STERENG kereta dipegang
kemas. Rifdi Riyadh cuba menumpukan perhatiannya terhadap pemanduannya. Tapi
sering kali itu juga, dia teringatkan kembali kata-kata mamanya. Berkali itu
jugalah, dia mengeluh berat. Sempat juga dia mengerling jam di tangan. Dia
sudah lewat untuk bertemu dengan mamanya. Sebenarnya, sengaja dia melewatkan
dirinya. Kalau boleh, dia mahu mengelak dari pertemuan itu tapi dia terlanjur
janji dengan mamanya.
Rifdi Riyadh mengeluh lagi sekali di dalam
keretanya. Dia sudah pun sampai ke Restoran Malay Cuisine seperti yang
dijanjikan itu. Tapi sengaja dia melengahkan sedikit masanya untuk masuk ke dalam.
Walaupun dia tak bersetuju dengan rancangan mamanya ini tapi sedikit sebanyak,
dia juga berdebar untuk dikenalkan dengan anak kawan mamanya itu.
Bagaimana kalau benar seperti apa yang dikatakan
abahnya? Macam mana kalau dia benar-benar jatuh hati dengan gadis itu nanti?
Hemm... kalau ya pun. Apa salahnya kan? Tak perlulah susah payah aku nak cari
calon nanti. Getus hatinya.
Walaupun hatinya masih berat, Rifdi Riyadh
melangkah masuk juga ke dalam restoran itu. Lagi pun, mamanya sudah
menghubunginya sebentar tadi bertanyakan kedudukan ketika itu. Sempat juga dia
memberitahunya yang gadis itu juga belum sampai lagi. Hanya keluarganya sahaja
yang sudah sampai. Itu pun, mamanya sendiri yang menjemput mereka di rumah.
Nampaknya, beria benar mamanya ingin dia berkenalan dengan gadis itu.
“Ops, sorry!”
pinta Rifdi Riyadh sebaik sahaja dia terlanggar bahu dengan seseorang. Lelaki
muda itu pun turut meminta maaf.
Kemudian, mereka berdua berpandangan seketika.
Agak lama juga pandangan mereka bertemu sebelum mereka saling tersenyum dan
melangkah dari situ. Lelaki itu juga melangkah dalam arah yang sama dengannya.
Rifdi Riyadh hanya diam sahaja. Mungkin mejanya berdekatan dengan meja
keluarganya.
“Assalamualaikum,” sapa Rifdi Riyadh sebaik sahaja
sampai ke meja keluarganya.
“Waalaikumussalam...” jawab mereka semua yang ada
di situ.
Rifdi Riyadh menyalami tangan abahnya dan mamanya.
Sempat juga, dia berjabat tangan dengan anak lelaki kawan mamanya itu. Lagi
sekali dia terdiam bila dia berjabat tangan dengan lelaki yang sama berlanggar
dengannya tadi. Sebenarnya, dia seperti pernah bertemu dengan lelaki itu tapi
dia sendiri tak pasti di mana. Mungkin hanya perasaannya sahaja.
“Hei, kenapa kau pandang abang tu macam tu?” tanya
Nufail berbisik perlahan sambil menyiku lengan Naufal.
“Entahlah. Aku rasa macam nak kenal dengan dia
tapi... tak pastilah pulak siapa,” balas Naufal sambil mengerutkan dahinya. Dia
juga cuba untuk mengingati wajah lelaki itu.
“Ni ke anak lelaki yang kau ceritakan dekat aku
hari tu?” tanya Puan Musliha.
“Ha’ah, nilah anak aku yang paling sulung. Kau
mesti ingat lagi kan?” tanya Puan Hayati menduga ingatan kawannya itu.
“Ha’ah, kau selalu bawa dia main dengan anak aku
dulu kan,” balas Puan Musliha. Sedikit sebanyak dia ingat juga kepada anak muda
itu. “Amboi, bukan main hensem lagi anak kau ni sekarang,” puji Puan Musliha
kemudiannya. Rifdi Riyadh hanya tersenyum mendengarkan pujian itu.
“Alah, anak-anak lelaki kau pun sama jugak.
