Home Novel Cinta KUINGIN CINTAMU
KUINGIN CINTAMU
11/3/2013 14:22:11
35,619
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Chapter 7

BAB 7

IMBAS KEMBALI

Lokasi, Tembok Besar Badaling.


HARI itu hari ke tujuh percutian Humaira. Keesokannya dia akan mengikut Dr.. Damyral melawat Masjid Nanguan.Hasil promosi lelaki itu juga. Sebetulnya, dia ingin melihat sendiri cara hidup dan budaya etnik Muslim Hui di Ningxia. Sesuatu yang mungkin bermanfaat untuk dirakamkan ke dalam novel sulongnya nanti.

Sebelum berangkat, mereka sekali lagi keTembok Besar. Sejak pertemuan kali pertama dulu, Dr.. Damyral belum pernah ponteng menemuinya setiap hari. Hari itu hari ketujuh. Sewaktu di tempat jualan tiket untuk ke Juyong Guan, berkali-kali Dr..Damyral bertanyakan lututnya. Bimbang betul dia, kalau-kalau Humaira tidak mampu bertahan dengan aktiviti yang memenatkan itu.

Humaira amat tersentuh. Terasa dirinya dimanja. Seronok pula bila ada yang ‘sangat caring’ di tempat asing seperti itu. Terkekeh-kekeh dia bila Dr.. Damyral pura-pura menuduhnya sengaja ke situ lagi kerana hendak merasai pengalaman didukung kali kedua.

Sewaktu mereka berada di pos penjagaan tembok besar itu, sesuatu terjadi. Terpempan Humaira dibuat dek Dr.. Damyral. Pengakuan berani mati lelaki itu!

“Samada awak percaya atau tak, saya dah jatuh cinta pada awak. Aira. Saya ni tak pandai putar belit. Apa lagi bermain dengan kata-kata. Saya memang sukakan awak. Awak ni betul-betul dah takluk hati saya.” Mata lelaki itu menikam tepat ke muka terkedu Humaira yang sebelum itu, sibuk tertinjau-tinjau melihat pemandangan dari pos di situ.

Tersentap Humaira dihadiahkan kejutan itu.Lama dia tergamam.Terkebil-kebil matanya memandang lelaki yang sedang menanti reaksinya itu.Namun di sebalik semua itu,datang perasaan indah menyelit di celah-celah sanubari.

Inikah cinta? Menderu dan berulang-ulang soalan itu bermain di benaknya.Semerta dia teringatkan manuskripnya yang kaku seperti yang didakwa Huwaida. Kononnya, kisah cinta di dalamnya tidak hidup kerana penulisnya sendiri tidak pernah bercinta. Tak adafeel! Sekarang inilah peluangnya!

Hmm... tiba-tiba dia berasa malu hendak membalas tatapan Dr.. Damyral yangasyik. Itulah pertama kali dia teruja bila seorang lelaki mengucapkan kata cinta di depannya. Dulu, dia cukup meluat jika dihadapkan dengan kalimah yang serupa oleh mana-mana lelaki yangcuba mendekatinya. Dengan kata mudah, dia ‘alergik’pada perkataan tersebut. Mungkin kerana itu dia tidak mahu mempunyai teman lelaki.

Tapi kini? Apakah dia dan Dr.. Damyral memang ujud‘chemistry’ bila bersama?Secara saintifiknya, ‘love hormones’ seperti dopamine dan fenylethylamine akan terbit berganda bila berlakunya tindak balas kimia ini. Hormonadrenalin tiba-tiba meningkat, tinggi dari kadar biasa.

Argh... Mungkin juga dek pengaruh cuaca di tempat itu. Suasana petang di situ, pada ketika itu dingin lagi romantis. Manakala penampilan hebat lelaki itu pula, memang jadi alat syaitan untuk menggoda mana-mana kaumHawa sepertinya.

Sambil berpeluk tubuh melawan udara sejuk yang tembus ke dalam bajunya itu,dia memaksa diri untuk membalas.

“Saya juga tak pernah bercinta. Tak sedalam mana pun pengetahuan saya tentang cinta. Tapi... saya akui,sangat senang bila dekat dengan awak. Mungkin dalam sedar tak sedar saya juga sukakan awak.” Aduh... lancarnya. Gila! Patut ke sorang Hawa semudah itu mengaku akan perasaannya secara terang-terang seperti itu?

