“RIFDI! Dengar tak apa
yang mama cakap ni?” tanya Puan Hayati memanggil anak lelakinya itu. Rifdi
Riyadh pun memandang mamanya sambil mengeluh.
“Rifdi dengar mama. Cuma... Rifdi tak setuju
dengan apa yang mama rancangkan ni,” terus terang Rifdi Riyadh menyatakan
pendapatnya.
Puan Hayati hanya tersenyum mendengarkannya. Dia
memang sudah menjangkakan penolakan anaknya itu tapi dia sudah merancang
semuanya. Jadi, dia mahu juga Rifdi Riyadh bersetuju dengannya kali ini.
“Memang mama dah tahu yang Rifdi takkan setuju
dengan cadangan mama ni,” ujar Puan Hayati.
“Dah tu, kenapa mama cadangkan jugak?” tanya Rifdi
Riyadh menduga.
“Sebab... Rifdi setuju ataupun tak! Mama tetap nak
Rifdi kenal jugak dengan anak kawan mama ni,” tegas Puan Hayati. Rifdi Riyadh
mengerutkan dahinya runsing dengan kedegilan mamanya itu.
“Abah! Cakaplah sesuatu,” pinta Rifdi Riyadh cuba
meraih pendapat abahnya pula.
“Rifdi... apa kata kalau kamu ikutkan saja kata
mama kamu kali ni?” cadang Encik Mukhriz.
“What? Are
you serious, abah?” cepat sahaja Rifdi Riyadh melatah dengan kata-kata
abahnya itu.
“Hemm, abah serius,” tegas Encik Mukhriz. Makin
berkerut dahi Rifdi Riyadh dibuatnya. “Cuma kenal saja pun. Bukannya suruh kamu
kahwin dengan anak kawan mama tu terus. Kalau tak sesuai, takkan mama kamu pun
nak paksa jugak. Manalah tahu, kalau kamu memang akan berkenan ke dengan budak
tu nanti” sambung Encik Mukhriz lagi. Rifdi Riyadh diam mendengarkannya.
“Betul tu Rifdi! Mama takkan paksa lagi kamu lepas
ni. Untuk kali ni saja, mama nak kamu jumpa dan cuba berkenalan dengan anak
kawan mama tu,” pinta Puan Hayati lagi. Rifdi Riyadh masih lagi diam. Pelbagai
hal sedang bermain di fikirannya ketika itu. “Mama janji... mama takkan paksa
Rifdi untuk bawa calon menantu jumpa mama dalam tahun ni kalau Rifdi tak
berkenan jugak dengan anak kawan mama ni,” janji Puan Hayati cuba memujuk anak
lelakinya itu. Rifdi Riyadh pantas menoleh memandang mamanya.
“Betul mama takkan paksa Rifdi?” tanya Rifdi
Riyadh menginginkan kepastian mutlak.
“Ya, betul! Tapi janganlah sampai tak bawa terus
calon menantu mama tu. Mama cuma bagi masa dan peluang untuk kamu cari
betul-betul,” ujar Puan Hayati. Rifdi Riyadh tersenyum lega mendengarkannya.
“Okaylah kalau macam tu. Tapi... Rifdi cuma akan
jumpa dan berkenalan dengan dia saja. Apa pun keputusan Rifdi lepas tu, mama
tak boleh nak paksa Rifdi lagi,” Rifdi Riyadh cuba membuat perjanjian dengan
mamanya.
“Ya, mama tahu,” akur Puan Hayati. Cukuplah tu.
Sekurang-kurangnya, Rifdi cuba juga memberi peluang untuk berkenalan dengan
gadis itu. Getusnya di dalam hati. Kemudian, dia memikirkan sesuatu. Dia
tersenyum memandang anaknya itu. “Tapi ada sesuatu yang mama nak tambah!”
“Apa dia?” tanya Rifdi Riyadh sambil mengerutkan
dahinya. Entah apa lagi yang mamanya ingin dia buat lagi.
“Rifdi kena setuju dengan satu saja syarat mama ni
kalau Rifdi nak mama ikut kata-kata Rifdi tu,” ujar Puan Hayati. Sengaja dia
menyimpan dulu syaratnya itu. Cuba memancing persetujuan dari anaknya itu.
“Jangan risau! Mama takkan cuba susahkan anak mama ni,” tambahnya lagi.
“Apa dia? Mama beritahulah dulu,” pinta Rifdi
Riyadh. Tak mungkin senang untuk dia bersetuju dengan apa sahaja yang mama dia
sedang rancangkan.
“No!
Rifdi kena setuju dulu,” tegas Puan Hayati.
“What?
Macam mana Rifdi nak bersetuju untuk sesuatu yang Rifdi tak tahu,” tingkah
Rifdi Riyadh. “Mana adil macam ni. Mama tak beri peluang untuk Rifdi buat
pilihan,” tambahnya lagi.
