BAB 6
"DAH sejam lebih dok termenung macam tu!”
gerutu Huwaida memerhatikan Humaira yang hanya termangu merenung komputernya
yang ditempatkan di sudut ruang makan.
Bahagian itu jadi pilihan Humaira memandangkan ruangnya yang lebih
luas. Cukup kondusif kerana berhampiran jendela dua panel menghadap landskap
hadapan.Sebuah lagi jendela tiga panel terdapat di dinding sebelah kanan.
Potret ibu mereka, Zainon awal-awal lagi sudah dilekapkan ke
dinding menghadap meja yang menempatkan set komputer tersebut. Di belakang
Humaira, terdapat sebuah meja makan yang panjang. Meja itu asalnya diasak ke
tepi dinding berhampiran jendela oleh pemilik asal. Tetapi sudah dialihkan
semula ke tengah oleh Huwaida yang memang hobinya menyusun atur semula perabot
rumah.Semua kerja dilakukannya sendiri. Huwaida memang lasak dan kalau tidak
keterlaluan, memang boleh dikategorikan sebagai wanita perkasa.
“Tengok tu, langsung tak memandang keliling!” Humaira tidak menyedari
perbuatan Huwaida yang sedang mengkritik aksinya.
“Penulis memang kuat berangan Nak ajak berborak pun payah. Bosan
aku!” Huwaida mendengus.
Humaira yang tidak sedar
dirinya diperhatikan, terus termenung. Sedikit pun tidak berkalih. Tidak pasti
ke mana fokusnya. Komputer? Komputer tersebut belum dipasang. Wayarnya masih
bersanggitan.Atau Dr.. Damyral lagikah?
Memang itulah yang
sebenarnya.Dia sedang tenggelam dalam lautan khayal mengenang Dr.. Damyral.
Balik-balik ingatan terhadap lelaki itu juga yang mengisi halaman memorinya.Dia
tewas. Bahkan berasa aneh.Apa sebenarnya yang menimpa dirinya kini? Sungguh
berbeza dengan sikap tidak endahnya dulu. Dulu perkataan ‘feveret’nya menyentuh lelaki ialah, “Apa ada pada lelaki,
lelaki boley blaah!” Termasuk Dr.. Damyrallah agaknya. Kononnya!
“Wei!” Huwaida memanggil tumpuan kembarnya
itu dengan teriakan. Bila Humaira tidak terkesan, dia mengambil sebuah bantal
Panda dan membaling tepat dikepala Humaira.
Humaira yang terhumban keluar daripada lamunannya menoleh
terkejut. Terbata-bata dia.Kemudian, dia mendengus geram. “Aku ni dapat kembar
jantan!” gerutu Humaira geram.
Huwaida pula terus menyambung leterannya. “Siap aje satu novel,
cepat-cepat kau menyorok. Lari daripada boyfriend kau. Walhal,
sebelumnya kau juga yang terhegeh-hegeh mencari calon Mr Love konon. Tapi bila
kerja kau selesai, manuskrip dah dicetak jadi buku, senang-senang aje kau
tinggalkan mereka.” Huwaida mencebik.
Humaira menarik nafas yang
terkepung. Dia menggaritkan sedikit hujung bibirnya. Kemudian kembali menghadap
komputernya. Malas melayan.
“Mentang-mentang dah enam kali kau terlepas, kau buat lagi.
Sekarang apa kes? Tengoklah sendiri apa kesudahancinta ke tujuh kau, si Azril
tu!Tengoklah bala yang terpaksa kita tanggung lepas kau tinggalkan dia.Kau dan
aku sekali terpaksa cabut lari dan bersembunyi di tempat tersorok macam ni.Kesian
anak-anak kat tadika aku tu!”
Humaira menoleh dengan
matanya mencerlung pada kembarnya. Berdesing juga telinganya ditegur Huwaida
secara tidak berlapik seperti itu.Sentap!
“Kau ingat senang ke nak cari teachersebaik aku?Tak ramai
sanggup bimbing kanak-kanak nakal macam tu!”
Huwaida yang bertubuh besar memang gemar bermain dengan
kanak-kanak.Tapi kanak-kanak itu juga tidak berani melawannya kerana aura yang
ada padanya. Mereka patuh pada setiap arahannya. Mungkin juga takut.
