Home Novel Cinta KUINGIN CINTAMU
KUINGIN CINTAMU
11/3/2013 14:22:11
35,621
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Chapter 5.

KETIKA mengayun kakinya hendak meninggalkan tempat itu, Humaira tersepak sesuatu lalu gagal mengimbangi tubuhnya. Dia jatuh tertiarap di lantai Tembok Besar itu. Natijah akibat terleka.Terlalu seronok melayan cerita lelaki itu tentang Yinchuan, ibukota bagi daerah Muslim di Xingchia. Ceritanya tentang masjid Nanguan tempat dia sering singgah untuk bersolat bila ke sana.

Huh... betapa teruja dia. Terutama bila Dr.. Damyral mempelawa supaya mengikut dia ke sana dengan khidmat kapal terbang tambang murah. Perjalanan yang didakwa Dr.. Damyral memakan masa tidak sampai pun lapan jam dari kota Beijing itu.

“Mak ai... koyak habis bahagian lutut jean ni. Terpaksalah saya cari jean baru. Saya memang bawa dua helai aje seluar kalau bercuti ke mana-mana. Jimat ruang bagasi.”Humaira merungut kecewa, membuatkan lelaki yang sedang mencangkung menghadapnya itu tergeleng tidak percaya.

Sambil meneliti lutut yang berdarah itu, dia mengungkap dengan hairan. “Awak sepatutnya lebih risaukan luka di lutut tu, bukannya merungut pasal jeans yang koyak ni. Ini bukan sekadar abrasion wound yg boleh awak ambil ringan. Takut laceration wound aje. Berdoalah supaya ia bukan kes kecederaan ACL. Jadi, cuba lebih serius boleh tak?” bebelnya sambil membelek-belek luka di lutut Humaira.

“Hmm... macam ada cedera sikit kat bahagian dalam.” Terangguk-angguk dia mengesahkan. Sejurus, dia mengangkat muka memandang wajah selamba Humaira.

Nampaknya gadis ini masih memikirkan seluar jeansnya yang koyak. Bukan memikirkan luka di lututnya. “Nak melangkah nanti, taulah nasib kau,” bisik lelaki itu mula geram.

“Beginilah... di Beijing Mall nanti atau di Wang Fu Jing shopping Street, awak akan jumpa beratus jeans yang jauh lebih baik daripada jeans koyak awak ni. Sekarang saya nak besarkan lagi koyak ni. Tolong jangan bantah. Saya nak buat rawatan sementara, lepas tu kita cari klinik katdowntown okey?” Lelaki itu sedikit pun tidak menghiraukan mata Humaira yang terbuntang membantah ura-uranya itu.

Berlebih-lebih pula mamat ni. Sekarang berlagak doktor lah pulak, gerutu Humaira.Tiba-tiba terasa lucu pula.Dia menggigit bibirnya sambil mengangkat kening tersengih.

Dr.. Damyral menggelongsorkan beg kembaranya ke bawah. Dengan pantas mengeluarkan kotak first-aid.Sempat tersenyum bila melihat Humaira membuat mimik muka yang disukainya itu.

“Err... tu... tu Bioptron ke?” Humaira menyibuk hendak tahu, sewaktu lelaki itu menuangkan jenis cecair ke liang lukanya.”

Tergelak Dr.. Damyral mendengar nama ubat itu disebut.Dengan pantas dia membalut bahagian yang luka setelah menggunting sedikit lagi bahagian jeans yang koyak. Kagum pula Humaira menyaksikannya. Mukanya ikut berkerut menahan pedih.

“Bioptron tu untuk penyakit diabetis. Mana awak dengar?” sambil tekun membalut.

“Arwah Nek Ipah saya dulu selalu cuci lukanya dengan ubat tu. Wah... expertnya awak balut. Awak ni jururawat terlatih ke?”

Pertanyaan Humaira itu membuat lelaki itu tersengih-sengih. Tampak anak matanya mengilau lucu.

I’m a vet. Or rather, a veterinarian. Doktor haiwan,” beritahunya. “Maaflah terpaksa rawat awak macam yang saya lakukan pada haiwan-haiwan danpet yang selalu di hantar ke klinik saya.” Dia menyepetkan matanya memerhatikan Humaira dengan pancaran lucu di matanya.

Bulu kening Humaira bertaut. Dalam kepalanya membayangkan Dr.. Damyral sedang menjahit lutut seekor kuda yang terjelepuk pengsan sesudah dibius. Berkerut mukanya membalas pandangan doktor itu.

“Nasib baik awak tak terlompat-lompat macam kucing yang sering saya rawat tu. Atau kuda-kuda yang jadi regular patient saya tu,” ungkapnya lalu tergelak-gelak.

Dia kemudian membantu Humaira berdiri.

Pandai pula mentertawakan orang... bisik Humaira mencerlung pandangan pada lelaki yang sedang memapahnya melangkah itu.

Ketika hendak menapak barulah terasa oleh Humaira betapa seksanya setiap kali lututnya hendak digerakkan.Terdengar dia merintih menahan sakit.

AkhirnyaDr. Damyral mendukungnya di belakang sewaktu hendak menuruni tangga yang curam itu. Mula-mula dia berasa kekok dan malu sangat. Tetapi bila Dr.. Damyral melawak mengatakan dia sudah  biasa mendukung monyet di belakangnya, barulah Humaira berasa selesa bergayut di belakang lelaki itu.

Tapi kasihan juga. Satu cabaran sebenarnya, menuruni tangga curam itu dengan adanya‘penumpang’ di belakang.Kini ‘cerita semalam di Beijing’yang tidak pernah diperincinya dulu itu, mendadak menjadi sebuah memori syahdu yang perlu dikenang! Tiba-tiba dia berasa sayu. Lelaki itu sungguh ikhlas menolongnya dulu.

“Damyral... kenapa baru kini kurasa indahnya pertemuan kita dulu?” Dia mengeluh. Saat ini dia berasa kosong. Banyak sungguh perbezaan antara kau dengan mereka semua. Akuinya dalam sayu dan merindu.

Cengkaman pada kekisi jendela dikuatkan bila ingatan terhadap lelaki itu menjadi sangat dominan. Dia melempar pandangannya ke luar. Pada tembok pagar yang dibina mengikut rekabentuk Tembok Besar di Badailing itu. Dia mengeluh lagi. Tercari-cari lagi sisa kenangannya bersama Dr.. Damyral.

Kenapa hari ini dirasakannya kenangan itu terlalu indah? Kenapa tidak dulu?

“Apa yang asyik sangat tu?” Huwaida menepuk belakangnya membuat Humaira tersentak. Dia berpaling. Berkerenyut wajahnya. Memori bersama Dr. Damyral padam terus dijerkah suara Huwaida yang langsing.

Humaira menggigit bibir sambil menaikkan keningnya.

“Itu bukan tepuk.Tapi tumbuk. Aku ingat dah besar ni dapatlah aku pencen merasa penumbuk kau tu!” Humaira geram.

Huwaida tersengih. “Maaflah. Kau taulah tangan aku ni ringan aje. Itu sebab rumah ni aku sorang yang berkemas. Ringan penumbuk dan ringan tangan.” SempatHuwaida memasukkan sedikit kebaikannya untuk membela diri. Walaupun ringan tangan itu maksudnya cepat naik tangan.

Humaira mendengus. Kemudian dia kembali menghadap ke jendela. Pandangan dilempar ke luar. Serentak itu dia dikejutkan oleh sesuatu.

Pandangannya mengesan kelibat seorang wanita sedang berehat di bagan berpergola yang dibina di sudut landskap di bahagian tepi rumah itu. Beria-ia dia memerhati.Siapa? Siapa perempuan tu?

“Aku tengah perhati makcik tu.” Dia menoleh pada Huwaida kemudian berpaling semula untuk melihat wanita tadi dengan lebih jelas. Tapi kelibat wanita itu sudah tidak ada di situ. Hairan juga. Ke mana hilangnya? Belum sempat pun matanya berkelip kali kedua.

“Perempuan?” Huwaida menghampiri jendela hendak ikut meninjau. “Tepilah!” dengusnya menolak kasar Humaira ke tepi. Dahinya berkerut-kerut. Memang tidak ada sebatang tubuh pun di situ.

