Home Novel Cinta Gila-Gila Cinta
Gila-Gila Cinta
Izza Aripin
3/9/2013 21:00:15
40,692
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

“TAN SRI!”

Tan Sri Haiqal mengesat air matanya yang entah bila menitis di pipi. Gambar hitam putih yang dipegangnya segera disembunyikan di saku kot.

“Cik Eryssa dah ada di atas.” Jasmina sudah terpacak di tepi pintu kabin.

Tan Sri Haiqal bangun dan keluar dari kabin. Hatinya yang sedih tadi beransur-ansur tenang apabila mengenangkan raut wajah yang lembut itu. Senyuman di bibirnya semakin melebar apabila terlihat si gadis sedang duduk di atas sofa sambil menikmati pemandangan marina. Tengah hari itu dia sendirian dan Tan Sri Haiqal berasa sangat lega. Dia tidak mahu pertemuannya dengan gadis itu diganggu oleh sesiapa. Lantas dia memberikan isyarat kepada kapten supaya membawa bot itu belayar.

Eryssa gempar apabila bot perlahan-lahan bergerak meninggalkan jeti. Baru sahaja dia hendak bangun bertanya kepada Shamina, Tan Sri Haiqal sudah muncul dengan senyuman.

“Tak mengapa kan kalau I bawa you bersiar-siar sebentar sambil kita berbincang?” Lelaki itu sudah duduk di hadapan Eryssa.

“Oh?” Perasaan kurang selesa di dada Eryssa cuba dipujuk tenang. “Tak jauh, kan?” Dia cuba berlagak senang.

Nope...just around the bend.” Tan Sri Haiqal senyum lagi.

Eryssa ikut tersenyum. Entah kenapa dia senang dengan senyuman lelaki itu. Senyuman yang mendamaikan yang pernah menghiasi wajah seseorang yang entah di mana dia berada. Eryssa lekas-lekas menolak ingatan itu jauh-jauh. Dia ada perkara penting yang perlu diuruskan.

“Ini skrip yang kami dah ammend ikut yang Tan Sri minta hari tu.” Eryssa menyorongkan sebuah folder transparen di atas meja.

Tan Sri Haiqal hanya melihat folder yang disorongkan. Tiada tanda-tanda dia akan mengambil folder itu. “Tak mengapa. I akan minta Jasmina semak.”

Eryssa terus hilang kata-kata selepas mendengar kata-kata Tan Sri Haiqal. Jika skrip itu tidak perlu dibincangkan, Eryssa rasa tugasnya sudah selesai. Tetapi bagaimana dia hendak meminta Tan Sri Haiqal supaya menghantarnya ke jeti marina? Mereka baru sahaja belayar.

“Dah berapa lama you kerja dengan Channel 11?” tanya Tan Sri Haiqal apabila dia lihat Eryssa seperti keresahan.

“Err...hampir dua tahun.” Eryssa cuba menjawab setenang yang boleh. Dia masih berkira-kira mahu meminta Tan Sri Haiqal berpatah balik ke jeti.

“Pekerjaan pertama atau you pernah kerja di tempat lain?”

“Pekerjaan pertama. Lepas grad, I menganggur dua tiga bulan sebelum dapat tawaran di Channel 11.”

Perasaan gundah mula berkurangan apabila Tan Sri Haiqal bertanyakan soalan santai yang tidak terlalu peribadi. Dia juga turut berkongsi mengenai pengalamannya memulakan perniagaan sendiri dan menolak untuk bekerja di syarikat keluarganya. Ada persamaan antara mereka di situ. Eryssa juga pernah menolak bekerja dengan papanya.

“Kenapa you tolak?” tanya Tan Sri Haiqal sambil mempelawa Eryssa menikmati hidangan makan tengah hari yang baru disajikan oleh chef bot persiaran itu.

“Nak berdikari.” Eryssa memberikan jawapan, tetapi bukan jawapan yang sebenar. Perhubungan Eryssa dan papanya bukanlah baik sangat sehingga dia sanggup hendak bekerja di bawah lelaki itu.

“Kalau you tak bekerja dengan dia, siapa pula yang akan warisi bisnes tu nanti?” Tan Sri Haiqal tahu mengenai ayah Eryssa. Sengaja dia bertanya. Semata-mata ingin berbual-bual dengan gadis itu.

“Abang I ada walaupun dia juga bekerja sendiri.”

“Kalau begitu, memang tiada warislah?”

Eryssa angkat bahu. “Anak bongsu dia ada.” Eryssa jawab sambil lewa.

Tan Sri Haiqal menyembunyikan senyum. Ada sesuatu yang tidak menyenangkan Eryssa tatkala dia terlalu banyak bertanya tentang ayah gadis itu. Lebih baik dia mengubah topik jika tidak mahu kemesraan gadis itu sirna.

Daripada berbicara mengenai hal peribadi, mereka beralih topik kepada kerja. Eryssa berasa lega kerana perbualan mengenai kerja ialah zon selesa baginya. Satu persatu isi kandungan skrip yang diubah dibincangkan secara terperinci. Kadang-kadang Tan Sri Haiqal menyelitkan juga soalan-soalan yang tidak berkaitan dengan kerja. Tetapi Eryssa begitu cekap mengubah situasi.

Entah mengapa berada bersama Tan Sri Haiqal sering mengingatkan Eryssa kepada seseorang. Sungguh melemaskan perasaan!


SUASANA di Restoran Tijani’s agak sesak tengah hari itu. Ramai pengunjung datang hendak merasai menu istimewa hari Khamis yang dihidangkan oleh Tijani iaitu set makan tengah hari: ayam panggang dengan sos cendawan liar, asparagus dan kentang panggang yang dihidangkan bersama sup pilihan dan roti bawang putih. Walaupun menunya kedengaran mudah dan biasa, keenakan sos cendawan liar yang dicampurkan dengan sedikit lada hitam itu memang menjadi buah mulut pengunjung yang pernah datang.

Eryssa tidak menang tangan. Sekejap dia mengambil pesanan. Sekejap lagi dia menghantar pesanan. Tidak lama selepas itu dia mengemaskan meja yang telah dikosongkan. Walaupun pekerjaan itu bukan periuk nasinya, mujur dia sudah biasa membantu di restoran itu apabila ada masa lapang. Kecekapannya memang sama jika dibandingkan dengan pekerja restoran itu sendiri.

Seorang lelaki bersut melangkah masuk ke dalam restoran. Hanya ada satu meja empat tempat duduk yang masih kosong yang terletak di tepi dinding kaca, menghadap jalan raya. Eryssa terus mempelawa lelaki itu duduk di situ. Sebaik sahaja lelaki itu duduk, dia pun membukakan menu.

“Encik tengok dulu menu yang ada. Sekejap lagi saya datang semula ambil pesanan,” ujarnya dengan sopan sebelum berpaling ke meja sebelah dan mengemaskan meja yang baru dikosongkan itu.

Lelaki itu tidak terus memandang menu yang sudah terbuka di hadapannya. Sebaliknya perhatian lebih ditumpukan kepada pelayan yang memakai apron merah hati yang dipadankan dengan kemeja t lengan pendek dan seluar panjang biru gelap itu. Rambut pelayan yang panjang melepasi bahu itu diikat kemas tocang kuda sambil disemat dengan visor putih.

Eryssa tidak tahu yang dia menjadi perhatian pelanggan segak itu. Dia meneruskan tugas-tugasnya seperti biasa. Selepas menghantar dulang berisi pinggan mangkuk kotor, Eryssa kembali kepada pelanggan yang baru melangkah masuk tadi.

“Encik dah sedia nak order?” Eryssa sudah bersedia dengan pen dan buku pesanan di tangan.

“Saya nak order Nadrah Eryssa.” Pelanggan itu bersuara dengan tenang dan yakin.

Eryssa tergamam mendengar pelanggan itu menyebut namanya. Lantas dia terus merenung wajah lelaki di hadapannya itu. Lelaki itu sudah tidak memakai kot. Kotnya diletakkan di atas kerusi kosong di sebelahnya. Walaupun setelah kaca mata hitam ditanggalkan, Eryssa masih gagal mengecam lelaki itu.

“Maaf, encik. Bagaimana encik boleh tahu nama penuh saya? Adakah kita saling mengenali?” Sebagai Development Executive di Channel 11, Eryssa memang sudah biasa bersopan begitu walaupun pada orang yang tidak dikenali olehnya. Dan mungkin orang yang menegurnya itu pernah ditemuinya dalam satu temu janji perniagaan ataupun mana-mana majlis yang pernah dihadiri olehnya.

Lelaki itu tersenyum. Eryssa kenal dengan senyuman itu. Namun ingatan di fikirannya masih gagal mencantumkan imej-imej yang tersimpan di otaknya.

