Home Novel Cinta Sapu Tangan Biru
Sapu Tangan Biru
3/6/2014 14:42:53
64,351
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8

Selesai bercukur, dia membelek wajah di cermin. Paling ke kiri. Paling ke kanan. Bibirnya mengukir senyuman. “Masih kacak.” Dia memuji diri sendiri. Datuk Wahab tersenyum tanpa menyedari isterinya asyik memerhati dari tadi.

“Abang balik makan tengah hari tak hari ni?” tanya Datin Julaidah.

“Kenapa?” tanya Datuk Wahab kembali.

“Kan awak dah janji dengan anak manja awak,” jawab Datin Julaidah. Jasmin satu-satunya anak mereka, begitu manja dengan papanya.

“Janji? Janji apa?” tanyanya sambil merenung Datin Julaidah yang berada di sisinya. Pagi itu isterinya memakai celana panjang warna putih dipadankan dengan blaus berlengan panjang warna kuning telur. Awal pagi lagi isterinya sudah kelihatan anggun. Cantik. Persis anak dara lagi walaupun umur sudah hampir 50 tahun.

“Dah lupalah tu! Nanti Jess merajuk lagi,” tukas Datin Julaidah.

“Janji apa?” tanya Datuk Wahab lembut apabila gagal mengingati. Matanya menjeling cermin lagi. Semua butang pada baju kemeja telah dikenakan. Sekali lagi dia memerhati diri di cermin.

“Kan abang janji dengan dia, nak belikan dia kereta baru,” terang Datin Julaidah sambil memerhati suaminya yang asyik senyum sendiri sewaktu melihat cermin.

“Oh ya, terlupa pulak! Macam nilah! Jun aje pergi dengan dia ke kedai kereta tu,” saran Datuk Wahab. Dia terus mengenakan tali pinggangnya pula. “Hari ini, saya nak melawat tapak projek,” jelasnya lagi.

Sebagai pengarah urusan syarikatnya sendiri, dia perlu memantau perjalanan projek. “Projek Awana Mall tu,” terangnya lagi. Bimbang isterinya kebingungan kerana syarikat mereka memang sedang menjalankan banyak projek. “Dah dua, tiga minggu saya tak pergi tengok.”

“Melawat tapak projek? Ada apa-apa masalah ke, bang?” tanya Datin Julaidah. Suaminya diam. Sebaliknya wajah Datin Julaidah diperhati melalui cermin. Datuk Wahab menyisir rambutnya yang mula memutih sehelai dua.

“Takkan nak tunggu ada masalah baru nak pergi melawat,” jawab Datuk Wahab sebaik selesai menyikat rambut. Dia berpaling melihat Datin Julaidah.

“Mukhriz pergi mana? Kan kerja-kerja Wafa Construction tu di bawah tanggungjawab dia? Takkan semuanya abang yang kena pantau?” Pelik dengan kenyataan suaminya tadi.

“Mukhriz? Anak kawan baik awak tu?” Senyum nipis terpahat di bibir Datuk Wahab. Tidak perlulah bercerita tentang perjalanan syarikat kepada isterinya berlebih-lebih. Mukhriz memang tidak ada potensi untuk mengepalai apa-apa syarikat pun. Dia sepatutnya jadi tukang bancuh simen di tapak pembinaan saja!

“Kalau tak kerana memikirkan yang dia tu anak Sarah, dah lama saya campak dia dari syarikat tu!” jelas Datuk Wahab. Sempat matanya mengerling Datin Julaidah.

“Awak tunjuk ajarlah dia,” pujuk Datin Julaidah.

Datuk Wahab mencebik. Sakit kepalanya jika awal pagi lagi sudah memikirkan tentang Mukhriz. Nama saja ada ijazah dalam bidang pengurusan, tetapi kebolehan bekerja, sama taraf dengan buruh-buruh yang berkelulusan sekolah rendah.

“Awak pergi dengan Jess nanti ya?” kata Datuk Wahab. Cuba mengingatkan isterinya itu. Persoalan Mukhriz dilontarnya jauh-jauh. Jika boleh sewaktu bersama isterinya itu, dia tidak ingin mengingatkan hal kerja.

“Saya seorang nak kena pergi dengan Jess?” tanya Datin Julaidah.

Datuk Wahab hanya mengangguk. “Apa salahnya! Bukannya susah. Pergi tengok dan suruh Jess pilih kereta yang dia berkenan. Yang lain-lain saya uruskan,” jelas Datuk Wahab. Dia sudah siap berpakaian. Kemeja lengan panjang warna biru muda berjalur halus. Seluar panjang biru tua.Briefcase di atas katil dicapainya. Sekali lagi dia merenung cermin pada almari solek sambil menggayakan briefcase.

“Hai, pecahlah cermin tu, bang. Dahhandsome dah!” seloroh Datin Julaidah.

“Dah tua pun nak bergaya aje,” perlinya pula. Menyembunyikan rasa bangga melihat suami yang kacak dan bergaya. Tangannya pantas menyambar botol minyak wangi dan menyemburkannya ke tubuh suaminya itu.

“Kalau kacak bergaya pun, suami Jun jugak,” balas Datuk Wahab sambil senyum kambing. “Wangi pulak tu,” selorohnya dengan senyuman yang meleret. Sempat hujung telunjuknya mencuit pipi isterinya itu.

“Yalah, kacak bergaya sangat takut ramai pulak perempuan yang nak goda abang di luar sana,” balas Datin Julaidah. Pantas tangannya membetulkan kolar baju kemeja Datuk Wahab yang tidak sempurna di matanya. Suaminya sempat menjeling, manis.

“Jomlah kita turun,” ajak Datuk Wahab.

“Abang turunlah dulu,” kata Datin Julaidah. Dia terus masuk ke bilik air sebaik saja suaminya keluar dari bilik tidur mereka.

“Good morning,papa!”Manja suara Jasmin menegur papanya yang sedang menuruni tangga. Dia menyengih menunggu papanya hampir ke sisi.

“Assalamualaikum,” balas Datuk Wahab. Dia memerhati Jasmin yang hanya berseluar pendek kain denim biru muda dan baju-T putih tidak berlengan.

Air muka Jasmin serta-merta berubah apabila ucapangood morning dibalas dengan ucapan salam.

“Good morning,” kata Datuk Wahab pula apabila melihat wajah anak gadis itu menjadi keruh. Mendengar sapaan itu, senyuman manja terukir di bibir Jasmin. Wajahnya berseri semula. Datuk Wahab menjeling.

“Lain kali berilah salam. Kita kan orang Islam,” nasihatnya perlahan. Langkahnya terus diatur.

“Alah... apa bezanya, pa?” balas Jasmin.

Datuk Wahab tidak mengambil pusing jawapan anaknya itu. Takkan Jasmin tidak faham perbezaan antara ucapan salam mengikut ajaran Rasulullah dengan ucapan‘Good Morning.’

“Mama tak turun ke, papa?” tanya Jasmin sambil menarikkan kerusi untuk papanya. Datuk Wahab segera duduk.

“Sekejap lagi mama turun,” beritahu Datuk Wahab. Jasmin terus duduk di sebelahnya. Matanya merenung permukaan meja.

“Bibik!” laungnya. Pembantu rumah mereka segera dipanggil apabila melihat meja makan masih lagi kosong. Dua tiga kali dia memanggil, namun pembantu rumah mereka tidak juga muncul.

“Bibik cuti,” beritahu Datuk Wahab.

Jasmin terlopong.“Dia balik kampung sebab emaknya sakit,” jelas Datuk Wahab lagi. Bibik Misrah pembantu rumahnya berasal dari Bogor, Indonesia.

“Kenapa papa bagi dia cuti pulak? Susahlah kalau macam ni,” rungut Jasmin sambil mencebir.“Bibik cuti siapa yang nak masak nanti?” soalnya.

Datuk Wahab hanya menyorot ke wajah anak gadis itu. Nampak benar sikap Jasmin yang begitu mementingkan diri sendiri.

“Sepatutnya papa jangan benarkan dia bercuti!” rungut anak gadis itu lagi.

“Kenapa pula papa nak halang kehendak bibik melawat emaknya? Sewaktu ada nyawa emaklah, seorang anak wajib berbakti dan mengambil berat kepadanya. Kalau dah tak ada esok, baru nak teringat dan terkenang dah tak berguna lagi,” jawab Datuk Wahab panjang lebar.

Jasmin rasa tersindir. “Kalau dah nak berbakti kepada emak dia, tak payahlah datang kerja kat sini. Duduklah di celah ketiak emaknya,” balas Jasmin dengan suara perlahan.

“Alah, Jess yang duduk di celah ketiak mama pun belum tentu dapat berbakti kepada dia,” perli Datuk Wahab.

“Papa...” rengek Jasmin yang rasa tersindir.

“Jess tak tolong bancuh air untuk papa ke?” tanya Datin Julaidah yang baru masuk ke ruang dapur.

“Jess?” soal Jasmin kembali sambil menuding jari kepada dirinya sendiri. Dia tergaru-garu. Seumur hidupnya, dia tidak pernah pun membancuh air untuk sarapan mereka. Sedari kecil lagi, yang dia tahu duduk di kerusi dan semua makanan telah terhidang.

“Belajar-belajarlah,” nasihat Datuk Wahab. Wajah manja Jasmin ditatap seketika.

“Takkan dah jadi anak gadis, air kopi pun tak tau nak buat,” sambung Datuk Wahab lagi. Sekaya mana atau setinggi mana pun pelajaran seorang wanita itu, dia mesti tahu tugas-tugas di dapur. Itulah pendapatnya.

“Nanti kalau kahwin dengan Iskandar macam mana?” tanya Datin Julaidah lembut.

“Agaknya Iskandar akan sediakan dia dayang setengah dozen,” seloroh Datuk Wahab. Cuba menduga hati Jasmin. Entah ia entah tidak Iskandar akan menyuntingnya. Dia tidak begitu yakin dengan percintaan mereka itu. Entah-entah cinta gorila sebab nak kata cinta monyet pun kedua-duanya sudah masuk fasa dewasa. Bukan anak belasan tahun lagi.

“Itu pun kalau bernasib baik! Kalau Iskandar ada pencetak wang kertas atau pokok duit,” gurau Datuk Wahab lagi. Megah Enterprise, syarikat yang dimiliki oleh keluarga Iskandar hanya menanti masa untuk gulung tikar. Itulah khabar angin yang didengarnya.

“Atau dia nak suruh suami dia tatap wajahnya aje dari pagi sampai petang. Tak payah minum, tak payah makan.” Sindiran Datuk Wahab semakin tajam.

“Alah, papa ni... nanti Jess belajarlah,” rajuk Jasmin. Dia paling tidak suka mendengar orang membebel.

“Bagus!” puji Datuk Wahab, sempat menjeling ke wajah anaknya itu. “Sementara tu, ambilkan papa air suam,” mintanya pula. Sekadar menduga Jasmin sebab anak gadis itu selain daripada perangainya yang manja dan mengada-ngada, bukannya perajin juga.

“Hah, kalau yang itu, boleh,” jawab Jasmin. Pantas sahaja dia beredar dari situ. Datuk Wahab merenung wajah isterinya. Mereka berbalas renungan beberapa ketika.

“Abang ajaklah dia kerja di syarikat kita,” cadang Datin Julaidah, lembut memujuk.

“Nak kerja apa di sana? Jadi tukang bancuh air ke atau jadi tukang sapu?” tanya Datuk Wahab. Sebal. Geram. Segalanya berbaur.

“Nak jadi tukang bancuh air, bancuh air kopi pun tak tahu,” koyok Datuk Wahab.“Atau tukang cuci tandas. Yang itu bolehlah. Mak Cik Jamadiah tukang cuci tandas kat pejabat itu pun dah nak berhenti hujung bulan ni.” Selamba sahaja kata-kata itu terungkap oleh bibirnya.

“Abang!” Datin Julaidah terjerit. Langsung tidak menduga suaminya akan berkata begitu. Begitu rendah Jasmin pada pandangan suaminya itu.“Jess itu satu-satunya anak yang kita ada! Takkanlah nak suruh dia jadi tukang bancuh kopi, tukang sapu atau tukang cuci tandas pulak?” marah Datin Julaidah.

“Habis tu, nak suruh dia jadi apa?Manager? Apa yang dia tahu? Semuanya tak reti. Tahunya melaram, bercinta,shopping! Lagipun tak usah pandang rendah pada kerja-kerja kuli. Ada jugak tukang cuci pada asalnya, sudah menjadi usahawan dan tokoh korporat berjaya!” tegas Datuk Wahab.

“Abang dulu pun kuli jugak. Tapi setiap orang yang berakal, mesti ada cita-cita untuk menambah baik taraf kehidupannya. Dulu abang belajar kelas malam dan bekerja sebagai pencuci bangunan. Abang berdikit-dikit. Simpan duit. Lepas tu, abang beli tanah. Ada orang berminat hendak mengusahakan pertanian tetapi tak ada tempat, tanah itu abang sewakan...”

“Alah, bang! Jun tahulah tentang itu. Dah banyak kali abang cerita. Tapi, Jess tu perempuan.” Datin Julaidah masih membela anak gadisnya.“Lainlah kalau anak kita tu lelaki, bolehlah diharapkan untuk mengambil alih syarikat,” sambungnya lagi.

“Alah, zaman sekarang ni untuk menempa kejayaan tak disempadankan oleh gender! Tapi, Jess tu tak ada keinginan. Dia perasan dia anak orang kaya. Saya sendiri pun tak pernah rasa yang saya ni kaya,” rungut Datuk Wahab.

“Tak usahlah berkira sangat. Tawarkanlah dia jawatan yang baik sikit kat ofis tu,” pujuk Datin Julaidah dengan harapan.

“Sebab itu dia kena sambung pengajiannya. Kalau dia tak ada ilmu macam mana nak menguruskan Perkasa Holding bila saya dah mati nanti?” tanya Datuk Wahab. Serius sekali suaranya.“Sekurang-kurangnya ada diploma dalam pengurusan sumber manusia, jika otaknya dah bengap sangat tidak mahu belajar tentang bisnes. Jangan nanti bila saya mati mengejut esok, dia tak tahu nak buat apa-apa. ”

“Hisy! Abang ni, ke situ pulak!” protes Datin Julaidah. Perkataan mati memang menggerunkannya. Kehilangan orang yang disayangi amat menakutkannya.

“Mati itu tetap datang,” ujar Datuk Wahab perlahan. “Setiap yang hidup pasti akan mati. Tidak perlu digusarkan.” Leteren Datuk Wahab berpanjangan pula.

“Tak apa, bang. Nanti Jun pujuk dia, ya?” kata Datin Julaidah mengelakkan perbalahan dengan suaminya di awal pagi. “Jun pergi sediakan sarapan dulu,” beritahunya lagi. Nampak gaya angin suaminya tidak betul pada pagi itu. Jarang-jarang suaminya itu naik angin semenjak perkahwinan mereka yang sudah menjangkau usia dua dekad.

“Maaf, papa. Lambat bawakan air untuk papa. Jess tak tahu Bibik Misrah simpan gelas kat mana. Kena cari pulak,” adu Jasmin lembut.

“Dah Jess rajin sangat pergi ke dapur. Sebab itu semuanya tak tau,” perli Datuk Wahab.

“Papa,” panggil Jasmin merengek.

“Hmm... nak bodek apa pagi-pagi ni?” tanya Datuk Wahab dengan suara sedikit tegang.

“Papa jadi tak nak belikan kereta baru untuk Jess?” tanya Jasmin. Janji papanya pasti dituntut sehingga dia memperoleh kereta yang menjadi idamannya.

“Yes, dengan syarat!” jawab Datuk Wahab tegas. Jasmin anak yang terlalu dimanjakan dengan kemewahan. Sesekali dia perlu bertegas agar gadis itu tidak lupa daratan.

“Anything!Asalkan papa tak suruh Jess sambung belajar.Jess tak naklah pa...boring...” Air mukanya berubah muram. Sudah acapkali mama dan papanya memujuk supaya dia menyambung pengajiannya.

“Boring? Habis tu, duduk-duduk di rumah ni buang masa, takboring ke?” tanya Datuk Wahab.

Jasmin menggaru-garu pipinya sambil merenung wajah papanya dengan pandangan jengkel.

”Kalau boring duduk kat rumah, Jess boleh pergishopping,” balasnya sambil menundukkan muka. Bibirnya digigit perlahan tanda protes.

“Asyik shopping tak boring?” duga Datuk Wahab lagi.

“Alah! Papa sengaja nak jerat Jess. Jess tetap tak mahu sambung studi lagi. Jess tak suka! Nak baca buku! Nakexam! Eh, macam neraka! Dulu, papa dah janji... kalau dapat keputusan bagus dalam SPM, Jess boleh enjoy! Jess dah tunaikan hajat papa. Kenapa sekarang ni papa suruh Jess studi balik?” tanya Jasmin sambil mengungkit.

“Tak mahu dengar kata papa, tak ada kereta baru! Gunalah kereta yang ada tu sampai reput! Sampai masuk dalam neraka!” tengking Datuk Wahab. Kedegilan Jasmin kadangkala membuatkan dia hilang sabar.


Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.