Home Novel Cinta Halyn 2
Halyn 2
Ann Hann
21/9/2019 10:24:11
104,578
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 12

Pantas aku keluar dari dewan, di depan pintu utama aku berselisih dengan pelayan-pelayan yang membawa wain dan hampir merempuh seorang pelayan yang sedang mengangkat dulang pencuci mulut. 

“Maaf, maaf…” ucapku berkali-kali dan sempat menahan dulang di tangan pelayan itu dari terjatuh. 

“Tak mengapa…” kata pelayan wanita itu.

Lantas aku melangkah pergi dari situ. Mataku cekap membaca petunjuk arah keluar dan tergesa-gesa seperti diburu sesuatu. Sampai di luar hotel kerana terlalu kelam-kabut melangkah, tumit kasut tinggi yang kupakai terpatah terkena tepian tangga marmar. Malang betul, mujurlah aku tidak terjatuh. Aku berhenti melangkah kemudian duduk seketika di atas tangga. Sambil mengeluh kesal aku tertunduk lesu mengurut tumitku yang sakit. Bukan kaki sahaja yang sakit tetapi seluruh organ dalam tubuhku seperti didera oleh satu ingatan yang paling ampuh yang tidak mampu aku singkirkan dari tubuh.

Kalaulah kasut itu faham, mahu saja aku maki hamunnya biar puas. Tetapi aku sekadar mengeluh sambil melepaskan kedua belah kasut tumit tinggi itu dari menyakiti kakiku lagi. Lebih mudah berjalan berkaki tanpa alas dan memijak batuan marmar yang berkilat menuju ke tempat Hensen meletakkan kereta Audi berwarna silver yang mudah kunampak di tepi pagar di bawah pohon palma yang dihias lampu kelip-kelip. Tetapi sekali lagi, malangnya sebab tidak ada kunci kereta, terpaksalah aku berdiri bersandar di tepi pintu pemandu membelakangi halaman depan hotel itu. Nafasku kembali normal, aku harus cepat-cepat menutup luka itu, aku mahu ia sembuh sediakala. Dia benar-benar bersama dengan Mezfey. Akhirnya. Aku hanya bersendirian bertemankan kot Hensen di tanganku dan berkaki ayam. Jam sudah 11 malam, aku memandang gelisah jam di tangan sebelum kembali merenung langit malam. Pandanganku tertuju pada sebutir bintang yang turut menatap sayu.

“Kenapa kau lari?” 

Aku berpusing terkejut. Jantungku bagai disambar elektrik. Kaizil tiba-tiba muncul di hadapanku. Bukan lagi mimpi yang selalu menakutkan dan buat aku memekik sebaliknya aku terharu dapat menyebut namanya dengan lembut. 

“Kaizil.” Getaran pada seluruh tubuh buat lututku terasa lemah, dengan rasa resah aku memegang cermin sisi kerana takut jatuh pengsan di situ. Macam mana Kaizil boleh nampak aku di majlis itu?

“Kau tak mahu jumpa orang yang sudah kau khianati,” katanya sinis sepadan dengan sut hitam yang dipakainya penuh bergaya dan berjaya menunjukkan keangkuhan.

“Aku minta maaf,” bibirku turut bergetar. Dadaku mula sebak, setitis, dua titis airmata jatuh ke pipi, airmata yang tidak sepatutnya aku pamerkan di depan Kaizil yang hanya merenungku marah.

“Jadi, kau betul-betul tinggalkan aku. Kau mulakan semuanya di sini, di 70 East 10th Street dan lupakan semua janji kita di mana aku berada di situlah kau berada juga?”

Errington. Aku meneka semuanya betul. Errington juga turut sama mengintip di mana alamat sebenarku berada dan memberitahu semua itu kepada orang yang mengupahnya. Sudah tentu Kaizil menggunakan Errington untuk mencariku. Pandai betul Errington menipu. Apa dah jadi dengan Jorge? Apa pula yang disampaikan Jorge kepada tuannya.

“Kenapa kau pergi Halyn?” tanya Kaizil yang langsung tidak tahu apa yang telah berlaku di antara aku dan ayahnya.

Aku serba salah, mengingatkan Jorge beberapa minggu lalu jelas sebagai isyarat kalau aku sudah diberi amaran supaya tidak menceritakan apa yang telah berlaku kepadaku demi melindungi Julia dalam masa yang sama. Kaizil berdiri dengan keadaan cukup sifat di hadapanku tetapi tidak Julia. Aku belum tahu apa-apapun tentang khabar Julia. 

Bila aku memilih untuk berdiam Kaizil melangkah menghampiriku, lebih dekat, begitu rapat sehingga haruman dari tubuhnya merebak. Haruman yang baru bukan citrus yang paling kusuka namun tetap buat aku terpesona dan jatuh cinta. “Kau nak aku lupakan kau macam tu saja, aku boleh Halyn! Kau mahu aku sakiti semua hati perempuan, Mezfey?” Kaizil ketawa sinis, aku bimbang dengan pandangan matanya yang penuh kemarahan itu. “Aku akan sakiti hati mereka, aku akan buat Mezfey merana tanpa cinta. Aku rela duduk dan mati di dalam bar dengan syarat kau akan lupakan aku…itukah yang kau nak Halyn?”

Kepalaku menggeleng lemah. Kalaulah aku mampu memeluknya, aku akan beritahu bukan itu yang aku mahu. Tetapi aku betul-betul berada di jalanan yang penuh perangkap. Aku harus berdiam diri agar perangkap itu tidak tahu di mana aku sedang berdiri.

Pantas Kaizil memaut pinggangku dengan tangan kirinya dan bercakap lebih kasar. “Berapa harga dirimu? Aku sanggup beli! Kalau kau tak sanggup berikan aku cinta, gadaikan saja harga dirimu padaku!”

“Kaizil, tolonglah…” aku merayu dengan suara perlahan.

Namun Kaizil kian berang dengan sikap diamku. “Aku akan bayar. Aku mampu bayar seluruh tubuhmu Halyn, beritahu harganya berapa!”

Tiba-tiba Hensen dan Jake muncul dari belakang Kaizil. Hensen terus menerkam Kaizil dan melayangkan penumbuknya. Tidak! Ada wartawan sedang mengambil gambar dan menyaksikan kejadian itu. 

“Hensen, jangan!” aku cuba ke depan ketika Kaizil tersungkur jatuh di jalanan.

Jake lebih dulu menerpa menahan Hensen dari menyerang Kaizil lagi.

“Simpan duit kau beli perempuan lain!” bentak Hensen geram betul-betul di depan muka Kaizil.

“Kau yang rampas Halyn dari aku! Dia milik aku! Kau rampas Halyn sebab dia adik kau? Halyn berhak untuk buat pilihan, kenapa kau pisahkan kami?” apakah yang merasuk Kaizil sehingga dia bercakap sedemikian rupa. Aku tidak menyangka kata-kata teruk yang keluar dari mulutnya malam ini.

“F***! Apa yang kau dah buat pada Halyn!” Hensen mula menyumpah dan suaranya begitu kuat sambil menunjuk-nunjuk muka Kaizil. “Dia muncul di New York tanpa beg pakaian, tak ada handphone, tiba-tiba muncul! Kau pun berpakat dengan bapak kau buat dia menderita. Suruh bapak kau berhenti hantar orangnya mengekori Halyn sebelum aku bertindak! Berapa banyak kesakitan yang kau nak tengok… Halyn sudah tanggung semua deritanya, di mana kau masa dia hampir mati di rumah aku, menderita tertekan yang aku langsung tak tahu puncanya. Abang jenis apa aku kalau tak boleh lindungi adik aku sendiri. Aku tahu kau kaya raya, jadi tolong cari perempuan lain, jangan kacau Halyn lagi,” Hensen sudah hilang sabar dan menghamburkan semua cerita tentang apa yang telah berlaku kepadaku di New York.

Wajah tegang Kaizil bertukar terkejut. Riaknya yang dirasuk edan tadi tergamam dan pandangannya kaku di jalanan. Aku tidak sempat meminta maaf Hensen menarik lenganku dan cepat-cepat membawa aku masuk ke dalam kereta. Jake pun masih di situ berdiri tidak jauh dari Kaizil, sebagai saksi drama terbaru seorang gadis yang baru ditemuinya malam ini. Selepas menghidupkan enjin kereta Hensen sengaja menekan-nekan minyaknya yang mengaum kuat sebelum memecut meninggalkan Kaizil yang masih kaku di tempatnya berdiri dan hanya melihat aku dibawa pergi. 


Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.