Melihat akan wajah Eryssa yang masih kebingungan, lelaki itu bersuara, “Eryssa, it’s me, Zeek. Haziq Haiqal.” Nada suaranya lembut.

Eryssa merasakan degup jantungnya berhenti beberapa saat. Dia hampir pitam. Lantas dengan segera sebelah tangannya ditumpangkan ke meja bagi menyokong berat badannya sendiri. Beberapa seketika dia memejamkan matanya sebelum menentang wajah lelaki yang mengaku sebagai sahabat baiknya itu.

“Zeek?” Eryssa memanggil, inginkan kepastian.

“Ya, saya. Mungkin awak dah tak cam sebab rupa saya mungkin dah berubah.”

Eryssa terkesima. ‘Saya’? Zeek membahasakan dirinya sebagai ‘saya’? Nada suara dan lenggok bahasanya...kenapa begitu bersopan santun dan lembut?

“Saya rasa awak perlu duduk, Rys. Nanti awak jatuh.” Zeek bangun dan menarik kerusi di hadapannya. Dia menyuruh Eryssa duduk.

Seperti dipukau, Eryssa terus duduk walaupun dia tahu tindakannya itu menyalahi etika sewaktu bekerja.

“Rys...awak sihat?” Zeek menghulurkan tangannya dan menggenggam jari-jemari Eryssa yang sejuk.

Mata Eryssa masih bulat merenung lelaki di hadapannya itu. Jika diamati sungguh-sungguh, memang lelaki itu persis Zeek. Hanya rambutnya berbeza. Dahulu Zeek berambut kerinting kasar dan kembang macam Hafiz AF. Kini Zeek sudah berambut pendek, lurus dan kemas dipotong paras atas kolar. Gayanya juga berbeza. Dahulu Zeek selekeh, gemar berseluar jean dan berbaju t longgar. Kini dia kelihatan segak dan kemas macam ahli korporat.

“Zeek....” Eryssa memanggil lemah. “Apa dah jadi dengan ka...awak?” Eryssa hampir tersasul. Dahulu dia sering menegur Zeek agar jangan beraku dan berkau dengannya. Kini apabila Zeek sudah bersaya dan berawak, dia pula yang tersasul. “Bila balik? Tak beritahu pun.” Eryssa separuh merajuk. Dia agak berkecil hati dengan Zeek kerana merahsiakan kepulangan dan imej baharunya itu.

Sejak mereka berpisah arah lebih kurang sembilan tahun lalu, mereka meneruskan hubungan melalui Internet. Hampir setiap minggu mereka berhubung menggunakan laman sosial Facebook. Kadang-kadang mereka bercakap melalui aplikasi Skype. Namun begitu, sejak memulakan tugas di Saluran 11 setahun yang lalu, Eryssa jarang melekap di hadapan komputer. Dia begitu sibuk dengan kerja-kerjanya. Lantas hubungan mereka pun renggang sedikit demi sedikit.

“Saya baru saja pulang.” Sudah setahun, Zeek menyambung dalam hati. Dia tidak mahu Eryssa berterusan merajuk dan berkecil hati. Ada sebab yang kukuh mengapa kepulangannya itu dirahsiakan. Mungkin suatu hari nanti, Eryssa tahu juga.

“Apa dah jadi dengan awak? Kenapa awak boleh berubah sampai begini rupa? Saya hampir-hampir tak mengenali awak tadi. Awak juga nyaris buat saya dapat serangan jantung.” Eryssa menarik nafasnya dalam-dalam. Dia sudah boleh bertenang.

Zeek tersenyum. “Maafkan saya. Tak sangka pula awak boleh terperanjat begini. Saya sangka awak berlari dan memeluk saya dengan erat sebaik sahaja nampak saya tadi.”

Eryssa senyum mengejek. Walaupun sudah berubah penampilan, sikap Zeek yang suka mengusik ini masih tidak hilang.

“Bila awak habis kerja? Saya nak ajak awak keluar jalan-jalan. Banyak yang perlu kita bualkan.”

Eryssa memandang jam yang melingkar di pergelangan tangannya. “Sejam lagi. Awak boleh tunggu?”

“Boleh. Sementara menunggu, boleh saya cuba menu istimewa hari ni.”

“Baiklah. One set wild mushroom chicken and a cup of hazelnut white coffee.” Eryssa bangun dan mencatat pesanan di atas buku notanya.

“Awak masih ingat minuman kegemaran saya?”

