Home Novel Cinta Sapu Tangan Biru
Sapu Tangan Biru
3/6/2014 14:42:53
64,766
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

Petang itu, angin bertiup lembut. Langit pun kelihatan cerah. Sengaja Fazidatul membiarkan jendela bilik ternganga sedikit. Biar angin petang membelai tubuhnya. Selepas menunaikan solat asar, dia termenung seketika. Fazidatul mengeluh perlahan. Dia terkenangkan Ray. Teringatkan perbualan dengan anaknya tengah hari tadi.

“Mak... Ray nak pergi merantau. Ray nak cari kerja di tempat lain,” beritahu Ray. Bukannya untuk meminta keizinan daripadanya. Wajah Ray pada saat itu sugul dan muram. Fikirannya seolah memberat.

“Mak, Ray tak nak kerja di Restoran Abang Ba tu lagi.” Belum sempat dia membalas kata-kata anak muda itu, Ray telah menyuarakan kehendaknya lagi.

“Ray nak pergi ke mana?” tanyanya. Ray tidak terus menjawab. Wajah Ray ditatap dari jauh. “Ray nak cari kerja di mana?” soalnya lagi apabila melihat Ray terus hanyut dengan khayalannya. “Mungkin ke kota, mak.” Jelas dan ringkas jawapannya. Tenang suara yang didengarinya, namun bagai menggoncang seluruh jiwa raganya.

“Nanti emak tak ada duit nak bekalkan, Ray,” beritahunya terus terang. Tekaknya terasa kesat. Kehidupan mereka memang susah amat sejak suaminya meninggal dunia. Walau Ray kerja tidak berhenti, tetapi pendapatan yang diperoleh sangat kecil.

“Tak apa, mak! Hal itu emak tak payah bimbangkan,” jawab Ray. “Sepatutnya Ray yang bimbang. Nak tinggalkan rumah tanpa tinggalkan duit belanja untuk emak dan adik-adik,” sambung Ray lagi.

Sebak hatinya mendengar kata-kata Ray itu. Untuk keluarga, Ray sanggup berkorban apa saja. Dia menjadi denyut nadi keluarga itu. Hati Fazidatul meraung hiba saat fikirannya menjelajah sejarah hidup anak muda itu.

Sejak lahir Ray berada di depan matanya. Apabila Dania hadir di dalam keluarga mereka, Ray sudah berumur empat tahun. Ray yang petah dan cerdik pada zaman kanak-kanaknya, kini dia sudah remaja. Sudah menginjak usia 21. Dania, adiknya juga sudah remaja. Sudah cantik. Ray juga sudah semakin tampan jika tidak kerana susuknya yang kurus. Disebabkan mereka sudah semakin dewasa, keinginan Ray itu tidak mungkin dihalang.

Kebelakangan ini dilihatnya Dania dan Ray tidak boleh berenggang. Jika mereka ada di rumah, di mana ada Dania, di situ ada Ray. Di mana ada Ray, di situ ada Dania. Dania satu-satunya saudara perempuan yang ada, selalu sahaja menjadi mangsa usikan Ray. Disakatnya sehingga menangis macam budak perempuan berumur empat tahun. Setelah itu, dipujuknya kembali. Adegan pujuk-memujuk itulah meresahkan hatinya. Malah, rasa resah itu semakin kuat apabila melihat Ray mengusap-ngusap pipi Dania dan memeluknya mesra.

Dalam keresahan melihat perilaku mereka, hatinya berasa bahagia pula. Melihat kasih yang terjalin antara mereka tiga beradik, Ray, Dania dan Iwan. Dia bersyukur. Senyuman terukir di bibirnya saat mengenangkan telatah anak-anaknya yang bermacam ragam. Merekalah penghibur hati dan pengubat kesunyian setelah kematian suaminya.

‘Esok, Ray sudah hendak bertolak,’ beritahu hatinya. Rasa kesayuan serta-merta menjengah. Mengasak ke kamar hatinya. Tak tersedar butiran air mata mengalir di pipi.

Bunyi kokokan ayam pada subuh itu mengejutkan lena Dania. Dengan perasaan malas, dia membuka mata dan mengambil jam loceng di hujung kepala. Dalam suram sinar subuh itu, dia melihat muka jam. Jam baru menunjukkan pukul 4.30 pagi.

Dania menoleh melihat emaknya. Emak yang sedang tidur mengiring membelakangkannya berdengkur halus. Dania cuba memejamkan matanya kembali. Memaksanya supaya lelap semula. Namun, matanya tetap terbeliak, sebesar telur ayam. Selepas Ray memberitahu yang dia akan pergi meninggalkan desa, Dania sudah tidak gembira lagi. Seakan-akan segala kegembiraannya juga dibawa pergi.

Malam tadi sebelum tidur sempat lagi air matanya berderai dan membasahi bantal. Nasib baik tidak dilihat emaknya. Jika tidak, pasti emak akan runsing dan susah hati.

Tanpa disedari, air matanya mula bertakung sekali lagi. Hidungnya mula mengetat. Bunyi esakan yang tertahan mula kedengaran. Dania bangun lambat-lambat bimbang mengejutkan emaknya. Apabila tangisannya semakin lebat, dia turun dari katil dengan senyap dan berjalan keluar bilik, terjengkit-jengkit.

Kerusi rotan usang di anjung pula menjadi singgahannya. Dia duduk di situ sambil melayan tangisan. Segala nostalgia bersama Ray tertayang di hadapan mata bagai layar filem.

“Dania...”

Dania menoleh. Ray tiba-tiba berdiri di sisinya. Dalam cahaya suram, Ray perasan mata Dania basah. Melihat Dania yang bersedih bagai ada sesuatu yang menjalari hatinya pula. ‘Mesti Dania sedih sangat sebab aku nak tinggalkan kampung.’ Hati Ray berbicara sendiri.

“Dania buat apa kat sini?” tanya Ray perlahan.

Dania tidak segera menjawab. Dia mengelap matanya dengan baju yang dipakai.

“Kenapa ni, Dania?”

“Dania tak boleh tidur.” Dania memalingkan mukanya kerana tidak mahu bertemu pandang dengan mata Ray.

“Habis tu, kenapa nangis?” tanya Ray berlagu. Hujung jarinya mengesat air mata yang masih meleleh di pipi Dania.

“Dania menangis sebab tak boleh tidur ke atau Dania tak boleh tidur sebab menangis?” soal Ray.

Dania terkesima mendengar soalan itu. Abang Ray memang pandai menjerat orang dengan pertanyaannya.

“Abang...” Ray merenungnya dan mengisyaratkan supaya dia meneruskan bicaranya. “Abang jangan pergi ya...”

“Oh! Dania tak dapat tidur sebab cakap-cakap kita kelmarinlah?” soal Ray kembali.

Dania menganggukkan kepalanya.

“Kenapalah Dania fikirkan sangat? Dania tak mahu berpisah dengan abang ya?” tanya Ray bertalu.

Sekali lagi Dania mengangguk. “Dania tak mahu berpisah dengan abang. Dari kecil, Dania tak pernah hidup tanpa abang.” Alangkah rindu hatinya nanti pada kasih sayang dan kemanjaan yang selalu dihulur Ray kepadanya selama ini.

“Kalau boleh abang pun tak mahu kita sekeluarga berpisah. Kalau boleh abang nak berada di sisi emak, Dania dan Iwan sampai bila-bila,” ungkap Ray. Perlahan suaranya.

Lega perasaan Dania sejenak. Harapan di hatinya mulai mengembang. Nampak macam Ray termakan pujukannya.

“Tanpa emak, Dania dan Iwan di depan mata abang, hidup pun macam tak sempurna, Dania,” ujar Ray lagi.

Hati Dania semakin berbunga mekar. “Kalau begitu usahlah abang pergi! Dania...”

“Dania pergi tidur, ya. Kalau tak boleh tidur juga pergi ambil wuduk. Kita solat sunat tahajud sama-sama sementara tunggu waktu subuh,” kata Ray terus bangun.

Ray tidak sanggup berlama-lama lagi mendengar pujukan adiknya itu. Air mata Dania membuat hatinya menangis. Sama seperti Dania, jika boleh dia pun tidak mahu berpisah buat selamanya.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.