“Kerana kau, hancur kerja aku!” bebel Huwaida lagi.
Dia tidak puas hati sebenarnya. Sejak berpindah ke situ, Humaira
semakin kerap bermenung. Apahal dengan dirinya? Sudah tentulah dia rasa
keseorangan. Sudahlah terpaksa berhenti kerjasemata-mata kerana ‘gara-gara’yang
dicetuskan oleh kembarnya yang cantik itu. Terpaksa pula bersembunyi hingga ke
hujung negeri. Ironisnya, orang yang ditemani, syok sendiri. Sebilang waktu
asyik melayan fikiran sendiri.
“Dahlah aku ni tak kenal satu orang pun kat sini.Kecualitaukeh kedai runcit hujung
kampung tu. Lepas tu, kalau nampak aku mulalah nak tersengih-sengih.
Geli!”Humaira hanya mengetap bibir mendengar.
“Lepas ni kalau dia menggatal lagi, aku acu penumbuk femes aku ni
ke muka dia.” Humaira tergeleng melihat Huwaida mengepal penumbuknya. Taukeh
kedai mana pulak syokkan Huwaida ni...tersenyum dia.Ada-ada saja Aida ni!
“Tujuh novel kau Aira. Bermakna dah tujuh kali kau bercinta dan
tujuh kali pula ‘kita’ jadi pelarian terpaksa pindah randah. Tak betul cara kau
ni!”
Mendengar itu, Humaira perlahan-lahan memusingkan kerusinya 90 darjah
menghadap Huwaida. Namun fokus sebenarnya ialah ke garis infiniti. Ada elemen
lain masih membesarkan sarangnya di minda novelis terlaris itu. Elemenyang
berinitialkan huruf D. Dr.. Damyral!
“Berhentilah menghamun aku, Aida...fikiran aku tengah dibejat ni.”
Akhirnya Humaira membalas.
Dia memusingkan kembali kerusinya lalu mula
melekapkan plug wayar monitor ke CPU. Selesai, dia menggerak-gerakkan tetikus
sambil menanti tindak balas kusor. Sengaja mengelak kerana enggan melayan
bebelan Huwaida.
“Kau tau?Kataorang dulu-dulu,tujuh kali pindah ni, boleh jatuh
papa kedana tau tak? Fikirlah Aira, sampaibila kau nak lari dari mangsa-mangsa
kau tu? Minta maaf sajalah pada semua lelaki tu, senang cerita!” Huwaida mengangkat
kening menanti respons Humaira. Akhirnya dia menyandar , bila Humaira tidak memberikan reaksi.
Dia tahu Humaira sengaja pura-pura menyibukkan diri memasang gajet
yang sudah berusia lebih dua tahun itu. Macamlah dia tak kenal fi’il kembarnya
itu.
“Bayar ganti rugi okey jugak. Tak payah kita nak lari lagi.Aku
penatlah,” keluhnya lagi lalu menyengih memandang Humaira.Tiba-tiba teruja dengan idea spontannya berkaitan
royalti itu. “Eh... royalti novel kau kan banyak, no problem kan kalau nak
bayar ransum?”
Humaira tidak kuasa melayan.Dia pura-pura memberi konsentrasi pada
komputer peribadi yang belum dipasang. Setelah seminggu baru hari ini alat
telekomunikasi tersebut disentuhnya. Sebelumnya jika perlu menaip, dia akan
beralih pada netbook dan ipadnya sahaja. Lebih mudah meskipun mata tak puas
melihat.
Huwaida menipiskan bibir bila Humaira masih tidak berminat melayan
ocehannya. Kasanova betina... cebik Huwaida geram
Sebenarnya, jauh dalam hati Humaira, dia mengakui kata-kata Huwaida
itu betul. Dia sedar dia salah. Perbuatannya salah. Konsepnya juga salah!
Teguran Huwaida itu mengingatkannya pada Azril, bekas teman lelaki
terbarunya. Juga yang ketujuh. Baru saja dia memutuskan hubungan mereka. Lelaki
itulah punca dia mengheret kembarnya itu tinggal di kotej yang jadi kediaman
mereka sekarang. Dia takut pada Azril!