“Saya sentiasa ingat awak dan apa yang awak suka.” Eryssa tersenyum sebelum meninggalkan Zeek di tempatnya.

Setelah menggantungkan kertas pesanan mengikut giliran, Eryssa menghampiri mesin pembuat kopi. Jika orang lain yang membancuh kopi, tentu tidak sesuai dengan selera Zeek.

“Amboi...amboi...amboi....” Tijani sudah bercekak pinggang di sisi Eryssa. “Kau nak mengajar staf aku tak berdisiplin ke, hah? Berborak sakan dengan kawan sampai lupa kerja.” Suara Tijani sengaja dikeraskan.

Eryssa tersenyum. Tanpa menoleh, dia menjawab tuduhan rakan serumahnya itu. “Itu bukan sembarangan kawan. Itu Zeek. Buah hati aku dah balik!”

Bulat mata Tijani merenung Eryssa. Sebentar kemudian dia menoleh ke arah lelaki yang sedang berbicara dengan telefon bimbit itu.

“Itu Zeek? Soal Tijani, tidak percaya. “Bukankah dia berambut afro dan berpakaian selekeh?”

“Itu dulu. Sekarang tak lagi. Aku nak hantar kopi ni sekejap, ya.” Sambil menatang sebuah cawan kopi bermulut besar di atas dulang bulat, Eryssa meninggalkan Tijani yang masih tercengang tidak percaya. Walaupun dia tidak mengenali Zeek secara peribadi, wajah lelaki itu memang tidak asing daripada pandangan matanya. Gambar Zeek bersama Eryssa terpampang di mana-mana sahaja di setiap sudut bilik tidur gadis itu. Yang dicetak sebesar poster pun ada.

“Bila dia balik? Kau tak pernah cerita pun.” Tijani terus menyerang Eryssa dengan soalan apabila gadis itu kembali ke dapur mahu memastikan hidangan yang dipesan oleh Zeek sedang disediakan.

“Dia pun tak beritahu aku bila dia balik. Baru hari ni dia jumpa aku. Bagai nak pengsan aku tadi. Ingatkan siapa yang tegur aku. Bukan kau saja yang terkejut tengok penampilan dia, aku lagi tambah-tambah terkejut.” Eryssa meluahkan perasaannya kepada Tijani yang tahu kisah percintaan monyetnya bersama Zeek sewaktu zaman persekolahan dahulu. “Pukul 3, aku off duty ya. Budak baharu yang kau upah tu mula kerja hari ni, kan?”

“Yelah. Terima kasih sebab tolong aku hari ni dan semalam. Kalau aku tak cukup orang lagi minggu depan, kau tolong lagi, ya?”

“Hmm...aku rasa macam tak free pula minggu-minggu akan datang. Maklumlah kali ni aku dah ada aktiviti yang perlu dilakukan,” seloroh Eryssa dengan nada mengusik.

“Tak payah sambung cintan cintun kau tu lama-lama. Lagipun memang dah lama kamu berdua bercinta, kan? Lebih sembilan tahun. Kahwin sajalah cepat-cepat.” Ibarat seorang kakak, Tijani menasihatkan.

Berkerut dahi Eryssa mendengar saranan Tijani itu. “Kahwin? Siapa pula yang kata aku nak kahwin dengan Zeek?”

“Habis tu, kalau tak nak kahwin, buat apa kamu bercinta sakan sampai penuh gambar-gambar dia dalam bilik kau? Kau pun bukan ada teman lelaki lain, kan?” Agak tidak masuk akal kata-kata Eryssa sehingga menyebabkan Tijani terkejut mendengar kata-katanya sebentar tadi. Kalau tidak mahu kahwin, kenapa bercinta bagai nak rak?

Eryssa terdiam. Ada benarnya kata-kata Tijani itu. Tetapi adakah itu yang dimahukan olehnya dan Zeek? Selama ini mereka hanya berkawan baik. Adakah cinta monyet sewaktu zaman persekolahan dahulu boleh dikira sebagai percintaan sebenar?

“Nantilah aku tanya Zeek sama ada dia nak kahwin dengan aku ataupun tak,” ujar Eryssa sambil lewa. Dia tersenyum mendengar loceng tanda pesanan telah siap. Tanpa berlengah, dia membawa makanan yang dipesan ke meja Zeek.

Tijani menggeleng kepala. Orang macam ini pun ada di dunia. Entah berapa ramai agaknya bilangan mereka?

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Izza Aripin