Home Novel Cinta Sapu Tangan Biru
Sapu Tangan Biru
3/6/2014 14:42:53
64,365
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 9

Jam buruk di atas almari solek yang usang dikerlingnya sekilas. Sudah 9.00 malam. Ray masih belum pulang dari masjid sejak waktu maghrib tadi. Ray sudah dua hari berhenti kerja dari Restoran Abang Ba. Nampaknya, Ray sudah bertekad untuk mencuba nasibnya di perantauan.

Pandangan Fazidatul terlempar di atas katil. Ada beberapa helai baju Ray yang sudah dilonggokkan di situ. Dia mencapai dua baju kemeja dan beberapa helai baju-T yang paling elok. Kemudian, dia mencapai beg pakaian dari bawah katil. Beg kanvas berwarna hitam itu sudah berdebu. Puas dia menepuk-nepuk permukaan beg itu untuk membuang habuk dan debu. Fazidatul terbatuk-batuk. Bunyi derap tapak kaki yang memijak papan lantai menuju ke bilik tidak diendahkannya.

“Mak siapkan pakaian untuk Ray ke? Tak payahlah, mak. Nanti Ray buat sendiri,” tegur Ray sebaik melihat emaknya sedang memasukkan pakaian ke dalam beg.

“Tak apalah, Ray. Tak banyak pun kain baju yang emak bekalkan,” jawab Fazidatul. Matanya merenung Ray yang merebahkan diri di atas tilam nipis. Dia nampak keletihan. Wajahnya juga sugul.

“Ray nak pergi cari kerja di mana, nak?” tanya Fazidatul. Anak muda itu nampaknya sedang berfikir-fikir.

“Belum tahu lagi, mak,” jawab Ray bersahaja. Kalau mengikut kapal, dia akan bertarung ombak di lautan. Kalau ke kota, dia akan bersaing dengan manusia. Baginya, di bumi mana pun dia berada nanti, dia harus melakukan segalanya dengan bersungguh-sungguh demi merealisasikan cita-citanya.

Fazidatul mengerling. Berderau darahnya sejenak. Jawapan itu melemaskannya. Ungkapan ’belum tahu’ yang dilontarkan Ray bermaksud dia akan terumbang-ambing di rantau orang. Matanya merenung Ray yang masih berbaju Melayu dan berkain pelikat.

“Ray ada kawan-kawan yang boleh membantu ke?” tanya Fazidatul lagi. Jika Ray berteman sewaktu di rantau berkuranganlah sedikit rasa bimbangnya.

“Tak ada juga,” jawab Ray. Kali ini, jawapannya diiringi tawa kecil. Ray bangun lalu duduk di birai katil bujangnya. Dia menyorot pandang ke wajah emaknya.

“Kenapa, mak? Mak risau ke?” soalnya lalu berdiri. Setelah itu, dia menyelak tilam dan mengambil sampul surat besar berwarna putih yang sudah kekuningan. “Mak tak usah risau ya, mak” pujuknya apabila pertanyaannya tadi tidak mendapat jawapan.

“Mestilah mak risau. Nanti Ray nak tidur di mana? Makan di mana? Mandi di mana?” tanya Fazidatul. Dahinya dikerutkan sewaktu memandang Ray yang nampak tenang dan selamba.

“Ray lelaki, mak. Tahulah Ray nak hidup,” jawab Ray lalu memasukkan sampul surat tadi ke dalam beg pakaian yang sudah dizip oleh emaknya. Di dalam sampul surat itu tersimpan segala sijil persekolahannya. Dokumen-dokumen penting itu mungkin diperlukan untuk dia melamar pekerjaan di kota nanti.

Fazidatul hanya memerhati. Sesuatu melintas di fikirannya dengan tiba-tiba.

“Betul tak, mak! Kalau anak gadis, lainlah,” tukas Ray lagi mempertahankan pendiriannya. “Orang lelaki ni, tidur kat masjid pun boleh.” Lebar senyuman yang terukir di bibirnya.

“Hmm, macam mudah aje,” sinis kata-kata emaknya. Ray senyum. Fazidatul bangun lalu mengambil sesuatu dari dalam laci almari pakaian. Di hadapan almari, dia mengamati dokumen di tangannya berulang kali. Hatinya berbelit-belit. Sama ada terus menyimpan atau menyerahkannya kepada Ray. Akhirnya, keputusan dibuat.Setelah itu, dia kembali duduk di sisi Ray.

“Ini surat beranak, Ray. Simpanlah sekali dengan sijil-sijil sekolah tadi. Esok-esok nak cari kerja senang,” katanya.

“Terima kasih, mak...” ucap Ray. Sampul surat besar yang telah disimpan di dalam beg dikeluarkan semula. Tak sempat membaca, sijil beranak itu disumbatnya ke dalam sampul surat.

“Simpan elok-elok, Ray. Nanti habis berkedut semua sijil-sijil tu,” tegur emaknya. Ray menyeringai. Sampul surat yang berlipat dibetulkan semula. Setelah berpuas hati, beg pakaian dizipkan kembali.

“Pagi esok, Ray bertolak ya, mak?” beritahu Ray. Beg yang berisi pakaiannya direnung sekilas. Perasaannya jadi sayu. Di saat perpisahan mereka esok, janganlah hatinya tersungkur sedih.

Fazidatul mengangguk. Walaupun hati terasa berat, dia terpaksa melepaskan Ray pergi.

“Ray nak ambil gambar emak dan ayah sekeping ya,” pinta Ray.“Untuk ditatap sewaktu sedang rindu.”

Fazidatul menganggukkan kepala. Dadanya mula diasak sebak. Perasaannya tiba-tiba meruntun. Lantas, dia tidak dapat bersuara dan membalas kata-kata Ray.

“Ray bawa gambar Dania dan Iwan juga,” beritahu Ray sambil senyum meleret. Perhubungan mereka tiga beradik memang akrab. Gambar adik-adiknya ditatap seketika sebelum dimasukkan ke dalam beg.

Fazidatul menahan perasaan apabila melihat Ray mengucup gambar Dania beberapa kali sebelum menyimpannya.

“Kenapa Ray cium gambar Dania tu?” duganya. Jiwanya dipasung bimbang. “Macam cium gambar kekasih aje,” usiknya pula.

Berdebar dada Ray mendengar usikan emaknya itu. Naluri halus emaknya seolah-olah dapat membaca riak di hatinya pula.

“Mak ni. Itu pun mak nak tanya. Sebab sayanglah, Ray cium gambarnya. Kami, kan rapat, mak?” tanya Ray sambil ketawa. Pipinya tiba-tiba menghangat. Entah mengapa, dia tidak perasan yang kelakuannya diperhatikan oleh emaknya.

“Gambar emak dan ayah, Ray tak cium pun,” gurau Fazidatul. Ray terkumpal-kumpal. “Ray tak sayang pada emak atau ayah ke?” usik Fazidatul lagi.

Hanya ketawa kecil yang membalas ungkapan emaknya itu. Sekali lagi dia rasa termalu. “Emak ni sengaja nak usik Ray,” kata Ray cuba mematikan kata-kata emaknya.

“Takkanlah Ray tak sayang pada mak dan ayah. Tanpa mak dan ayah, tak ada Ray kat dunia ni, mak!” sambung Ray.

“Ray, di tempat orang nanti pandai-pandailah bawa diri. Sembahyang jangan ditinggal. TUHAN jangan dilupa,” pesan Fazidatul dengan suara bergetar.

“InsyaALLAH, mak. Tak usahlah mak bimbang,” janji Ray. “Mak dan ayah dah beri didikan agama pada Ray. Walau apa pun yang terjadi, ALLAH mesti diutamakan. Kita ni hanya hamba ALLAH yang menumpang di atas muka bumi. Jangan lalai menyediakan bekalan untuk hari akhirat,” balas Ray panjang lebar.

“Walau apa pun yang terjadi, cita-cita utama Ray tetap ingin mendapat kejayaan dunia dan akhirat. Meskipun tujuan berhijrah dan merantau untuk mencari rezeki bagi mengubah kehidupan kita, keredhaan tuhan masih menjadi matlamat Ray, mak.”

Wajah emaknya dipandang lama. Walaupun hati berasa berat untuk meninggalkan emak dan adik-adik, dia terpaksa tahankan juga. Segala bisikan dan pujukan hati yang mungkin menggagalkan keinginannya itu ditentang dan dilawan habis-habisan. Dia harus berani melawan cabaran dan dugaan yang bakal mendatang.

“Baguslah, Ray. Sentiasa ingat dan berpegang pada tali ALLAH ya, nak,” pesan Fazidatul lagi. Hatinya terasa damai mendengarkan kata-kata Ray tadi.

“Nanti Ray tulis surat untuk mak,” katanya lagi. Tanggungjawab menyara keluarga terletak di atas bahunya. Dia bertekad sebaik sahaja bekerja dan mendapat gaji, dia akan mengirimkan duit kepada emaknya.

“Dania dan Iwan dah tahu ke Ray nak pergi esok, mak?” tanya Ray.

Fazidatul mengangguk. Dania menangis sebaik sahaja diberitahu yang Ray akan meninggalkan mereka esok.“Iwan tu tak apalah. Hati budak lelaki ni lain,” ujar Fazidatul. Suasana menyepi seketika.

Ray seolah dapat meneka apa yang akan diungkapkan oleh emaknya sebentar lagi.“Tapi, Dania menangis.” Suara Fazidatul hampir tidak kedengaran.“Dia sedih...”

Ray diam sejenak. Dia faham perasaan Dania. Maklumlah, mereka sangat rapat. Beberapa hari yang lalu pun, Dania menangis di subuh hari. Hampir terbentur juga hatinya. Namun apabila terkenangkan kata-kata penghinaan yang pernah diterima, semangatnya bangkit semula. Dia tidak mahu keluarganya dipandang rendah oleh sesiapa sampai bila-bila.

“Mula-mula memanglah Dania akan rasa kehilangan,” balas Ray lembut. Dia pun begitu juga. Pasti selepas ini rasa sunyi akan menjadi temannya. Tanpa Dania, hidupnya tentu rasa asing.

“Lama-lama nanti Dania akan biasa, mak. Selama ini, kita berempat tak pernah dipisah-pisahkan. Tapi untuk kehidupan keluarga kita dan diri Ray sendiri... Ray harus pergi,” sambung Ray dengan penuh semangat. Sekali dia berazam untuk melangkah ke depan, dia tak akan berundur.

“Ray jangan bimbang pasal Dania. Nanti mak pujuklah. Mak nasihat dia elok-elok. Dia sedang merajuk tu,” janji Fazidatul.

Ray menekur lantai beberapa ketika.Menyembunyikan rasa duka yang telah tercanai di jiwa. Sehari dua ini, hati kecilnya rasa tidak gembira. Macam-macam hal yang mendatangi fikiran. Boleh atau tidak dia berpisah dengan Dania lama-lama? Kadang-kadang dia rasa ragu dengan keperkasaan jiwanya sendiri.

Fazidatul menjeling.“Apa yang Ray fikirkan lagi?” soalnya. Wajah anak muda kesayangannya itu ditatap lembut.

“Risau pulak, Ray. Takut persekolahan Dania terganggu.” Ray mengusap kepalanya perlahan. Meredakan ketegangan fikiran. Kalau persekolahan Dania terganggu akan menjejaskan keputusan SPMnya.

“Kalau begitu, pergilah Ray nasihatkan dia,” cadang Fazidatul. Wajah Ray disoroti. Wajah anak muda itu juga nampak sugul. Mungkin fikiran Ray juga sedang kusut. Sama seperti dia. Sama macam Dania.

“Baiklah, mak. Biar Ray bagi khutbah kat dia sekejap,” gurau Ray. Kesugulan di wajahnya terus lenyap. Fazidatul turut ketawa. Suasana sayu bertukar ria. Ray memang pandai meredakan kegelisahan hati orang di sekelilingnya.

Melilau mata Ray mencari Dania. Di dalam rumah yang tidak begitu luas itu mudah saja Dania ditemui. Adiknya itu sedang meniarap di atas lantai sambil membuat kerja sekolah di anjung. Telapak kaki Dania menjadi sasaran kuku ibu jarinya. Sengaja Ray menggeletek telapak kaki Dania.

“Abang ni, kenapa?” tanya Dania tanpa berpaling melihat Ray. Cuma kakinya sahaja bergoyang-goyang menahan rasa geli.

“Dania,” panggil Ray lembut. Dania tidak menjawab.“Pagi esok, abang dah nak pergi,” beritahu Ray. Dania buat tak dengar.“Dania tak kisah, kan?” tanya Ray.

Mendengar pertanyaan Ray itu, Dania segera berpaling. Tajam renungannya pada Ray.“Siapa cakap Dania tak kisah?” Dia bangun dan duduk bersila di hadapan Ray.“Selama Dania hidup, abang sentiasa ada di samping Dania,” rengeknya. Air matanya pula bergenang. Dia mula teresak.

“Eeii... macam budak darjah satu! Mata Dania ni, macam paip bocor pulak, asyik meleleh aje,” seloroh Ray.

Dania berasa lucu dengan kata-kata itu. Tangisannya berubah menjadi tawa pula.

“Hah! Kalau Dania ketawa begitu, barulah Abang Ray bersemangat untuk pergi merantau,” tukas Ray.

“Alah... abang tu memang tak pernah menghargai air mata Dania,” balas Dania seolah merajuk. Bibirnya yang nipis comel dimuncung-muncungkan.

“Abang tak suka pada air mata kesedihan!” tegas Ray. Dia senyum puas apabila melihat adiknya kembali ceria.

“Macam tak sayang pada Dania aje! Orang kalau sayang dia mesti hargai segalanya. Air mata sedih ke, gembira ke,” balas Dania. Esakannya kedengaran jarang-jarang.

“Tak sayang pulak! Dania tu yang tak sayang abang, kalau iringi pemergian abang dengan air mata,” kata Ray.

“Siapa kata Dania tak sayang? Selepas mak, abanglah orang yang paling Dania sayang, tau tak...” beritahu Dania.

“Bagus! Kalau sayang pada abang mesti buktikan,” balas Ray sambil menyengih.

“Okey, nanti Dania buktikan,” janji Dania. Dia senyum-senyum sambil mengesat pipi yang basah.

“Macam mana?” soal Ray sambil senyum sumbing.

“Dania janji akan score 9A1 untuk SPM nanti,” jawab Dania.

“Bagus...” balas Ray. Sepantas kilat bibirnya singgah di ubun-ubun Dania. Berderau darah Dania. Tubuhnya menghangat. Belum pernah lagi Ray menciumnya sejak mereka sudah menjadi besar panjang.

“Ray... Dania!” pekik Fazidatul. Sejak tadi dia memerhati dari jauh telatah dua beradik itu. Fazidatul mengusap dadanya perlahan.

“Kenapa, mak?” tanya Dania dan Ray serentak.

Fazidatul terkumpal-kumpal untuk menjawab.“Err... tak ada apa-apa,” ungkap Fazidatul akhirnya.

“Mak nak suruh Dania siapkan makan malam untuk kita ke?” tanya Dania pula. Suaranya kuat.

“Eloklah tu, Dania! Sekejap lagi Iwan balik, kita boleh makan sama-sama,” jawab Fazidatul. Dia terus beredar ke bilik semula. Ray dan Dania pandang-memandang.

“Abang tolong Dania, ya,” bodek Dania seraya bangun. Buku-buku yang berserakan disusun di tepi dinding.“Abang tolong goreng ikan bilis,” suruh Dania, tanpa melihat Ray. Mereka memang selalu masak bersama-sama jika abangnya ada di rumah.

“Okey, Dania punya pasal, jangan kata ikan bilis, ikan jerung pun abang boleh tolong gorengkan,” balas Ray sempat bergurau. Ketawanya semakin kuat apabila tamparan manja Dania hinggap di lengannya.

“Nak goreng ikan jerung konon! Tak sempat nak gorengkan, abang yang kena ngap!” tempelak Dania.

Ray ikut ketawa.

Jom!” kata mereka sama-sama. Mereka berjalan bertolak-tolak menuju ke dapur. Masih berseloroh. Suara mereka yang bercakap kuat sambil ketawa singgah di telinga Fazidatul. Perasaannya terus berbaur. Anyaman duka dan ukiran resah terpintal-pintal. Lautan hati terus dilanda gelora rasa serba salah. Dia pula menuju ke dapur untuk bersama-sama anak itu. Dania dan Ray yang sedang menyediakan hidangan untuk makan malam mereka.Dania dan Ray yang akan berpisah esok.
Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.