Setelah MOU selesai ditandatangani, dia cepat-cepat mengucapkan
‘sayonara’ pada cinta ke tujuhnya itu.Kenapa dia berbuat begitu? Jawabnya mudah
saja. Dia perlu tutup buku pada hubungan mereka. Itu mesti. Sejujurnya dia amat
pantang jika teman lelakinya memaksa dia kahwin.
Azril, dan lima lagi yang lain memang tidak menyempat-nyempat
mengajaknya kahwin. Dr.. Damyral tidak pula begitu. Mungkin tidak sempat
sebenarnya. Atau lelaki itu memang mengambil masa yang lama hendak melamar
teman wanitanya?
Kacau betul si Azril. Sibuk betul nak bernikah. Hati budi
keluarganya pun aku belum tau... dengusnya sebal.
Azril dan Damyral...
Seorang langit dan seorang bumi.
Dia membandingkan kedua-duanya. Tanpa sedar,dia sedang memuji yang pertama.
Itulah julung kalinya dia menghargai salah seorang daripada mereka. Kalau dulu
mulutnya itu payah hendak memuji walaupun hanya salah seorang.
Aku ni sebenarnya kenapa?Gila talak ke aku ni dengan Damyral?Dia
mengeluh lagi.
“Wei!” Sekali lagi suara nyaring Huwaida menghentam gegendang
telinganya. Sambil menumbuk meja sisi dengan tangannya yang dikepal.
Lambat-lambat Humaira menoleh padanya. Akhirnya membalas dengan
nadacukup hambar.“Kalau tak pindah ke sini, dan tak bergerak dari rumah sewa
kita kat KL tu, kita dah mati!” Mudah-mudahan Huwaida berhenti dan tidak lagi mengganggu
fokus menungannya. Tapi kata-katanya itu dibalas dengan tempelakan nyaring oleh
Huwaida.
“Oi...tolong sikit. Yang mati bukan aku, tapi kau!Aku mana ada
rekod, mana ada kes? Azril tu bekas pakwe kau bukan pakwe aku!” gunjingnya dengan
suara melengking.
Humaira terkedu.Akhirnya tersengih sumbing.Betul jugak, bisiknya. Yang bermasalah
ialah aku, bukannya Aida.Itupun nasib baik dia nak ikut aku, simpati pula pada Huwaida
yang kini terjebak dalam permasalahannya.
Apapun, dia tahu tidak ke
mananya kemarahan Huwaida itu.Tidak kira apa yang dia lakukan, adiknya itu
tetap akan mengekor ke mana saja dia pergi.Pernahkah mereka berpisah?Sekali pun
tidak!
Dulu, sebaik meninggalkan
rumah keluarga kerana bekerja, mereka berkongsi tempat tinggal yang sama.
Mereka tidak pernah berjauhan antara satu sama lain. Tidak akan pernah. Huwaida
dan Humaira ialah sepasang kembar yang tidak pernah terpisah.
Humaira melepaskan keluhannya. Jika dulu,dia sekadar berpindah
rumah kerana hendak menyepi diri seketika daripada gangguan atau sebarang
tindak balas teman lelakinya yang silih berganti itu.Kini,keadaannya lagi
teruk. Dia terpaksa lari jauh-jauh. Bukan lagi berpindah
rumah tapi berpindah negeri terus. Semuanya gara-gara Azril yang
tidak berhenti mengasak dan mendesaknya. Mencari dan memburunya tanpa jemu.
Kenapa mereka semua tak
seperti Dr.. Damyral? Keluhnya.Tanpa sedar dia memujilagi lelaki itu.
Lagi?
Memang aku dah sewel... bisiknya. Balik-balik aku teringatkan Damyral.Memuji
Damyral! Kenapa asyik dia yang masuk ke kepala aku sekarang?Argh... lelaki ni
memang pantang dibuat kawan, dalam otak kuning tu hanya ada satu saja,
kahwin..kahwin!”
Kecuali Damyral, yang lain-lain tu tak menyempat-nyempat ajak aku kahwin.
Siap ada yang nak kongsi akaun. Gila!Dia melepaskan gerutu di dada.
Apapun, teman lelakinya yang lain itu, tidaklah seobsesAzril.
