Home Novel Cinta A LOVE TO KILL
A LOVE TO KILL
Farhah Aiddin
27/7/2021 11:07:15
35,946
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 11

“Eh, maaf! Saya mengganggu ke?”

Panahan mata Haqqi tidak lekang dari tukul besi yang mungkin bakal menghentam si pemegangnya. Apa agaknya yang akan berlaku jika dia tidak datang ke sini? Huh! Cukup sekadar memikirkannya sudah buat dia ngeri!

Syifaa Qaireen mendengus. Atas bawah dia tenung Haqqi. Butakah lelaki ini untuk membezakan riak mukanya sama ada dia sedang terganggu atau gembira menyambut tetamu?  Sudah tentu kehadiran lelaki asing ini telah mengganggu gugat kemahuan seorang Syifaa Qaireen!

“Nak apa?” Syifaa Qaireen bertanya kasar. Tidak sabar rasanya menunggu insan itu keluar dari gudang ini supaya dia boleh teruskan apa yang tertangguh sebentar tadi.

“Ada orang beritahu saya peralatan menukang ada dalam gudang ni. Boleh saya ambil? Awak jaga gudang ni ke?” Haqqi melangkah mendekati Syifaa Qaireen. Matanya mencuri pandang peralatan yang tersusun rapi. Sesekali dia larikan anak mata ke arah figura yang masih berdiri kaku. Biarpun dalam hati sedang menjerit kegelisahan, dia cuba berlagak selamba. Yalah, mana tahu tukul besi itu bakal melayang ke wajah tampannya pula.

“Pak Mus bagi guna?” Pak Mus boleh tahan garang. Dia pantang orang usik peralatan di sini tanpa kebenaran. Gudang ini ibarat pejabat utamanya setelah mengambil alih tugas arwah Tok Ayah.

“Saya minta izin daripada dialah tadi.” Tipu Haqqi.

“Pelik.”

“Apa yang pelik?”

“Pak Mus tak suka orang usik gudang ni.”

“Habis awak, dia tak marah pulak?” Langkah kaki yang diorak Haqqi kian teragak-agak bilamana dia semakin hampir dengan gadis pucat itu berdiri. Musykil juga. Selamatkah dia keluar dari sini nanti? Atau dia akan hilang mana-mana anggota badan? Mata tajam milik gadis pucat ini agak menakutkan. Seperti ada peluru berpandu yang bakal mendaskan tembakan berskala besar!

“Sibuklah.” Malas Syifaa Qaireen mahu menyambung lagi perbualan mereka. Dia masuk ke sini pun disebabkan tindakan kurang waras Wildan.  Lalu bibir dijuih ke arah peralatan menukang “Situ.”

Mendengarkan itu, Haqqi terus melangkah dan memeriksa peralatan yang dia mahukan. Kepala sengaja diangguk-angguk tanda berpuas hati. Namun, dia tidak mahu sekadar berhenti di sini. Tiada apa lagi yang terkandung dalam hatinya melainkan; ‘Haqqi, she needs help.’

Kalau dia tinggalkan gadis ini sekarang mungkin satu dunia akan kecoh dengan penemuan mayat seorang gadis di dalam gudang milik Tengku Mahfuz dan Tengku Ruhi.

“Tukul. Hmm…” Dahi Haqqi berkerut sambil tangan membelek tukul. Kemudian dia kalihkan semula pandangan. Mata mereka kembali bersatu. Bibirnya mengukir senyum. “Tu… saya nak guna boleh?” jari telunjuk tepat menala pada tukul besi yang masih berada di tangan Syifaa Qaireen. Walhal dia tidak perlukan tukul besi bersaiz sebesar itu.

“Dah kenapa?” Syifaa Qaireen berkerut. “Banyak lagi kut tukul besi. Kau tinggal pilih aje.”

“Tapi saya nak yang awak pegang tu. Saiznya paling tepat untuk saya guna.”

“Besar ke kecil, tukul besi tetap tukul besi.”

“Ya, betul. Dia tak akan tiba-tiba jadi tukul kayu pulak.”

Terkebil-kebil mata Syifaa Qaireen menadah seloroh lelaki asing di hadapannya itu. Entah siapa gerangannya, dia tiada rasa mahu ambil tahu. Lantas tukul besi dihulur pada Haqqi. Banyak lagi tukul besi yang boleh dia pakai. Dia tidak perlu mengukur saiz seperti jejaka aneh ini untuk mengetuk tengkorak kepalanya.

“Ambillah.” Tukul besi bertukar tangan.

“Thanks.” Haqqi senyum. Mahu berlubang dinding mahligai itu kalau dia ketuk guna tukul sebesar ini. “Besar. Berat.Padu.”

Makin kecil anak mata Syifaa Qaireen. Apa yang cuba lelaki ini katakan? Nak jadi penyibuk atau membarakan api yang tengah malap?

“Kalau saya tak datang tadi, apa yang jadi agaknya?” Tambah Haqqi lagi. Sengaja dia beranikan diri beramah mesra.

“Kau ni siapa nak menyibuk tiba-tiba?” Pertanyaan dibalas dengan pertanyaan. Tajam betul jelingan yang dilontarkan.

“Saya yang tanya awak dulu, apa yang akan jadi kalau saya tak datang tadi?” Senyuman masih tidak lekang dari bibir Haqqi.

“Kau rasa?” Syifaa Qaireen terbatuk. Sakit tekak menyerang tiba-tiba. Tubuhnya kembali merasa dingin. Keterujaannya yang mahu menghentam kepala sendiri telah buat dia terlupa akan demamnya. Berat! Kepalanya kembali sakit seperti nak meletup.

