Home Novel Cinta Halyn 2
Halyn 2
Ann Hann
21/9/2019 10:24:11
102,713
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

Hari pertama di 70 East 10th st, tidak mudah. Malahan lebih teruk dari jadi bahan berita tabloid di London. Selepas makan malam ringkas bersama Hensen yang aku masak sendiri, membersihkan dapur dan memberitahu Hensen aku akan ke market esok pagi aku pun kembali senyap dan lebih banyak berdiam di dalam bilik. Hensen mungkin menyedari tingkahku yang kecewa, kesunyian dan sedang merindu. Tetapi dia tidak benar-benar mengerti apa yang tersembunyi dalam dadaku. 

Sebaik Hensen keluar malam untuk bekerja aku kembali berseorangan di rumah. Bagai mengerti tidak ada sesiapa lagi di dalam rumah aku kembali gelisah. Kekosongan itu membawa segala keresahan dan mula menghantui, merayap di dinding-dinding, menyamar dalam selimut tebal dan merasuk hatiku. Tanpa telefon, tanpa London dan tanpa Kaizil bahkan tanpa jiwaku sendiri. 

Tahukah dia aku cuba tidak menangis? 

Tak, kau tak sekuat itu Halyn suaranya bagai terngiang-ngiang dari dalam kepalaku, aku berpaling, ke arah dinding, pintu, mencari-cari kehadirannya. Aku jelas mendengar suaranya dalam kepalaku. Suaranya yang penuh pujukan membisik ke telingaku membuat tubuhku mengerekot di atas sofa di bawah jendela. Rasa rindu tiba-tiba menyerangku, menusuk dalam kalbu yang menyekat paru-paru. Seolah tidak dapat bernafas aku bangun dan menjerit sekuat hati. ‘Bertahanlah, aku kuat, aku kuat, untuk suatu hari nanti’ rayu hatiku. 

Kemudian aku menangis, menangis sepuas-puasnya, aku tidak berani berjanji, tangisan itu takkan datang lagi esok pagi.  Aku menangis sehingga tubuhku lemah lalu terlena.

Hari kedua, aku masih cuba bertahan, cuba keluar membeli-belah, beli baju dan barang keperluan lain sebab aku langsung tidak membawa apa-apa tetapi ke manapun aku pergi fikiranku masih mengenang Kaizil. Apa dia buat sekarang, melupakan aku? Itu perkataan yang paling menyedihkan yang buat aku semakin larut dalam kepedihan.


***


Minggu kedua di New York, di sofa yang sama di bawah jendela, di tanah asing yang belum begitu serasi. Aku memerhatikan langit cerah dengan tompokan awan putih menyapa. Selepas subuh, aku jadi penunggu setia pagi. Ini pagi yang bukan kunanti. Tidak ada raganya dari telefon mengucap selamat pagi. Mungkin dia sudah menghantar mesej beserta senyuman dan emoji pipi merah dan aku bimbang kalau Encik Aart membalas mesej itu dengan sesuatu yang buat Kaizil curiga. 

Julia. Apa khabar Julia. Awal pagi itu aku menangis lagi mengenang Julia yang juga tidak mengetahui akan kehilanganku. Aku kecewa kerana tidak berada di sisinya, aku tidak dibenarkan berada dekat dengannya walaupun seluruh tubuhku mahu berdiri di tepi katilnya memberikan kata-kata semangat. Hanya doa panjang yang kutitip untuk gadis itu. Semoga dia cepat sembuh. Aku nekad kalau ada apa-apa berlaku kepada Julia aku sendiri yang melancarkan perang besar terhadap Encik Aart.

Malangnya, rasa tertekan yang aku alami membuat keadaanku bertambah buruk. Aku mula hilang selera makan, berat badanku menurun kerana sakit berhari-hari. Demam bersilih ganti, setiap kali makan aku akan muntah, perutku seolah-olah tidak menginginkan makanan buatan New York. Hensen semakin risau melihat keadaanku hingga terpaksa menyuruh isteri Darren menjagaku di rumah. Entah kenapa aku seperti tak ingin pulih. Aku mahu tidur sehingga musim panas tiba.

Musim luruh berakhir lesu

Tetapi tidak rindu

Seminggu sebelum krismas menjelang, aku dikejarkan ke wad kecemasan. Cerita Darren, isterinya Anna menemuiku dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam bilik air. Aku keseorangan di rumah, Darren dan keluarganya sibuk dengan membuat persiapan krismas. Hensen pula menyambung penggambaran ke luar negara. Berseorangan yang selalu aku inginkan hanya mendatangkan pengalaman buruk buat aku waktu itu. Selepas tak dapat tidur semalaman, paginya kepalaku pening, perutku sakit sangat, selepas muntah berkali-kali di bilik air akhirnya aku pengsan. Itu saja yang aku ingat. Bila tersedar aku sudah berada di katil hospital. Masih hidup tetapi sedang tenggelam dalam himpunan rasa bersalah dan kekecewaan.

Tanganku yang kelihatan seperti tinggal tulang dicucuk dengan jarum, berkali-kali untuk memasukkan air ke dalam tubuhku yang sudah tidak lagi bermaya. Pipiku semakin cengkung. Tulang-tulang jejari semakin ketara, menjelikkan tetapi aku senang melihatnya kerana aku percaya inilah balasan atas kenaifanku meninggalkan Kaizil. 

Hensen dan Darren menangis melihat keadaanku yang sebenar-benarnya tidak ingin pulih itu. Doktor mengesahkan aku mengalami kemurungan dan butuhkan motivasi positif untuk pulih sediakala selain mendapatkan rawatan berpanjangan jika aku tidak dapat mengawal segala perasaan derita menanggung cinta yang terhalang.

Tubuhku seperti komputer yang diserang virus dan mula memakan semua memori-memori indah. Aku tak tahu adakah pengakhirannya aku akan dapat mempertahankan memori itu dari hilang sedang mereka semua mendesakku secara paksa sebelum komputer itu rosak sepenuhnya dan tidak dapat dibaiki lagi. Virus kejam yang menyerang mulut agar aku tidak bercakap tentangnya kepada orang lain. Rahsia itu akan lenyap jika aku juga lenyap.

Suatu hari, dalam bilik rawatan ketika aku duduk di sebuah bangku sambil menongkat tangan di meja kopi di tepi jendela dengan salji turun bagai kapas yang berjatuhan dari langit. Jururawat yang bertugas menghulurkan sekotak permainan Scrabble Words kepadaku. Sebagai terapi katanya. Aku pun menyusun huruf-huruf menjadi perkataan, buat seketika aku berasa seronok bermain dengan huru-huruf itu. Bila aku teringin hendak makan, aku menyusun huruf menjadi BURGER, PIZZA, STEAK dan lebih banyak perkataan muncul selepas melihat benda-benda dalam bilik. Sewaktu mataku tajam menangkap huruf K pada barisan menegak, otakku berhubung terus pada satu ingatan, jari-jariku seperti digerakkan oleh satu lagi tangan yang tidak kelihatan lalu menyusun huruf seterusnya A, I, Z, I, L. Nama KAIZIL tersusun kemas di bawa mataku lantas mengimbau kisah kami di kafe saat Kaizil menyusun namaku juga ketika kami bermain permainan yang sama. Aku teringat lagi kata-katanya…

“Perkataan HALYN tu berasal dari kamus hatiku.”

“Apa kata hatimu sayang, aku tak percaya kau tak memikirkan nama KAIZIL kan?”

“Tak…”

“Ok, jangan menyesal, satu hari nanti mesti kau jadi angau dengan nama aku tu’ semua kata-katanya menambah hirisan ngilu dalam dadaku. Aku mula sebak, kolam mataku bergenang.

Melihat namanya di papan Scrabble Words luka yang telah beku kembali berdarah. Bagai luka yang tertusuk sesuatu yang tidak disengajakan. Salahkan aku, jangan sesiapa. Aku yang melukai diriku sendiri. Aku yang enggan melepaskan semua memori. Aku yang terlalu ingin bertahan dan tempatku bersandar terlalu rapuh seolah-olah dengan jari telunjuk pun dinding itu akan runtuh menjadi debu. Aku menangis perlahan dan akhirnya memekik dalam kamar kosong. 

“Aku bodoh! Maafkan aku…” seperti hilang akal aku melibas permainan huruf-huruf itu hingga bertaburan di seluruh lantai. Kelam-kabut jururawat menahanku dari terus mengamuk.

Doktor yang merawat terpaksa memberikan bekalan sedatif ke tubuhku entah buat yang ke berapa kali. Menidurkan otak yang celaru dan masih buntu. Aku tidak sedar atau bagaimana semua kesakitan itu akan berakhir. Semua derita yang aku alami aku kira akan mengakhiri hidupku pada usia 25 tahun sehinggalah…

Tarikh 2 januari, pada awal tahun baru yang menyedihkan. Lewat malam itu Hensen datang melawat ketika aku masih berjaga. Wajahnya tegang dan kecewa. Aku turut sedih melihatnya, Hensen turut terluka.

“Sampai bila kau nak tanggung semua kesakitan ni Halyn. Kau buat aku ikut sakit…” luahnya pada malam itu.

“Aku minta maaf,” sahutku lemah.

“Aku akan cari Kaizil, itu yang kau nakkan!” ujarnya geram.

“Jangan. Tolonglah, aku merayu, jangan cari dia.” Julia dalam bahaya kalau Hensen nekad cari Kaizil.

“Kau tahukan tak susah nak cari Kaizil. Kaizil tak dapat cari aku tapi aku boleh saja mesej dia dalam instagram. Kau tahu tak dia cari kau?” Hensen kemudian membuka telefon pintarnya dan membuka laman instagram Kaizil yang memaparkan gambar kami sewaktu di Snowdonia dalam post terbarunya.

Aku membacanya dengan airmata yang mengalir sendu. ‘Kalau kau dapat baca mesej ini, aku sedang melihat lunar yang sama kau lihat di sana’ 

“Apa yang berlaku, ceritalah. Kaizil tak tahu pun kau hilang. Kau dikatakan tiba-tiba lenyap dari kota London, aku baca semua komen-komen pengikut Kaizil, tabloid di sana menyiarkan berita yang Bettina Bennington pelik kenapa kau menghilang begitu saja.”

“Aku tak boleh.”

“Aku tak mahu sebut perkara ni pada kau sebab aku takut nanti keadaan kau bertambah buruk. Tapi nampaknya biar aku tak sebut pun kau tetap menderita Halyn.” Hensen merenung mataku mencari sesuatu tetapi dia hanya mengeluh kecewa dan bercerita lagi. “Kaizil ada mesej aku, dia tanya samada kau ada di New York?” 

Jantungku berdegup laju. 

“Julia pun dia tak tahu di mana? Julia kawan baik kau di mana sekarang? Kenapa Julia turut hilang. Kedai kamu dah ditutup sebulan lebih.” Hensen bagai penyiasat menyoalku dengan soalan-soalan yang tidak mampu aku jawab.

Aku kekal berdiam. Ini masalahku. Aku tak boleh libatkan Hensen.

“Aku akan suruh Kaizil datang ke sini!” katanya tegas.

“Tak…tak…”

“Kalau begitu kau mesti sembuh, lupakan semuanya kalau kau tak mahu jumpa Kaizil. Bangkitlah Halyn, lawan semua perasaan yang cuba menyakitkan kau. Apa pun masalahnya, semuanya boleh diselesaikan. Tak ada perkara yang kekal dalam dunia ni, samada nyawa kita, kekayaan, kesihatan. Begitu juga masalah, ia akan pergi kalau kita berusaha membuatnya pergi. Kau fahamkan?”

Aku mengangguk lemah. Tiba-tiba aku menyedari Hensen berkata sesuatu yang betul. Tidak ada yang kekal dalam dunia ini termasuk masalah. Encik Aart, aku takkan biarkan lelaki itu bertepuk tangan akibat kesakitan yang aku alami. Semua ayat motivasi benar dan tidak dapat di sangkal lagi. Tidak ada sesiapa yang dapat membantuku melainkan diriku sendiri bangun, bukan untuk melawan tetapi untuk sembuh. Aku harus waras sepenuhnya untuk berhadapan dengan lelaki itu lagi.


Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.