Home Novel Cinta Bahagia Itu Milik Kita
Bahagia Itu Milik Kita
Andayu
8/12/2021 18:08:57
31,139
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 12
Aryan menyedekahkan surah Al-Fatihah buat arwah isterinya. Usai menunaikan solat fardu Isyak dia bangkit dari tempat duduknya. Dia menghampiri puterinya yang sudah lena dibuai mimpi. Dia mengelus lembut pipi anak kecilnya itu. Dia mencium dahi Aryani. Kedengaran deruan nafas anak kecil itu. Dia tersenyum melihat anaknya semakin membesar. 

Kesihatannya juga sudah pulih sepenuhnya.Ibu bapa mertuanya sudah pulang ke kampung halaman beberapa hari yang lalu. Aryan masih lagi bercuti. Walaupun sudah seminggu sejak Aryani dimasukkan ke hospital. Dia tidak yakin meninggalkan Aryani dibawah penjagaan Cik Dah. Dia mahu memastikan kesihatan anaknya betul-betul sihat dahulu.

Kring! Kring! Kring!Telefon bimbitnya berbunyi. Aryan segera menjawab tanpa melihat pemanggil dihujung talian. 

“Assalamualaikum,”

“Waalaikumussalam.”Aryan membetulkan kedudukannya lalu melihat nama pemanggil tetapi tiada dalam simpanan kenalannya. “Siapa ni?”

“Saya, Aryana? Encik ada minta saya hubungi encik sebelum ini?”

“Aryana?”ujar Aryan seolah-olah pernah mendengar nama itu. 

“Ya, saya?”jawab Aryana. Dia terfikir lelaki itu memanggilnya.

“Sorry, saya tak berapa ingat. Ada apa yang boleh saya bantu?”

“Encik cakap saya boleh meminta ganti rugi akan kerosakan telefon saya. Tapi, saya dah tiga kali ke tempat kerja encik, tapi saya tak dapat berjumpa dengan encik?”

Aryan menepuk dahinya. Dia hampir terlupa tentang kemalangan tempoh hari yang menyebabkan telefon seorang gadis yang dilanggarnya telah rosak. Semuanya kerana Aryani. Dia hanya menumpukan perhatian kepada anaknya sehingga terlupa akan perkara itu.

“Maaf sangat Cik Aryana. Saya betul-betul terlupa.” 

“Ermm… Bila saya boleh jumpa Encik Aryan?”

“Saya masih lagi bercuti sekarang. Cik Aryana boleh datang ke hotel tempat saya bekerja minggu depan? Boleh?”

“InsyaAllah. Jika tiada apa-apa halangan, saya akan ke sana?”

Aryan menganggukkan kepalanya. “Okey, nanti bila dah sampai call aje saya.”

“Baiklah. Nanti saya akan hubungi Encik Aryan. terima kasih. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam,”jawab Aryan lalu mematikan talian.

Dia meletakkan telefon bimbitnya ke atas meja. Dia merebahkan badannya di sebelah Aryani. Anak kecil itu kelihatan masih lena. Dia pasti akan terjaga jika lapar. Kebiasaannya Aryani akan terjaga pada waktu pagi. Dia sudah menyediakan segala keperluan anaknya itu agar memudahkannya membuat kerja.

Aryana?Nama yang cukup indah dan hampir sama dengan nama dia dan juga anaknya. Dia mula teringatkan gelang tangan yang pernah ditemui tersangkut pada carry bag Aryani. Nama yang sama. Dia tidak pasti sama ada, pemanggil tadi adalah pemiliknya atau tidak. 

Aryan sudah melupakan peristiwa kemalangan tempoh hari. Jika Aryana tidak menghubunginya, dia pasti tidak ingat akan janji yang pernah dia lafazkan. Aryan mengiring sambil melihat anaknya. Dia menepuk paha Aryani dengan perlahan apabila melihat anaknya mula terjaga. Akhirnya, Aryan turut terlena di sisi anaknya.


ARYANA meletakkan telefon bimbitnya di atas katil setelah menghubungi Aryan. Dia bangkit dari tempat duduknya lalu membuka almari pakaian. Dia menyusun baju yang telah dilipat. Secara tidak sengaja dia tertepis sebuah beg kecil sehingga jatuh. 

Aryana segera mengambil beg itu lalu melabuhkan punggung di atas katil. Beg kecil itu adalah milik Aryan. Dia teringin untuk mengetahui apakah barang di dalam beg itu lalu membukanya. Kelihatan sebuah kotak yang agak besar dan seperti kotak barang kemas. Dia terkejut melihat satu set barang kemas yang begitu cantik. 

“Wow!!! Cantiknya,”ujar Aryana perlahan.

Matanya mula teralih pada kotak hadiah pemberian Danial. Lelaki itu datang menemuinya lagi petang tadi. Walaupun dia berusaha untuk mengelak dari bertemu dengan Danial, namun lelaki itu tetap mahu dia meluangkan sedikit masa dengannya.Dengan perlahan-lahan dia membuka kotak itu.

Aryana tersenyum melihatnya. Sehelai gaun indah berwarna hijau lembut. Danial mengetahui warna itu adalah warna kesukaannya. Dia mengeluarkan baju itu dari dalam kotak. Gaun yang sungguh indah. Rekaan yang cukup cantik dan kemas.  Tanpa membuang masa, Aryana terus mencuba pakaian itu. Dia berdiri di hadapan cermin sambil melihat dirinya berpakaian indah. 

“Dah macam pengantin pun ada,”omelnya. “Agak-agak aku nak pergi mana pakai baju ni?”fikirnya. Aryana ingin menanggalkan pakaian itu. Tiba-tiba pandangannya terarah pada satu set barang kemas yang cukup cantik. Dengan perasaan yang ghairah dia mencuba memakai set barang kemas itu. 

“Tak salah cuba kan?” Aryana mula berangan seolah-olah menjadi puteri raja apabila mengenakan pakaian yang cantik beserta perhiasan yang indah. 

Setiap wanita pasti akan jatuh hati apabila melihat barang perhiasan seperti ini. Walaupun dia bukanlah peminat barang kemas tetapi apabila melihat satu set perhiasan ini cukup membuat hatinya tertawan. Namun, dia tahu barang itu bukan miliknya. Akhirnya Aryana terlena dengan senyuman yang terukir diwajahnya.


DANIAL melihat foto arwah adiknya, Daiyan. Gambar itu diambil semasa mereka bercuti di luar Negara beberapa tahun yang lalu. Dia menyapu air mata yang mula menitis membasahi pipinya. Perasaan rindu mula menggit tangkai hatinya. Walaupun mereka sering berselisih faham, namun kasih sayang antara mereka tidak dapat dinafikan.

“Maafkan abang,”ujar Danial perlahan sambil melihat foto Daiyan. “Abang minta maaf sebab tak mampu tunaikan permintaan adik.” 

Danial menahan sebak di dada. Pertemuannya dengan Solehah menambahkan lagi luka di hatinya. Dia sudah kehilangan seorang adik tiga tahun yang lalu. Kini dia semakin terasa sedih kerana tidak mampu tunaikan permintaan terakhir adiknya. Dia masih teringat akan perbualannya dengan Solehah beberapa hari yang lalu. Walaupun pahit untuk ditelan, tetapi dia harus lepaskan gadis itu buat selamanya.

“Abang, ganggu ke?” Soal Danial apabila melihat Aryana memegang kunci motosikal seolah-olah mahu keluar.

Aryana menggelengkan kepala. “Ada hal apa abang datang?”

“Abang nak cakap sesuatu dengan Solehah,”ujar Danial. Dia masih lagi tidak mampu memanggil gadis itu dengan nama lain kerana sudah terbiasa memanggilnya dengan nama itu.

“Masuklah dulu,”pelawa Aryana.

“Takpelah, kita bercakap kat luar aje.”

“Okey, abang tunggu sekejap Arya buatkan air dahulu.”

“Eh, tak payahlah. Abang datang sekejap aje ni.”

“Abang nak cakap apa?”soal Aryana lalu melangkah menghampiri buaian yang terletak di halaman rumah.

Danial mengukir senyuman. Bagi wanita di luar sana pasti akan jatuh hati apabila melihat senyumannya. Namun, tidak bagi gadis yang bernama Aryana Solehah. Dia melabuhkan punggung di atas buaian di tepi Solehah.

“Selalu ke duduk sini?”soal Danial sambil memerhati pemandang di sekelilingnya. 

“Selalulah jugak,”balas Aryana. “Ermm… tadi abang nak cakap apa?”

Danial menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia sendiri tidak tahu bagaimana mahu memulakan perbualan mereka ketika ini. Dia hanya mampu berharap agar gadis itu menerimanya. Danial mengeluarkan sebuah kotak kecil berbentuk hati berwarna merah lalu meletakkan di tepi Aryana.

“Apa ni?”soal Aryana tidak memahami apa yang cuba lelaki itu ingin sampaikan.

“Abang nak jadikan Solehah sebagai suri dalam hidup abang,”ujar Danial dengan lemah dan perlahan. 

Aryana tersentak mendengarnya. Sudah tiga tahun berlalu, namun lelaki itu masih menaruh harapan untuk memperisterikannya. Aryana mengeluh berat. Dia tidak mungkin akan menerima lelaki itu sebagai suaminya. Wajah Danial dan Daiyan hampir sama. Mustahil baginya untuk melupakan arwah tunangnya apabila melihat wajah lelaki itu.

Aryana mengambil kotak itu lalu menyerahkan semula kepada Danial. Dia mengukirkan senyuman lalu menggelengkan kepalanya. “Maaf, tapi Arya tak boleh?"

Danial mengambil semula kotak itu. “Tapi kenapa?”

Aryana mengetap bibir. Dia cuba menahan dirinya daripada menangis. “Arya dah bagi tahu tiga tahun lepas. Takkan abang tak ingat?”

Danial menundukkan wajahnya. Dia masih teringat akan kata-kata gadis itu tiga tahun yang lalu, tetapi dia tetap berusaha untuk menunaikan permintaan arwah adiknya. Dia juga menaruh hati kepada gadis itu. Namun dia tahu Solehah adalah bakal adik iparnya, dia hanya mampu mememdam rasa. Kini dia yakin, gadis itu bukan milik sesiapa.

Aryana memeluk tubuhnya. Dia cuba mengawal emosinya saat ini. Dia tidak mahu Danial melihat dia menangis. “Abang, Arya dah lama move on,”ujarnya. Dia bangkit dari tempat duduknya. “Arya harap abang lupakan aje permintaan arwah,”sambungnya. “Arya tak mampu teruskan kehidupan dengan insan yang mempunyai wajah yang sama dengan arwah.”

Danial hanya mampu mendengar Solehah berbicara. Dia membuka kotak yang berisi cincin berlian yang dibelinya khas untuk Aryana Solehah. “Berilah abang peluang untuk bahagiakan Solehah,”jelas Danial lalu bangkit dari tempat duduknya. Dia mengenggam kemas kotak cincin itu cuba mengawal perasaannya.

Aryana menoleh ke arah Danial. Dia menatap wajah lelaki itu. Air mata mula bergenang di kelopak matanya. Pandangannya mula kabur saat itu. Wajah lelaki itu saling tak tumpah seperti arwah tunangnya. Dia tak mungkin menerima lelaki itu sebagai suaminya. Dia hanya akan fikirkan Danial adalah Daiyan. Di dalam hatinya hanya ada Daiyan dan bukannya Danial.

“Solehah?”Aryana memejam rapat matanya. “Please don’t call me like that again,”ujarnya perlahan. “Arya tak boleh terima abang,”ujarnya sambil menahan sebak. Air mata yang ditahan akhirnya tumpah jua. “Arya tak layak untuk abang.”

“Siapa cakap?”soal Danial sambil memegang bahu Aryana. 

Aryana menepis tangan Danial. Dia bimbang jika dia terpeluk lelaki itu kerana tidak dapat membendung rasa rindunya kepada arwah Daiyan. Dia memusingkan badannya ke arah lain. 

“Bagi Arya, abang berhak mendapatkan seseorang yang jauh lebih baik dari Arya.”

Danial berdiri di hadapan Aryana. Dia mahu melihat wajah gadis itu. “Solehah adalah insan yang terbaik buat abang. Bagi abang, takkan ada insan lain yang lebih layak dari Solehah.”

Aryana menyapu air mata yang mengalir membasahi pipinya. Dia memandang wajah Danial. “Abang tak faham perasaan Arya? Tolonglah jangan paksa Arya terima abang.”

“Tapi kenapa?”soal Danial. “Abang sayangkan Solehah.”

Aryana menggelengkan kepalanya. “Listen to me!” ucap Aryana lalu memegang pipi Danial agar memandang tepat ke wajahnya. “Abang nak saya hidup menderita di samping abang?”

“Tak…?”

