MUKA pucat Dahlia dipandang. Lalu, Hafiqa menghampiri Dahlia yang sedang menyediakan sarapan pagi. Disentuh dahi wanita itu. Dahlia terkejut. Dadanya serta merta berombak laju. Terus dia menoleh pada Hafiqa.
"Sorry buat akak terkejut," ucap Hafiqa dengan riak sayu. Terbayang apa yang terjadi malam tadi pada kakak iparnya itu. Dahlia ukir senyum pahit. Kemudian, dia kembali meneruskan kerja-kerjanya.
"Akak demam la. Nak pergi klinik tak? Fiqa bagi tahu mommy," ujar Hafiqa dengan nada lembut.
Dahlia menggeleng perlahan. "Sikit je. Nanti okaylah ni," tolaknya.
Beberapa ketika Hafiqa merenung wajah cengkung kakak iparnya itu. Dia perasan yang Dahlia sering menyarung baju lengan panjang. Dan baju yang wanita itu pakai semua lusuh-lusuh.
"Meh, Fiqa tengok tangan akak yang along pegang semalam. Lebam tak?" Lengan Dahlia cuba dipegang. Tetapi, cepat sahaja Dahlia mengelak. "Tak lebam pun. Akak dah tengok. Takda apa," balas Dahlia dengan cemas.
"Betul ke? Along tu tangan dia kuat tau. Pernah dia tarik tangan Fiqa sampai lebam. Masa tu dia tak sengaja," cerita Hafiqa. Apa tidaknya, tangan lelaki yang rajin ke gym. Pasti sahaja cengkamannya kuat.
"Betul. Takda apa-apa," kata Dahlia dengan yakin. Sedangkan tangannya sudah berbirat seperti tempoh hari. Betul kata Hafiqa, cengkaman Furqan berbisa. Tetapi, dia tidak mahu Hafiqa tahu. Bimbang hal itu diadukan pada Puan Sri Fatihah.
"Akak tak nak ke klinik ke? Fiqa risau jadi macam hari tu, sampai masuk hospital," luah Hafiqa, bimbang.
"Akak okey," Senyuman pahit diberikan pada gadis itu.
"Kejap lagi kita sambung tengok drama Korea semalam nak?" cadang Hafiqa.
Laju Dahlia menggeleng tanda tidak mahu. "Akak tak nak."
"Along takda. Lepas mommy marah dia semalam, dia tak balik tidur dekat rumah. Fiqa rasa hari ni dia tak balik juga. Along selalu kalau merajuk dengan mommy, tiga hari dia tidur luar," adu Hafiqa. Entahlah, dia sendiri tak faham dengan sikap abangnya itu. Sendiri buat salah, sendiri merajuk.
"Akak minta maaf sebab akak... Puan sri bergaduh dengan abang Fiqa," kata Dahlia dengan wajah sayu. Tiada niat dia nak memecah belahkan keluarga itu.
"Akak ni asyik minta maaf je. Bukan salah akak. Along tu lebih-lebih sangat. Kalau tak suka tak payah nak sakitkan hati akak. Ni tak, selalu sangat cari salah akak. Marah-marah akak. Macam orang gila tau. Fiqa tengok pun sakit hati. Nasib baik akak bukan kaki melawan. Kalau dengan ex girlfriend dia dulu, kaki melawan. Pantang gaduh sikit, dia punya melawan tu, takut tengok. Kadang-kadang depan mommy pun selamba dia stupid kan along," panjang lebar Hafiqa bercerita perihal Furqan. Seakan satu kepuasan saat meluahkan hal itu.
Dahlia diam. Bukan dia tak pernah dengar cerita tentang bekas kekasih Furqan. Puan Sri Fatihah juga pernah bercerita kenapa Furqan jadi begitu. Tetapi, tak bermakna lelaki itu boleh lepaskan kemarahan padanya. Bukan salah Dahlia. Namun, Dahlia terpaksa hadap sikap kasar Furqan.
"Mommy pun entah kenapa suruh akak kahwin dengan along tu. Mommy tak perasan ke anak dia gila?" semakin selamba Hafiqa meluahkan rasa sakit hatinya terhadap Furqan.
Terkebil-kebil Dahlia mendengar kata-kata Hafiqa. Nampak benar gadis itu marah.
"Fiqa minta maaf bagi pihak along," suara Hafiqa kembali mengendur. Rasa bersalah kerana abang sendiri melayani Dahlia sebegitu.
"Takpa. Akak dah biasa," balas Dahlia dengan nada tenang. Ya, dia dah biasa dilayan sebegini oleh Daud. Dan sekarang Furqan. Lebih teruk daripada ini pun Daud pernah lakukan padanya.
Kalaulah Hafiqa tengok apa yang jadi pada badan Dahlia, pasti sahaja gadis itu terkejut. Banyak parut yang ada ditubuh Dahlia kesan daripada perbuatan Daud. Dan mungkin parut itu akan bertambah dengan kehadiran Furqan dalam hidupnya kini. Dan semua itu akan meninggalkan kesan yang sangat mendalam pada emosi Dahlia. Dia berharap agar dia boleh bertahan sehingga akhir hayatnya dan masih boleh kekal waras sampai bila-bila.
Mendengar sahaja perkataan 'biasa' yang keluar daripada mulut Dahlia buat Hafiqa sedih. Nampak benar yang wanita itu reda apa jua yang Furqan lakukan padanya.
"Fiqa ada dengan akak. Kalau abang marah akak, bagi tahu Fiqa. Biar Fiqa bagi tahu mommy," pesan Hafiqa. Entah kali yang ke berapa pesanan itu diberikan pada Dahlia. Tetapi, tidak pernah wanita itu adukan apa-apa padanya atau pada Puan Sri Fatihah.
Dahlia mengangguk perlahan. Sekadar nak menyedapkan hati gadis itu. Mana mungkin dia adukan hal Furqan. Dia tak berani. Takut Furqan semakin marah padanya.
MASUK hari kedua Furqan tidur di pejabat. Mujur ada beberapa helai baju miliknya di situ.
Duduk dilabuhkan ke sofa tetamu. Air kopi yang dibancuh sendiri tadi langsung tak disentuh. Tak sedap. Tak sesedap yang Dahlia selalu buatkan untuknya. Dia melepaskan keluhan kasar setiap kali nama Dahlia muncul di fikirannya.
Selama dua hari itulah wajah Dahlia berlegar-legar di matanya. Dia terbayang-bayang riak sedih wanita itu.
Kata-kata Puan Sri Fatihah juga terngiang-ngiang di telinga.
"Ceraikan perempuan tu? Dan aku kena keluar dari rumah?" gumamnya sendiri. Wajah diraup kasar.
"Sampai hati mommy halau aku sebab perempuan tu!" sambungnya dengan rasa sebal.
Tok! Tok! Pintu bilik diketuk seseorang. Dengan nada malas, Furqan membenarkan orang itu masuk.
"Assalamualaikum, boss." Hairul muncul di muka pintu dengan senyuman lebar.
"Eemmm..." Hanya itu sahaja balasan daripada Furqan. Lantas, dia bangun dari situ dan berjalan menuju ke meja kerja untuk meneruskan kerja-kerjanya.
Hairul membuntuti Furqan dan duduk dilabuhkan di hadapan lelaki itu. "Serabut je aku tengok kau dua tiga hari ni," tegur Hairul.
Tanpa menjawab pertanyaan itu, Furqan raup wajahnya entah kali yang ke berapa. "Kau nak apa?" soalnya.
"Staff cakap kau dah dua hari datang awal," kata Hairul sudah tidak mahu berselindung lagi.
Furqan berjeda. Dia tahu apa yang sahabatnya itu mahu tanyakan padanya.
"Kau gaduh dengan mommy kau ke?"
"Kau pun dah tahu jawapannya kan?" balas Furqan bersahaja.
Hairul ketawa kecil. Sudah dia agak. "Merajuk sikit-sikit dah la Furqan. Itukan mak kau,” nasihatnya.
Furqan melepaskan keluhan perlahan. Hairul tak tahu apa yang berlaku. Tentang perkahwinannya juga lelaki itu tidak tahu. Tak mungkin dia akan ceritakan hal itu pada Hairul. Bukan dia tak percaya. Tetapi, dia tak mahu orang tahu bahawa Dahlia adalah isterinya.
“Kalau ada masalah, selesaikan. Jangan larikan diri macam ni. Bertindak matang. Kau bukan budak-budak. Bergaduh dengan mak ayah je, lari dari rumah,” sambung Hairul lagi.
Furqan masih berjeda. Dia merenung pada skrin komputer yang ada di depan mata. Fikirannya kosong saat ini.
“Kita yang masih ada mak ni kena banyak bersyukur. Ayah dah takda. Jadi, mak je lah tempat bermanja. Kau untung sebab duduk serumah dengan mak kau. Aku ni, mak aku dekat kampung terpaksa aku tinggalkan. Dia tak nak ikut aku datang sini,” panjang lebar pula Hairul bercakap. Yang sebenarnya dia rindukan ibunya di kampung dan bercadang untuk pulang ke sana hujung minggu ini.
“Kau baliklah kampung jenguk mak kau,” ujar Furqan seakan dapat membaca fikiran sahabatnya itu.
Hairul tergelak kecil. “Tahu-tahu je kau yang aku nak balik kampung. Tapi, kali ni lama sikitlah. Ingat nak merisik sekali.”
Terus Furqan angkat muka saat mendengar kata-kata Hairul. “Merisik? Tak pernah pun kau cerita yang kau ada seseorang dekat sana.”
“Memanglah tak pernah cerita. Aku dengan perempuan tu bukan bercinta pun. Suka dalam diam. Dah cukup duit, cadangnya nak suruh mak aku hantar rombongan merisiklah,” cerita Hairul. Wajahnya kelihatan ceria.
Furqan tersenyum hambar. “Nak ke perempuan tu terima kau? Entah-entah dia dah ada orang lain,” sengaja dia mengusik sahabatnya itu.
“Setakat ni aku rasa takda. Tapi, entahlah. Aku cuba je lah dulu. Kalau ada jodoh aku dengan dia. Adalah,” seakan pasrah nada Hairul tika ini.
Furqan ketawa hambar. “Aku doakan kau berjodoh dengan perempuan pilihan kau tu. Kenduri nanti jangan lupa jemput aku,” pesannya.
“Mestilah aku jemput kau. Nampaknya lepas ni aku dah tak single lagi macam kau,” sengaja Hairul mengusik sahabatnya itu.
Furqan ketawa sinis. Kalaulah Hairul tahu yang dia sudah berkahwin, pasti sahaja lelaki itu terkejut. Tetapi, dia tak berniat nak beritahu hal itu pada Hairul. Biarlah ia menjadi rahsianya sampai bila-bila.
“Okeylah, boss. Aku keluar dulu. Nanti jangan tak approved pula cuti aku,” sempat Hairul berpesan sebelum dia keluar dari ruangan itu.
Furqan memandang pada Hairul sehingga sahabatnya itu hilang disebalik pintu. Kemudian, dia melepaskan keluhan berat sambil menyandar ke kerusi.
“LAPAR ke?” Dahlia usap kepala kucing berwarna oren itu dengan lembut. Manja sungguh si kucing dengannya. Lantas, dia mengambil kucing itu dan duduk di tepi longkang rumah. Diletak kucing itu atas ribaannya. Usapan diteruskan.
Terpejam mata kucing itu tika ini. Dahlia melempar jauh pandangan ke tengah halaman rumah agam milik Puan Sri Fatihah. Matanya meliar melihat sekeliling kawasan itu.
Rindu. Dia rindukan Melur dan adik-adiknya. Mata mula berkaca. Kemudian, dia tertunduk melihat pada kucing yang sudah pun lena di ribaannya. Dahlia tersenyum nipis.
Dahlia teringat akan pesanan Melur sebelum dia menjejak kaki ke Kuala Lumpur.
“Binatang ni tawakal dia pada Allah, tinggi. Sebab rezeki dia bergantung pada Allah je. Jadi, kita sebagai manusia ni pun kena letakkan pengharapan kita pada Allah. Mungkin di dunia kita susah. Selalu diduga. Tapi, di akhirat nanti Allah akan bagi ganjaran yang besar.”
Setiap kali dia teringat pesanan itu, hatinya terasa tenang.
Ya Allah. Hidupku. Matiku. Hanya pada Engkau aku sandarkan. Doa Dahlia dalam hati.
Air mata yang sempat bertakung dikelopak mata dikesat dengan belakang tangan. Dia harus kuat.