Puan Hayati hanya diam sahaja menanti persetujuan
dari anaknya itu. Dia juga tak mahu beralah kali ini. Rifdi Riyadh mengeluh
melihat reaksi bisu mamanya itu. Jika mamanya membisu sebegitu, itu bermakna
yang dia jugalah yang harus mengalah sebab mamanya takkan mengalah sama sekali.
“Fine, you
got it your way! It’s a deal, mama,” akur Rifdi Riyadh akhirnya bila
mamanya masih diam membisu sahaja.
“Hemm, kan senang setuju dari awal lagi,” kata
Puan Hayati sambil tersenyum puas hati.
“Well, you
don’t give me much choice,” balas Rifdi Riyadh sedikit merajuk. “Jadi, apa
dia syarat mama tu?” tanya dia ingin tahu kemudiannya.
Puan Hayati sengaja diam dulu. Dia bertukar
pandangan dengan suaminya. Encik Mukhriz hanya diam sahaja sambil mengangkat
kening. Kemudian, barulah dia kembali memandang Rifdi Riyadh. Dia pasti anaknya
akan melenting dengan syarat yang akan dikemukakan itu.
“Mama nak Rifdi keluar dengan dia selama 3 bulan.
Lepas tu, barulah Rifdi buat keputusan,” ujar Puan Hayati.
“What?!
Mama jangan nak mengarutlah. Kenapa pulak Rifdi kena keluar dengan anak kawan
mama tu yang Rifdi tak kenal pun selama 3 bulan pulak?” tingkah Rifdi Riyadh.
Mengarut sekali syarat mamanya itu pada pendapatnya.
“Well, first
sekali sebab... Rifdi dah setuju dengan syarat mama tu,” ujar Puan Hayati.
“Sebab mama yang paksa Rifdi!” celah Rifdi Riyadh
sedikit membentak. Puan Hayati hanya tersenyum mendengarkannya.
“Setuju tetap dah setuju. So, no argument!” tegas Puan Hayati. Rifdi Riyadh mengetap bibirnya
tak mampu membantah lagi. “Dan yang kedua pulak sebab mama nak Rifdi kenal
dengan dialah. Takkan jumpa sekali saja esok, boleh terus buat keputusan pulak?
Lagi pun, cuma tiga bulan saja,” sambungnya lagi.
“Okay! Rifdi faham. Tapi, kenapa sampai 3 bulan.
Sebulan pun cukuplah. Tak pun seminggu?” Rifdi Riyadh cuba membuat tawaran.
“Seminggu? Mana cukup nak kenal kalau seminggu
saja!” tingkah Puan Hayati. Ada-ada sahaja helah Rifdi Riyadh untuk mengelak.
“Lagi pun, dalam 3 bulan tu pun. Bukannya mama suruh kamu jumpa dengan dia
hari-hari pun. Mama tahu yang kamu pun sibuk dengan kerja. Dia pun sama jugak.
Bekerja jugak macam kamu. Kalau macam tu, kamu cuma boleh berjumpa hujung
minggu sajalah. Kamu dengan dia cuti hujung minggu. Tak kisahlah sama ada hari
Sabtu ataupun Ahad, kamu keluar dengan dia sehari pun, cukuplah. Kalau nak
keluar dua-dua hari pun, mama tak kisah. Lagi bagus! Jadi, kalau kamu keluar
dengan dia seminggu sekali. Dalam 3 bulan tu, cuma 12 belas kali saja kamu akan
jumpa dia. Bukannya kerap pun,” ujar Puan Hayati panjang lebar. Sempat juga dia
membuat kiraan matematik ringkas di dalam otaknya tadi mengira berapa kali
pertemuan anaknya dengan gadis itu nanti.
Rifdi Riyadh diam memikirkannya. Betul jugak kata
mamanya itu. Kalau seminggu sekali berjumpa, dia jugak tak ada masalah. Hemm,
nampaknya mamanya menang jugak kali ini. Getus hatinya. Kemudian, dia terdiam
seketika sambil meneliti kembali kata-kata mamanya tadi.
“Mama,” panggil Rifdi Riyadh. Puan Hayati pun
memandangnya. “Mama kata... esok?”
“Ya, mama nak kenalkan kamu berdua esok. Nanti,
kita semua makan tengah hari bersama. Dia datang sekali dengan keluarga dia.
Jumpa dekat restoran yang selalu kita pergi tu,” beritahu Puan Hayati. Rifdi
Riyadh kembali terdiam. “Ingat tu! Jangan Rifdi tak datang pulak. Kalau tak...
tahulah mama ajar nanti!” gertak Puan Hayati. Rifdi Riyadh terus diam.