Hensem-hensem duanya,” sahut Puan Hayati pula. Kemudian, mereka pun tertawa. Encik
Mukhriz juga turut tertawa sekali. “Hah, Rifdi! Ni lah kawan mama yang selalu
mama cerita tu. Musliha nama dia tapi mama panggil Leha saja. Yang tu pulak
anak-anak lelaki dia. Err...” Puan Hayati sebenarnya tak berapa ingat nama
kedua-dua anak lelaki kawannya itu.
“Naufal,” ujar Naufal memperkenalkan dirinya
sendiri.
“Nufail!” sahut Nufail pula. Puan Musliha
tersenyum melihat mereka berdua. Senang hati dia melihat adab kedua-dua anak
lelakinya itu.
“Rifdi,” Rifdi Riyadh pula memperkenalkan dirinya.
“Anak perempuan kawan mama ni belum sampai lagi.
Kejap lagi dia sampai agaknya,” ujar Puan Hayati lagi. “Anak kawan mama yang
mama nak kenalkan dengan Rifdi ni pun, anak sulung macam Rifdi jugaklah.
Kecil-kecil dulu, mama selalu bawa Rifdi ke rumah dia dekat kampung. Rifdi suka
betul main dengan Auni dulu. Kalau mama tak ajak Rifdi pergi rumah mak cik Leha
ni, mesti Rifdi yang akan ajak mama. Tiap-tiap hari jugaklah kita ke rumah dia,”
tambah Puan Hayati lagi.
Rifdi Riyadh hanya tersenyum mendengarkannya. Sebenarnya,
dia bukannya ingat sangat semua itu. Tapi, kalau mengikut cerita mamanya itu.
Kiranya, gadis yang akan diperkenalkan dengannya itu boleh jugalah dikatakan
teman sepermainannya ketika kecil dulu. Hemm... Auni ya? Sedap nama dia. Sempat
juga dia memujinya di dalam hati.
“Oh, kawan mama dari kampung nenek ya?” tanya
Rifdi Riyadh kemudiannya ingin memastikan.
“Ha’ah, kami kenal dari sekolah rendah lagi.
Sama-sama habiskan sekolah menengah dulu kan, Yati?” ujar Puan Hayati sambil
tersenyum.
“Ya, betul tu! Susah nak berenggang dulu,” sahut
Puan Musliha pula.
“Sebab tulah keluarga kita dulu rapat dengan
keluarga mereka,” sampuk Encik Mukhriz pula yang diam dari tadi. Rifdi Riyadh
hanya mengangguk sahaja mendengarkannya.
“Hah, tu pun anak mak cik dah sampai,” ujar Puan
Musliha bila dia melihat kelibat anak gadisnya melangkah ke meja mereka.
“Sorry mak! Lambat sikit. Sesak pulak jalan tadi,”
pinta Auni Liyana sambil menyalami tangan emaknya.
“Minta maaf ya mak cik, pak cik! Nana lambat
pulak,” pinta Auni Liyana kepada tetamunya pulak.
Ketika itulah, dia terus terdiam. Tubuhnya terasa
kaku sekali. Seakan-akan dia tak lagi bernafas. Darahnya juga seakan berhenti
mengalir. Jantungnya juga seperti tak lagi berdegup. Lelaki yang sedang
memandangnya juga tampak sama sepertinya. Masing-masing hanya diam seribu
bahasa.
“Abang,” panggil Puan Hayati berbisik kepada
suaminya. Encik Mukhriz pun memandang isterinya. “Tengok tu. Terus terdiam
Rifdi dibuatnya. Mesti dia dah berkenan kan dengan Auni tu,” tanya Puan Hayati.
Bibirnya terus menguntum senyuman manis.
“Hemm...” balas Encik Mukhriz. Tapi, pada
pandangan dia. Daripada nampak seperti berkenan, lebih kepada terkejut pulak
reaksi anaknya dan gadis itu.
“Hah, Auni. Kenapa berdiri saja. Duduklah,” pelawa
Puan Hayati. Ketika itu, barulah Auni Liyana tersedar dari lamunannya.
“Ahh... urmm... ya...” kata Auni Liyana perlahan.
Dengan perlahan-lahan jugalah dia menarik kerusinya. Dia duduk diam sahaja di
kerusinya.
Rifdi Riyadh ketika itu ringan sahaja duduknya
ingin bangun dari situ. Tapi mujurlah dia masih ingat yang mamanya turut ada di
situ. Dia tak mahu pula mengeruhkan keadaan ketika itu. Ketika itu jugalah, dia
kembali teringatkan lelaki muda yang bernama Naufal itu. Ya, dialah lelaki yang
sama menjemput gadis itu ketika majlis di hotel tempoh hari. Rupa-rupanya itu
adik lelaki dia.
Ketika itu jugalah, dia teringatkan kembali
rancangan mamanya dan juga janjinya. Auni?! Mama maksudkan... yang dia nak
kenalkan aku dengan perempuan ni?! Mama!!! Jerit hatinya.
Seribu satu penyesalan dirasakan ketika itu kerana
terlanjur janji dengan mamanya. Dia bukanlah seorang lelaki yang diajar untuk
mungkir janji tapi hanya untuk kali ini sahaja. Dia terpaksa mungkir janji
dengan mamanya. Mustahil sekali untuk dia jatuh hati dengan gadis itu. Jadi
rancangan mamanya hanyalah sia-sia. Dia juga tak mahu untuk keluar dengan gadis
itu di hujung minggu seperti yang dijanjikan. Ya, dia perlu selesaikan semuanya
dengan kadar segera. Dia perlu memberitahu mamanya keputusannya hari ini jugak.
Tak sabar untuk dia beredar dari situ.
“Jomlah, kita makan dulu! Lepas makan dah kenyang
nanti, bolehlah kita sambung bercerita pulak,” ajak Puan Hayati. Mereka semua
pun setuju dengannya. Rifdi Riyadh dan Auni Liyana juga terpaksa setuju
walaupun selera masing-masing seakan mati ketika itu. Dipaksakan juga tekak
mereka menelan nasi itu.
“Kenapa macam tak berselera saja, mak tengok kamu
makan Nana? Tak sihat lagi ke?” tanya Puan Musliha sedikit risau dengan tingkah
anaknya ketika itu.
“Kenapa Yati? Auni tak sihat ke?” tanya Puan
Hayati turut risau. Tak sempat untuk Auni Liyana berkata apa. Dia hanya diam
sahaja.
“Tak adalah. Tapi sebelum ni dia ada demam sampai
masuk ke hospital. Tu pun dia cuba rahsiakan dari aku tapi aku tahu jugak sebab
balik hari tu, demam dia masih teruk jugak. Tu yang aku risau tu. Manalah tahu,
kalau tak berapa sembuh lagi ke,” beritahu Puan Musliha.
Rifdi Riyadh terus tersedak mendengarkannya. Dia
kembali teringatkan hal di mana dia menolong gadis itu ketika dia pengsan di
parkir hari itu. Auni Liyana hanya tersenyum nipis melihat tingkah lelaki itu.
Dia dapat mengagak kenapa lelaki itu tersedak.
“Hah, kenapa pulak ni Rifdi? Sampai tersedak makan
nasi. Tulah, lain kali makan perlahan-lahan,” tegur Puan Musliha sambil
mengurut belakang anaknya itu. Rifdi Riyadh hanya diam sahaja mendengarkannya
sambil mengatakan tiada apa-apa.
Sempat juga dia mengerling memandang gadis itu
yang sedang tersenyum nipis. Rifdi Riyadh pun mengetapkan bibirnya dalam diam
geram dengan senyuman yang baginya bagaikan sindiran itu. Mereka yang lain
hanya melihat sahaja ulah kedua anak muda itu. Masing-masing dengan pelbagai
andaian sendiri ketika itu.
“Auni...” panggil Puan Hayati. Gadis itu pun
tersenyum sambil memandang kawan emaknya itu. “Ni mak cik nak kenalkan anak
laki sulung mak cik. Rifdi Riyadh namanya,” perkenal Puan Hayati.
“Urm... ya...” hanya itu terluah dari bicara Auni
Liyana.
“Hah, nilah gadis yang mama nak kenalkan dengan
Rifdi tu. Auni Liyana... sedap dan cantik kan nama dia. Macam tuannya jugak,”
sempat lagi Puan Hayati memuji gadis itu.
Rifdi Riyadh sekadar mencemuh di dalam hatinya.
Dia cuba berlagak tenang walaupun hatinya begitu memberontak sekali untuk
menghentikan rancangan mamanya ketika itu. Dia mengepal erat jari jemarinya
cuba mencari kekuatan.
“Mama...” panggil Rifdi Riyadh berbisik. Puan
Musliha pun memandang anak lelakinya itu. “Boleh tak kita... tak teruskan
rancangan mama tu?” pinta Rifdi Riyadh. Dia benar-benar berharap mamanya
bersetuju dengannya walaupun dia tahu betapa mustahilnya harapannya ketika itu.
“Isyy, apa yang kamu mengarut ni Rifdi! Kan kita
dah janji. Lagi pun, mama dan mak cik Leha ni pun dah sama-sama berjanji. Rifdi
jangan nak memandai-mandai pulak nak mungkir janji. Munafik namanya tu,” leter
Puan Hayati turut berbisik dengan anaknya itu. Sempat juga, dia menyelitkan
perihal hukum agama.
Rifdi Riyadh mengeluh perlahan mendengarkan
ketegasan mamanya. Dia tahu akan reaksi mamanya tapi tak salah kan mencuba?
Manalah tahu kalau mama dia bersetuju dengannya. Kemungkinan itu sentiasa ada
walaupun semustahil mana pun.
“Leha,” panggil Puan Hayati. Dia memberi isyarat
kepada kawannya itu untuk meneruskan agenda mereka. Puan Musliha pun tersenyum
memandangnya.
“Jadi... macam kita dah bersetuju sebelum ni. Nana
pun dah janji dengan mak. Rifdi pun dah janji dengan mak dia jugak,” ujar Puan
Musliha sambil memandang Puan Hayati. Kawannya itu tersenyum sambil
mengiyakannya. “Kami harap... yang Nana dan Rifdi sama-sama dapat beri peluang
dekat diri sendiri untuk saling berkenalan. Kami tak adalah memaksa. Cuma...
manalah tahu kalau hasrat kami ni akan termakbul,” tambah Puan Musliha lagi.
Auni Liyana hanya tersenyum nipis mendengarkannya.
Dia memandang Rifdi Riyadh yang sengaja mengelak dari memandangnya. Sebenarnya,
dia sedikit geli hati dengan ulah lelaki itu ketika itu. Rifdi Riyadh yang
dikenali sebagai seorang yang tegas dan berpendirian teguh juga degil mempunyai
bahagian yang lembut juga. Rupa-rupanya dia seorang anak yang taat dan
hormatkan mamanya. Kalau tak, tak mungkin dia sanggup untuk terus berada di
situ dan terus menghadap muka gadis yang dibencinya dari dulu.
Hehe... menarik pulak aku tengok dia diam macam ni
saja! Kalau tak, asal jumpa aku saja mesti ada saja yang tak kena. Tak pernah
lembut kata-kata dia dekat aku. Tapi aku tahu yang dia seorang yang baik dan
jujur. Sebab tulah, aku terpikat dengan dia. Dan sebab tu jugaklah... untuk
kali ni saja, biarlah aku tolong dia! Lagi pun, cukuplah selama ni dia bencikan
aku. Aku pun tak mahu tambahkan lagi kebencian tu. Putus hati kecil Auni
Liyana.
“Mak,” panggil Auni Liyana.
Puan Musliha yang leka berbual dengan kawannya itu
pun berkalih memandang anaknya. Anak gadisnya itu tersenyum memandangnya. Tapi
naluri ibunya mengatakan ada sesuatu yang serius ingin dikatakan anaknya. Auni
Liyana tak berkata apa. Sebaliknya dia menarik tangan emaknya dan menyalaminya.
Puan Musliha terdiam melihat ulahnya. Mereka yang lain juga turut terdiam.
“Nana minta maaf sangat dengan mak. Nana
betul-betul minta maaf mak,” pinta Auni Liyana bersungguh-sungguh.
“Kenapa ni Nana? Tiba-tiba saja serius macam ni?”
tanya Puan Musliha sedikit risau. Auni Liyana tak menjawab sebaliknya dia
berkalih pula memandang Puan Hayati dan Encik Mukhriz. Dia tersenyum manis
memandang mereka berdua.
“Mak cik... pak cik! Nana pun nak nak minta maaf
dengan mak cik dan pak cik. Dari hati, Nana minta maaf,” ujar Auni Liyana lagi.
“Rifdi,” panggil Auni Liyana seterusnya. Lelaki
itu hanya memandangnya sekilas. “Nana minta maaf...”