Atau mungkinkah kerana mindanya asyik terkenangkan manuskrip novelnya yang belum siap? Dengan apa yang berlaku sekarang, rasa-rasanya beberapa bahagian plot kini sudah boleh diubah suai. Ada elemen syahdu perlu disuntik ke dalamnya. Sudah mampu diberi sentuhan cinta.Pastinya adegan-adegan yang digambarkan dengan ‘feeling’ nanti, mampu saja meruntun hati yangmenghayatinya. Bak kata seorang wartawan teman baiknya Nik Fauziah Nik Hussein, ‘menulislah dari hati, kerana ia akan menyentuh hati-hati yang lain.’ Kini hatinya sedang diintai rasa cinta.

Dia tergelak sendiri memikirkan manuskripnya yang tergendala itu. Membuatkan Dr.. Damyral terjongket keningnya kerana tercengang.Gagal memahami.

“Kenapa gelak pelik macam tu?Awak anggap lucu ke semua ni?” Perlahandia menyoal. Mungkin sedikit tersinggung. Aneh juga, bukankah tadi gadis itu mengaku turut sukakannya?

Opss... Humaira kini menekup mulut. Aduh... dia lupa saat itu dia sedang berdepan dengan Dr.. Damyral. Mudah betul otaknya dilarikan sebaik-baik teringatkan manuskripnya. Memang seorang penulis boleh berada dalam dua tiga lokasi dalam satu masa! Yang jelas, perasaan enak itu sudah mulai bertakhta. Hatinya kini terbelah dua. Satu untuk Dr.. Damyral dan satu lagi untuk manuskripnya. Dia menggigit bibir mengawal senyum.

“Saya... saya memang akan terlepas gelak macam tu, bila hilang modal nak berkata-kata. Tapi betul Damyral. Saya ikhlas sukakan awak,”yakininya hendak mengambus segera aksinyayang membingungkan doktor itu.

“Jadi tidak salah kan kalau kita mencuba. Maksud saya meneruskan hubungan ini? Saya sukakan awak dan awak pula sukakan saya juga.Buktinya,sedar tak sedar, sejak kita tiba di pos ini, saya tak dengar pun awakmengeluh sakit.Dengan lutut awak yang masih berbalut tu,” usik Dr.. Damyral.

Senyuman yang bermain di bibir Humaira mengelopak indah. Hanya sebentar, kerana tidak lama kemudian dia mula mengaduh. Dia bukan berpura-pura. Memang benar lututnya berdenyut-denyut sakit. Pelik juga kerana tadi langsung tidak terasa sakitnya. Atau memang benar bahawa mekanisme pertahanan tubuh kita ada waktu-waktunya mampu dikawal secarapsikologi?

“Kenapa awak ingatkan tentang luka saya ni? Petang nanti kita dah nakbertolak ke Yingchuan!” keluhnya memikirkan program yang tidak termasuk dalam itenerari asalnya. Rupa-rupanya perasaan ‘istimewa’ itu mampu meluputkan kesakitan. Humaira ketawa dalam hati. Dia menggigit bibir sambil menaikkan keningnya. Membuatkan sepasang matanya kelihatan bundar.

Dr.. Damyral hanya merenung ulang tayang aksi yang pernah dilihatnya lebih dua puluh tahun yang lalu.Kini, kanak-kanak comel yang suka bermain biji saga itu sedang tercegat di depannya. Sudah melepasi tahap remaja. Dan parasnyaalangkah menawan! Diatertarik-tarik nafas mengagumi.

“Tak mengapa. Awak kan ada doktor yang menemankan percutian awak?” Sengih Humairasemerta berganti dengan kerut-kerut hairan di dahinya.

“Sabtu lepas, awak kata awak doktor haiwan!” Dia mengingatkan.

Dr.. Damyralspontan tertawa mendengarnya. “Saya bergurau hari tu..” jelasnya menutup dusta beberapa hari sudah.

“Jahat!” ucapHumaira. Apapun, muka berkerut Humaira kembali jernih. Dia tersengih semula.

“Aira, tentang perasaan awak tu. Saya harap awak tak bohong bila mengaku awak sukakan saya. Saya paling benci jika ada gadis bersimpati pada saya. Setengah perempuan memang mudah simpati pada lelaki yang merayu cinta mereka. Lepas tu menyesal pula bila dah terlambat. Saya tak nak awak menyesal. Dan sayasendiri tak mahu kecewa. Awaklah gadis pertama yang saya cintai.”

“Berbohong tu bukan saya orangnya.” Dengan cepat Humaira memintas.

Ada suatu rasa yang menyesak di dadanya bila mendengar pengakuan cinta yang diulang-ulang itu.Tapi, dia mahu Dr.. Damyral tahu yang dia benar-benar sukakan lelaki itu. Dalam pada itu,gambaran manuskripnya berulang-ulang menyerbu ke dalam kepala. Dia mengetap kuat bibirnya bila keyakinannya mulai goyah dan keliru. Dr.. Damyral memerhatikan.

