Home Novel Cinta MISI CURI HATI
MISI CURI HATI
Azleya Shadzalin
31/8/2019 10:35:48
66,100
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8

Aku percikkan air ke mukanya. Dia tidak sempat mengelak. Terus aku buka langkah ke tempat kereta yang aku baiki tadi.

"Hei! Tunggulah," ujarnya lalu sedikit berlari anak mengejar langkahku.

"You datang nak apa ni? Tak ada latihan dengan group you, ke? Showdown dah nak dekat, kan?"

"Jomlah teman I pergi latihan."

Eh! Tidak kuasalah! Kerja sendiri pun banyak. Apa hal aku nak menyibuk kat sana pula?

"Kenapa hari ni tak datang kolej? You ada kelas, kan?" Dia menyoal bila aku tiada reaksi kepada kata-katanya tadi.

Aku yang mahu mengemaskan barang-barang yang kuguna tadi, tidak jadi berbuat begitu. Aku berdiri mengadapnya.

"Kenapa nak tahu?" Aku soal dia semula.

"Sir cari you."

"Ya?"

"You ingat I main-main, ke?"

"Dia ada nombor I kalau betul ada perkara penting. Dia boleh call I, kan? Kenapa nak hantar wakil cari I pula? Ke..." Ayatku terhenti di situ. Aku sengaja meninggalkan tanda tanya. Dahi Kris berkerut. Kemudian dia senyum nipis.

"Nak cakap I yang sengaja datang cari youlah, ya? Habis tu, I tak ada nombor you. Kalau rasa nak jumpa, kenalah I berusaha datang sini. Itu pun nasib kalau you ada..."

"Kalau I tak ada?" Aku pangkas ayatnya. Hendak juga dengar apa jawapannya.

"Tak ada, I balik ajelah. Buat apa nak buang masa."

Eii! Aku ketuk dengan sepana juga kepala dia ni. Cheh! Berusahalah sangat hendak jumpa aku macam tu gayanya. Baru cakap kalau aku tidak ada, sudah mahu balik. Memang tidak boleh haraplah.

"Kenapa tak mintak nombor I dari sir?"

"You ingat dia nak bagi? Dia kata kalau nak, I kena usaha cari. Tak pun minta kat you sendiri?"

"I pun tak nak bagi. You usahalah cari sendiri."

"Xan, tak kesian ke kat I?"

"Tak."

"Yalah... Nak buat macam mana, kan? Orang tu tak kesian kat kita."

"Orang mana tu?"

"Tu..." ujarnya sambil memuncung pada poster pelumba kereta yang tergantung di hadapan bengkel. Aku gelak akhirnya sedang dia hanya senyum nipis. Dia ini kan... Haish!

"Jom!" ajaknya pula sambil sudah berdiri tegak. Ingatkan hendak duduk menyandar kat sini sampai aku habis kerja.

"Mana? Malaslah kalau nak teman you pergi latihan. Bosan."

"Bukanlah... Kan I cakap tadi, sir cari you."

"Alah, pandailah dia call I nanti. I banyak kerjalah Kris."

"You dahlah tak datang kolej hari ni, Xandra. Sayang tertinggal kelas. I tahu kerja you ni penting. Study lagi penting."

Cheh! Sekali dia bagi nasihat, terkedu aku. Tapi, memang betul pun. Aku yang belum ada kesedaran. Penyakit malas datang melanda.

"Esok I catch uplah dengan kawan lain," balasku mudah. Buat apa nak peningkan kepala. Tadi, dahlah Abang Arif bagi ceramah mengenai pentingnya pelajaran. Hampir bernanah telinga aku. Cakap dia lembut tapi sampai masuk dalam telinga rasa macam ada benda tajam yang menusuk gegendang telinga. Ini, Si Kris pula menambah. Bocor karang gegendang telingaku.

"I tak suka you buat perangai macam ni, Xan."

Ek eleh! Dia siapa? Sibuk sangat hal aku ni, kenapa? Sir bayar dia gaji ke untuk ambil tahu semua tentang aku?

"Mana ada I buat perangai," tukasku sedikit terasa hati. Aku buat apa? Tidak menyusahkan dia rasanya. Kalau gagal pun, aku. Bukan dia.

"Kalau macam tu, jom ikut I. Sir dah tunggu tu."

"Malaslah. Bukan penting pun."

"Mommy you ada kat kolej sedang tunggu you sekarang ni. Itu tak penting ke bagi you? Tak kisahlah kalau you ada isu dengan dia, Xandra. Dia tetap mommy you."

"Mommy I ada kat kolej?" Aku terkejut. Mahu tidak terkejut. Tiba-tiba mommy balik dan cari aku. Ada apa? Mahu suruh aku kemas kain baju dan pindah lagi, ke? Aduh! Aku penatlah hidup macam ini.

"Dia tunggu you kat rumah, you tak balik? You pergi mana?" soal Kris dengan nada yang sedikit tinggi. Abang Arif yang berada di dalam pejabat sudah berdiri di muka pintu pejabatnya. Abil, Kumar dan Chen juga sudah berdiri tegak dan turut memandang kami berdua. Aku yang bengang. Entah apa mereka semua fikir nanti.

"I tanya, you pergi mana semalam sampai tak balik? Jawab I, Xandra!" Kris tekan aku dengan soalan yang sama. Semakin tinggi nadanya. Aku terkedu. Gayanya macam marah sangat kat aku. Hello! Aku bukan isteri dia sampai dia sibuk mahu ambil tahu semua perkara, okey. Ingat tu! Ke aku perlu ingatkan dia tentang itu?

Abang Arif dan tiga lagi rakan kerjaku sudah mula mengorak langkah mendekati kami. Mahu tahu apa sebenarnya terjadi.

"Mana I pergi itu bukan urusan you. Selagi I tak buat perkara yang tak elok, you tak payah nak risau sangatlah!" Suaraku juga sama nada dengannya.

"Telefon bimbit you tu, kalau rasa tak nak guna, buangkan aje."

"You ni dah kenapa?"

"You tu yang dah kenapa? Suka sangat buat orang lain susah hati. Sir tu dah macam kucing hilang anak, you tahu? Sejak semalam, you ada tengok ke tak telefon bimbit tu?"

Aku geleng kepala. Memang aku langsung tidak tengok pun telefon tu walaupun aku usung ke hulu dan ke hilir. Rasanya, memang telefonku tidak berbunyi pun. Itu aku pasti. Bateri, aku rasa masih ada.

"Tengok sekarang!" arahnya tegas. Kedua tangan sudah bercekak di pinggang. Aku turuti arahannya. Telefon bimbit yang aku letakkan di kerusi plastik berdekatan, aku capai. Jemari memainkan peranan bila otak menghantar arahan. Terkejut aku dibuatnya. Ada 25 panggilan tidak berjawab dan 15 pesanan ringkas juga. Aku pandang dia. Aku lihat wajahnya sudah berpeluh. Panas! Tapi hati dia lagi panas kot! Sebab itu sampai keluar peluh. Cari nahas kau, Xandra.

Baru aku teringat. Sejak kelmarin telefon bimbit itu memang aku ubah ke silent mood. Aku tidak mahu diganggu semasa menyiapkan tugasan kolejku. Selepas itu, aku langsung terlupa untuk ubah semula ke general mood. Memang patut pun Kris marah. Salah aku yang nyata. Jadi, buat muka 'toya'. Selamba badak saja, ya.

"Ni nombor siapa? Bukan nombor sir ni, kan?" Aku pun tidak pasti tanya pada siapa.

Mata Kris mengecil merenung aku. Agaknya jika boleh telan aku masuk anak tekak dia, sudah kena telan awal-awal.

"You rasa siapa yang akan cari you selain sir?" Kris pulangkan soalan.

"Entah! You ke?" Aku bertanya dengan muka tidak bersalah langsung. Sekali lagi Kris pandang aku dengan mata mengecil.

"Xandra, you sedar tak semua orang sibuk cari you? Bimbangkan keselamatan you. You boleh buat muka tak bersalah macam ni. You tahu tak apa perasaan I bila tengok muka tak bersalah you ni selepas I susah hati fikir pasal you semalaman?"

"Apa you rasa?" Aku memang cari pasal. Tanya soalan itu, untuk apa? Untuk dapat pelempang?

"I rasa nak aje kiss bibir you tu. Biar mulut you tu tak menceceh perkara yang bukan-bukan aje. Biar you tahu apa yang I rasa pulak. Marah, geram, sakit hati, semua ada. Dapat kiss you rasanya hilang semua rasa lain tu."

Mengong!

"Gila ke apa? Suka hati nak kiss orang. You tu siapa sampai suka-suka nak buat macam tu kat I?" Aku bersuara lantang. Tak kiralah kalau Abang Arif dan hero tiga orang tu dengar. Aku sudah tidak peduli.

"Sekarang ni memang belum siapa-siapa. Tak tahulah lepas ni, kan? Lepas I buat macam tu, maksud I kiss you, mungkin terus ada apa-apa."

Aku pandang dia dengan wajah yang marah. Habis tu, takkanlah hendak pandang dia dengan mata berkedip-kedip dan senyum simpul pula, kan? Nanti dia ingat aku berhajat sangat hendak kena cium betul-betul? Otak kau memang sudah mereng, Xandra.

"Hei! Kenapa ni Xandra, Kris? Kecoh betul jadinya. Nasib baik customer tak ada. Kalau kereta-kereta yang ada ni boleh dengar, mahu menjerit suruh korang berdua berhenti bertelagah."

"Abang jangan masuk campur, ni hal Xandra dengan dia."

"Aik! Abang pulak yang kena marah?"

Aku pandang Abang Arif yang sedikit terkedu mendengar nada suaraku yang agak tinggi.

"Xandra tak marah abanglah!"

"Dah tu suara tinggi yang amat. Apa masalah korang ni? Nak kata bercinta, tak. Apa pasal sampai boleh bertekak macam pasangan bercinta bergaduh ni?"

Pasangan bercinta? Aku dengan Kris? Mata Abang Arif ni rabun agaknya. Gini ke gaya orang bercinta? Hendak berbunuh, adalah. Tidak nampak aku sudah pegang sepana saiz paling gedabak dan Kris pegang jumper wire. Itu tak lain mahu belit kat leher akulah kot.

"Dia nilah! Kena sampuk apa entah, cakap yang bukan-bukan. Dia nak kiss Xandra. Abang rasa patut, ke? Dia ingat Xandra ni barbie doll yang boleh dia cium suka hati?"

AbangArif pandang Kris yang tetap selamba riak wajahnya. Budak tiga orang itu pun sudahpandang Kris macam Kris itu makanan yang enak untuk ditelan.


Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin