Home Novel Cinta Akad Dua Hati
Akad Dua Hati
Zan Zarida
17/8/2018 08:15:11
153,615
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 8

KENAPA termenung panjang tengah hari buta ni? Rindu kat orang tu ke?” Haziq yang baru balik dari mesyuarat main terjah sahaja Arash yang sedang berehat di pejabatnya.

“Orang apa?” Arash pura-pura bertanya tatkala menyedari siapa yang menegurnya. Mujur lelaki itu adalah kawan baik merangkap pengurus projek. Andai orang lain, dah lama kena sembur dan kena bungkus!

“Alah, buat-buat tak tahu pulak!” balas Haziq sambil mengambil tempat di sebelah kanan Arash.

“Kau ni, kalau sehari tak kenakan aku, tak sah!”

“Ni, kenapa kuih tu tak berusik? Bukan kuih tu kegemaran kau ke?” tegur Haziq.

“Memang aku suka tapi tak ada selera.” Arash menjawab malas.

“Okey, yang itu aku faham. Agak-agak yang tukang hidang tu menepati cita rasa kau tak?” Haziq sengaja mahu menduga.

“Tak ada soalan lain ke?” Arash cuba mengelak soalan daripada lelaki itu.

“Kalau aku masih solo, bulan depan jugak aku masuk meminang dia!” ujar Haziq sambil tersengih.

“Apasal tak hari ni aje kau pinang dia?” perli Arash pula. Dia juga mahu mengenakan lelaki itu.

“Hahaha... pandai pun buat lawak. Ingatkan asyik serius memanjang!”

“Sekali-sekala apa salahnya, kan?”

“Baguslah. Kau kena ceria selalu, biar jadi magnet untuk menarik si dia dekat pada kau.”

“Dah, jangan nak melalut!”

“Tolonglah jangan nak sembunyi-sembunyi dengan aku. Bukan aku tak tahu kau suka kat si Miya tu. Cantik dan  pandai ambil hati. Rasanya papa dan umi kau pun berkenan dengan dia,” sakat Haziq lagi.

“Oh! Macam mana kau boleh tahu, ya?” Arash pura-pura terkejut.

“Kita sama-sama lelaki, Arash. Apa yang terdetik di hati kau, bukan susah aku nak teka.”

Tempoh hari, bukan dia tak nampak lelaki itu leka memerhati seseorang di pantri. Ingatkan siapalah yang dia skodeng, rupanya gadis manis bernama Miya. Dia sendiri sudah beberapa kali berjumpa gadis itu di pejabat Tuan Bakri. Memang sesuailah kalau hendak dijadikan calon isteri, tetapi tentu sahaja bukan untuk dirinya.

“Amboi, dah berangan di pelaminan ke?” gurau Haziq lagi.

“Buat apa berangan di pelaminan? Baik singgahsana terus!” Tidak teragak-agak Arash membalas.

Haziq tertawa panjang.

Arash cuma tersenyum nipis. Adakah secara tak langsung dia telah beritahu apa yang terdetik dalam hatinya? Atau si Haziq ini memang dapat membaca fikirannya?

“Nak aku tolong tak?” pelawa Haziq dengan girang. Perkara yang baik memang perlu dibantu. Kalau mengharapkan si Arash ni saja, memang belum tentu boleh jalan.

Arash sekadar mengeluh sambil menyandarkan kepalanya.

Step pertama adalah berkawan. Semakin pandai kita berkawan, semakin mudah kita nak bercinta dengannya.”

Haziq terus memberikan tipnya walau Arash diam sahaja. Bukan dia tak faham reaksinya.Andai lelaki itu senyap, itu tandanya mahu tapi malu hendak mengaku. Kalah anak dara pingitan!

“Skil berkawan dan pandai berkawan-kawan ni bukan mudah. Lebih-lebih lagi kalau melibatkan perempuan.” Akhirnya Arash bersuara juga.

“Kalau nak, kau kena cubalah. Memang susah bagi orang yang suka hidup sorang-sorang ni,tapi sangat mudah untuk orang yang suka dan mahu hidupnya bahagia.”

“Kau bahagialah sekarang ni?”

“Kau ni tanya soalan atau perli aku?” Haziq sedikit terasa dengan pertanyaan Arash.

“Kau nak nasihat aku, tapi pada masa yang sama asyik bergaduh aje dengan bini kau tu.”

“Hish kau ni! Kau tak nampak ke yang kita orang bergurau mesra? Tang mana pulak bergaduhnya, kalau tiap-tiap tahun ada baby baru?” Pantas Haziq mempertahankan dirinya.

“Okeylah,aku dengar cakap kau.” Arash menahan tawanya, nanti ada pula yang kecil hati.

“Macam ni, ikan mahukan cacing maka berilah cacing itu kepadanya. Nanti kau akan dapat makan ikan masak tiga rasa kalau kau nak.”

“Ikan pulak dah…” keluh Arash.

“Kau ni tak reti atau pura-pura tak faham? Maksud aku, perempuan ni mahukan perhatian dan kasih sayang. Semakin kau mengambil berat, semakin tersentuh hatinya,” jelas Haziq.

“Ooo…macam tu.” Dalam hati Arash berasa sedikit terkilan. Dia telah tersilap cara ketika mahu memulakan langkah pertama mendekati Miya.

“Nak pikat perempuan ni bukan main redah aje. Kena perlahan-lahan.” Semakin banyak tip yang Haziq berikan kepada Arash.

“Perlahan-lahan? Kalau macam tu, tak payahlah kau nak bagi nasihat kat aku.”

“Habis tu, kau nak kahwin terus dengan dia ke?” Bulat mata Haziq memandang anak bosnya.

“Tak adalah sampai macam tu. Baru kenal aje pun,” tutur Arash perlahan.

Dia sengaja berlapik bicara, tidak mahu nampak dirinya gelojoh dalam isu itu. Padahal dah terlajak kata sampai gadis itu marahkan dirinya.

“Hari tu masa meeting berdua kat Seremban, takkan tak sempat bersembang dan berkenalan dengan dia?” galak Haziq bertanya.

“Pergi meeting, kan? Mana sempat nak bertanya macam-macam.” Arash beralasan.

“Kalau kau nak memulakan langkah, memang kena banyak bersabar dan menunggu. Mana-mana gadis pun takkan terus terima kau jadi bakal suami.”

“Kenapa tidak?” Tiba-tiba Arash berasa tercabar pula.

“Memang kau menepati segala kriteria yang semua gadis inginkan. Tapi kalau dengan si Miya tu, tak semudah yang dijangka.”

I don’t think so,” balas Arash dengan yakin. Bagi dirinya bukan sesuatu yang sukar untuk memikat mana-mana gadis. Cuma dia sahaja yang sengaja membantaskan diri sehingga dirinya benar-benar bersedia untuk berumah tangga. Cuma kes dia dengan Miya lain sedikit.

“Kau ingat menyunting anak dara orang sama macam memetik buah kat dusun ke?”

“Apa susahnya? Bercinta sama aje macam berbisnes.” Mudah sahaja Arash melontar kata.

“Susah kalau bercakap dengan orang macam kau ni! Cinta ni tentang perasaan dan hati, bukan pasal duit dan projek,” bangkang Haziq.

“Pada aku sama aje, tak banyak beza.”

“Bercinta dan berbisnes memerlukan ruang dan tempat masing-masing. Kau tak boleh campur-aduk kedua-duanya.”

“Apa maksud kau?”

“Dalam ofis, semuanya pasal bisnes dan kerja. Luar ofis baru bercinta. Kalau kau tak ikut peraturan, dua-dua nanti berisiko tak jalan!”

“Tak apa, aku akan buat dengan cara aku. Kalau tak jalan, baru aku mintak nasihat kau.”

“Terpulang, apa yang penting jangan sesekali mainkan perasaan dia. Aku memang pantang kalau ada yang sakitkan hati orang perempuan.”

“Kau ni saudara-mara dia sebelah mana? Takkan saudara bau-bau kuinin kut?”Arash ketawa.

“Tak kiralah bau-bau kuinin atau bau-bau bacang. Kita sebagai lelaki ni adalah pelindung pada kaum hawa. Adik orang lain, adik aku jugak!” tegas Haziq walau dia tahu Arash bukanlah kategori playboy.

“Adik ya? Okey, aku faham maksud kau.”

“Sebelum terlupa, ni satu tip berguna untuk kau...” Haziq berhenti seketika.

Arash panggung kepala, menanti bicara sahabat setianya.

“Kalau nakkan rama-rama, bukan beli jaring untuk menangkapnya.”

“Apa yang kau melalut ni? Tadi ikan, sekarang rama-rama pulak.” Arash boleh pening dengan tip-tip Haziq.

“Miya tu ibarat seekor rama-rama. Kau binalah satu taman yang penuh dengan pelbagai bunga-bungaan. Nanti dengan rela hati dia datang kat kau. Bukan dia aje yang kau akan dapat, malah hati, jiwa dan raga sekali kau akan dapat!”

“Huh! Rama-rama? Buat taman?” Arash mengulangi bicara Haziq sambil menggeleng.

“Esok aku bagi kau satu majalah ni. Dalamnya ada banyak tip pasal wanita.Nanti senang kau nak jalankan misi kau tu.”

“Majalah?” Terbeliak mata Arash mendengarnya.

“Bagus tip-tip yang ada kat dalam majalah tu. Kalau nak dekati dan pikat Miya, kau kenalah fikir lebih sikit. Harap maklum ya, hati tidak pandai dan tak boleh buat semua tu. Kau yang kena buat.”

Arash kelihatan tenang sahaja mendengar kata nasihat Haziq. “Hmm... nanti kau letak aje kat meja ni. Boleh jugak aku tengok-tengok.”

“Aku makan kuih ni ya? Asyik sangat berborak, sampai terlupa mengisi perut,” beritahu Haziq kemudian menjamah kuih yang terhidang.

“Makanlah, ada banyak lagi tu,” pelawa Arash.

“Okey...”

Tiba-tiba Arash perasan Haziq mengerut dahi. “Kenapa? Tak sedap ke?” soalnya.

“Sedap tapi kurang manis. Kalau orang yang biasa makan kiuh ni, dia akan kata tak sedaplah!”

Spontan Arash cuba merasa kuih itu. “Okey aje rasa dia,”komennya. Tanpa sedar, dia telah mengambil kuih yang kedua pula.

Haziq tersenyum. “Kau memang tak makan manis, kan?”

“Yup, tapi kenapa dia kata kuih ni sedap?”

“Siapa?” tanya Haziq kehairanan.

Arash pantas menggeleng. Mujur dia tersedar sebelum tersebut namanya.

“Hmm... teringat pulak kat umi kau tu. Dia apa khabar?” Tiba-tiba Haziq terkenangkan Puan Sharifah pula. Sebaya emaknya tetapi kelihatan lebih muda dari usianya.

“Yang kau nak tahu pasal umi aku tu, kenapa?” Terus merudum mood Arash.

“Lama tak jumpa, sihat ke dia?”

“Sihatlah agaknya, tak pernah pulak aku dengar dia ke hospital.” Acuh takacuh sahaja Arash menjawab. Nampak sangat dia tidak mahu berbicara tentang uminya.

“Arash, Arash... bila lagi kau nak berubah?”

“Aku tak perlu berubah untuk sesiapa. Yang kau nak menyibuk ni, apasal?”

“Tak adalah... aku cuma kesian dengan umi kau tu. Kau faham maksud aku,kan?”

Arash diam sahaja tanpa membalas apa-apa.

Sorry lah, aku tak ada niat pun nak campur urusan keluarga kau. Hidup ini tak lama mana pun. Suatu hari nanti,kita pun akan tua jugak. Perlukan perhatian, perlukan kasih sayang anak-anak...”

Aras mengetap bibir. Mahu bersuara meluahkan apa yang dirasa, namun terpaksa ditahan. Biarlah, orang lain tidak akan faham apa yang dia alami.Mereka cuma boleh berkata mengikut pandangan masing-masing.

“Okeylah, aku blah dulu. Kejap lagi nak keluar lawat site baru tu,” beritahu Haziq dan terus berlalu meninggalkan Arash termangu sendiri.

 

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.