MENDENGAR jeritanku tadi, Mak Chu rupanya bergegas ke bilikku. Kebetulan dia berada di tingkat atas juga. Kelam-kabut dia mendekatiku. Dalam pada itu mulutnya tidak henti membebel. Ini satu lagi yang boleh buat aku bertambah sakit. Mendengar bebelannya.
“Kenapa boleh jatuh ni? Kamu main terjun aje ke apa? Mata letak mana? Dah tahu tak sihat tu janganlah berlagak macam orang sihat. Buat jantung Mak Chu nak gugur ajelah budak ni.”Aku ni sudahlah sakit, dia boleh membebel mengalahkan mak nenek pula.
“Mak Chu ni tak kesiankan Xandra, ke? Membebel macam ni boleh buat Xandra stres, tahu? Makin sakit nanti. Patutnya tolong Xandra bukan tanya yang bukan-bukan.” Aku sedikit merajuk.
“Ni Mak Chu tak tolong ke?” sindirnya yang sudah memaut lenganku agar aku boleh berdiri. “Yang bergulung dengan comforter ni kenapa?” soalnya lagi.
“Comforter tu yang tersangkut kat kaki Xandra. Bukan salah Xandra.”
“Hei! Kamu tu ada mata,ada akal. Yang nak salahkan benda tak bernyawa ni, kenapa?” Mak Chu pulas telinga aku. Tidak sempat menepis, aku menyeringai menahan sakit. Tidaklah sakit sebenarnya. Saja berlakon. Minta simpati.
“Dahlah... Putus telinga Xandra nanti. Jatuh saham. Kurang duit hantaran.”
Dari pulas telinga, tangan Mak Chu tunjal bahu aku pula sambil gelak kecil.
“Kamu ni kan, memang tak boleh Mak Chu nak marah betul-betul. Kurang duit hantaran, ya? Siapa lagi yang nak bagi duit hantaran tu?”
Amboi! Main kasar nampak...
“Apa? Ingat Xandra tak laku, ke?”
“Tak cakap pun macam tu.”
“Eleh... Tak cakap konon.Tapi, maksudnya macam tu, kan?”
“Taklah! Dah jangan nak merepek-repek. Meh Mak Chu tengok kaki yang tersadung tadi. Sakit tak?”
Mak Chu sudah duduk melutut di sebelahku. Aku pula duduk berjuntai kaki di atas katil. Kaki yang tersadung tadi cuba aku gerak-gerakkan. Tidak merasa sakit sangat.
“Rasanya tak ada apa-apalah, Mak Chu. Tak sakit teruk pun.” Aku bangun perlahan-lahan. Cuba melangkah beberapa tapak dan ya, memang tidak sakit pun ketika aku berpijak.
“Betul ni?” Mak Chu minta kepastian.
Aku angguk.
“Kalau tak okey, Mak Chu beritahu Kris. Suruh dia bawa Xandra ke klinik.”
Serta-merta wajahku berubah bila nama Kris disebut. Melopong seketika mulutku. Pantas tangan menutupi mulut yang ternganga.
“Mak Chu...” seruku sambil merapati Mak Chu yang sudah duduk di atas katilku sambil mengemaskan comforter.
“Kenapa?” soalnya tanpa memandang kepadaku pun. Tangan sibuk bekerja. Jadi, aku tidak ambil hati pun jika dia tidak memandangku ketika bercakap. Sudah biasa.
“Xandra ada janji dengan Kris. Konon nak jumpa kat luar. Dah lambat ni. Tu yang tadi bangun macam kena kejar hantu. Lepas tu terjatuh pula. Xandra nak cakap apa kat dia ni?” Aku sudah kalut.
Mak Chu pandang aku seketika kemudian kembali melakukan tugasnya.
“Konon, ya?”
“Mak Chu ni! Orang minta pendapat, dia nak kenakan orang pulak.”
Mak Chu gelak tengok wajah masamku. Mana tidaknya... Muncung aku sudah macam Donald Duck. Maju ke hadapan.
“Kenapa yang kalut sangat ni?”
“Xandra tak tahu nak bagi alasan apa? Mak Chu tahukan yang Xandra tak suka berbohong. Takkan nak cakap sebab Xandra terbabas tidur. Buat malu aje.”
“Nak malu apa. Cakap ajelah yang betul.”
“Hisy! Jatuh saham. Tak nak.” Aku sudah geleng kepala. Eh! Sejak bila aku menjaga sangat jatuh naik saham ni?
“Nak tak nak kena cakap juga. Dia dah tunggu kat bawah tu. Dah lama. Ni Mak Chu naik pun memang nak kejutkan Xandralah. Ikut dia tadi, disuruhnya biar aje Xandra tidur. Nak jadi apa anak dara tidur sampai matahari tegak atas kepala?”
“Hah! Dia dah ada kat bawah?” Macam tidak percaya. Bukan aku sudah cakap ke yang aku akan telefon dia dulu untuk confirmkan jadi atau tidak? Hisy! Ada cakap ke tidak, ya? Aku garu kepala. Pening!
“Tak payah nak buat terkejut sangat. Pergi mandi, bersiap. Mak Chu dah siapkan makan tengah hari.Dating kat rumah ni aje, senang... Depan mata Mak Chu.”
“Dating apanya pulak ni? Xandra cuma nak minta tolong dia aje. Mana ada dating pun. Tak baik buat fitnah, tahu?”
Aku sudah pandang lain macam pada Mak Chu. Kalau hendak mengusik memang tidak agak-agak orang gaji aku ni. Melampau!