“Kenapa ni Auni? Minta maaf pulak?” tanya Puan
Hayati pulak. Dia juga turut berasa risau. Encik Mukhriz juga mengerutkan
dahinya. Adik-adiknya juga hanya diam menanti bicaranya. Rifdi Riyadh juga
terdiam. Entah apa yang ingin dikatakan gadis itu.
“Nana nak batalkan rancangan mak dan mak cik,”
ujar Auni Liyana berterus terang. Rifdi Riyadh terpana mendengarkannya. Terus
sahaja dia memandang gadis itu seperti kurang mempercayai apa yang
didengarinya. Gadis itu hanya tersenyum memandangnya. “Nana dan Rifdi tak mungkin
akan bersama macam apa yang mak dan mak cik dan pak cik jugak harapkan.
Mustahil antara kami. Jadi, Nana terpaksa mungkir janji Nana. Untuk kali ni
saja, mak. Nana betul-betul minta maaf,” sambung Auni Liyana seterusnya. Mereka
terus terdiam.
“Ta... tapi kenapa?” tanya Puan Hayati sedikit
kalut. “Mak cik tahu yang anak mak cik tak adalah sempurna sangat tapi...”
“Tak, mak cik! Tak ada sebarang masalah dengan
Rifdi. Cuma... Nana saja yang tak boleh terima. Sebab... Nana rasa Nana sangat tak
layak untuk anak mak cik ni. Dia lebih layak dapat perempuan yang lebih baik
dari Nana. Jadi, Nana minta maaf sekali lagi,” ujar Auni Liyana lagi memotong
kata-kata Puan Hayati. Lembut sahaja nadanya. Ada juga sedikit sayu. Dia sudah
nekad dengan keputusannya. Sempat dia tersenyum memandang Rifdi Riyadh sebelum
berkalih memandang emaknya di sebelah.
“Mak. Nana kena balik ke pejabat dulu. Mak nak
Nana hantarkan mak balik ke rumah ke?” tanya Auni Liyana kepada emaknya pula.
Puan Musliha masih lagi terkejut dengan keputusan
tiba-tiba anaknya itu. Baru semalam sahaja, dia sudah bersetuju dengan
rancangan itu walaupun jenuh untuk dia memujuk untuk gadis itu bersetuju
dengannya.
“Tak apalah Auni. Biar mak cik hantarkan mak Auni
balik nanti,” ujar Puan Hayati sebelum sempat Puan Musliha menjawabnya.
“Kalau macam tu, baiklah. Terima kasih ya mak
cik,” ujar Auni Liyana.
Selepas itu, dia pun menyalami emaknya dan juga
Puan Hayati. Sempat emaknya memandangnya dalam ketika dia menyalami tangannya.
Emaknya tidak berkata apa-apa tapi dia tahu yang emaknya mungkin kecewa dengan
keputusannya ini.
RIFDI RIYADH pun segera
meminta dirinya juga. Entah mengapa, dia rasa dia perlu mengejar gadis itu. Ada
perkara yang perlu diselesaikan. Seperti hal itu masih belum selesai lagi. Laju
sahaja dia mengayuh langkahnya mendahului gadis itu. Dia berhenti betul-betul
di hadapannya membuatkan gadis itu sedikit terkejut.
Auni Liyana hanya memandang lelaki di hadapannya
itu. Dia hanya diam sambil menanti bicara lelaki itu kerana dia rasa dia sudah
tak punyai apa-apa lagi untuk dikatakan. Tapi wajah lelaki itu tampak tak
keruan. Dia mundar-mandir sahaja di hadapannya untuk seketika. Gadis itu
tersenyum nipis melihat ulah lelaki itu.
“O... okay,” kata Rifdi Riyadh akhirnya. Mungkin
dia sudah menyusun bicaranya. Dia memandang tepat wajah gadis itu.
“Sesungguhnya... ya ALLAH ya Tuhanku... aku tak pernah pun berdoa walaupun
sekali untuk berjumpa balik dengan kau! Tapi aku sendiri pun faham. Kalau dah
takdir nak buat macam mana kan?” ujar Rifdi Riyadh seterusnya. Auni Liyana
masih lagi diam dan terus tersenyum.