Humaira melawak cuba meyakinkannya. “Dengan lelaki macam awak, takkan saya nak menyesal? Rugilah!” Kemudian dia benar-benar menyesal setelah mengungkapkannya.Aku ni macam perempuan gedik... ralatnya dalam hati.

“Ada perempuan mudah menyambut cinta lelaki. Ada juga yang pasang ‘spare’ dua tiga. Terutama yang ada rupa dan ada gaya.” Dr.. Damyral berandaian.

“Saya ni ada gaya dan ada rupa ke?” Humaira memotong. Aik... macam perasan pula aku ni. Akhirnya tersengih dan tersipu-sipudia.

Dr.. Damyral menjongketkan keningnya. “Awak nakkan pujian dari saya ke?”Gilirannya mengusik.

Humaira menghela nafas bengang. Mulut aku memang tak ada insuran, dengusnya dalam hati.

“Aira, memang awak ni penuh gaya. Awak juga sangat mencuit hati saya dengan sikap selamba awak tu. Saya... saya selesa dengan cara awak tu.” Dr.. Damyral kemudian kembali berserius. “Tapi, ikhlas keawak dengan perasaan awak tu?”

Humaira spontan mengangguk.

“Saya sumpah Damyral. Biar Tembok Besar ni jadi saksi.Bahawa saya memang sukakan awak. Saya takkan menyesal seperti yang awak takutkan itu. Ditakdirkan suatu hari, awak tinggalkan saya pun, saya tetap akan ulangi tempat ni lagi. Demi meraikan kenangan istimewa pertemuan kita. Cinta kita.” Humaira bergurau dalam serius.

Dr.. Damyral mengangkat tangan berisyarat. “Jangan bersumpah. Tempat ni bukannya baik untuk melafaz ikrar macam tu.Kita ni sedang berdiri atas makam ratusan ribu jiwa yang terkorban ketika membina tembok ni dulu.” Dia mengingatkan.

Seriau pula tengkuk Humaira diingatkan tentang itu. Akhirnya dia tergelak malu-malu. “Betul Damyral. Saya memang sukakan awak. Kenapa pula saya mesti tipu.” Humaira memberanikan diri berterus terang. Dia mahu lelaki itupercaya pada kata-katanya.

Dr.. Damyral membawa Humaira ke gerai tempat menyewa kostum tradisi. Mengekeh Humaira melihat Dr.. Damyral dalam pakaian Pahlawan Maharaja Cina. Hatinya memuji-muji kekacakan lelaki itu.

“Habis lari ‘concubine’ Ming Emperor kalau awak yang jadi pahlawan masa tu,” selorohnya.

Akhirnya, dia aku tinggalkan! Aku tinggalkan dia tanpa sebarang alasan yang munasabah. Hanya kerana takut kalau dia desak aku kahwin.Kerana apa?Kerana aku sangat takut terikat!” keluhnya rawan.Menyesali tindakannya.

Sepanjang tempoh dia bercinta dengan Dr.. Damyral, belum pernah sekali pun lelaki itu membebel soal kahwin.Bukan seperti yang lain-lain.Selepas Dr. Damyral, Humaira mencipta hubungan demi hubungan sehinggalah tiba giliran Azril.Konon dia terpaksa.Kalau tidak,dia tidak ada‘feel’ untuk menulis manuskripnya. Sedangkan dia beranggapan, terlalu banyak yang hendak disampaikannya pada pembaca, terlalu banyak!

Sesekali timbul juga rasa sesal itu.Dia tahu dia berdosa.Berdosa mempermainkan perasaan orang lain.Tapi salah mereka juga.Mereka lelaki, sepatutnya lebih gagah melawan perasaan... getus hatinya pula tidak mahu meletakkan 100% kesalahan di pundaknya saja.Dia menghapus kenangan lalu bersama Dr. Damyral. Kini memikirkan pula novel-novel yang sudah berjaya dihasilkannya.

BAB 8


ENAM buah novelnya cukup laris hingga dicop ‘Best Seller!’ pada kulit depannya. Yang terkini, manuskrip ketujuh dalam proses untuk diterbitkan. Bermakna sudah tujuh novel yang telah dihasilkan.

Bererti juga, sudah tujuh kali dia menamatkan episod cintanya. Tapi yang hendak diperkatakan ialah novel-novelnya yang laku keras. Ramai yang bertanya, apakah formula yang digunakannya hingga menjadikan novel-novel ini laris di pasaran macam keropok lekor.

Previous: Chapter 6
Next: Chapter 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh