Home Novel Cinta Akad Dua Hati
Akad Dua Hati
Zan Zarida
17/8/2018 08:15:11
153,633
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 9

USAI menunaikan solat zuhur, Arash termenung panjang di biliknya. Kadang-kadang dia sendiri tidak tahu apa sebenarnya yang diinginkan dalam hidup ini.

Kehilangan arwah mamanya sedikit sebanyak merubah dirinya. Tiada lagi keceriaan dalam hidupnya, malah hari-harinya terasa bosan dan kosong. Masanya banyak dihabiskan di pejabat. Tiada hiburan, tiada juga kehidupan bersosial dengan sahabat handai. Balik rumah cuma untuk berehat dan tidur sahaja.

Bukan dia tidak tahu uminya pasti menyediakan hidangan kegemarannya. Tapi akhirnya hanya papa yang menemani uminya setiap kali makan malam.

Dia sendiri tidak pasti sampai bila mahu menjarakkan diri dengan uminya.Padahal wanita itu tidak bersalah langsung. Cuma hatinya tidak boleh menerima apabila papanya terlalu mudah mencari pengganti. Kesetiaan mamanya bagai tiada harga di mata papanya.

Tiba-tiba wajah Puan Sharifah terbayang di ruang mata. Bukan dia tak cuba untuk jadi anak yang baik meskipun wanita itu hanyalah ibu tiri. Ya, istilah ibu tiri itulah yang membuat hatinya sakit!

Sejak dari awal lagi, dia tidak boleh menerima kehadiran Puan Sharifah menggantikan arwah mamanya. Baik macam mana pun layanannya, tidak pernah akan sama dengan arwah mamanya. Mujur dirinya tidak sampai bersikap kurang ajar pada wanita itu.

Jauh di sudut hati, dia tetap berasa kasihan padanya. Uminya tidak pernah jemu membuat sesuatu yang menyenangkan dirinya. Tapi hatinya tetap keras dan pura-pura tidak nampak segala kebaikannya. Entah sampai bila uminya akan bertahan dengan sikapnya.

“Arash, are you okay?” tegur Kak Jasmin apabila menyedari lelaki itu bagai berada dalam dunianya sendiri. Badan sahaja di pejabat, tetapi hati dan fikirannya menerawang jauh ke tempat lain.

“Nanti pagi Isnin suruh dia datang ke pejabat saya.” Arash yang tersedar terus memberikan arahan kepada Kak Jasmin.

“Siapa?”

Arash terkedu dan segera mengusap wajah. Rupa-rupanya tanpa sedar dia telah memberi arahan yang tidak sepatutnya kepada Kak Jasmin.

“Arash ada masalah ke? Tak payah nak segan cerita dengan Kak Min.”

“Tak ada apalah, saya cuma rasa penat sikit,” adunya.

Dia memang berasa serba tak kena apabila terkantoi di hadapan wanita itu. Mujur juga Kak Jasmin yang masuk ke biliknya. Andai staf lain, tak tahu di mana nak simpan rasa segannya.

“Jangan kerja kuat sangat. Kesihatan perlu dijaga,” nasihat Kak Jasmin.

Arash tersenyum. Kak Jasmin memang layak memegang jawatan pengurus sumber manusia di syarikat ini. Dirinya bukan sahaja pandai mengurus staf dan hal pejabat, juga bijak menangani emosi manusia yang berbagai ragam.

“Arash?” panggil Kak Jasmin apabila dia kembali berdiam diri.

“Tadi ada apa ya, Kak Min nak jumpa saya?”Arash bertanya perlahan.

“Tak apa sebenarnya. Kebetulan lalu sini dan ternampak Arash macam tak sihat aje.”

“Terima kasih Kak Min sebab selalu ambil berat pasal saya,” ucap Arash.

Seketika dia tunduk. Dalam diam cuba menahan rasa sebak yang tiba-tiba datang. Sejak dahulu lagi, dia banyak terhutang budi dengan wanita yang telah dianggap sebagai kakak sendiri itu. Kak Jasmin sering membantunya dalam banyak perkara termasuk hal kerja dan yang peribadi juga.

“Hal kecik aje, Arash. Tak payah berterima kasih. Hmm... Miya macam mana? Nak tahu jugak perkembangan hubungan korang.”

Spontan, Arash terus tertawa mendengar pertanyaan Kak Jasmin. Terasa terbang semua masalah yang melanda.Rasa sebak di dada turut hilang dalam sekelip mata.

“Gelak pulak! Ada berita gembira ke?” Kak Jasmin turut ceria dengan perubahan emosi lelaki itu.

“Pasal gadis tu, entahkan jadi, entahkan tidak,”balas Arash kemudian sambung tertawa.

“Takkanlah jejaka terhangat tak reti nak mengurat si Miya tu? Dia tu bukannya anak Sultan. Anak Tok Imam aje pun,” usik Kak Jasmin.

“Tak tahu bagaimana nak terangkan. Rasa macam dah tersilap cara dan tersalah langkah aje,” akui Arash pasal keterlanjurannya.

“Kalau nak bercinta, tak apa buat silap pada awalnya. Dari situ kita belajar. Lagi cepat kita memulakan langkah, lagi cepat kita belajar tentang perasaan perempuan ni. Setiap perempuan memang lain-lain hatinya.” Kak Jasmin memberi kata-kata semangat.

“Ya ke?”

“Yalah! Bila kita buat silap, baru tahu kat mana bodoh kita. So tak payah takut nak bercinta. Bila dah tahu, cepat-cepat buang bodoh kita tu dan terus rancang strategi merebut hati dia. Apa yang penting kawal kesilapan dan cepat-cepat betulkan diri.”

Arash tersenyum panjang. Nasihat Kak Jasmin memang agak melucukan dipendengarannya.

“Lagi satu, kena buat dia suka dan selesa dengan Arash dulu. Jangan terus pikat dan ajak kahwin pulak. Terkejut dia. Silap hari bulan, terus lari Miya tu.”

“Alamak!” Tiba-tiba perkataan itu yang terkeluar dari mulut Arash.

“Kenapa?” tanya Kak Jasmin.

“Tak ada apa-apa.” Cepat sahaja Arash menjawabnya.

“Fasa bercinta bukan indah saja. Fasa kena tolak paling sakit dan paling perit. Sebab tu kena buat perlahan-lahan,” nasihat Kak jasmin.

“Itu yang paling saya takut nak lalui,” akui Arash.

“Kena tolak dalam percintaan adalah biasa. Semua orang mengalaminya. Sebenarnya nak bercinta mudah saja. Ada keinginan, sesiapa pun boleh bercinta. Nak mempertahankan cinta itu yang susah. Ada duit pun belum tentu boleh berjaya. Ia tentang perasaan dan hati yang tak boleh dijual beli dengan duit,” terang KakJasmin.

“Nak dekat dengan dia pun susah, macam mana nak bercinta? Kak Min rasa ada persaingan tak?” tanya Arash setelah asyik mendengar banyak panduan dan kata nasihat sahaja.

“Macam yang pernah Kak Min cakap, dia bukan tunangan orang. Boyfriend pulak, rasanya banyak.”Sengaja Kak Jasmin berkata begitu.

“Alah, itu yang susah,” keluh Arash.

“Bercinta ini memang perlu bersaing dengan orang lain untuk memenangi hati seseorang. Tapi kalau Arash boleh berkolaborasi tanpa bersaing, itu lebih baik.”

“Macam mana tu?” Arash semakin bersemangat hendak tahu.

“Arash kena sediakan platform yang kukuh untuk korang membina cinta. Bercinta kena dua orang, bukan sorang-sorang. Arash dengan Miya kena berkolaborasi dalam semua hal,” nasihat Kak Jasmin lagi.

“Ada-ada ajelah Kak Min ni.”

“Tak percaya? Arash sendiri pernah cakap yang bercinta ni sama macam berbisnes, kan? So kena ada influencer marketing, kena melabur dulu baru untung datang mencurah-curah,”tekan Kak Jasmin.

Arash cuba menghadam bicara Kak Jasmin yang lebih berpengalaman dan lebih mengerti perasaan perempuan.

“Kalau nak mengurat pulak, kena konsisten. Tak boleh bersungguh-sungguhtapi sekali tu aje. Samalah macam tekan minyak kereta. Bila kita berhenti tekan pedal minyak, kereta pun tak ke mana. Berhenti mengurat, alamat tak ke manalah cinta Arash tu. Tak ada makna dan tak berkesan untuk gadis seperti Miya tu,”sambung Kak Jasmin lagi.

“Aduhai... banyak benda pulak saya kena buat.”

“Tak apa, Arash fokus pada persamaan dulu, bukan perbezaan. Kalau nak tahu,kenalah rapat dengan kawan baik dia. Kena selalu jadi spy dalam diam tanpa dia sedar. Strategi kena ada.”

“Rupanya payah jugak nak bercinta ni,” keluh Arash.

“Bercinta ni bukan terus berjaya. Kena bertukang selalu, perlu baiki dan betulkan diri Arash agar menepati cita rasa Miya. Kalau dia dah mula suka, kena perbaiki lagi penampilan sampai dia tak pandang jejaka lain. Ha, jambang tu kena trim selalu atau cukur terus biar nampak lebih muda,” cadang Kak Jasmin.

“Saya memang masih muda Kak Min! Baru tiga puluh tiga tahun.”

“Tahu... tapi nampak garang walau muka tu dah handsome.” Dalam memberi komen, Kak Jasmin tidak lupa memuji.

“Okey, saya akan muncul dengan penampilan yang baru,” janji Arash.

Good! Suka tengok Arash gembira dan ceria macam ni.”

“Saya memang nak hidup bahagia kak. Penat hidup sendiri-sendiri ni.”

“Sebenarnya bahagia tu bukan tentang apa yang kita miliki, tapi apa yang kita rasa. Bukan semua orang yang ada rumah besar tu bahagia. Cara dia senyum pun kita boleh agak. Macam Arashlah, tengok riak wajah pun akak dah boleh agak.”

“Wow, handalnya Kak Min!”

“Kalau orang tu bahagia dalam bercinta, gelak dia pun lain macam walau dalam poket kering kontang setiap hujung bulan. Tapi Arash lainlah, kan? Duit tu sampai tak tahu nak buat apa!”

“Hahaha...” Arash tertawa kerana berasa terlalu lucu ayat-ayat yang KakJasmin lontarkan.

“Dah, jangan ketawa banyak sangat. Bercinta ni bukan nak memenangi hati perempuan saja. Kalau boleh nak untung jiwa dan raga. Kalah dengan perempuan tupun tak apa, asal hati dia kita dapat.”

“Terima kasih Kak Min. Saya amat menghargai masa dan kata nasihat yang akak luangkan untuk saya,” ucap Arash.

“Sama-sama. Berdating dengan Miya nanti, jangan lupa kirim salam Kak Min,”balas Kak Min dengan senang hati.

Sekali lagi tawa Arash meledak.

 

 

 

 

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.