“Dah pergi agaknya,” balas Humaira membalas tanda-tanya di mata Huwaida. “Cepat pula hilangnya. Mungkin jiran yang hendak bertanya khabar.Kitakan baru di sini?” Dia membuat kesimpulan sendiri.

Namun hati nalurinya tetap berdetik. “Was-was jugak ek?” Dia mengangkat kening pada Huwaida.

Huwaida mendengus.

“Rumah ni bukannya antik sangat. Tak payahlah rosakkan otak dengan sangkaan yang bukan-bukan. Betullah tu, jiran sebelah sebenarnya yang muncul tadi. Tengok orang tak ada, dia blaah... okey?”

Humaira tergelak-gelak.

Huwaida memang penakut orangnya. Pantang dicuit dengan topik mengenai supernatural. Menggelabah habis. Harapkan badan saja besar tinggi.

“Lagipun, aku dah berkenan dengan rumah baru kita ni Aira. Cantik, ala kotej gitu. Tak sangka kita diberi tinggal percuma aje kat sini.” Huwaida menarik lengan Humaira mengajaknya ke ruang tamu yang masih bersepah.

Terdorong-dorong Humaira dijujut dengan kasar. Dia terpaksa berhati-hati bila melangkah itu. Banyak lagi barang bertaburan yang belum dikemaskan. Tiba-tiba dia membongkok cemas sambil mencapai sesuatu. “Patutlah dah lama aku tak jumpa. Kau rupanya! Sengaja sorok dalam bungkusan surat khabar kan?” Humaira memberang. Barang yang dikutipnya itu didakap ke dada. Hanya anak patung kecil dan jenis lama.

Huwaida mengekeh geli hati. “Anak patung zaman purbakala tu. Aku pun pelik, kebanyakan mainan kau banyak yang jahanam tapi benda sakti yang ini, masih nampak baru.Pandai kau jaga.Kok cantik pulak tu, murahan!” Dia masih mengekeh. “Dulu kau curi-curi bawa ke sekolah masa mama ugut nak bakar. Alih-alih aje mama dah tak kisah lagi, aku pun pelik.”

“Mainan aku habis jahanam tupun pasal perbuatan kau.Sampai ke tangan kau gerenti jahanam. Yang ini selamat, pasal kau tak suka.Jantan!” cemuh Humaira.

Huwaida mengikik lucu.

“Jantan-jantan pun, inilah chef yang mengenyangkan kau kat rumah ni.Kalautak, kebulur.”

“Eh, salah. Kalau tak masak, aku cukup dengan roti dan biskut aje.Kau rajin masak tu kerana kau sendiri rajin melapun,” balas Humaira sambil mencebik.

Huwaida tersengih-sengih.

“Aku pun pelik jugak Aida. Tiba-tiba aje mama dah tak kisah kalau aku letak anak patung ni kat katil.Kalau adapun, dia setakat jeling aje. Kenapalah benci sangat dengan anak patung kesayangan aku ni.” Humaira melawak sambil berdecit-decit dan menggeleng

By the way, siapa perempuan tadi ek?” Humaira yang tidak puas hati kembali pada ceritatentang perempuan tadi.

“Jangan tanya aku. Aku tak nampak sebatang tubuh pun kat situ tadi. Okey?” Suara Huwaida sudah mulai keras. Dia tidak lagi tersengih-sengih.

“Hmm..” Humaira akhirnya menguburkan saja isu itu. Dia duduk di sofa menghadap Huwaida.

“Aira, kau tak rasa pelik ke bila suami isteri yang tak kita kenal, suruh kita tinggal di sini? Macam tau-tau aje yang kita nak cabut dari rumah sewa kat KL tu.” Terhambur juga akhirnya teka-teki dalam kepalanya sejak ditawarkan tinggal di kotej itu.

Humaira sendiri akur tentang itu. Tetapi kerana semua berpunca daripada dia, terpaksalah dia diamkan saja apa yang turut dipertikai akalnya itu.

“Ayah yang bagitahu dia orang, kat mana kita menyewa dulu. Mungkin juga ayah dan mereka memang kenal.”

“Tapi mana ayah tau yang kita nak cabut dari rumah sewa kita tu dulu, kau tak terfikir ke?” Huwaida keliru.