“Lepas tu, jadi macam ni pulak! Mama aku nak
jodohkan aku dengan kau?! Perempuan yang paling aku benci?!” Rifdi Riyadh diam
seketika dalam pertanyaannya sendiri. “Aku tak fahamlah! Kenapa setiap perkara
penting dalam hidup aku... perlu ada kau?!” tingkah lelaki itu. Nadanya sedikit
meninggi.
Auni Liyana masih lagi diam. Dia seperti sedang
memikirkan sesuatu ketika itu. “Hemm... tengah-tengah marah pun, awak masih
ingat Tuhan ya? Alhamdulillah...” ujarnya sambil menadah tangannya. Terus
sahaja, lelaki itu memandangnya tajam.
“Aku seriuslah! Kau jangan nak buat lawak pulak!”
sergah Rifdi Riyadh.
“Lah, Nana pun serius jugak tapi... Nana tak
fahamlah. Kenapa Rifdi nak marah-marah macam ni?” tanya Auni Liyana.
“Se... sebab... sebab mama aku nak jodohkan aku
dengan kau. Dan aku memang bencikan kau. Dan...” Rifdi Riyadh tergagap mencari
bicaranya.
Auni Liyana menahannya dari terus berkata. “Rifdi
dah pun cakap tadi. Dah kali kedua dah ni pun,” celah gadis itu.
Rifdi Riyadh mendengus kasar. Gadis itu masih juga
mahu bergurau dengannya sedangkan fikirannya begitu berkecamuk ketika itu. Tapi
dia tak tahu bagaimana untuk menyatakan isi hatinya yang sebenar. Dia juga
keliru dengan apa yang ingin dikatakannya.
“Rifdi...” panggil Auni Liyana lembut. Lelaki ini
pun memandangnya. Lembut pandangan gadis itu membuatkan Rifdi Riyadh sedikit
terpana. “Apa yang Rifdi nak cakapkan sebenarnya?” tanya gadis itu. Dia tahu,
bukan itu yang ingin dikatakan lelaki itu. Pasti ada perkara lain yang
menganggunya.
Rifdi Riyadh diam seketika. “Kenapa Nana... tolak
Rifdi?” tanya lelaki itu. Perlahan sahaja nadanya tapi cukup jelas di
pendengaran gadis itu.
Auni Liyana terpempan mendengarkannya. Itulah kali
pertama lelaki itu bersuara lembut dengannya dan yang paling penting adalah
soalannya. Apa maksudnya dengan soalan itu?
“Eh? Apa maksud Rifdi? Bukan ke tu jugak yang
Rifdi nak?” tanya Auni Liyana tak mengerti dengan ulah lelaki itu.
Rifdi Riyadh tampak sedikit kalut. “Err... a...
aku... maksud aku! Sepatutnya aku yang reject
kau bukannya kau yang reject aku!”
kata lelaki itu kemudiannya.
“Oh... ni kira kes ego tercabarlah ni sebab Nana
yang reject Rifdi?” sengaja Auni
Liyana menduga. Gadis itu berani sekali berkata-kata sebegitu dengan lelaki
itu.
Lagi sekali, Rifdi Riyadh tak tahu untuk berkata
apa. Auni Liyana mengeluh perlahan melihatkannya. Entah mengapa, dia lebih
selesa bila lelaki itu bercakap kasar dengannya seperti selalu. Seakan itulah
keserasian antara mereka walaupun kasar. Melihatkan Rifdi Riyadh kelihatan
serba salah sebegitu membuatkan dia turut rasa bersalah.
“Maaf, Nana bergurau saja,” pinta Auni Liyana
memecahkan kesunyian antara mereka yang hanya beberapa saat itu. “Nana cakap
macam tu sebab... sekurang-kurangnya, walau apa pun jadi. Dorang semua akan
salahkan Nana. Nana tak kisah asalkan
mama Rifdi tak salahkan Rifdi dalam hal ni. Sebab tak sangka pulak Rifdi
seorang anak yang sangat taat dengan mak. Susah nak cari lelaki macam ni
sekarang. Jadi, tak perlulah Rifdi rasa bersalah dengan mama Rifdi pulak,”
sambung Auni Liyana. Dia tersenyum mengenangkan kembali keletah lelaki itu
dengan mamanya tadi.
Rifdi Riyadh memandang gadis itu. “Aku tak
perlukan simpati atau pertolongan dari kau! Aku boleh selesaikan sendiri hal ni
dengan mama aku. Jadi, jangan kau fikir yang kau dah berjasa dengan aku pulak,”
tingkahnya.
“Rifdi tak perlu anggap apa yang Nana buat ni jasa
untuk Rifdi. Apa pun yang Nana buat adalah untuk diri sendiri. Sebab... Nana
tak layak untuk berharap dan...” Auni Liyana terdiam seketika. Ada sendu di
nadanya. Dia cuba menenangkan dirinya. Tabah Nana! Jangan biarkan perasaan ni
kuasai diri kau! Tegah hati kecilnya. “ Boleh tak Rifdi jawab satu saja soalan
Nana ni. Rifdi memang bencikan Nana ke?” tanya gadis itu. Walaupun sudah tahu
akan jawapannya tapi dia ingin memastikan. Untuk kali ini, dia harus pastikan
dengan senyatanya.
“Kenapa tanya macam tu pulak? Kau sendiri pun memang
dah sedia maklum kan macam mana perasaan aku dekat kau. Kalau kau nak aku
katakan berulang kali pun, aku tak kisah,” balas Rifdi Riyadh. Agak dingin
nadanya ketika itu.
Kemudian, dia diam seketika sebelum meneruskan
kata-katanya. Dia memandang tepat wajah gadis itu yang sedang memandangnya.
“Aku...! Aku... benci... aku bencikan kau,” kata Rifdi Riyadh tapi nadanya
kedengaran rendah sahaja. Dia sendiri tak faham mengapa dia berlembut begitu
dengan gadis itu. Kenapa garangnya boleh hilang ketika itu?
Auni Liyana tersenyum mendengarkannya. Tiada apa
yang perlu dikejutkan. Dia sendiri juga sudah maklum akan hal itu. Cuma nadanya
yang lembut dan perlahan agak menghairankannya. Dia pun memandang lelaki itu
sambil tersenyum manis.
“Terima kasih Rifdi. Sekurang-kurangnya Rifdi
masih ada perasaan untuk Nana walaupun benci. Sekurang-kurangnya juga, Nana
tahu yang Nana akan sentiasa berada di hati Rifdi. Nana tahu yang benci Rifdi
tu untuk selamanya. Bila difikirkan balik. Nana bertuah sebab walaupun Rifdi
cuba nak lupakan Nana tapi Rifdi takkan boleh lupakan perasaan benci ni selagi
Rifdi tak boleh maafkan Nana. Rifdi akan terus mengingati Nana. Jadi terima
kasih untuk tu,” ujar Auni Liyana panjang lebar. Rifdi Riyadh hanya diam sahaja
mendengarkannya. “Dan... sila jangan berhenti membenci Nana,” pinta gadis itu
sebelum beredar dari situ.
Dia tahu dia tak dapat menahan perasaannya lagi
ketika itu. Dia mungkin akan menangis di depan lelaki itu jika dia terus
berlama di situ. Itulah yang paling mahu dielakkannya. Dia bukanlah setabah
yang disangkakannya. Sebenarnya, dia rapuh sekali bila berhadapan dengan lelaki
itu. Sangat rapuh.
Rifdi Riyadh terkesima. Dia benar-benar terdiam
mendengarkan kata-kata gadis itu. Hatinya bergetar hebat sekali
mendengarkannya. Dia melihat sahaja Auni Liyana berlalu dari situ. Dia juga
melangkah perlahan menuju ke keretanya. Pelbagai hal sedang bermain di
fikirannya ketika itu. Dia menghidupkan enjin kereta dan membiarkannya dahulu.
Dia masih belum ingin beredar dari situ. Pandangannya ketika itu tampak kusut
sekali.
“Kenapa aku tanya macam tu?” tanya Rifdi Riyadh
sendiri. Perlahan saja suaranya. Kenapa dia reject
aku? Dia teringat kembali soalannya tadi.
Bukankah sepatutnya aku gembira sebab rancangan
mama aku tak jadi sebab dia dah berterus terang macam tu? Jadi kenapa aku rasa
macam ni? Macam ada yang tak kena? Macam... arghh!!! Aku tak fahamlah! Kenapa
aku rasa berserabut sangat ni?! Jerit hati kecilnya.
“Tapi... kenapa dia cakap macam tu?” itulah yang
paling membebankan jiwa Rifdi Riyadh ketika itu.
