Home Novel Cinta A LOVE TO KILL
A LOVE TO KILL
Farhah Aiddin
27/7/2021 11:07:15
35,959
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 4

Sunyi. Sepi. Dingin. Kekok. Itulah gambaran situasi keluarga Haqqi sekarang. Degup jantung mereka begitu berdebar-debar menunggu ketibaan seseorang yang sudah lama tidak bersua muka. Pelbagai tanggapan dan persepsi yang menujah masuk ke dalam fikiran masing-masing.

Haqqi melangut memandang atas. Ukiran mewah dan mengagumkan membanjiri segenap inci ruang Istana Mahligai Nan Indah ini. Ia berwarna putih dan kuning keemasan. Cukup menggambarkan betapa berdaulatnya taraf penghuninya. Pemiliknya bukan calang-calang orang.

Setiap kali memikirkan semua ini, rasa tidak layak untuk berpijak ke dalam istana mahligai ini datang kembali. Hatinya dari mula lagi sudah menjerit tidak mahu ke sini. Dia sedar yang dirinya tidak setaraf dengan pemilik mahligai ini. Biarlah dia tunggu sahaja di hotel atau homestay yang berdekatan daripada dibelenggu rasa kekok.

Tapi apa boleh buat bila seluruh keluarganya turut merasakan hal yang sama. Dia akan rasa serba salah seandainya dia mengundurkan diri tatkala yang lain berusaha menghadap kekekokan ini. Biarlah. Sekejap sahaja. Papa dah janji mereka tak akan menginap di sini. Mereka datang hanya untuk menziarah ibukannya berkampung terus di sini.

Bosan menanti, Haqqi renggangkan pula tengkuk. Sudah sepuluh minit berlalu semenjak salah seorang pembantu atau dayang berlalu pergi untuk memanggil pemilik Istana Mahligai Nan Indah ini. Dia bersandar pada sofa empuk jenama tersohor yang dia pasti sangat tinggi nilai harganya. Dari mula lagi dia mahu bersandar tapi membayangkan betapa mahalnya harga sofa tersebut, dia bantutkan niatnya.

“Ulfa, Urwa, jangan usik!” Tegur Haqqi apabila adik-adiknya mahu mencuit perhiasan mewah yang berada di atas meja. Kalau terpecah atau terosak mana-mana hiasan tersebut, pasti habis pokai duit papa mereka. Hidup papa memang senang dengan kerjayanya sebagai arkitek di  Amsterdam dulu tapi tidaklah kaya mana. Sekadar senang sahaja.

Ulfa terus tarik muncungnya sedepa manakala Urwa tersengih serba salah. Dia masih ingat pesan papa dan mama mereka supaya duduk diam-diam dan jangan usik apa-apa ketika berada di dalam istana mahligai ini.

 “You, jom kita balik?I rasa I belum bersedia lagi nak jumpa mereka.” Ajakan mama yang tiba-tiba itu menyentakkan mereka sekeluarga. Riak wajahnya juga kelihatan gelisah. Duduknya sangat tidak selesa. Tingkahnya bagai cacing kepanasan.

Jika Haqqi rasa tidak layak berpijak di sini, mama mereka pula rasa belum bersedia. Apa yang dia tahu, perkahwinan papa dan mama tidak direstui keluarga kehormat ini kerana mereka berdua datang dari dunia yang sangat berbeza. Bagai langit dengan bumi. Suatu ketika dahulu sebelum mama berkahwin dengan papa, dia ibarat gadis yang hidupnya dimewahkan dengan emas dan permata. Segala apa yang dihajati, tinggal tunggu datang di depan mata. Pasti datang.Pasti dapat.

Papa pula cuma jejaka kampung yang berpendidikan tinggi. Memiliki kerjaya yang bukan calang-calang. Ada harta yang cukup untuk menampung hidup mereka sekeluarga. Seperti yang dia katakan, papanya senang tapi papa tetap orang biasa. Darahnya bukan darah keturunan kehormat. Apatah lagi bersusur-galurkan keturunan diraja.

Please jangan macam ni, Maria. Kita dah sampai sejauh ini. Lagipun you sendiri yang nak sangat balik sebelum terlambat. tak nak you menyesal aje.” Papa Haqqi, Al-Firasi sibuk menggenggam tangan mama yang kelihatan tidak tenteram dan gelisah. Dia berharap genggaman itu mampu menyalurkan kekuatan dan keberanian buat isterinya itu. Cukuplah mereka berdua lari menyembunyikan diri selama ini.

I tahu Firas tapi…macam mana kalau mereka masih nak you dan I berpisah lagi? I tak sanggup jauh dari you. Dan tak sanggup anak-anak kita kurang kasih sayang.” Tambah mama penuh emosi. Mengharapkan papa faham kegusaran yang menyelubungi jiwanya.

Haqqi terangguk-angguk memasang telinga. Drama ‘You and I Berpisah Tiada’ ini sudah bermain di telinga mereka adik-beradik semenjak menerima khabar mendukakan daripada keluarga mama lagi. Kira-kira dua minggu lepas.

Macam ini ke bila sudah terlalu cintakan seseorang? Sanggup belakangkan keluarga demi meraih cinta insan asing?

Dia bukan mengharapkan mama kembali ke pangkuan keluarganya dan tinggalkan papa. Sejujurnya dia sendiri pun tidak dapat bayangkan andai benar papa dan mamanya berpisah disebabkan tentangan keluarga kehormat ini. Hidup keluarga kecil mereka sudah cukup bahagia dan sempurna. Jikalau tiada mama, sudah pasti tiada lagi kesempurnaan dalam keluarga mereka.

“Maria…” Papa tergelak kecil mendengar omelan mama. “I ni dah nak masuk 5 siri. Tak akanlah drama pisah memisah ni I nak kena hadap lagi? You pun dah 4 siri. Ada ke lagi orang nak kahwin dengan you kalau you jadi janda?”

YouI belum masuk 4 siri lagi ya! Masih muda belia lagi. Kalau I petik jari, confirm ramai jejaka muda seumuran atau lebih muda dari I berlari berkejar-kejaran mahukan I!”

Papa tayang riak nakalnya. “Ya ke? Cuba petik jari sekarang, nak tengok berapa ramai jejaka muda seumuran you atau lebih muda dari you tu datang ke sini berebutkan you.”

“You!” Terus sahaja mama mencubit perut papa yang sudah terbahak-bahak melepaskan tawa. Papa memang begini. Suka sangat menyakat mama tidak kira masa. Mungkin sebab itu mama tidak menyesal meninggalkan keluarganya demi papa yang sekadar rakyat marhaen di mata keluarga mama. Papa seorang suami yang setia, penyayang dan penuh dengan jenakanya tersendiri. Mana mungkin wanita seperti mama yang dahagakan kasih sayang dan cinta seorang lelaki tidak cair dengan papa.

Haqqi, Ulfa dan Urwa yang menjadi penonton setia drama ‘You and I Berpisah Tiada’ turut melepaskan tawa masing-masing selepas mendengar seloroh papa yang tidak berlapik itu serta menyaksikan raut wajah tidak puas hati mama mereka.

“Ehem…ehem…”

Spontan gelak tawa mereka berlima terhenti apabila mendengar bunyi deheman. Deheman itu memberitahu mereka bahawa pemilik Istana Mahligai NanIndah ini telah pun tiba.

“Tengku Maria, Tengku Mahfuz sudah tiba untuk mencemar duli menghadap Tengku sekeluarga.” Ujar salah seorang pembantu atau dayang mahligai ini. Kepalanya hanya tunduk memandang lantai putih berkilauan. Apa yang dipandang Haqqi malas nak fikir kerana dia lebih gerun kala deria pendengarannya menangkap ayat ‘mencemar duli’ yang diujarkan sebentar tadi.

Fuh! Nak kena angkat sembah ke apa ni? Orang melayu angkat sembah guna tangankan? Tak payah tunduk macam orang Jepun? Sempat Haqqi mengomel dalam hati. Dia betul-betul rasa menyesal datang sini.

“Maria…” Kali ini suara lelaki yang lanjut usia pula berkumandang. Nadanya lembut penuh kerinduan.

Tengku Mahfuz menggerakkan kerusi roda automatik menggunakan alat kawalan yang berada di sebelah kanan kerusi rodanya itu. Wajahnya jelas menggambarkan yang usianya sudah lanjut. Pipinya cengkung dan tubuhnya kurus. Rambut juga telah putih keseluruhan.

Setiba sahaja berdekatan anak perempuannya itu, tangan tua Tengku Mahfuz mengoles lembut pipi kiri Tengku Maria. Wajah ini amat dirindui. Wajah yang suatu ketika dahulu cukup menceriakan keluarga mereka.

