Home Novel Cinta Halyn 2
Halyn 2
Ann Hann
21/9/2019 10:24:11
104,527
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 11

Tetapi perkataan terluka adalah simbolik yang paling sinonim untuk aku. Aku akhirnya menyedari ada garisan takdir dalam kisah percintaan setiap yang bernama manusia. Semuanya terjadi ketika Hensen memaksa aku jadi pasangannya menghadiri majlis ulangtahun syarikat penerbitan Vektor X selama 10 tahun pada malam sabtu. Cerita Hensen yang digunakan untuk memujuk aku, majlis itu katanya sekadar makan malam dengan semua pelakon dan kakitangan yang terlibat sepanjang penubuhan syarikat. Dia siap-siap belikan aku gaun berwarna putih. Aku yang cuba mengelak untuk pergi terpaksa bersetuju secara tidak rela selepas Hensen berusaha memujuk aku baik-baik dan meyakinkan aku perlu bersosial sesekali.

Kami berdua tiba beriringan dengan aku kekok di sebelah Hensen yang berjalan dengan bangga masuk ke dalam dewan hotel lima bintang. Dia singgah bersalaman dan sesekali mengenalkan aku kepada kawan-kawannya yang lain. Hampir kesemua mereka terkejut macamlah aku ni makhluk asing yang tersesat di bumi. Ada seorang pelakon wanita sampai menutup mulutnya yang aku tidak pastikan kenapa sampai begitu sekali. Aku kelihatan anehkah? Berkali-kali aku melihat baju gaunku kalau-kalau ada yang tidak kena.

“Betulkah adik awak ni?”

“Ya, adik bongsu.” 

“Wah, kamu berdua nampak mirip.”

“Sudah tentu, sebab saya abangnya…” jawab Hensen dengan hidung kembang-kempis. 

“Saya ingat dia pelakon baru.” 

Begitulah bunyi ayat-ayat yang kudengar dari kenalan-kenalan Hensen. Ada juga yang menyangka aku teman wanita Hensen. Aku balas sahaja ocehan mereka dengan senyuman. Duduk di meja bersama orang-orang yang aku tidak kenali, aku cuba bersikap ramah dan sesekali bercerita dengan perempuan di sebelahku yang merupakan seorang pelakon baru. Sekadar menurut pesanan Hensen, cuba bersosial. Perempuan itu datang bersama pasangannya. Orangnya tinggi lampai dan anggun dengan baju gaun berwarna merah yang terbelah panjang hingga ke paras paha. Melihat keseksiannya, aku cuba menolak-nolak baju gaunku supaya tidak nampak kelihatan begitu menonjol di bahagian paha. 

Menyedari tingkah janggalku Hensen kemudian membuka kotnya dan menutup bahagian pahaku yang terdedah. Sekaligus membuat aku terkenangkan Kaizil yang pernah melakukan hal yang sama jika aku menemaninya di majlis keraian. Ingatan itu bagai dejavu yang muncul dan merobek perasaan. Namun cepat-cepat aku mengalih rasa kesedihan yang datang tiba-tiba dan menghala pandanganku ke pentas ringkas, pengacara majlis sudah memulakan upacara dengan memuji semua orang yang datang. Makanan mula dihidangkan. Aku hanya makan buah dan jus oren saja, seringkali di tempat keramaian begini aku mudah hilang selera makan. Selain alasan berwaspada. Mataku sempat menangkap pelayan yang menuang wine ke dalam gelas tetamu yang memintanya. Memandangkan Islam cuma minoriti di Amerika. Jadi lebih baik aku cuba beradab tidak mahu menyinggung tetamu lain. Lebih-lebih lagi kalau di rumah, Hensen menjaga semua keperluanku dari A hingga ke Z dalam apa-apa hal pun. Jadi, aku perlu bertoleransi dengan Hensen juga. 

Selepas sejam setengah, asyik menyaksikan nyanyian, gadis yang duduk di sebelahku tadi sudahpun menghilang entah ke mana bersama pasangannya. Cuma tinggal pengurus Hensen di meja yang leka bermain telefon pintar. Hensen yang aku cari-cari tadi kembali muncul selepas hilang seketika, dia muncul dengan seorang lelaki dan senyum girang.

“Jake, kenalkan adik aku. Halyn.” 

Lelaki yang bersamanya itu menutup mulut, tersentak melihatku. Kami bersalaman.

“Halyn, ini Jake Velazquez, dia penulis skrip.”

“Oh, wow… hai Jake…” sapaku dan melontar senyum. 

“Kau ingat lagi aku cerita pasal dia hilang 14 tahun dulu,” beritahu Hensen.

Jake mengangguk-angguk laju sebelum bertanya. “Macam mana kamu jumpa semula?” 

“Di London, masa aku buat penggambaran di sana,” cerita Hensen menjadi lebih panjang membuatkan Jake fokus mendengar cerita itu. Lelaki itu mungkin seusia dengan Hensen dari perwatakannya yang kuperhatikan. Orangnya manis dan nampak rapat dengan Hensen.

“Kamu bercerita dulu aku nak jumpa Kate di sana tu,” kata Hensen dan dia pergi lagi. Kelihatannya semua tetamu-tetamu di bahagian tengah hingga ke belakang yang agak jauh dari pentas sibuk buat hal sendiri dan tidak begitu mengendahkan nyanyian-nyanyian di pentas. Aku rasa mungkin disebabkan masa-masa beginilah mereka dapat berjumpa dan bercerita.

“Awak sangat cantik malam ni,” Jake memulakan perbualan kami.

Aku tersengih. “Terima kasih,” ucapku janggal. Sesekali aku mengerling Jake yang boleh tahan kacaknya. Hampir tidak berambut, sesuai dengan gaya wajahnya dengan hidung mancung dan rahang pipi yang menawan.

“Hensen nampak lebih gembira sekarang,” kata Jake lagi.

Aku terus berpaling, lebih fokus kepada Jake. “Sebelum ni dia tak okey ke?”

“Taklah jugak, dulu dia banyak habiskan masa di luar, di bar. Habis kerja pun dia jarang terus pulang ke rumah. Tapi lepas dia jumpa awak semula, saya nampak macam, macam err senang hati. Kalau saya ajak pergi bar, dia kadang-kadang menolak, nak temankan awak di rumah katanya,” cerita Jake.

“Awak kawan sekolah Hensen?”

“Emm, kolej. Dia senior saya, kami banyak terlibat dalam projek drama pentas dan penulisan. Dia yang kenalkan saya dengan beberapa penerbit, saya terhutang budi dengan Hensen,” Jake ketawa kecil.

Pandanganku bertembung dengan Jake. Aku sedar dia yang dari tadi mengerlingku dengan jarak kami selang satu kerusi. Dengar cerita pasal Hensen, aku selalu bersyukur Hensen tidak pernah mengabaikan aku, lebih-lebih pada saat aku sedang tertekan dia berada lebih dekat dan tidak henti-henti menghulurkan kata semangat. Tetapi aku berharap juga Jake bukan agenda seorang abang supaya aku keluar dengan lelaki lain pula.

“Kalau ada masa boleh kita keluar bertiga, ada burger halal sedap di Brooklyn, Hensen pernah bawa kau ke sana?” Jake bertanya sambil mendekatkan separuh tubuhnya lebih dekat denganku, suaranya sedikit kuat kerana muzik dari pentas menganggu ceritanya.

“Betul ke? Saya tak pernah cuba lagi.” Sejak di New York, aku selalu masak sendiri. Buat sarapan pagi-pagi sebelum ke kolej. Aku belum menjelajah New York sepenuhnya.

Seronok juga bercerita dengan Jake yang peramah. Dari tempat kami duduk yang berada di ruang tengah dia tunjukkan kepada aku beberapa orang lagi pelakon dan pengarah filem yang pernah aku kagumi lakonan mereka. Sesekali aku ketawa dengar cerita lucunya sambil kami berdua memerhatikan tetamu-tetamu di bahagian depan yang tiba-tiba berdiri bertepuk tangan membuatkan tetamu yang dibelakang terjenguk-jenguk memanjangkan leher. Kedengarannya macam meraikan harijadi. 

“Tengok tu,” Jake mengarahkan jari telunjuknya pada seorang lelaki yang  melaung pasal kek.

“Di sebelah pengarah James Hook tu, Aart Harlan, salah seorang penaja yang Hensen paling tak suka, jutawan muslim dari Jerman, anaknya pemain bola sepak terkenal bermain di liga Inggeris.” 

Saat itulah darahku tersirap melihat kelibat Encik Aart yang bertepuk sangat kuat di meja hadapan, hanya beberapa meter jaraknya.  Kenapa Hensen tidak beritahu aku lelaki itu ada di sini? Malam ini sebagai tetamu kehormat. Aku cuba membuang pandangan dari melihat ke depan tetapi dalam masa yang sama hatiku berdegil dan sibuk hendak tahu juga. Dan di situlah lebih menyentak perasaan, bagai luka lama yang hampir sembuh berdarah semula tanpa sengaja aku terpandang satu gambaran yang tidak kusangka sama sekali akan kuhadapi pada hari ini. 

Jantungku mula berdegup kencang, aku terpandang belakang dan separuh wajah Kaizil berganding dengan Mezfey yang ketawa dengan wajah anggunnya berdiri sebaris dengan Encik Aart dan jutawan lain. Jelaslah aku belum mampu melupakan, aku sangat mengenali lelaki itu biar cuma bahagian belakangnya yang sering kujadikan tempat bersandar. Dia pernah menjadi sebahagian jiwaku, masih memenangi cintaku. Sukar untuk melupakannya dalam tempoh sedekat ini. 

Aku berharap Jake tidak menyedari rasa gelisahku, dadaku berdebar kuat, perasaanku bercampur baur, resah, marah, rindu semuanya menjadi satu. Aku dapat merasakan wajahku pucat dan  mahu meninggalkan majlis itu. Oh Tuhan, kenapalah aku datang ke majlis ini. Ini bukan tempatku.  Mataku mula berkaca-kaca, cepat-cepat tanganku menggagau di dalam beg dan menarik tisu keluar kemudian menekapnya ke mata. Agak menganggu rasanya kalau Jake nampak aku menangis jadi aku memandang ke lain mencari Hensen. 

“Kau cari Hensen?” Jake memegang lenganku yang dilapisi baju gaun sulam panjang tangan ketika aku menoleh ke kiri kanan.

Aku mengangguk, Jake melihat ke sana-sini. Majlis itu sudah berlangsung dekat dua jam, aku mahu beredar segera sebelum sesiapa perasan kemunculanku yang tidak diingini. 

Seperti tindakan panik, begitu melulu, aku tergesa-gesa berdiri sambil memegang kot Hensen. “Saya keluar dulu, kalau Hensen cari, beritahu dia saya tunggu di kereta,” kataku dan meminta diri keluar dari situ. Jake tercengang-cengang melihat tingkahku.


Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.