“Argh... malaslah nak peningkan kepala.” Sebenarnya Humaira sudah lama ‘menangkap’keanehan itu.Tapi dia juga ada isu yang lebih kronik. Azril!

Pada Humaira, dapat lari daripada teman lelaki terbarunya itu sudah cukup melegakannya. Azril bukan saja mengucar-kacirkan kepalanya, tapi terlaluan obses terhadapnya. Kalau tak cabut, dia yang serabut!

Huwaida memuncungkan bibirnya. Tidak puas hati. Nalurinya tetap mahu merungkai.

“Panjang-panjangkan cerita buat apa? Kalau mereka ada hidden agenda, takkan ayah bagi mereka jumpa kita?” Humaira menenangkan.

“Susah jugak dapat ayah yang kepalanya tak serupa bapak orang lain ni! Ayah tu bukannya tau nak borak dengan kita. Bincang apa-apa ke!Tapi tak pulak kalau dengan Aifa. Tak aci betul! Nak tahu apa-apa cerita daripada ayah kandung sendiri pun susah!” kesal Humaira bila mengenangkan ayahnya yang tidak memiliki sikap terbuka. Yang menghairankan, ayah mereka itu mesra pula dengan saudara tiri mereka Huwaifa.

“Ayah tu, macam Aifa sorang aje anak dia,” rajuk Huwaida, melontarkan apa yang terbuku di dada. “Sebab tu Aifa sombong dengan aku.” Rajuknya melalut.

“Jangan nak tuduh sembarangan.Aifa tu bukan sombong,Tapi selain aku, siapa yang tahan dengan perangai kasar dan penumbuk maut kau tu!”

Kata-kata Humaira membuat Huwaida mencebik.

“Huh... Cerita pasal ayah aje, hilang terus stamina aku,” dengus Humaira, lalu bangkit menuju ke dapur.

Haus tekaknya bila isu ayahnya dibangkitkan.Sejak kecil hinggalah besar panjang, ayahnya tidak pernah mahu berbual mesra dengan mereka berdua. Apa kes?

Huwaida masih dengan muka tidak puas hatinya ketika matanya menyorot langkah Humaira.

Memang hubungan mereka berdua dengan si ayah tidak mesra. Lelaki itu seperti ais bila bersama mereka. Tapi mahu pula dia tersenyum jika saudara tirinya Aifa yang berceloteh dengannya. Tidak adil betul!

Di dapur, di sebalik mengambil minuman, Humaira menukar fikiran lalu menghampiri jendela.Dia menyelak tabir ke tepi.Dirayapkan matanya. Terdapat sebuah rumah separuh batu di belakang rumah yang mereka diami itu.Mungkin juga atas tanah pemilik yang sama.Kerana jelas tidak ada pagar yang dijadikan sempadan memisahkan kedua-duanya.Dia memerhatikan dengan perasaan tertarik. Sudah lama dia tidak menyaksikan sesuatu berbentuk ala-tradisi seperti itu.

Siapa tinggal di situ? Macam rumah tinggal aje. Sepi macam tak ada orang, detak hatinya.

“Opocot!” Dia menampar dadanya terkejut bila kelibat perempuanyang bersantai di bagan tadi, kini tiba-tiba saja menghadang pandangannya. Dengan jantung berdegup kencang dia menjauhkan diri dari jendela.Dia segera kembali ke ruang tamu.

Entah-entah perempuan tu,jiran yang tinggal di rumah belakang tu tak? Gilalah aku ni. Apasal aku lari pulak? Gelengnya terasa bodoh tiba-tiba..

Tapi munculnya mendadak saja macam manalah aku tak terlatah?Gerutunya lagi. Dia menggeleng bila Huwaida bertanyakan punca dia kelihatan secemas itu.

Terasa bersalah pada jiran tersebut, dia cepat-cepat berpatah semula ke dapur.Hajat hendak menegur. Puas dia terintai-intai namun kelibat tadi tidak lagi menampakkan diri.

“Ah... buang masa aje!” dengusnya bergerak laju menuju kedapur gas. Air dijerang untuk menyediakan kopi panas buat hidangan mereka berdua.

Previous: Chapter 4
Next: Chapter 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh