"MACAM mana? Apa keputusan kamu berdua? Setuju?" Belum sempat panas buntut, sir sudah tagih jawapan. Tidak sabar betul sir ni tau!
Aku pandang Kris tetapi lelaki itu hanya tunjukkan wajah selamba. Eh? Memang dingin tahap sejuk bekulah dia ni. Aku toleh sir kembali. Sir masih menunggu jawapan dari kami. Riak wajahnya benar-benar membayangkan yang dia mahu tahu sangat.
"Saya belum bersedia," putusku. Barulah aku nampak Kris menoleh ke arahku. Itu pun hanya sebentar. Aku pula yang tiada jiwa mahu balas pandangannya. Untuk apa, kan?
"Saya setuju." Kris bersuara datar dan tenang sekali.
Aku yang gelabah. Terus lipat maut toleh dia. Boleh pula muka tu macam tiada jiwa saja. Pergh! Kecik, besar saja aku tengok dia. Sir pula aku tengok sudah senyum lebar.
"Are you crazy?" soalku perlahan setelah menyengetkan sikit tubuhku ke arahnya. Dengan harapan sir tidak dengar apa yang aku katakan.
"Going to be," jawabnya selamba, juga pada masa yang sama sudah menyengetkan tubuhnya ke arahku. Nasib baik tidak bercantum kepala. Dia ini memanglah... Hendak saja aku luku kepalanya. Geram sebab tindakannya tidak mudah aku jangka seperti lelaki lain.
"You gila sorang-soranglah!" bentakku pula tapi dalam nada yang masih berbisik. Sambil itu mataku tidak lepas mencuri pandang pada sir yang buat-buat sibuk. Aku tahu dia sebenarnya mahu curi dengar apa yang kami katakan.
"Mana seronok gila sorang. I nak you gila sekali dengan I," ujarnya lagi. Tetap selamba tanpa reaksi yang boleh aku baca niatnya. Susah betullah dia ini. Dibuatnya dia berniat yang tidak elok, masak aku. Jadi gulai labu ikan kurau masin nanti.
"I belum nak gilalah," tukasku dengan muka yang memang tidak boleh blah. Merengut.
"Bukan you memang dah selalu buat kerja gila, ke? Apa salahnya tambah lagi satu gila. Tak memudaratkan pun, Xandra. Seronok!" Kali ini dia toleh aku dengan secarik senyum nipis. Erk? Tidak memudaratkan apa? Bila sudah pandai senyum-senyum, pasti memudaratkan. Kami saling merenung.
"So, tak habis lagi berbincang? Apa yang lama sangat dibisikkan tu? Berapa lama lagi saya kena tunggu? Masa berjalan ni," celah sir bila lihat aku masih mahu membalas kata-kata Kris. Aku tidak jadi bersuara. Menyindir tu. Terkebil-kebil aku pandang sir. Yalah, dua lawan satu, tentulah aku yang seorang ni akan kalah. Tapi, aku tidak mahu menyerah bulat-bulat.
"Jalan terus, sir." Kris bagi kata putus.
"Eii! I tak kata setuju, kan? Pandai-pandai aje." Suaraku lantang. Tidak ada mahu bisik-bisik lagi. Biar sir dengar dan masuk sekali dalam perbincangan kami. Lagi senang, kan?
"Kris, Xandra," panggil sir agak tegas. Kami berdua pandang dia. "Saya bagi awak berdua masa untuk berbincang, awak buat apa? Tiga minggu, kan? Saya rasa tu dah cukup lama. Nak kata tak jumpa, saya rasa setiap hari awak berjumpa. Jangan kata awak berdua tak sempat berbincang pulak. Memang saya tak percaya. Apa lagi masalahnya ni?" Suara sir semakin tegas. Wajah pun sedikit tegang. Tigu minggu dia kata lama? Mana ada! Bagilah tiga bulan atau tiga tahun, baru lama namanya.
"Kerja gilalah ni, sir. Saya tak rasa boleh teruskan," tuturku penuh yakin. Aku suarakan apa yang aku rasa. Lagipun aku memang tidak bersedia untuk lalui semua ini. Masalah yang ada sudah menimbun. Buat apa aku susahkan diri menambah lagi. Ini bukan bahu saja senget. Dengan kepala aku senget sekali. Boleh mereng aku dibuatnya nanti.
"Apa masalah awak, Xandra?" tekan sir lagi.
