“AKU dah beli cincin!” beritahu Arash yang tidak mahu merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan sahabat baiknya.
“Wow! Serius?” Haziq terlopong.
“Takkan aku main-main pulak?”
Lama Haziq merenung wajahnya. Nampaknya jejaka ini benar-benar mahu menyunting Miya. Walhal, selama ini dengan mana-mana perempuan pun dia tidak mahu dekat. Termasuklah uminya!
“Okey… apa kau nak buat selepas ni?” Sungguh, Haziq masih kurang percaya dengan apa yang Arash beritahu sebentar tadi.
“Bagi kat dialah. Kira bertunang terus!” Pantas Arash menjawab pertanyaan sahabatnya.
“Kau ni… kita ni orang Melayu, bukan mat salih!” tegur Haziq.
“Bertunang tu mudah aje sebenarnya. Kita aje yang suka merumitkan keadaan,” sangkal Arash pula.
“Betullah apa yang kau cakap tu. Tapi, kau nak menyunting anak dara orang. Kenalah tertib dan berjumpa keluarga dia dulu.”
“Yang rasmi nanti-nanti pun boleh. Yang penting aku tawan dia dulu.”
“Kalau nak tawan hati, bukan begitu caranya,” tutur Haziq sambil menggeleng.
Arash terus senyap, namun riak pada wajahnya menyatakan dia benar-benar mahu melakukan seperti yang telah dirancang.
“Sebenarnya sebab apa kau beria-ria sangat nakkan si Miya ni?”
“Nak kahwinlah. Bina rumah tangga dan keluarga sendiri. Takkan selamanya aku nak tinggal dengan papa aku, kan?” jelas Arash.
“Atau kau nak lari?” duga Haziq.
“Aku bukan nak lari, aku nak berdikari!” tekan Arash. Nada suaranya juga sudah berubah tegang.
“Tak payah nak berdalih dengan akulah! Bukan aku tak kenal kau.”
“No.Kau tak benar-benar kenal aku,” balas Arash kemudian menarik nafas panjang.Tiba-tiba terasa sesak di dada.
“Yalah, bila dah kahwin dan ada anak bini memang patut tinggal berasingan dengan keluarga pun,” ujar Haziq yang tidak mahu bertekak berkenaan isu itu. Perubahan pada wajah Arash jelas tidak suka dengan kenyataan yang dia sebut.
“Tahu pun kau!”
“Ni, bila pulak nak berubah jadi seorang yang ceria dan disukai ramai? Kalau serius memanjang, macam mana Miya nak tertawan?”
“Aku adalah caranya. Yang itu kau tak payah risau.”
“Pasal kau dan Miya ni, dah cakap dengan umi kau ke?” tanya Haziq.
“Apa hal aku nak cakap dengan umi pulak? Umi tak ada kena-mengena dengan urusan hidup aku. Tak layak!” tegas Arash, sedikit keras nada suaranya.
“Siapa pun umi tu, dia tetap isteri papa kau.Dah lebih tiga tahun kut, takkan kau tak boleh terima dia lagi? Aku yang jumpa dia sekali-sekala ni pun dah anggap dia macam umi aku sendiri,” nasihat Haziq agar sahabatnya itu boleh berubah.
Tiba-tiba dia teringatkan Puan Sharifah, isteri kedua Tuan Bakri yang dipanggil umi saja. Seorang yang lemah-lembut, penyayang dan mudah mesra dengan semua orang. Peliknya wanita sebaik umi tidak disukai Arash.
Ketika papanya bernikah lain, seminggu dia menghilang. Susah nak percaya anak yang mendapat didikan agama yang baik tidak pernah menyalam tangan uminya. Pandang pun sipi-sipi sahaja. Padahal dengan ahli keluarga yang lain, dia okey sahaja dan boleh bergurau senda.
“Maaf cakap, sampai bila-bila pun tiada siapa boleh gantikan tempat arwah mama aku.”
“Itu aku faham. Tapi janganlah menolak takdir. Dia hadir bukan semata-mata mengisi kekosongan diri papa kau saja. Sikap dan tindak-tanduk kau kadang-kadang membuat hatinya terguris.”
“Ah! Umi tu cuma sayangkan papa aku saja. Kononnya ada anak dengan bekas suami, tapi sampai sekarang tak pernah kenalkan kat aku. Aku pun tak pasti sama ada adik tiri tu wujud atau tidak,” balas Arash.
“Bukan anak umi tu, tinggal dengan bekas suami dia ke?” tanya Haziq pula. Begitulah maklumat yang dia pernah dengar daripada Haji Said, datuk Arash.
“Kau fikir sendiri la umi tu macam mana orangnya. Kalau dia bagus sangat, kenapa sejak kahwin dengan papa aku, anak sendiri pun tak pernah datang melawat dan bertanya khabar?”
“Tak baik kau cakap macam tu. Kita tak tahu pun cerita sebenarnya,” tutur Haziq.
“Entah-entah dia ada agenda lain berkahwin dengan papa aku. Nampak aje baik, tapi dalam hati tak semestinya suci murni,” tuduh Arash.
“Astaghfirullahalazim... jangan begitu Arash. Tanpa kau sedar, kau dah menfitnah isteri papa kau sendiri,” tegur Haziq dengan lembut dan berhemah.
Arash tidak membalas kata-kata Haziq. Sebaliknya melemparkan pandangan ke arah luar pejabat. Diakah yang tidak boleh menerima sebuah kehilangan, sampai menidakkan kewujudan uminya? Atau dia berasa amat terluka kerana tak dapat menerima hakikat yang papanya terlalu sayangkan isteri baharunya melebihi arwah mamanya?
“Maaflah kalau kau terasa. Aku cakap untuk kebaikan kau jugak. Tak elok benci-membenci ni. Penyakit yang ada pun susah nak sembuh, nanti mengundang penyakit lain,” sambung Haziq.
Arash masih tidak bersuara. Tidak mahu membalas mahupun membangkang kata-kata Haziq.
“Kesian, kan? Apabila kemasinan menyentuh rasa, hidangan yang dimasak dengan kasih sayang pun belum tentu dibalas sayang. Bertambah malang diri tidak dipandang apatah lagi dihargai. Takkanlah hati kau sebegitu teruk? Dia hanyalah orang tua yang menghitung hari-hari terakhirnya. Susah sangat ke nak ambil hati dia? Kalau kau berlakon pun dah terubat hati dia.”
“Tak habis lagi ceramah kau?” Tiba-tiba Arash berasa panas dengan kata-kata Haziq.
“Aku takkan berhenti nasihatkan kau. Sebelum aku blah, ni aku nak pesan. Apa pun tujuan kau, aku harap kau tak main-mainkan perasaan Miya. Lagi satu, kau nak tahu macam mana nak dapat pahala paling mudah? Tak payah buat apa-apa, cuma pandang wajah kedua orang tua kita,” ujar Haziq sebelum berlalu meninggalkan pejabat Arash.
Tiba-tiba Arash terasa matanya panas. Saat itu juga wajah papa, umi dan arwah mamanya muncul silih berganti!