon-kononnya nak
ambil gambar hiasan dalaman rumahnya untuk dimuatkan dalam akhbar. Kalau buat
gitu, senang sikit nak masuk ke dalam rumah.”
“Kau ni
Shah...bagilah idea-“ Yun meninggikan suaranya dengan sengaja.
Kali ini
dia sangat bersetuju dengan Aishah tapi sengaja hendak mendera perasaan
sahabatnya. Wajah Aishah telah berubah seperti yang dijangka. Aishah nampak
tidak berpuas hati apabila idea yang dirasakan paling bernas ditolak lagi oleh
Yun.
“Kalau
gitu, kau cari sendiri!”
“Cari
sendiri apa? Aku tak habis lagi...Nak tarik nafas kejap. Aku nak cakap...bagilah
idea yang bernas macam ni dari tadi. He he he.”
“Yun!!!!!!!!!!!!!!!!!”
YUN hanya memekakkan telinga ketika
Wan sibuk bertanya tentang keadaan kakinya kepada Aishah. Dia malas betul
hendak mengulang siaran jawapan. Mula-mula tadi, dia sudah menjawab dengan Mak
Guard Siti. Kemudian, dia terserempak dengan Atan di lobi dan menjawab lagi
tentang keadaan kakinya yang masih terhincut-hincut. Ketika terkial-kial
mendaki tangga, Puan Jannah pula sibuk bertanya soalan yang sama. Bila jumpa
Shauki di balik pintu, dia menjawab lagi perihal kaki hincut dan sekarang giliran
Wan pula bertanya hal yang sama, memang Yun malas nak membalas. Cik Bagi Pihak
sudah tolong jawab.
“Cuailah
kau ni Yun.”
Wan
menyimpul sesuka hati. Yun berhenti menaip artikel sebelum dengan sengaja melempar
pandangan tajam ke arah teman seperjuangan yang bernama Wan Faiz. Dia hanya
ingin menyampaikan satu perkara sahaja kepada Wan.
“Kau ganti
aku malam ni, boleh? Operasi Cegah Maksiat...sambil mencuci mata.”
Tanya Yun,
sambil mengusik di hujungnya. Namun, kegelisahan wajah Wan bagai memberi
jawapan.
“Err...malam
ni aku ada hal lah Yun.”
“Emmm...Tahu
dah. Kalau tak ada hal pun kau buat-buat ada hal. Tak apa, aku faham. Macam
inilah kawan, masa susah carikk, masa senang larikk.”
Balas Yun,
sengaja menekan suaranya. Biar Wan tahu persepi Yun terhadap dirinya. Biar dia
tahu yang dirinya tidak boleh diharap sebagai kawan. Tapi tahukah dia? Atau
barangkali buat-buat tidak tahu?
“Ala
Yun...aku bukan tak nak tolong kau.”
“Tapi kau
memang tak nak tolong aku pun.” Bedil Yun, tidak menunggu lama.
Dia kenal
Wan bukan sebulan dua. Sebab itu dia berani berkata begitu. Dan biarlah dia
berkata benar. Kerana dia tidak akan menyimpan hal itu sehingga membusuk di
dalam hati.
Wan berpatah balik lalu berdiri di
sebelah mejanya. Kata-kata Yun bagai memberi satu label negatif buat dirinya. Yun
berhenti menaip apabila skrin komputernya dihadang seseorang.
“Jangan
kacau aku, boleh tak? Aku tengah taip artikel ni.”
“Yun...teruk
sangat ke aku ni?”
“Sila
tepuk dada dan tanya hati sendiri.” Jawab Yun lalu mencapai stapler dengan
cepat.
“Tepilah,
karang aku tembak dengan stapler. Kau nak rasa?”
Soal Yun
keras. Dia sempat menjeling Wan yang masih setia menanti jawapannya. Namun,
bila diacah begitu, Wan akur lalu kembali ke tempatnya.
“Itulah
kau, Wan. Berkira sangat nak tolong kawan. Kan dah kena marah!”
Aishah
yang tidak mahu menyampuk pada mulanya berbunyi juga. Dia tidak dapat menahan
hati kerana sangat bersetuju dengan Yun. Wan selalu mengelak jika teman
sejawatan meminta bantuan.