“Bunuh diri?” Kening diangkat dua kali.

“Bukan urusan kau.” Syifaa Qaireen merengus kasar dalam gigil menahan sakit. “Siapa pun kau, aku tak kisah. Tolong keluar sekarang.”

“Kalau saya tak nak?”

Penumbuk dikepal. Masa masih panjang. Hari ini tak boleh, esokkan ada? Lagipun tenaganya terasa sangat lemah tidak berdaya. Seolah lantai yang sedang dipijak berombak-rombak. “Aku keluar.”

“Eh…” Hilang terus bicara Haqqi yang mahu beramah mesra. Tidak sangka gadis ini begitu dingin. Belum pernah ada gadis yang melepaskan peluang demi menatap wajah kacaknya ini. Rugi. Sungguh rugi!

Belum lagi masuk langkahan kelima, tubuh kurus Syifaa Qaireen rebah mencium bumi. Badannya menggeletar kesejukkan. Nafas rasa payah. Demamnya semakin tinggi. Dia perlukan tilam untuk baring dan tidur bagi menyahkan bahang kepanasan.

“Cik!” Habis dilepaskan semua peralatan yang berada di tangan. “Cik? Cik?” pipi kiri dan kanan Syifaa Qaireen ditampar lembut. Bahang kepanasan. Gadis ini demam dan menggigil kesejukan.

Pelik? Dah tahu demam kenapa tidak disalin pakaian basah?

“Haqqi, kau ambil barang ke kau menukang terus dalam gudang ni?” Teriak Eiyad di depan pintu masuk gudang. Dia yang baru menangkap situasi, kembali berteriak. “Weh bro! Kau buat apa dengan budak tu sampai dia pengsan?”

“Eid, dia demam ni. Panas gila!”

Segera Eiyad mengorak langkah mendekati Haqqi. Cermin mata hitam dilurutkan ke bawah. Dia jamah setiap inci tubuh yang terbaring kaku. Sesampai saja pada wajah Syifaa Qaireen, dahi berkerut. Kerutannya bertambah jelas tatkala Haqqi mencempung tubuh itu.

“Ini bukan ke cucu Nek Dian?” Mulut Eiyad mengomel. Dia kenal benar dengan gadis bernama Syifaa Qaireen meskipun mereka tidak pernah berkomunikasi. “Kau tinggalkan aje dia dekat sini.”

“Mana hati kau, Eid?” Haqqi geleng. Dia pantas menuju ke pintu kereta Eiyad. Belum sempat tangan kiri meraih pintu, Eiyad menutupnya kasar. “Eid, dia demam panas ni! Cuba kau rasa? Membahang!”

Eiyad menjulingkan mata. “Kalau budak ni yang sakit, sampai hembusan nafas terakhir dia pun aku tak akan benarkan dia sentuh kereta aku.”

“Astargfirullah! Kau ni dah kenapa Eid?”

“Dia ni jijik Haqqi! Jijik! Tak layak langsung sentuh kereta aku.”

Haqqi terkelu lidah. Wajah pucat itu dipandang sekilas. Entah kenapa dadanya seakan dicucuk jarum tajam menadah bicara lancang milik sepupunya sendiri. Dia tidak tahu kenapa tapi penghinaan itu amat menyakitkan deria pendengarannya.

“Kenapa ni?” Wildan muncul tiba-tiba. Dia yang mahu membuka kembali pintu gudang, terkejut melihat kemunculan kereta mewah dan pemiliknya. Dia pun sudah lupa bila kali terakhir kereta Eiyad ke sini.

“Syifaa, kan? Eh kenapa dengan dia?” Soal Wildan saat melihat anak buahnya dicempung lelaki asing.

“Bagus! Muncul pun kau.” Balas Eiyad dalam nada dingin. “Kau ambil budak ni bawa masuk rumah kau. Aku tak nak mencemarkan kereta aku dengan kejijikkan dia.”

“Tengku Eiyad Dini!” Tempelek Haqqi. Kesabarannya runtuh dek kelancangan melampau itu. Dia bukan orang yang baik. Ya, dia mengaku. Namun tidak pernah walau sekali dia menghina orang lain seteruk ini. Apa masalah Eiyad sebenarnya?

“Maaf, Engku.” Wildan yang memahami, cepat-cepat menarik tubuh anak buahnya itu. Dia kenal benar ahli keluarga diraja itu. Mereka tidak sukakan orang bertaraf rendah. Lagi-lagi Syifaa Qaireen. Tarafnya mungkin ditapak kasut mereka sahaja.

“Dia anak buah saya. Biar saya uruskan dia.” Sambungnya pabila Haqqi seakan menghalang dia menarik tubuh itu. Badan Syifaa Qaireen panas. Rasa terbakar. Sejak bila pulak Syifaa demam? Itu yang bermain di fikiran Wildan saat tangannya menyentuh kulit Syifaa Qaireen.

“Tak apa. Saya bawa masuk dalam.” Haqqi tetap degil mahu membantu.

Eiyad dengan spontan terus membantu Wildan menarik tubuh Syifaa Qaireen. Perilakunya yang kasar menjelaskan betapa dia tidak suka akan gadis malang itu.

Mahu tidak mahu, terpaksalah Haqqi mengalah dengan melepaskan tubuh kurus itu. Wajah yang pucat ditatap penuh simpati. Syifaa Qaireen kelihatan polos tanpa renungan tajam dan riak dingin.

Jantung Haqqi tidak mampu berdegup seperti biasa. Ada satu rasa yang tidak pernah dia rasa hadir tanpa diundang.

Previous: BAB 10
Next: BAB 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.