Dia dan isterinya, Tengku Ruhi terlalu menyayangi Tengku Maria. Apa sahaja yang Tengku Maria mahukan pasti akan ditunaikan dengan kadar segera.Tika itu, Tengku Maria seorang anak gadis yang manja dan lemah lembut. Namun siapa sangka, limpahan kasih sayang yang meluak-luak itu boleh ditinggalkan dan dilupakan begitu sahaja setelah Tengku Maria menemui cinta hatinya yang tidakdisenangi mereka berdua.

Dek rasa keangkuhannya tercabar, Tengku Mahfuz memberi pilihan tegas kepada Tengku Maria untuk memilih antara keluarga dengan kekasih hati. Anak gadisnya itu tegar meninggalkan mereka demi Al-Firasi. Hancur berkecai hati mereka menerimanya. Kesakitan itu dibalas dengan cara tidak sepatutnya. Mereka berdua menghalau satu-satunya anak gadis yang mereka punya. Bukan setakat mengharamkanya menjejakkan kaki di Istana Mahligai Nan Indah ini bahkan Tengku Maria langsung tidak dibenarkan menjejakkan kaki di bumi Malaysia.

Kejam! Hanya kerana dia terlalu malu dengan pilihan hati Tengku Maria, dia berubah menjadi seorang ayah yang sangat kejam. Baginya Al-Firasi sekadar rakyat marhaen yang langsung tidak setaraf dengan darah yang mengalir di dalam tubuh mereka. Jejaka kampung yang cuma berpendidikan tinggi. Itu sahaja.

“Maria, maafkan ayahanda.” Tangan Tengku Maria diraih pula. Dingin. “Ayahanda begitu kejam dengan kamu. Langsung tidak memberi kamu peluang kedua.”

Segera Tengku Maria menggelengkan kepalanya. Tangan ayahnya dicium penuh sayu. Air mata yang sedari awal mahu terkeluar sejak melihat wajah ayahnya yang semakin dimamah usia, mengalir deras. Dia mengemam bibir menahan sebak. Terlalu lama dia tidak pulang sehingga dia tidak menyangka wajah yang dahulunya tegas dan penuh karisma, sudah hilang ditelan waktu.

“Saya yang patut minta maaf. Saya anak derhaka.” Tengku Maria masih tidak mengangkat kepalanya dari tangan Tengku Mahfuz. Bibirnya mencium penuh hiba. “Saya minta maaf ayahanda. Terlalu banyak dosa saya pada ayahanda dan bonda. Tidak terampun dengan cuma melafazkan kalam maaf dari bibir ini. Ampunkan segala dosa saya, ayahanda.”

“Maria, ayahanda dan bonda sudah lama maafkan kamu. Kami yang bersalah. Kami bongkak dengan duniawi. Terlalu memandang tinggi terhadap status diri sehingga sanggup memperlekeh manusia lain yang tidak setaraf dengan kita.” Tengku Mahfuz menatap sayu wajah Al-Firasi, Haqqi, Ulfa dan Urwa yang sekadar diam membisu. Memberi laluan kepada pertemuan sang ayah dan anak. “Tapi sekarang di usia begini, ayahanda sedar, Allah ciptakan manusia semua sama disisiNya. Yang kaya tidak disanjung tinggi. Yang papa tidak dihina-dina. Semuanya sama sahaja kecuali amal kita denganNya.”

Tengku Maria terdiam mendengarnya. Sungguh dia tidak sangka yang ayahandanya sudah jauh berubah. Jikalau dulu, tidak pernah walau sekali dia mendengar kalimah Allah menutur di bibir itu. Yang keluar hanya keangkuhan, kesombongan dan rasa bangga terhadap apa yang dimilikinya. Tidak pernah walau sekali ayahandanya mengatakan rasa syukur ke atas pemberian Dia Yang Maha Esa.

“Pergilah naik ke kamar bonda, Maria. Dia teringin sangat menatap wajah anak gadis kesayangannya sebelum mata terkatuk rapat. Tiap detik hanya namamu yang dituturkannya.” Bahu Tengku Maria ditepuk lembut. Penuh kasih sayang dan kerinduan. “Tapi sebelum itu, boleh kamu perkenalkan gerangan mereka semua? Sudah sekian lama ayahanda teringin betul berjumpa mereka.”

Tengku Maria angguk dan senyum kelegaan. Tiada lagi drama pisah memisah yang keluar dari bibir itu. Benarlah. Jangan pernah menghukum masa lalu seseorang. Jikalau dulu dia mendongak ke langit, mungkin masa hadapan dialah hamba yang tidak lelah melepaskan sujud kepadaNya.