“Bukan aku
tak nak tolong. Dah memang aku ada hal malam ni.” Tingkah Wan, masih berusaha
mempertahankan dirinya.
“Okay. Aku
dengar! Dua kali dah kau ulang. Lain kali jangan banyak komen pasal orang.
Cuailah, apalah! Kalau rasa belum bersedia untuk ditembak mati, kunci mulut
rapat-rapat. Nganga setengah inci pun tak boleh.” Bidas Yun sepuas hati. Wan di
hujung sana terus tidak membalas. Sama ada berasa hati atau tidak mahu menambah
ketegangan yang dicipta sendiri.
“Aku boleh
ganti kau malam ni.” Cadang Aishah, cuba mengembalikan keharmonian Unit
Jenayah.
“Tak
boleh. Saya ada tugasan baru untuk awak malam ni.” Puan Jannah yang baru muncul
di kalangan mereka membuka cerita. Aishah terkedu, Yun pula berpaling ke arah
punca suara ketua jabatan mereka. Unit Jenayah terus sepi bila suara Puan
Jannah mengisi ruang.
AN’ Nasai hanya mampu menggelengkan
kepala tatkala Yun menghampiri dengan kaki hincutnya. Masih cekal hati dan
bersedia mengambil risiko demi sebuah berita untuk tatapan pembaca akhbar pada
hari esok. Itulah Qatrun Nada dari kaca matanya.
“Macam
mana nak beraksi malam ni?” Usiknya ketika Yun sudah berada betul-betul di
depan mata. Wajah gadis itu ceria seperti selalu. Hanya ketawa sahaja yang
kedengaran mengisi ruang malam.
“Kita
tengok setakat mana kemampuan saya beraksi. Alah, kalau susah sangat, saya
serah aje kamera ni pada Inspektor. Tolong rakamkan video serbuan tu nanti,
supaya mudah saya nak bercerita atas papan kekunci.”
“Eh, tak
ada kerja saya nak buat kerja awak!”
“Ha ha ha.
Alah, Inspektor ni. Nampak muka macam simpati sangat. Tolonglah! Apa salahnya?”
Rayu Yun,
sengaja mengusik pegawai polis itu. Beberapa kali bergandingan bersama,
walaupun di dalam bidang yang berlainan, namun Yun sudah menganggap Inspektor
An Nasa’i sebagai sahabat.
“Tak payah
ikutlah Yun. Nanti saya call awak,
jelaskan tentang operasi ni.”
“Tak
boleh! Tak telus begitu dan saya akan rasa bersalah dengan pembaca.” Tolak Yun,
tidak bersetuju dengan pendapat An
Nasa’i.
“Saya
bukan apa...kasihan tengok awak jalan hincut begitu. Dengan keadaan operasi
yang mungkin ada sedikit kacau bilau, keadaan kesihatan awak tak sesuailah
Yun.”
“Inspektor
jangan risau. Saya tak akan ganggu Inspektor nanti. Apa yang mampu saya buat,
saya akan buat. Kalau saya rasa tak mampu pun, kita tengok ajelah nanti apa
yang saya boleh buat. Yang pasti, pergi tetap pergi.”
Jawab Yun,
menyatakan pendiriannya. Inspektor An Nasai hanya menggeleng kepala mendengar
keputusan Yun. Dia tiada sebarang bantahan lagi jika Yun tetap berkeras untuk
menyertai operasi besar mereka malam itu. Mereka berdua terus melangkah menuju
ke arah sebuah pacuan empat roda.
YUN hanya mampu melihat dari jauh
beberapa orang pegawai polis sedang berlari mengejar beberapa orang lelaki yang
cuba memboloskan diri dari serbuan yang baru berlangsung beberapa minit yang
lalu. Asalnya, dia hendak masuk ke dalam lebih awal, namun ditegah oleh
Inspektor An Nasa’i.
“Saya
takut awak hilang kaki aje, bukan apa pun.”
Senda
pegawai polis itu sebelum meninggalkannya. Namun, dek kerana kepuasan menunggu
lama di luar, dia menjengah juga masuk ke dalam premis kelab malam tersebut.
Ketika itu, setiap pintu telah dikawal ketat oleh anggota polis. Yun
menghidupkan kamera lalu melaras penggunaannya kepada penggunaan waktu malam.
Kemudian, dia mengambil beberapa keping gambar untuk disiarkan dalam akhbar
hari esok. Beberapa barisan wanita berpakaian separas paha menarik
perhatiannya. Masing-masing cuba menundukkan muka tatkala lensa kamera menghala
ke arah mereka. Tahu diri berbuat salah, namun masih tidak sedar diri juga.
“Urine test ye, Koperal?” Tanya Yun pada
seorang pegawai polis wanita yang sedang mengawal barisan.
“Ya.”
“Agaknya
bila keputusan keseluruhan akan diperoleh?”
“Kita baru
mula. Saya jangka, kita akan ketahui keputusan keseluruhan selepas tiga jam
nanti.” Jawab Koperal wanita itu. Pada tanda namanya tercatat ‘Suria’. Yun
sempat menjeling tanda nama itu sebelum menjeling jam yang terlilit di
pergelangan tangannya. Dua jam bermakna dia perlu menunggu sehingga jam tiga
setengah pagi. Yun meminta izin untuk bergerak ke bahagian lain, mencari
kelibat Inspektor An Nasa’i jika kelihatan, namun yang tertangkap dek matanya
hanya keributan di bahagian belakang premis. Keributan itu bagai awan mendung
yang sedang berarak. Makin lama makin jelas kekacauannya sehingga kelihatan
seorang lelaki berusaha memboloskan diri dari dua orang pegawai polis yang
sedang mengepungnya.
“Hebat!”
Komen Yun apabila melihat lelaki berjaket gelap itu berjaya menolak seorang
lelaki dan berlari ke arahnya. Lariannya cukup pantas hingga beberapa orang
yang cuba menghalangnya berjaya dirempuh.
“Mak
ai...ini ganas tahap gaban ni. Silap hari bulan, kaki aku yang dah terpeleot ni
pun bakal jadi mangsa.”
Ulas Yun
perlahan lalu menghulur kaki kirinya. Lelaki yang mengganas sebentar tadi jatuh
tersungkur sebaik tersadung dek kaki Yun. Dan ketika lelaki itu jatuh, Yun
sengih sahaja. Terus beberapa lelaki menerkamnya walau lelaki itu cuba
menentang kembali.
“Easy...”
“Eh, perempuan! Kau jaga! Aku dapat kau nanti,
jaga!” Tempik lelaki itu ketika dibawa keluar oleh dua lelaki. Yun dapat
rasakan tempikan itu ditujukan buat dirinya. Lihat sahaja pandangan tajam
lelaki itu ketika dibawa pergi. Lelaki itu sempat lagi menoleh ke belakang.
“Yun...awak
buat apa?”
“Buat
apa?” Yun pura-pura bertanya. Inspektor An Nasa’i sudah berdiri di hadapannya
dengan pandangan kurang senang.
“Awak
jangan buat yang bukan-bukan, Yun! Saya dah pesan, kan? Saya takut orang cari
awak aje nanti.”
“Saya tak
buat apa pun. Dia yang lari tak tengok bawah! Bila tersadung kat kaki orang,
nak marah-marah pulak.” Dalih Yun, mempertahankan dirinya semampu yang boleh.
“Dia
tersadung kaki atau awak yang menyadung kakinya?”
“Tersadung
atau menyadung? Tak banyak bezalah pilihan yang Inspektor bagi kat saya ni.”
“Yun...Yun!
Susah betul nak faham awak ni.”
Inspektor
An Nasa’i menggeleng kepala tanda beralah dengan wanita itu. Yun sengih sahaja
sedang kelibat pegawai polis itu semakin menjauh darinya. Seperti selalu, Yun
menghidupkan kuasa kamera sebelum merakam beberapa gambar pegun. Dari
gambar-gambar tersebut, dia sudah merangka beberapa isi penting yang bakal
dijadikan bahan untuk bercerita esok.