Kata-kata akhir Auni Liyana tadi benar-benar
terkesan di hatinya. Seakan bencinya selama ini begitu melampau. Seakan dialah
insan yang paling hina kerana tak mampu memaafkan seorang gadis cuma di atas
kesilapan lampau. Tapi... benarkah gadis itu bersalah? Keraguan mula menjalari
hatinya di atas kisah lalu yang dia tak pasti akan kebenarannya lagi.
TANPA pengetahuan Rifdi
Riyadh atau Auni Liyana, keluarga mereka telah memerhatikan mereka berdua dari
mula lagi. Walaupun, mereka tak dapat menangkap dengan jelas butir bicara
mereka berdua tapi keluarga masing-masing dapat mengagak yang ada sesuatu yang
berlaku antara dua anak muda itu. Mungkin ada salah faham antara mereka.
“Ahh, Rifdi?! Abang Rifdi!” ujar Naufal tiba-tiba
membuatkan mereka semua berkalih memandangnya.
“Isyy, kamu ni Naufal! Terkejut mak dibuatnya,”
ujar Puan Musliha agak terkejut bila anak lelaki pertamannya itu tiba-tiba
sahaja bersuara. “Tapi kenapa pulak Naufal kata macam tu? Ada apa dengan Rifdi
tu?” tanya Puan Musliha ingin tahu.
“Taklah. Naufal sebenarnya dari mula tadi lagi
rasa macam pernah nampak dia tapi Naufal tak berapa pastilah pulak dekat mana.
Sekarang ni baru Naufal ingat. Siapa dia sebenarnya,” beritahu Naufal. Mereka
semua memandangnya.
“Apa maksud Naufal?” tanya Puan Hayati pula.
Naufal diam seketika. Tak pasti bagaimana untuk
menceritakan perihal yang sebenarnya kepada mereka semua. “Sebenarnya... kak
Nana dengan abang Rifdi memang dah saling mengenali pun,” beritahu Naufal
akhirnya.
“Yalah. Tengok gayanya pun memang macam tu lah,”
sampuk Encik Mukhriz memberikan pendapatnya. “Naufal tahukah macam mana mereka
kenal?” tanya Encik Mukhriz seterusnya.
Naufal mengeluh perlahan. Sebenarnya dia tak mahu
mengungkit hal itu kembali. Tapi dia sendiri juga hairan dengan reaksi kakaknya
sebentar tadi. Dia terang-terangan menolak lelaki itu. Sedangkan kalau mengikut
sejarah antara kakaknya dan Rifdi Riyadh, agak mustahil kakaknya untuk
berkelakuan sebegitu. Jadi, dia hanya mampu mengangguk perlahan menjawab
pertanyaan Encik Mukhriz tadi.
Kali ini, Puan Musliha dan Puan Hayati saling
berpandangan. Mereka berdua juga mahu mencungkil rahsia silam kedua anak muda
itu. Masing-masing mahu tahu apa sebenarnya yang terjadi.
“Tapi... kenapa pulak Naufal boleh tahu?” tanya
Puan Musliha pula. Dia sedikit hairan dengan perkara itu. Mungkinkah Auni
Liyana selalu menceritakan segala hal peribadinya kepada adik lelakinya itu?
“Kami bertiga pernah satu sekolah menengah yang
sama mak,” beritahu Naufal. Kemudian dia memandang adiknya. “Tapi masa tu
Nufail masih lagi di sekolah rendah. Jadi, mungkin dia tak tahu pasal hal ni.
Masa tu, Naufal pun baru masuk ke sekolah tu. Akak pulak dah tingkatan 4 dan
abang Rifdi pulak dah masuk tingkatan 6. Tapi kisah dorang bermula setahun
lebih awal sebelum Naufal masuk ke sekolah tu lagi,” ujar Naufal memulakan
ceritanya.
Selepas itu, mereka semua mendengarnya dengan
teliti sekali. Tapi Naufal bijak bercerita. Dia tak menceritakan semuanya.
Hanya sekadar, apa yang perlu mereka tahu saja dan yang sebetulnya dia tahu.
Sebab dia sendiri juga tak mengetahui keseluruhan kisah silam kakaknya itu. Dia
tak mahu pula menyampaikan khabar angin yang dia sendiri tak pasti akan
kebenarannya.