Lelaki itu setiap hujung minggu mengadakan‘roadblock’ di pintu pagarnya. Humaira dan Huwaida kecut-
perut dekcemas dan takut. Hari Sabtu dengan Ahad tidak seorang pun di antara
kembar itu yang berani keluar.Menyorok saja di dalam. Toyota Caldinanya
diparkir di rumah kawan. Pura-pura, seolah-olah tiada siapa di rumah.
Kalau cool macam Dr. Damyral kan best?Humaira mengangkat kening.
Aku minta putus dulu pun,sporting aje. Dia tersengih lagi bila ingatannya singgah pada bab Dr.
Damyral.
Huwaida yang masih memerhatikannya, tergeleng. “Angau ke?”
bisiknya memanah matanya pada Humaira.
“Wei... angau ke?” seru Huwaida dari ruang tamu yang terpisah
dengan ruang makan oleh ‘bar counter’ itu.
Humaira spontan menoleh.
“Aku ni macam terkena sumpahanlah Aida. Kebelakangan ni, kepala
aku asyik teringatkan‘ex’ pertama aku dulu. Aku termakan sumpah aku sendiri
agaknya. Atau ini sumpahan Dewi Kuan Yin? Kau tau kan aku pernah terlafaz
sumpah masa melepak di Tembok Besar Badaling dengan ‘ex’pertama aku tu dulu?”
“Rafiq?” tanya Huwaida.
Humaira pernah berbohong yang teman lelaki pertamanya bernama
Rafiq. Lantas dia terkedu mendengar nama itu disebut. Berjurus dia terkaku.
Sudah empat tahun dia berbohong tentang itu.Bilalah dia mampu merungkainya dan mengambus dosa dustanya itu. Dia mengeluh.
Huwaida tidak pernah membohonginya tentang satu apa jua. Dia cuma kasar,
perengus tapi suka menolong. Tapi bukan pembohong.
“Mulalah merapu tu...tak ada maknanya terkena sumpah. Kau tu dah
mula terimabalasan dosa sebenarnya,” balas Huwaida selamba. Tetapi, tidak
didengari Humaira yang kini berkerut-kerut keningnya mengimbas kenangan masa
lalunya bersama Dr. Damyral.
BAB 7
IMBAS KEMBALI
Lokasi, Tembok Besar Badaling.
HARI itu hari ke tujuh percutian
Humaira. Keesokannya dia akan mengikut Dr.. Damyral melawat Masjid
Nanguan.Hasil promosi lelaki itu juga. Sebetulnya, dia ingin melihat sendiri
cara hidup dan budaya etnik Muslim Hui di Ningxia. Sesuatu yang mungkin
bermanfaat untuk dirakamkan ke dalam novel sulongnya nanti.
Sebelum berangkat, mereka sekali lagi keTembok Besar. Sejak pertemuan kali pertama dulu, Dr.. Damyral belum pernah
ponteng menemuinya setiap hari. Hari itu hari ketujuh. Sewaktu di tempat jualan
tiket untuk ke Juyong Guan, berkali-kali Dr..Damyral bertanyakan lututnya.
Bimbang betul dia, kalau-kalau Humaira tidak mampu bertahan dengan aktiviti
yang memenatkan itu.
Humaira amat tersentuh. Terasa dirinya dimanja. Seronok pula bila
ada yang ‘sangat caring’ di tempat asing seperti itu. Terkekeh-kekeh dia bila
Dr.. Damyral pura-pura menuduhnya sengaja ke situ lagi kerana hendak merasai pengalaman
didukung kali kedua.
Sewaktu mereka berada di pos penjagaan tembok besar itu, sesuatu
terjadi. Terpempan Humaira dibuat dek Dr.. Damyral. Pengakuan berani mati
lelaki itu!
“Samada awak percaya atau tak, saya dah jatuh cinta pada awak.
Aira. Saya ni tak pandai putar belit. Apa lagi bermain dengan kata-kata. Saya
memang sukakan awak. Awak ni betul-betul dah takluk hati saya.” Mata lelaki itu
menikam tepat ke muka terkedu Humaira yang sebelum itu, sibuk tertinjau-tinjau
melihat pemandangan dari pos di situ.