Home Novel Cinta Sapu Tangan Biru
Sapu Tangan Biru
3/6/2014 14:42:53
64,766
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6
SUNYINYA malam ini mencengkam ke ulu hati. Ray balik dari Restoran Abang Ba saat rumahnya sudah diselubungi sepi. Naik sahaja ke rumah, dia terus melepaskan lelah dan duduk di kerusi rotan tinggalan arwah ayah mereka. Fikirannya terus berlegar. Teringat perbualannya dengan Pak Seman di dusun pagi tadi. Terkenang pula kata-kata penghinaan yang diterima daripada gadis bongkak kelmarin. Lantas, dia menyeluk saku seluar dan mengeluarkan sapu tangan yang bergumpal-gumpal. Sapu tangan sutera berwarna biru muda itu ditayangkan di hadapan matanya. Di satu bucu sapu tangan itu terjahit nama Jasmin. Bayangan wajah pemiliknya juga menari-nari di ingatan. Ray menghela nafas perlahan. Kedua belah tangannya diletakkan di belakang kepala sambil menyandar di atas kerusi malas. Tubuhnya digoyang perlahan. Ingatannya terus menjalar pada peristiwa malam kelmarin. “Sapu tangan tu memang aku punya! Tapi kau dah pegang, kan? Aku jijik... eeii!” “Kalau kau kemaruk sangat, kau simpanlah sapu tangan tu! Sekarang blah! Aku nak undur kereta!” Nafas Ray turun naik. Emosinya berubah marah. Seumur hidupnya belum pernah sekali dia dimarahi begitu. Dua kali dia dimalukan oleh gadis itu. Kali pertama di dalam restoran. Kedua, di tempat parkir kereta. “Wajah saja cantik! Budi bahasa macam hampas! Kalau perempuan macam kau tu, bagi percuma pun aku tak ingin! Kalau aku dah jadi jutawan nanti, perempuan macam kau tu, cuci kuku kaki aku pun tak layak!” rengus Ray. Sapu tangan dikepal-kepal dengan perasaan geram. “Abang! Tolong ajar Dania buat home work!” Terjahan suara Dania menyentak lamunan Ray. Cepat-cepat dia menyorokkan sapu tangan di dalam poket seluarnya. Nasib baik Dania tidak perasan dia sedang menyorokkan sesuatu. Jika tidak, riuh mulutnya ingin mengambil tahu. “Alahai, kan dah tengah malam ni, Dania? Petang tadi kenapa tak buat?” tanya Ray. Wajah Dania direnungnya. Dania yang sedang meningkat remaja. Pada dia, Dania gadis yang paling cantik. Senyuman yang terlukis di bibirnya selalu manis. Sentiasa manja. “Alah... Dania tunggu abang.” Buku latihan Matematik Tambahan dihulurkan kepada Ray. Lambat-lambat Ray menyambutnya. “Petang tadi, kan abang ada kat rumah?” Pukul 6.30 petang, baru dia memulakan tugas di Restoran Abang Ba. “Petang tadi lepas balik dari sekolah, Dania penat sangat. Nak buat kerja sekolah pun takut tak fokus,” jawab Dania sepatah-sepatah. “Lagipun emak dah bagitau...abang penat... jangan ganggu abang...” “Ada saja alasan dia. Kalau abang tak balik tadi?” Ray pura-pura marah. Dania menggaru-garu pipinya sambil menyengih. Dia tahu Ray hanya pura-pura marah kepadanya. “Takkan abang tak balik,” balas Dania manja. Ray diam. Daripada wajah Dania, bola matanya beralih dan menari-nari di permukaan buku latihan pula. Dania hanya memerhati sambil menggigit hujung batang pensel. Mata Ray terus memerhati angka-angka yang tercoret pada buku latihan. “Alahai, Dania! Masalah Matematik yang simple macam ni pun tak tahu nak selesaikan,” kata Ray. Pensel di tangan Dania diambil. Ray menconteng-conteng di atas kertas lain sambil menunjuk ajar Dania. “Eh, eh... mudahnya. Tadi Dania dah cuba selesaikan setengah mati. Kenapa tak dapat jawapan?” Dania teruja. ‘Abang Ray memang cekap Matematik!’ pujinya dalam hati. “Formula tak tahu, itu pasallah!” perli Ray sambil hujung jarinya menunjal dahi Dania. Dania tersipu-sipu. Dia terus menjarakkan dirinya dengan Ray. Bukannya apa, emak selalu berpesan begitu. Jangan rapat sangat dengan orang lelaki. Dania sudah jadi anak dara. “Dania...” panggil Ray perlahan. “Ya, bang,” jawab Dania sambil menoleh. Dari tadi dia melihat abang kesayangannya itu seolah-olah ingin mengatakan sesuatu. Ray diam agak lama. Hujung jarinya menggosok-gosok dagunya sendiri. “Kenapa bang? Abang dah nak kahwin ke?” Agak bosan menunggu jawapan daripada abangnya, Dania menyoal lagi. Kali ini pertanyaannya berganda. Bibir Ray menyimpul senyuman. Langsung dia tidak menduga fikiran Dania akan menjalar sejauh itu. Diri sendiri dan keluarga pun tidak mampu diberi kesenangan lagi, inikan pula hendak mengahwini anak dara orang. Buat mencari masalah. “Hisy, ke situ pulak!” bantah Ray. Jarinya sempat mencuit pipi Dania. “Kalau nak kahwin, abang nak cari anak gadis yang cun macam Dania,” selorohnya. Dania tergelak. Perasan pula bila dipuji begitu. “Habis tu?” celah Dania. Wajah abangnya nampak serius seperti sedang memikirkan sesuatu yang berat. “Kalau abang tak ada kat rumah ni, Dania boleh tak tolong jaga emak dan Iwan?” Jelas kedengaran suara Ray. Dia melemparkan pandangan ke luar jendela. Kegelapan malam membayangkan masa depannya. Jika dia tidak berusaha untuk memperbaiki kehidupan, kesusahan dan kemiskinan akan kekal setia mengurungi hidup mereka. Pasti gelap macam suasana malam. Jadi, dia harus memulakan langkah pertama untuk berubah. Mendengar pertanyaan Ray, perasaan Dania menjadi sayu. Hatinya bagai dicengkam-cengkam. Kegembiraan yang melakari kehidupannya selama ini, seolah-olah terbang perlahan-lahan. “Abang nak pergi mana?” Dada Dania mula diasak rasa sebak. Belum pernah lagi dia berpisah dengan abangnya itu. Semenjak dia lahir ke dunia ini, Ray telah berada bersamanya. Mereka tidak pernah berpisah walaupun sehari. “Kalau abang tak ada, siapa nak ajar Dania Matematik?” Suaranya mula bergetar. Air mata yang bergenangan terus meleleh di pipi. Tidak sanggup rasanya untuk berpisah dengan abangnya itu. Entah-entah hidupnya jadi tidak menentu. Layu bagai pepohon di musim kemarau. “Abang...” rengek Dania, terus menangis macam budak kecil sambil mengesat mata dengan belakang tapak tangan. “Eleh, macam budak-budak tadika, Dania ni! Abang cakap macam tu pun dah nangis,” ejek Ray. Jarinya menguis air mata di pipi Dania. “Nangislah! Abang cakap abang nak pergi tinggalkan rumah, kan? Abang nak pergi ke mana?” desak Dania terus. “Abang nak cari kerja kat tempat lain,” beritahu Ray selamba. Nafas dihela lambat-lambat. “Kerja di kedai Abang Ba tu, kenapa? Dah lama juga abang bekerja kat situ, kan?” tanya Dania. “Restoran tu, Abang Ba punya. Bukan abang punya,” jawab Ray sambil membetul-betulkan lehernya yang sengal. Kakinya yang lenguh diurut perlahan. “Selama ini pun, abang kerja kat situ jugak. Boleh jugak kita makan,” balas Dania masih cuba menghalang keinginan abangnya itu. Kalau Abang Ray tiada di rumah, pasti hatinya akan berasa sunyi. Dia akan berasa kehilangan. Kotak rasanya pasti akan dihuni oleh kesunyian dan kerinduan. “Memanglah boleh makan. Tapi, abang tak boleh jadi kaya kalau asyik kerja kat restoran tu aje. Takkan abang nak jadi pembantu restoran sampai bongkok tiga. Dah lama abang kerja kat restoran tu. Dari sekolah menengah lagi. Kita mesti berusaha untuk memajukan diri sendiri, Dania...” terang Ray. “Contohnya, kalau kita kerja jaga lembu. Takkan nak jaga lembu, berus badan lembu, gosok gigi lembu sepanjang hayat. Kita mesti ada cita-cita untuk menjadi usahawan yang menternak lembu. Kita pula yang sediakan kerja untuk orang lain. Kita jadi tauke.” Panjang hujahan Ray. “Kita jadi orang kena selalu gunakan...“ Ray mengetuk kepala dengan hujung telunjuknya. Memang nasib setiap manusia telah ditentukan ALLAH, tetapi setiap manusia ada hak untuk memilih nasibnya. Pasti ALLAH Yang Maha Pengasih dan Penyayang akan memberikan kejayaan atau nasib, berdasarkan apa yang diusahakan oleh hamba-NYA. Dania ketawa kecil mendengar penjelasan abangnya itu. Kedengaran lucu, tetapi padat dengan mesej. Dia seolah-olah terlupa pada tangisannya sebentar tadi “Kalau hidup miskin orang benci, tau tak?” rungut Ray lagi seolah merajuk. Hatinya bagai dicucuk-cucuk. Telinganya masih terngiang kata-kata penghinaan yang diterimanya. Renungan gadis itu yang amat menyakitkan hatinya, abadi terakam di sanubari. “Lah... sebab kita dah tak ada ayah. Memanglah hidup susah sikit,” tukas Dania. Hatinya juga diintip pilu. Teringat kepada arwah ayah yang begitu penyayang. Namun, perginya tidak kembali lagi. Di saat mereka adik-beradik sedang memerlukan kasih sayang dan perhatian seorang ayah, beliau meninggal dunia kerana serangan jantung. “Sebab itulah abang kena berusaha untuk mengubah paksi kehidupan kita. Abang tak mahu terus berkiblatkan kemiskinan dan kesusahan. Keluarga kita dah jadi tanggungjawab abang,” jelas Ray perlahan. Cita-cita dan impian tak mungkin tercapai dengan berangan-angan. “Takkanlah nak biar orang hina abang sepanjang hidup.” Ray seolah-olah merintih. Seiring dengan rasa sayu yang menyelubungi hatinya pada saat itu. “Siapa yang hina abang?” soal Dania. Dia sempat menoleh ke arah Ray yang nampaknya sedang gelisah. Ray tidak menjawab. Tidak perlulah dia bercerita kepada Dania peristiwa di restoran semalam. Mengingatkan wajah gadis yang sombong itu menyebabkan hatinya seperti dibakar. “Tapi, dulu abang kata takkan tinggalkan kami. Takkan tinggalkan emak. Abang nak duduk di kampung sampai bila-bila,” ungkit Dania. Buku latihan Matematik segera diletakkan di atas pangkuannya. “Dulu, emak tak berapa sihat selepas ayah pergi, sebab itulah abang tak mahu pergi ke mana-mana,” jelas Ray apabila tidak mendengar suara Dania. “Pada waktu tu, Dania dan Iwan pun kecil lagi. Tak sampai hati abang nak tinggalkan,” ungkap Ray lagi. “Kerjalah di restoran tu, bang... sampai Dania habis SPM,” pujuk Dania manja. Lehernya dilintukkan sewaktu merenung Ray. “Lagipun... kawan-kawan Dania dah pakat-pakat hendak tuisyen dengan abang. Mereka akan bayar duit pada abang,” umpan Dania. Abangnya di antara pelajar terpandai sewaktu bersekolah dulu, pasti tidak lokek untuk mengajar dia dan kawan-kawannya. Subjek Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris memang abangnya pakar. “Kawan-kawan Dania nak tuisyen dengan abang?” tanya Ray. Dia senyum singkat sambil menggelengkan kepala. Idea Dania dan kawan-kawannya memang bernas, tetapi sudah terlewat. Dia sudah membuat keputusan untuk berhijrah. Muktamad. Mustahil dia membiarkan dirinya terbelenggu di dalam kepompong kesusahan buat selamanya. “Abang... tak usahlah pergi ya?” rengek Dania memujuk. “Sekarang pun emak tak begitu sihat juga, kan?” tanyanya meraih simpati. Pandangannya singgah pada wajah Ray. “Abang tahu,” jawab Ray. Keluhan kecil dilepasnya lagi. Jari-jemarinya menggaru pelipis yang tiba-tiba terasa gatal. “Kerana emak tak sihatlah, abang kena tambahkan lagi pendapatan kita. Memang doktor di hospital kerajaan bersepah, tetapi sakit emak mungkin perlukan rawatan pakar.” Perlahan suara Ray. Dania terdiam. Terkebil-kebil dia memandang Ray. “Tetapi bukan pasal penyakit emak saja yang menyebabkan abang kena berhijrah. Perkara ini memang dah lama sangat abang fikirkan, Dania. ” Bicara Ray terhenti lagi. Memang sudah beberapa bulan dia memikirkan tentang hal itu. Dia perlu menghidu peluang kerja di tempat lain untuk menambah pendapatannya. Jika ada peluang, dia ingin menyambung pengajiannya. Cita-cita yang diimpikan tidak akan dibiarkan berkubur tanpa nisan. “Kalau Dania lulus cemerlang SPM nanti, Dania pun nak sambung belajar, kan? Perlu banyak duit juga,” jelas Ray. Dia harap Dania akan memahami tujuannya untuk merantau itu. Bukan sekadar suka-suka. “Dari sekarang, abang kena kumpul duit. Persekolahan Iwan tu, kena abang fikirkan juga. Dia nak masuk sekolah berasrama. Perlu pakai duit,” terang Ray lagi. “Abang... duduklah kat kampung ni dulu,” rayu Dania. Sekali lagi Ray mengeleng. “Kat sini pun boleh dapat rezeki jugak,” kata Dania lagi terus memujuk. Dengan sikap rajin abangnya itu, di mana-mana pun boleh dia mencari rezeki. Selama ini, rezeki mereka tidak pernah putus pun! “Tidak boleh, Dania. Abang faham. Kat mana-mana pun boleh kita mencari rezeki walaupun di kampung ini,” kata Ray sambil mengeluh dalam. “Kalau kita ada tanah seekar dua, abang sanggup untuk usahakan tanah itu dan terus kekal di kampung ini,” sambungnya dengan nada sayu. “Hal itu Dania tahulah,” balas Dania, tapi untuk membenarkan abangnya pergi meninggalkan mereka, hatinya bagai ditoreh. Fikirannya berputar ligat mencari idea untuk terus memujuk abangnya itu. “Abanggg...” rayu Dania. Tangan Ray dipegangnya kuat-kuat. Harapannya menggunung. Biarlah hasrat hati abangnya itu dapat dihalang dengan pujukannya. “Dania...” Ray memegang tangan adiknya itu seketika. Setelah itu, dilepasnya kembali. “Kalau abang pergi, sebulan sekali abang baliklah,” janjinya bersahaja. Dania hanya mendengar sahaja kata-kata yang terungkap oleh bibir abangnya itu. Hatinya disinggahi rasa kecewa. Nampaknya, Ray tidak akan terbentur dengan pujukannya. “Abang dah bagitau emak?” tanya Dania dengan suara bergetar. “Esok atau lusa, abang beritahulah,” jawab Ray. Mustahil emaknya menghalang. Emaknya sangat memahami cita-citanya. Hanya kerana kehidupan mereka yang susah, pengajiannya tergendala. Namun, dia kena terus berusaha. Usianya baru 21 tahun. “Bila abang nak pergi?” Kini, dia faham maksud kata-kata abangnya itu. “Hujung bulan ni, insya-ALLAH,” bisik Ray. Wajah polos Dania ditatapnya lembut. Bila mereka berpisah nanti, dia pasti akan merindui gadis itu. Dania, adiknya yang manja dan menghiburkan hati. Rasa rindunya pasti tidak akan lumat. Entahlah, perasaan kasih yang tersemai terhadap Dania begitu aneh dirasakannya. “Abang nak pergi ke mana? Nak duduk di mana?” tanya Dania lagi. Ada nada bimbang dalam pertanyaannya itu. Hujung bulan hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi. Lamunan Ray tercantas. “Entah,” jawabnya selamba. Segalanya masih kabur. Hanya yang jelas di matanya ialah wajah gadis bermulut celopar dan sombong. Hati yang terkoyak rasa pedih. Kata-kata penghinaan yang diterimanya daripada gadis itulah yang menyebabkan dia bersemangat untuk meninggalkan kampung halaman.
Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.