SENANDUNG kecil bermain di
bibir Auni Liyana. Terleka sebentar dia ketika sedang menyiapkan sarapannya.
Hanya sandwich menjadi pilihannya pagi itu bersama secawan kopi panas.
Di hujung minggu itu, dia senang menghabiskan
masanya di rumah. Dia tiada sebarang perancangan di sebelah pagi itu. Mungkin
sebelah petang, baru dia akan keluar berjalan-jalan. Penampilannya ketika itu
juga ringkas sekali. Dia selesa berseluar sukan paras lutut dan t-shirt
berlengan pendek. Agak seksi penampilannya bila berada di rumah.
Ting! Tong! Loceng rumah berbunyi. Auni Liyana
terhenti membancuh kopinya. Sempat dia melihat jam di tangan. Baru pukul 10.30
pagi. Siapa pulak yang datang ke rumah? Orang jual barangkah? Auni Liyana
bertanya sendiri.
Namun, deringan loceng kali kedua pantas
membuatkan dia meninggalkan kerjanya di dapur. Sebelum keluar dari rumah,
sempat dia mengenakan apron yang sengaja dilabuhkan menutup bahagian hadapan
kakinya yang terdedah. Berhampiran dengan pintu pulak, terdapat rak menggantung
bag dan kot. Dia meletakkan sehelai selendang di situ. Selendang itu sahajalah
yang dicapainya untuk menutup kepalanya dan bahagian lengannya yang terdedah.
“Ya ALLAH, mak!” laju sahaja Auni Liyana melangkah
menuju ke pagar rumahnya. Terus sahaja dia membuka mangga dan pintu pagar itu.
Dia bersalaman erat dengan emaknya. Puan Musliha mencium peluk anak tunggal
perempuannya itu. Naufal dan Nufail hanya tersenyum melihat gelagat emak dan
kakak mereka itu. “Kenapa datang tak cakap dengan Nana?” tanya Auni Liyana
seterusnya.
Dia masih terkejut dengan kedatangan tiba-tiba
emaknya itu. Memang dia sendiri menjemputnya tapi tak sangka emaknya akan
datang sendiri. Cadangnya dia ingin menjemput emaknya di kampung bila emaknya
itu bersedia untuk datang ke sini. Kemudian, Naufal dan Nufail pun menyalami
kakaknya.
“Eh, mak ngah dan pak ngah pun ada.” Ketika itu,
barulah dia menyedari akan ibu dan ayah saudaranya itu. Dia pun bersalaman pula
dengan mereka berdua. Mak ngahnya juga seperti emaknya. Memeluk erat dan
mencium pipinya. Sayang benar ibu saudaranya itu kepadanya.
“Masuklah! Takkan nak berdiri dekat sini saja,”
jemput Auni Liyana sambil membuka pagar itu lebih luas.
“Tak apalah Nana. Kami pun datang ke sini ada hal.
Ni pun dah nak terlambat dah ni. Tak boleh lama-lama dekat sini. Nanti ada
masa, kami datang lagi,” ujar Mak Ngah Saimah. Pak Ngahnya turut menyokong
isterinya. Mereka tak boleh berlama di situ.
“Lah, masuk kejap minum-minum dulu pun tak
apalah,” ajak Auni Liyana lagi. Sayang pula jika datang dari jauh tapi tak
sempat menjengah masuk ke dalam rumah.
“Tak apa Nana. Memang kami nak cepat ni. Lain kali
sajalah,” ujar Pak Ngah Salim pula. Auni Liyana tak dapat menghalang lagi.
Nampak mustahak pula urusan mereka berdua di sini.
“Yalah. Kalau macam tu tak apalah,” akur Auni
Liyana akhirnya.
“Dah habis ke angkat barang masuk ke dalam?” tanya
Puan Musliha kepada kedua-dua anak lelakinya.
“Dah mak! Ni kotak yang akhir,” balas Nufail.
Setelah itu, Pak Ngah Salim pun menghidupkan kembali keretanya. Sebelum
berpisah, sempat mereka semua bersalaman sekali lagi. Setelah mereka berlalu,
barulah Puan Musliha dan anak-anaknya masuk ke rumah.
“Lah, kamu pakai apron rupanya Nana. Mak ingatkan
baju apalah tadi yang peliknya. Depan bukan main bertutup tapi terbelah pulak
dekat belakang,” ujar Puan Musliha bila Auni Liyana menanggalkan selendang dan
apron yang dipakainya tadi. Auni Liyana hanya tersenyum mendengarkannya.
“Amboi mak, banyaknya kotak! Kotak apa semua ni?”
tanya Auni Liyana kemudiannya. Di laluan ke ruang tamu, bersusun beberapa
kotak. Ada dalam 7 buah kotak yang agak besar saiznya. Dia pun membelek apa
yang ada dalam kotak itu. Kotak pertama yang dibukanya, terdapat gugusan buah
rambutan yang merah ranum. Kotak seterusnya pula berisi manggis. “Yang lain ni
pun, buah jugak ke mak?” tanyanya lagi.
“Ha’ah! Adik-adik kamulah yang kaitkan semalam nak
bawa ke sini,” beritahu Puan Musliha.
“Banyak sangat ni mak. Ni dah boleh buka kedai
jual buah dah ni,” sahut Auni Liyana sambil menggeleng-geleng. Bukan main lagi
emaknya membawa buah tangan dari kampung.
“Adik-adik kamulah ni. Katanya, nanti kalau bawa
sikit takut tak cukup pulak,” tingkah Puan Musliha. Semua itu kerja anak-anak
lelakinya. Merekalah yang mencari kotak-kotak itu di kedai runcit dan
memasukkan semua buah-buahan ke dalamnya. “Tak apalah Nana. Boleh bagi ke
jiran-jiran dan kawan-kawan Nana nanti,” cadang Puan Musliha seterusnya.
“Hmm, yalah mak!” Setelah itu, mereka berdua pun
menuju ke dapur di sebelah kanan.
Emaknya pulak sempat menjenguk-jenguk rumah itu.
Ada ruang tamu kecil berhadapan dengan dapur. Kalau terus ke depan pulak, ada
lagi sebuah ruang tamu yang besar. Ruang tamu yang besar itu ada pintu
gelongsor kaca di sebelah kirinya. Di sepanjang ruang tamu itu, mula dari
bahagian ruang tamu kecil ada koridor di luarnya. Ada kolam ikan kecil di
bahagian luar. Lantai rumah pulak tidak diletak marmar. Sebaliknya papan
berkualiti tinggi menjadi pilihan. Terpesona Puan Musliha melihat rumah itu.
Memang besar dan luas. Itu pun, dia masih belum menjenguk ke tingkat atas.
“Mak!!” nyaring suara Auni Liyana memanggil
emaknya. Puan Musliha yang sedang melihat kolam ikan di luar pun bergegas masuk
ke rumah. Dia menuju ke ruangan dapur.
“Kenapa Nana?” tanya Puan Musliha. Risau pula
terjadi apa-apa kepada anak perempuannya itu.
“Mak...! Tengok dorang ni. Dorang dah makan
sandwich yang Nana buat tadi,” adu Auni Liyana sambil menuding jari ke arah
kedua-dua adiknya. Mereka hanya tersenyum tak bersalah.
“Lah, dah namanya makanan. Kami pun makan
sajalah,” ujar Naufal sambil menjilat jarinya yang terkena sedikit mayonis.
“Ha’ah tapi akak.... tak cukuplah sandwich ni,”
sampuk Nufail pula. Auni Liyana bertambah geram mendengarkannya. Dia pantas
bercekak pinggang menghadap mereka berdua.
“Banyaklah korang punya tak cukup! Kalau nak, buat
sendiri. Ganti balik sandwich yang akak buat tadi,” marah Auni Liyana sambil
menudingkan jari ke arah sebungkus roti dan semangkuk tuna bergaul sayur.
Namun, Naufal dan Nufail hanya tersengih mendengarkannya. Mereka tahu, marah
Auni Liyana bukannya serius sangat pun.
Puan Musliha pula menggeleng-geleng kepala melihat
keletah ketiga-tiga anaknya itu. Ingatkan apalah tadi? Bergaduh pasal makan
rupanya. Dari dulu lagi, tak habis-habis bergaduh pasal makan. Getus hati Puan
Musliha. Namun, dia tersenyum senang melihat keriuhan itu. Sudah lama juga dia
tinggal bersendiri di rumah bila kesemua anak-anaknya sibuk dengan pelajaran
dan kerja. Kini, dia senang bila semuanya ada di depan matanya.
“Dahlah! Jangan nak bergaduh lagi. Ke tepi semua!
Biar mak yang buatkan. Nak makan pandai. Tapi kalau nak buatkan makan, bukan
main malas lagi semuanya,” leter Puan Musliha sambil menyinsing lengan bajunya.
“Eh, tak payahlah mak! Biar Nana saja yang buatkan,”
tegah Auni Liyana bila emaknya mula mencapai roti itu.
“Tak apa Nana. Biar mak yang buatkan. Bukannya
susah sangat pun. Nana pergi siapkan air kopi tu,” suruh Puan Musliha
seterusnya. Auni Liyana pun hanya akur dengan emaknya.
“Oh ya, mak! Apa urusan pak ngah dengan mak ngah?
Bukan main nak cepat lagi tadi,” tanya Auni Liyana ingin tahu.
“Oh, dorang tu nak pergi kenduri kahwin dekat
Cheras sana tu. Kenduri saudara jauh sebelah mak ngah kamu. Tu yang nak cepat
tu. Takut lambat nanti, tak sempat pulak sampai sebelum tengah hari,” beritahu
Puan Musliha serba sedikit. “Dorang ada ajak mak ikut sekali tapi mak tak nak.
Sebab mak dah tak sabar sangat nak jumpa Nana,” sambungnya lagi kemudian. Auni
Liyana tertawa kecil mendengarkannya.
“Jadi, sebab tulah mak tumpang pak ngah datang ke
sini ya?” tanya Auni Liyana lagi.
“Ha’ah! Dah alang-alang dorang nak datang tu,
sengajalah nak tumpangkan mak sekali. Boleh mak datang ke sini awal sikit,”
ujar Puan Musliha sambil terus menyapu tuna itu ke roti.
“Jadi.... kiranya mak akan tinggal dekat sinilah
ya? Temankan Nana?” Auni Liyana meminta kepastian.
“Insya ALLAH tapi mak tak tahu lama mana mak boleh
duduk dekat sini,” janji Puan Musliha.
“Tak apalah mak. selama mana yang boleh pun tak
apa,” akur Auni Liyana. Cukup sekiranya, dia sempat menghabiskan waktunya
bersama emaknya. Dia sudah mula merancang pelbagai rancangan sepanjang emaknya
berada di sini. Tak sabar pula untuk melaksanakan pelbagai rancangannya itu.
MAJALAH sekolah yang
terletak di rak di dalam bilik bacaan dicapai. Rifdi Riyadh membelek seketika
majalah itu. Tiba-tiba sahaja dia terasa ingin mengimbas kembali kenangan di
sekolah menengahnya dulu. Masih jelas lagi ingatannya terhadap kawan-kawannya.
Dia menyelak muka surat majalah itu terus ke ruangan terakhir iaitu ruangan
gambar kenangan pelajar. Selakan terhenti di laman foto tingkatan 3 Arif. Wajah
seorang gadis mencuri pandangannya. Senyuman tipis bermain di bibirnya.
“Feeza....” sebaris nama itu meniti perlahan di
bibir Rifdi Riyadh.
Ya, dia masih ingat lagi kenangannya bersama gadis
itu. Gadis yang pernah hadir sebagai seseorang yang istimewa dalam hatinya.
Namun, sekarang perasaan itu sudah hambar. Sekiranya bertemu kembali pun, dia
pasti dia sudah tak punyai perasaan yang sama seperti dulu. Kedewasaan
mengajarnya erti sebenar cinta.
Imbas kembali: Zaman
persekolahan
RIFDI RIYADH meninjau
kelas 3 Arif itu tapi tiada orang. Dia melihat pula buku nota di tangannya. Dia
bercadang untuk memulangkan kembali buku nota itu kepada tuannya. Dia juga
ingin untuk mengenali gadis empunya buku itu. Dia mengeluh perlahan bila masih
tiada sesiapa di situ. Mungkin semuanya berada di kantin untuk makan.
“Urm, abang cari siapa ya?” tegur seorang gadis
dari belakang. Sedikit terperanjat Rifdi Riyadh dengan teguran tiba-tiba itu.
Dia pun pantas berkalih. Seorang gadis sedang tersenyum memandangnya. Pandangan
awalnya mendapati gadis itu seorang yang cantik. Sempat juga dia membaca nama
gadis itu.
“Hafeeza....” sebut Rifdi Riyadh. Gadis itu
sedikit segan bila seniornya itu menyebut namanya. Sedikit merona merah
wajahnya. Rifdi Riyadh tersenyum melihatkannya. “Buku ni....” dia menunjukkan
buku nota itu. Tak pasti bagaimana untuk menyusun bicaranya. Agak kaku di
hadapan gadis itu.
“Ahh, buku tu!” Hafeeza sedikit terperanjat
melihat buku nota itu.
“Awak kenal ke pemilik buku ni?” tanya Rifdi
Riyadh ingin tahu. Sudah tak sabar untuk mengetahuinya.
Hafeeza diam seketika memandang lelaki itu.
Tampaknya dia berminat untuk bertemu dengan pemilik buku itu. Gadis itu pun
tersenyum kecil. Pandangannya asyik beralih antara buku itu dan wajah lelaki
itu. Rifdi Riyadh hanya memandangnya. Bila pandangan mereka bertaut sahaja,
pasti gadis itu lekas melarikan pandangannya.
“Abang ada baca ke apa yang tertulis dalam buku
tu?” tanya Hafeeza masih enggan berterus terang.
“Maaflah. Tak ada niat nak membaca tapi....
terleka pulak bila dah mula membaca. Sangat sedap sajak dalam buku ni,” jelas
Rifdi Riyadh. Sedikit serba salah pula bila dia membaca buku itu tanpa izin
tuannya.
“Yakah? Segannya....” agak perlahan nada suara
Hafeeza tapi cukup untuk Rifdi Riyadh menangkap butir bicaranya.
“Awak ke pemilik buku ni?” tanya Rifdi Riyadh
inginkan kepastian.
“Urm, tak! Sa... saya....” Hafeeza sedikit kelam
kabut. Tak pasti bagaimana untuk berterus terang. Akhirnya, perlahan-lahan dia
mengangguk. Rifdi Riyadh terdiam seketika. Tak sangka gadis itu pemilik buku
itu. Ya, kata-kata indah itu sudah pasti ditulis gadis secantik dan sesopan
seperti itu. Fikir Rifdi Riyadh.
Kemudian, dia menghulurkan buku itu kepada
Hafeeza. Perlahan-lahan gadis itu menyambut buku itu. Rifdi Riyadh tersenyum
memandangnya. Hafeeza membalas senyuman itu dengan perasaan sedikit segan.
“Terima kasih,” ucap Hafeeza lembut.
“Tak! Saya yang patut ucap terima kasih,” tingkah
Rifdi Riyadh. Hafeeza mengerutkan dahi memandang lelaki itu. Dia kurang pasti
akan maksudnya. “Sebab awak, saya berpeluang membaca ayat-ayat yang indah dalam
buku ni,” sambungnya kemudian. Hafeeza tersenyum malu mendengarkannya.
“Tapi.... saya harap abang tak beritahu dengan
sesiapa. Seganlah saya kalau ada orang yang tahu,” pinta Hafeeza.
Rifdi Riyadh diam memikirkannya sebentar. Mungkin
gadis itu lebih selesa merahsiakan bakatnya itu. Andai itu permintaannya, tentu
sahaja dia senang menunaikannya. “Baiklah! Saya janji saya tak beritahu
sesiapa,” janji Rifdi Riyadh. “Jagalah buku ni elok-elok. Nanti hilang pulak
lagi.” Sempat dia berpesan.
Rifdi Riyadh pun tak berlama di situ. Dia pun
meminta diri untuk kembali ke kelasnya memandangkan waktu rehat akan berakhir
sebentar lagi. Sambil berjalan, sempat dia menyeluk poket bajunya. Dia
mengeluarkan sekeping kertas berlipat empat. Dia membuka lipatan kertas itu.
Dia tersenyum memandang kertas itu. Sengaja dia mengoyakkan halaman yang
mempunyai potret wajahnya dari buku nota itu. Dia tahu, pemiliknya akan sedar
nanti tapi memang itulah yang dimahukannya. Dia sendiri telah menulis sesuatu
di dalam buku itu menggantikan halaman yang dikoyaknya itu.
“Hafeeza....” perlahan nama itu meniti di
bibirnya. Dia tersenyum sendiri. “Tak sangka! Sangat cantik pemiliknya,” ujar
Rifdi Riyadh sendirian. Dia ingin lebih mengenali gadis itu.