Home Novel Cinta MISI CURI HATI
MISI CURI HATI
Azleya Shadzalin
31/8/2019 10:35:48
66,100
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6

AKU bangun. Langkah kuatur menuju ke kereta Nissan Skyline yang perlu sentuhan terakhirku sebelum tuan punya datang untuk mengambilnya. Selepas ini Mitsubishi Lancer Evo disebelahnya pula. Aku difahamkan oleh Abang Arif, kedua-dua pemilik kereta ini adalah sahabat baik. Abang Arif juga bangun dan menuruti langkahku. Dia memerhatikan aku memulakan kerja. Bonet yang sudah sedia terbuka aku sentuh. Mata melilau dengan sebelah tangan lagi memeriksa enjin dan wayar yang berselirat. Berselirat macam otak aku juga. Serabut dog!

"Hidup Xandra memang rumit, bang. Macam wayar-wayar yang berselirat ni. Walaupun nampak sukar dan melemaskan, tetap memerlukan satu sama lain. Jika terungkai atau kurang salah satu, tak berfungsi. Dah tak memberi makna."

"Dalam makna kata-kata Xandra ni. Tak terselam abang. Huish!" Abang Arif berkata serius. Aku tegakkan badan dan toleh wajahnya yang berdiri hampir. Wajah sikit punya berkerut.

"Kan? Salah hemat, karam." Aku balas dalam gurauan. Akhirnya aku senyum. Dia ini memang pandai buat aku tersenyum. Sajalah tu mahu mengusik aku.

"Serius, berat betul apa yang Xandra galas ni, erk?"

"Hmm... Nak diluah mati mak, nak ditelan mati bapak." Aku berperibahasa bagi menggambarkan keadaan sebenar. Aku kira Abang Arif cukup faham maksudnya. "Cukuplah kalau Xandra beritahu abang yang Xandra dalam dilema. Xandra tak boleh keluar dari keadaan ni. Tapi dalam masa yang sama tak boleh buat apa-apa selagi bukti belum cukup dan paling sukar, Xandra kena terima walaupun hati Xandra menangis dan merintih. Ia melibatkan orang yang dekat dengan Xandra. Jadi, Xandra kena terima, walaupun jiwa Xandra menolak. Xandra tak kuat, bang. Xandra hampir kalah..." Aku terduduk di depan Skyline itu sehabis ayat kuhamburkan. Aku meluah rasa walau tidak secara nyata. Pedih di dalam hati ini telah kupendam sekian lama. Sakit!

Saat itu, aku sudah teresak-esak menangis. Abang Arif panik. Abil, Kumar dan Chen datang mendekat. Sudah mengelilingi aku. Mereka perhatikan aku yang teresak menangis. Yalah, takkan hendak peluk bagi aku bertenang, kan? Mahu ada yang kena terajang aku bagi penendang.

"Kenapa ni, bos?" tanya Chen yang mencangkung paling dekat denganku. Mulut bertanya kepada Abang Arif tetapi mata memerhatikan aku yang macam mati laki ni.

"Xandra tengah ada masalah besar. Korang bertiga jangan serabutkan kepala dia lagi, ya. Kesian kat dia. Kan dia dah macam adik korang semua. Jangan kacau dia."

"Siapa nak kacau? Kitorang cuma nak tolong aje. Eh! Bukan dia macam adik abang juga, ke?" soal Abil pula. Lurus bendul tahap luar alam betullah dia ni.

"Memanglah! Kau kalau abang sekeh kepala tu, terus hilang ingatan, Abil."

Pantas Abil sengetkan kepala menjauhi tangan Abang Arif yang sudah bersedia untuk menyekeh kepalanya. Aku hendak tergelak juga tapi aku tahan. Mereka nilah... Selalu ambil berat tentang aku. Terharu.

"Tak apa, bang. Meh saya tolong sekehkan. Dah lama mengidam nak sekeh kepala budak ni," celah Kumar pula dan dengan pantas kepala Abil disekehnya betul-betul sebelum sempat dielak oleh Abil.

Aku yang teresak menangis boleh gelak tengok perangai mereka. Aku tak tahulah sekarang ni aku mahu terus menangis atau gelak guling-guling bila lihat Chen juga ambil bahagian main sekeh-sekeh tu. Mereka bertiga ini walaupun tidak tahu asal-usulku, tetap sentiasa baik dan beri aku kekuatan. Dalam gila-gila perangai mereka, tetap menghiburkan dan ada ketika mereka beri aku nasihat juga. Seronok punyai ramai abang yang sentiasa jaga kebajikanku.

"Xandra..." panggil Abang Arif yang masih berdiri hampir denganku. Aku yang masih terduduk, panggung kepala. Pipi yang basah aku kesat dengan belakang tangan. Sungguh-sungguh aku kesat macam mahu hilangkan kesan terus dari kenangan. Perbuatanku terhenti bila aku nampak Abang Arif seakan menyembunyikan senyum. Berkerut keningku dan aku hantar pertanyaan dengan lirikan mata.