"Inilah masalah saya."
"Kita buat semua ni sebab nak tolong selesaikan masalah awaklah." Beria-ia sir cuba yakinkan aku tapi aku buat dek saja.
Aku gelak kecil. Mata sir dan mata Kris pantas mencari wajahku.
"Makin tambah masalah saya, adalah. Sir, apa yang kita nak buat ni belum tentu dapat selesaikan masalah saya. Jangan kata selesai, berkurangan pun rasanya tak."
Tak semena-mena Kris bangun dan tarik aku agar berdiri. Aku yang tidak bersedia dengan tindakannya sedikit terhuyung-hayang akibat tarikan secara paksa darinya. Dia menuntun aku ke hujung sudut bilik pejabat sir. Sir hanya perhatikan.
"Kenapa dengan you ni?" soalku keras sambil berpeluk tubuh. Dia juga kala itu sedang berpeluk tubuh. Matanya tajam merenungku. Aku tidak suka dia bertindak begitu.
"I dah cakap yang I nak tolong you, kan?" tegasnya dengan wajah yang... minta aku bagi pelempang agaknya. Siapa suruh dia suka-suka sorongkan wajah dekat ke wajahku? Aku lempang laju-laju nanti, baru tahu. Pantas aku bulatkan mata. Dia kembali ke kedudukan asal. Berdiri santai. Rimaslah aku dengan dia ni.
"Yes! You memang ada cakap macam tu. I dengar dengan jelas, Kris. Tapi, I tak nak libatkan you atau sesiapa saja di sini. You faham tak?"
"Sekarang ni, secara tak langsung I dah terlibat, Xandra. Apa bezanya?"
"Sebelum you terlibat lebih jauh, baik you tarik diri. Jangan pertaruhkan nyawa you yang tiada gantinya."
"I bukan lelaki pengecut."
"Of course you are not. Kris, perkara yang melibatkan nyawa, tak seharusnya you ambil ringan."
"Nyawa you macam mana pula?"
"I dah biasa hidup macam ni. Terlalu biasa. Ia dah tak jadi apa pada I."
"So, bring me along."
"Kris..."
"I really mean it, Xandra. Bring me along. Share it with me."
"You tak tahu apa yang bakal you hadapi ni, Kris. Sebab tu you beria-ia nak sangat tolong I. Sampai satu masa you akan sedar, apa yang you buat ni tak berbaloi dan masa tu you akan salahkan I. I tak nak keadaan jadi macam tu."
"Why did you say that?" Kris sedikit pelik. Di dahinya terentang kerutan nipis.
Saat itu aku perasan sir semakin mendekat. Aku biarkan.
"My life being so... pathetic. I..." Kata-kataku mati.
"Pathetic yang macam mana? I nak tahu. Go on..." Kris sungguh-sungguh mahu aku teruskan cerita.
Aku pandang Kris semula. Aku kaku sebentar. Sedar yang aku hampir buka segala cerita. Perlukah dia tahu? Aku pandang sir. Sir anggukkan kepala. Sir tahu segalanya sebab itu dia cuba lindungi aku. Kalau boleh aku pun tidak mahu nyawanya melayang hanya kerana aku.
"Hidup I ni macam pelarian, Kris. Ada masa dalam buruan. Dalam setahun kadangkala I berpindah dua atau tiga kali. Orang yang tak faham akan kata I ni budak bermasalah. Asyik berpindah aje. Ya, I memang bermasalah. Tapi bukan pada kehidupan. I ada masalah dengan mommy I..." Aku tidak meneruskan cerita. Sebaliknya aku menunduk. Sir sudah berdiri hampir dengan kami. Seketika aku lihat sir sudah duduk senget di buju meja dengan kaki sebelah terjuntai. Hanya mendengar dan memerhati. Kris tidak mencelah. Hanya menunggu aku lanjutkan ceritaku.
"Xandra, lebih baik berterus terang saja dengan Kris. Awak boleh percayakan dia. Cerita awak akan kemas dalam simpanannya." Sir bersuara bila agak lama aku gantung cerita. Sebenarnya aku tidak tahu dari mana harus memulakan. Bimbang Kris akan salah anggap nanti.
Aku hela nafas dalam. Sukarnya untuk kubuka cerita yang akan membuka pekung di dada. Cerita yang bakal dan akan sentiasa menghiris sekeping hati milikku.