“Yang bertocang dua ini Puteri Urwa Alwiya, anak bongsu kami.” Tengku Maria memperkenalkan Urwa terlebih dahulu kerana duduk di sampingnya. “Yang berkaca mata tu pula, Puteri Ulfa Alfiya, kakak kembar Urwa.”

“Seiras betul raut wajah mereka dengan kamu sewaktu kecil dahulu.” Puji Tengku Mahfuz. Tidak lekang bibirnya mempamerkan senyuman buat cucu kembarnya itu.

“Itulah ayahanda. Perangai pun lebih kurang.” Sampuk Al-Firasi bagi menghiburkan suasana.

“You!” Tengku Maria buat muka. Al-Firasi sekadar jungkitkan sebelah kening. Ada sahaja gurauannya. Tidak kira masa dan siapa.

Tengku Mahfuz tergelak mendengarnya. “Pasti kamu pening kepala berdepan dengan Tengku Maria kuasa tiga?”

Al-Firasi ketawa. “Iya, setiap hari pasti ada-ada saja perangai mereka.”

“Ayahanda dapat bayangkan betapa bingitnya hidup kamu.” Makin besar pula tawa Tengku Mahfuz. Gurauannya disambut oleh mereka yang lain.

“Yang besar panjang ni siapa pula namanya?” Soal Tengku Mahfuz saat terpandang Haqqi yang turut ketawa menadah telinga. Wajah Haqqi benar-benar mencuri perhatiannya sejak mula lagi. Kacak dan menenangkan hati sesiapa sahaja yang melihatnya. Seolah Haqqi membawa aura positif di sekelilingnya.

“Oh, yang ini Haqqi Syauqi. Satu-satunya anak lelaki dalam keluarga kami.” Tambah Tengku Maria. Ceria benar dia memperkenalkan anak sulungnya itu. “Dia ni sebijik perangai papa dia, ayahanda. Suka sangat bergurau dengan adik-adik dia sampai pening kepala saya. End up, pasti salah seorang akan masam muka dan buat perangai tutup pintu kuat-kuat. Kesian pintu tu. Yang salah orang lain tapi dia juga yang jadi mangsanya.”

Eh mama ni! Habis dibuka semua pengkung aku! Haqqi hanya mampu membebel di dalam hati.

Sekali lagi gimik suasana ruang utama istana mahligai dengan gelak tawa mereka sekeluarga.

“Alhamdulillah. Ayahanda sangat bahagia lihat kamu bahagia, Maria.” Luah Tengku Mahfuz jujur. Matanya berair kegembiraan. Dia sangat bersyukur jodoh yang diaturkan Allah untuk puterinya itu benar-benar tulus menyayangi dan mencintainya. “Pergilah naik ke atas. Bawa bersama suami dan anak-anak kamu. Pasti bonda amat gembira melihat kamu hidup bahagia bersama orang-orang yang kamu sayangi sepenuh hati.”

Haqqi tersenyum mendengar kalimah yang keluar daripada bibir Tengku Mahfuz. Dulu, gambaran Tengku Mahfuz yang ada dalam fikirannya hanya menakutkan sahaja. Tapi tidak hari ini. Akhirnya, kerinduan mama bisa terubat.

Matanya menghantar pemergian mama, papa, dan adik-adiknya naik ke atas untuk bertemu Tengku Ruhi yang sedang kegerengan di dalam kamar beradunya.

“Kenapa kamu tak naik?” Tegur Tengku Mahfuz apabila Haqqi hanya duduk diam di atas sofa. Tidak berganjak.

“Err… tak apa. Saya tunggu di sini aje.” Tiada keperluan pun dia naik berjumpa Tengku Ruhi.

“Naiklah. Nenda pasti suka berjumpa dengan kamu.”

Haqqi garu belakang tengkuknya. Serba salah pula dibuatnya. Naik?Jumpa nenda yang gereng itu? Aduh…bila drama ni nak habis?

“Naiklah ke atas. Jumpa nenda.”

“Okey. Saya naik.” Akhirnya Haqqi terpaksa akur naik ke atas bersama mereka semua. Takut juga dinobatkan sebagai cucu derhaka. Yalah, baru sahaja beberapa minit mereka bersua muka tapi dia sudah berani melanggar titah raja yang kehormat ini.
Previous: BAB 3
Next: BAB 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.