Home Novel Cinta BILA HATI DAH SUKA
BILA HATI DAH SUKA
Cahaya Izzati
18/9/2013 19:02:30
121,734
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 3

PAPAN kekunci komputer ditekan laju. Pandangan Auni Liyana terus menatap skrin komputer itu. Mulutnya kekadang sedikit ikut bergerak membaca ayat-ayat yang ditulisnya. Untuk seketika, dia terleka dalam tugasannya itu. Akhirnya, dia berhenti menaip. Dia tersenyum nipis sambil membaca kembali perenggan terakhir yang ditaipnya cuba mencari jikalau ada sebarang kesalahan format atau ejaan.

“Hmphh.... siap pun,” kata Auni Liyana sendirian. Pantas dia menyimpan hasil kerjanya itu takut hilang pula. Tak lama untuk dia mengambil keputusan untuk mencetak sahaja laporan yang telah siap itu setelah dia benar-benar berpuas hati. Dia menunggu seketika sebelum semuanya siap di cetak.

Auni Liyana berasa sedikit dahaga. Dia mengerling jam di atas mejanya. Sudah hampir pukul 3.30 petang. Dia tak berlama di atas kerusi empuknya. Dia terus bangun ingin menuju ke arah ruangan rehat di pejabatnya. Sempat juga dia mengerling ke arah mesin pencetak sebelum melangkah keluar dari pejabatnya. Masih belum siap lagi cetakan laporan itu.

“Nana!”

Pantas Auni Liyana berkalih memandang suara yang memanggilnya. Tersenyum gadis itu memandang seorang wanita muda yang sedang berjalan ke arahnya.

“Kak Iklil! Ada apa panggil?” tanya Auni Liyana sopan.

Iklil Fairuz merupakan senior di tempat kerjanya sekarang. Wanita yang tua hanya tiga tahun daripadanya itu telah banyak memberikan tunjuk ajar ketika pertama kali dia menjejakkan kakinya ke sini. Kerjasama antara mereka juga sangat baik. Mereka berdua antara arkitek yang berjaya dan disegani di Berjaya Holdings Construction. Walaupun Auni Liyana baru beberapa tahun berkhidmat di situ tapi hasil kerjanya sangat bagus dan memberangsangkan. Pihak atasan benar-benar berpuas hati dengannya setakat ini.

“Tak ada apa-apa. Sajalah akak panggil. Kenapa? Tak boleh panggilkah?” soal Iklil Fairuz dalam nada bergurau. Auni Liyana tertawa kecil mendengarkannya.

“Tak adalah. Mana tahu kalau memang ada hal panggil Nana ni,” jawab Auni Liyana kemudiannya.

“Nana nak pergi mana ni?” tanya Iklil Fairuz lagi.

“Pantri kejap. Dahagalah,” ringkas jawapan Auni Liyana.

“Ooo... kalau macam tu, akak nak ikut sekalilah.”

Untuk seketika mereka berjalan beriringan menuju ke ruangan itu. Ketika itu, hanya ada seorang pekerja sahaja yang sedang berehat di situ. Auni Liyana tak menunggu lama sebelum mencapai sebungkus kopi segera dan dimasukkan ke dalam cawannya. Air panas di capai dan dituangkan. Aroma wangi kopi mula memenuhi ruangan yang agak kecil itu. Terasa segar sedikit walaupun belum diteguk.

“Akak tengok Nana asyik sibuk saja kebelakangan ni. Banyak sangatkah kerja yang Dato' bagi?” tanya Iklil Fairuz prihatin. Auni Liyana tak terus menjawab. Sebaliknya dia menghirup sedikit kopinya yang masih panas itu.

“Yakah? Nana rasa macam biasa saja,” balas Auni Liyana acuh tak acuh.

“Yalah tu macam biasa. Akak dengar Nana sekarang uruskan lima projek sekali gus. Banyak tu,” ujar Iklil Fairuz seterusnya.

‘Oh, pasal tu. Memang betullah tu tapi.... tiga daripada projek tu, Nana yang minta sendiri dari Dato'. Lagi pun, sekarang semuanya dah nak selesai dah pun. Cuma nak tunggu siap pembinaan saja. Tu pun, cuma tinggal lagi dua projek saja,” jelas Auni Liyana.

“Umm, macam tu ke tapi.... kenapa? Sebelum ni akak tengok Nana tak adalah ambil banyak sangat projek. Nana jenis yang suka siapkan satu projek dulu dengan betul sebelum ambil projek lain. Dah tu, projek yang Nana ambil sekarang ni semuanya yang besar-besar,” Iklil Fairuz terus menyoal. Dia masih belum berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan. Baginya, gadis muda itu seperti sengaja menyibukkan dirinya. Seakan ada sesuatu yang sedang dirahsiakannya tapi itu hanya telahannya sahaja. Mungkin kerana risaukan gadis itu.

“Saja nak cabar diri sendiri. Nak tengok sejauh mana Nana boleh pergi dan.... nak kumpul duit banyak-banyak jugak,” ujar Auni Liyana sambil tertawa kecil.

“Duit? Nak buat apa? Nak kahwinkah?” sengaja Iklil Fairuz bergurau.

“Ishh, akak ni. Ke situ pulak. Sajalah Nana nak kumpul duit banyak-banyak. Nana ada banyak benda nak buat.... dalam tahun ni,” jawab Nana sambil tertunduk memandang kopi di dalam cawannya.

“Lah.... dalam tahun ni? Kenapa?”

“Yup! Sebab tahun ni macam sedikit spesel pulak,” tingkah Auni Liyana sambil terus tersenyum.

“Betul bukan untuk kahwin?” sengaja Iklil Fairuz menduga. Auni Liyana sengaja memicingkan pandangannya memandang wajah seniornya itu. Iklil Fairuz tertawa kecil melihat reaksi gadis itu.

“Bukan! Memang bukan untuk kahwin. Lagi pun.... tak sesuai pulak Nana fikir fasal kahwin dalam masa ni,” ujar Auni Liyana perlahan. Kemudian, dia memandang Iklil Fairuz sebelum tertawa.

Iklil Fairuz mengerutkan dahi memandang gadis itu. Ada-ada sahaja keletahnya. Entah apa yang dimaksudkan gadis itu. Kekadang agak sukar untuk menelah apa yang bermain di fikiran Auni Liyana. Gadis itu lebih banyak menyimpan perihal peribadi dan perasaannya sendiri. Namun, cukuplah sekadar dia dapat memastikan yang Auni Liyana sentiasa gembira dan baik keadaannya.

TOMATO merah segar itu dipegang dan ditelek seketika sebelum dimasukkan ke dalam plastik. Auni Liyana pun mengambil beberapa biji lagi sebelum plastik itu pula diletakkan ke dalam troli. Kemudian, dia menolak pula troli itu menuju ke bahagian bahan mentah. Ada pelbagai jenis ikan yang masih segar ketika itu. Dia melihat-lihat seketika di bahagian itu.

“Opss sorry!” pantas Auni Liyana meminta maaf apabila tak sengaja, troli yang ditolaknya terlanggar seseorang. “Awak okay ke?” tanyanya kemudian. Risau pula sekiranya dia terlanggar dengan kuat.

“Ahh, tak ada apa-apa! Saya okay saja,” ujar lelaki itu sambil tersenyum. Auni Liyana terdiam memandang lelaki itu. Untuk seketika, dia hanya diam memandang.

“Umm, cik!” panggil lelaki berkemeja kemas itu. Auni Liyana tersentak dari lamunannya.

“Ya?”

“Kenapa pandang saya macam tu? Ada apa-apa ke dengan muka saya ni?” tanya lelaki itu sambil tertawa halus. Sedikit lucu pula melihat reaksi gadis di hadapannya itu.

“Tak! Tak ada apa-apa. Cuma tengok-tengok kalau awak terluka ke,” kelam-kabut Auni Liyana menjawabnya. Lelaki itu masih lagi tersenyum memandangnya.

“Saya okay saja,” balas lelaki itu sopan. Kemudian, dia menundukkan sedikit wajahnya sebagai isyarat dia ingin beredar. Auni Liyana hanya tersenyum nipis sambil memberi laluan. Dia masih lagi memandang kelibat belakang lelaki itu hinggalah hilang di sebalik rak-rak barang yang tersusun di dalam pasar raya besar itu.

Auni Liyana melangkah perlahan mendapatkan kembali trolinya. Pandangannya masih lagi kosong. Seketika, dia masih lagi terpandang-pandang ke belakang kiranya lelaki tadi masih ada namun hampa. Lelaki itu sudah hilang entah ke mana.

“Huhhh....” berat sedikit keluhannya. “Tak mungkin. Kenapa.... dia muncul kembali depan aku?” Auni Liyana bertanya sendiri. Dalam kecelaruan dan kekalutan perasaannya itu, terselit sedikit rasa gembira. Wajah itu terlalu lama dirinduinya. Wajah lelaki yang pernah bermain di fikirannya. Namanya yang juga pernah singgah di hatinya.

“Rifdi Riyadh....”

“APA hal tadi tu?” tanya Arman.

“Apa halnya?” Tanya Rifdi Riyadh kembali kurang pasti maksud pertanyaan kawannya itu.

“Alahai.... pasal perempuan yang langgar kau tadi tu lah. Aku tengok bukan main lama kau bersembang dengan dia. Kawan kaukah?” tanya Arman kembali menjelaskan soalannya.

“Oh.... perempuan tadi tu. Taklah! Aku tak kenal pun dengan dia,” beritahu Rifdi Riyadh. Kemudian, dia kembali memandang pilihan tuna di hadapannya. Dia membelek-belek tin-tin tuna yang bersusun kemas itu.

“Dah tu, kiranya kau sembang-sembang kosong sajalah dengan dia tu tadi?” tanya Syahmi pula kemudiannya.

Rifdi Riyadh diam seketika sambil mengingati kembali kejadian sebentar tadi. Kemudian, dia kembali memandang wajah kedua-dua kawannya itu. “Tak adalah sembang apa pun. Cuma....” ayatnya tergantung di situ.

“Cuma apa?!” serentak Arman dan Syahmi bertanya.

“Cuma.... dia tengok aku lain macam sikitlah. Lama pulak tu dia tengok aku. Sebab tulah aku lama sikit dekat situ tadi,” jelas Rifdi Riyadh.

“Ceh, tengok kau lama-lama konon! Apa yang nak ditengokkan dengan kau. Bukannya hensem mana pun,” tingkah Arman sambil ketawa. Syahmi pun ikut ketawa mendengarkannya. Rifdi Riyadh pula sekadar mencebikkan bibirnya.

“Alah, jeleslah tu dengan aku. Hensem apa aku dengan jambang sejemput aku ni,” balas Rifdi Riyadh turut bergurau sambil memegang jambangnya yang sedikit itu.

“Ha’ah, jambang orang malas nak cukur!” tempelak Syahmi kemudiannya. Dia tahu sangat akan keterampilan kawannya itu. Rifdi Riyadh bukanlah seorang lelaki yang suka menyimpan jambang. Dia lebih suka mukanya tampak bersih. Cuma bila dia sibuk dengan kerja sahaja, dia akan terlupa akan penampilannya. Sering sahaja, jambang akan meliar di wajahnya sebelum dia teringat untuk mencukurnya semula.

Rifdi Riyadh hanya tertawa mendengarkannya. Begitu juga Arman dan Syahmi. Masing-masing ketawa.

“Eh, tu kan awek yang kau langgar tadi?” tanya Arman sambil menyiku lengan Rifdi Riyadh. Pantas mereka semua berkalih memandang gadis yang sedang menolak troli menuju ke kaunter pembayaran itu. Gadis itu tersenyum manis memandang hadapan.

Rifdi Riyadh diam seketika memandang gadis itu. Dia mengekori langkah gadis itu sehingga hilang dari pandangannya. Kemudian, dia mengerutkan dahinya. Ada sesuatu pada gadis itu yang terlepas dari pandangannya mula tadi. Tapi, dia tak pasti apakah ia. Dia hanya diam sahaja sambil terus memikirkannya.

“Cun jugak awek tu! Manis saja aku tengok,” komen Syahmi kemudiannya. Rifdi Riyadh tersentak mendengar suara kawannya.

“Ha’ah, betul tu!” setuju Arman. Rifdi Riyadh masih lagi diam. “Kau ni apasal pulak? Tiba-tiba saja diam. Takkanlah.... cepat betul kau berkenan dengan awek tu,” sengaja Arman bergurau.

“Isyy, mana ada!” pantas Rifdi Riyadh menafikan. “Cuma.... rasa macam kenal pulak dengan awek tu,” ujarnya kemudian.

“Eh, tadi kau kata tak kenal?! Yang mana satu kau ni? Kenal ke tak?” tanya Syahmi pula.

“Tulah pasal! Rasa macam kenal tapi.... aku rasa tak kenal pulak. Tapi.... rasa memang macam pernah kenal!” Rifdi Riyadh keliru dalam ingatannya sendiri. Dia seperti pernah mengenali gadis itu tapi kurang pasti.

“Kejap kenal kejap tak kenal. Mana satu sebenarnya ni?” Arman ikut keliru dengan Rifdi Riyadh.

“Entahlah....”

“Mungkin kau pernah jumpa dia kat mana-mana agaknya. Sebab tulah kau rasa macam pernah kenal,” ujar Syahmi memberi pendapat. Rifdi Riyadh diam menimbangkan kemungkinan itu.

“Mungkinlah....” akur Rifdi Riyadh akhirnya. Puas dia memikirkan perihal gadis itu tapi masih tersekat juga ingatannya.

Tapi.... memang seperti dia pernah mengenali gadis itu. Bukan sekadar pertemuan biasa. Dia pasti akan perkara itu walaupun nama gadis itu masih kabur di ingatannya. Pandangan dan senyuman gadis itu mengingatkannya kepada seseorang yang penting. Yang dia tak harus lupakan. Seseorang yang begitu dekat dengan hatinya. Tapi siapa?! Rifdi Riyadh masih gagal mencari jawapannya. Dia mengeluh berat. Mungkin ini cuma mainan perasaannya sahaja ketika ini. Mungkin juga dia perlukan sedikit masa untuk kembali mengingati nama gadis itu.

Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Cahaya Izzati