Aryana meletakkan jari telunjuknya dibibir Danial. “Tolonglah fikir perasaan Arya,”ujarnya perlahan. Dia menarik nafas sebelum meneruskan kata-kata. “Wajah abang saling tak tumpah macam arwah. Perlu ke abang soal kenapa Arya tak mampu terima abang sebagai suami Arya?” 

Aryana mula menjarakkan dirinya daripada Danial. “Cubalah abang fikir?”

Danial terkedu mendengarnya. Dia tidak pernah terfikirkan akan soal itu. Dia hanya mahu memiliki gadis yang berada di hadapannya saat ini. “Maksud Solehah?”

“Abang nak Arya hidup dalam bayang-bayang arwah ke?”soal Aryana.

“Aaa…bang tak pernah fikir pun macam tu?” ujar Danial agak terkejut mendengarnya.

“Cubalah abang bayangkan bila kita dah kahwin nanti. Abang nak ke Arya anggap abang sebagai Daiyan dan bukannya Danial,”ujar Aryana perlahan. “Cubalah abang fikir? Perasaan dalam hati Arya hanya untuk Daiyan bukannya Danial?” sambungnya lagi. “Bila dah kahwin, Arya akan rasa lebih sedih sebab di hadapan Arya bukan Daiyan tetapi Danial. Macam mana tu?”jelasnya. “Abang pernah banyangkan tak? If we get married I will suffer.”

Bomm!!!

Penjelasan Aryana begitu mengejutkannya. Dia tidak pernah terfikir tentang perkara itu. Danial hanya mampu menahan sebak di dada. Tujuannya ingin memperisterikan Aryana Solehah salah satu sebab adalah untuk menunaikan permintaan arwah adiknya. 

Namun begitu, dalam masa yang sama dia juga turut menyayangi gadis itu sepenuh hatinya. Sejak dia kehilangan insan istimewa suatu ketika dahulu. Dia tidak pernah bercinta lagi sehingga bertemu dengan Aryana Solehah.

Aryana mengesat air mata yang semakin laju mengalir. “Abang, anggap ajelah hubungan kita sampai di sini aje. Lagipun Arya hanya anggap abang seperti abang kandung Arya sahaja.”

Danial menghampiri Aryana lalu meraih tangan gadis itu. Dia meletakkan kotak cincin di atas tapak tangan gadis itu. “Ambillah, anggap hadiah daripada seorang abang.”

Aryana menggelengkan kepalanya. Dia memulangkan kotak cincin itu. “Arya tak boleh terima. Abang berilah pada orang yang lebih berhak untuk memakainya.”

Danial mengambil kembali kotak berbentuk hati itu. “Abang…?” Danial mula kehilangan kata-kata untuk berbicara. Dia melangkah menghampiri keretanya lalu mengambil sesuatu dari dalam kereta.

“Ambillah,”ujar Danial sambil menghulurkan sebuah kotak berwarna putih kepada Aryana.“Apa ni?”

“Abang hadiahkan untuk Solehah.”

Aryana mengetap bibir. “Tapi….?”Danial tahu Aryana pasti sukar untuk menerima hadiah itu daripadanya. “Solehah anggap aje hadiah ini dari seorang abang untuk adiknya.”

“Terima kasih,”balas Aryana. Walaupun berat hati untuk menerima hadiah itu.

“Abang, doakan Solehah akan bertemu jodoh dengan seseorang yang mampu menjaga Solehah dengan sebaik mungkin.”

Aryana mengesat air mata yang masih tersisa dipipinya. “Arya pun doakan abang jumpa jodoh yang sesuai dengan abang suatu hari nanti. InsyaAllah, setiap manusia yang diciptakan untuk hidup berpasangan. Arya yakin abang pasti akan bertemu dengan seseorang yang mampu membuatkan abang bahagia.”

Danial hanya mampu menganggukkan kepalanya. “Abang minta diri dulu. Ada masa datanglah ke rumah.”

“InsyaAllah,”balas Aryana.

Ting!!! 

Bunyi sesuatu jatuh menyedarkan Danial daripada lamunannya yang panjang. Dia menyapu air mata yang masih tersisa di pipinya. Dia meletakkan bingkai gambar Daiyan di atas meja. Dia menarik nafas panjang. Dia harus melupakan gadis yang bernama Aryana Solehah. Hidup perlu diteruskan walaupun jalan berliku dengan penuh onak dan duri, namun dia perlu meneruskan kehidupan ini sehingga nafas terhenti. Inilah dinamakan kehidupan.

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Andayu