Melihat mata Abang Arif melilau ke sana sini bagai mencai sesuatu, aku lagi pelik. Sorotan mataku mengikuti pergerakan kepalanya yang berpusing tidak tentu hala. Dia cari apa? Saat itu, atlet sekeh menyekeh tiga orang tadi pun sudah berdiri tegak memandang aku.

"Hah, ada pun." Abang Arif bersuara agak ceria sambil mengambil satu serpihan kaca yang terdapat di dalam kotak sampah tidak jauh darinya. Dia unjukkan serpihan kaca itu di depan mukaku. Cermin? Aku terkedu. Lihat sebahagian wajahku melalui serpihan cermin tersebut. Wei! Comotnya! Apa lagi? Aku rampas serpihan cermin tadi dan balingkan semula ke dalam kotak sampah. Tiga orang budak sengal tadi sudah gelakkan aku kaw-kaw.

"Gelakkan gua! Gelaklah. Nanti kena kat korang baru tahu."

"Kitorang sentiasa ingat yang kita ni kerja bergelumang dengan minyak hitam segala bagai ni. Kalau paling teruk pun kitorang telan skru aje sebab kelaparan. Abang Arif tak bagi makan."

"Wak lu!" bentakku geram. Marah, memang tidaklah. Aku pun sebenarnya hendak gelak tengok mukaku yang berfoundationkan minyak hitam. Macam apa jadinya. Orang minyak versi perempuan kot!

"Eh! Abang pulak yang kena."

"Potong aje gaji dorang, bang. Banyak cakap," lobiku pula. Sengaja mahu bikin panas.

"Eh! Kalau kena potong gaji harus kitorang kunyah pintu kereta ke, body kereta. Tayar pun sedap. Macam kek coklat jadinya," sahut Kumar pula. Mengong! Layan mereka aku memang sentiasa tertawa. Otak masing-masing memang mereng.

Abang Arif menggeleng beberapa kali. Bukan apa. Sebenarnya dia sudah masak benar dengan perangai pekerja-pekerjanya itu. Sudah tidak terlayan kemerengan mereka agaknya. Kalau dia layan juga, nescaya dia pun ikut mengong sama. Itu aku pasti. Kesian Kak Nisha nanti.

"Dah, bersihkan muka tu, Xandra. Korang semua pergi rehat dulu. Lepas rehat settlekan kereta lagi satu tu. Kita boleh tutup bengkel awal sikit hari ni."

"Eh! Customer nak datang ambil, kan? Kalau tutup awal, macam mana nanti?" Aku suarakan kebimbangan.

"Dia akan datang sebelum pukul empat. So, Xandra tak perlu risau. Ke Xandra risau kereta ni tak siap? Tu hero Malaya tiga orang tu ada. Minta tolong mereka."

"Kereta dah siap, bang. Tinggal final touch aje. Xandra boleh buat. Cuma nanti kalau ada customer datang nak baiki kereta, rugilah kita dah tutup awal."

"Tak apa... rezeki ALLAH tu sentiasa ada. Tak rezeki hari ni, hari lain ada. Jangan fikirkan semua tu. Abang memang nak bagi korang balik awal hari ni."

Budak tiga orang tu sudah bersorak gembira. Aku saja yang masih terkulat-kulat. Kalau tutup awal pun, apa maknanya bagiku? Bengkel inilah tempat aku melepak selepas habis kelas atau waktu tiada kelas. Aku mana reti bersosial sangat. Hendak shopping, lagilah aku pangkah awal-awal. Bukan kegemaran aku tu. Jika tutup awal, maknanya aku kena pulang awal juga. Bosannya!

"Jom tengok wayang, Xan?" ajak Abil dan dua orang lagi tu, sudah mengangguk-angguk setuju.

"Lu ingat gua kaki wayang?"

"Kalau tak nak tengok wayang, kita buat wayang? Amacam?" Kumar pula buat lawak pinta pelempang.

"Lu nak kena terajang?" Aku bagi jelingan tajam.

"Kau ni garang sangatlah. Tapi aku suka jelingan manja kau tu. Buat aku tergoda berkali-kali."

"Wak lu!"

Aku terus capai tuala dan berlalu masuk ke dalam. Sambil berjalan muka aku gosok perlahan dengan tuala. Satu kerja jadinya aku mahu bersihkan kesan minyak hitam yang melekat di wajah. Silap aku juga. Siapa suruh kesat air mata dengan tangan? Yang aku menangis tu, kenapa? Sudah tahu kerja bengkel, berlagak kerja ala-ala pejabat pula. Padan muka aku.


Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin