KEJADIAN buruk yang menimpa Eryssa
semalam tak dikongsi bersama rakan-rakan yang lain. Bagi Eryssa perkara itu
sungguh memalukan dirinya. Dia juga berharap supaya Zeek tak menghebohkan
perkara itu di sekolah.
Tepat
jam 10.00 pagi hari itu, pertandingan catur antara sekolah-sekolah di daerah
Hulu Langat bermula. Eryssa bersungguh-sungguh mahu menang kerana tak mahu
diejek sebagai pencacai najis seperti yang diugut oleh Zeek.
Entah
kenapa, dia dah tak marah kepada pelajar itu kerana mengugutnya. Sebaliknya
Eryssa berasa terhutang budi kepada Zeek kerana telah menyelamatkannya semalam.
Kesungguhan
Eryssa membuahkan hasil apabila dia berjaya menewaskan lawan dan layak memasuki
pertandingan di peringkat negeri yang diadakan pada bulan hadapan. Bukan saja
Eryssa layak, Zeek, dan beberapa orang pelajar dari sekolahnya juga turut
berjaya melayakkan dirinya. Kejayaan mereka disambut dengan meriah oleh rakan
sekolah yang lain dan guru-guru.
Sebagai
membalas kesungguhan mereka, guru-guru telah sepakat membawa ahli kumpulan
kelab catur yang seramai 20 orang itu bersiar-siar ke Kuala Lumpur. Aktiviti
itu diadakan sebagai daya pendorong kepada pelajar-pelajar lain supaya mereka
juga turut berusaha bersungguh-sungguh.
Antara
tempat-tempat yang mereka bakal lawati ialah Petrosains, Akuaria dan jambatan
gantung di KLCC. Mereka bertolak pada hari Sabtu depan.
Kegembiraan
Eryssa pudar pada petang itu sewaktu nak pulang dari sekolah. Walaupun waktu
persekolahan tamat pada pukul 2.00 petang, dia sering pulang lewat kerana
menghabiskan masa di kelab catur. Paling awal Eryssa pulang adalah pada pukul
3.00 petang.
Tapi,
kebiasaannya dia pulang pukul 5.00 petang memandangkan jika dia pulang awal ke
rumah, tiada sesiapa di rumah sebagai teman bicara. Mama yang mulai
berjinak-jinak dalam dunia politik, sering pulang lewat. Dulu sewaktu dia masih
ada pengasuh, taklah sunyi di rumah.
Kini
selepas dia memasuki sekolah menengah, abang dan kakaknya di sekolah berasrama,
mama berhenti menggaji pengasuh dengan alasan Eryssa dah cukup dewasa menguruskan
hidupnya sendirian.
Hari
itu Huda pulang lebih awal daripadanya. Itu pun kerana ayahnya datang
menjemput. Dengan berat hati Eryssa menghampiri pondok bas. Walaupun ramai
pelajar yang turut sama menanti di situ, Eryssa tahu mereka akan turun awal
daripadanya nanti.
Disebabkan
berasa takut kejadian semalam berulang lagi, Eryssa sengaja melepaskan bas
pukul 5.00 petang yang selalu dinaiki olehnya dengan harapan dia tak bertemu
lagi dengan lelaki keparat itu.
Kini
tinggal dia sendirian menanti bas pukul 6.00 petang. Keadaan yang sunyi
menyebabkan Eryssa berasa menyesal kerana tak menaiki bas tersebut.
Nak
berjalan kaki, memanglah jauh dan memenatkan. Sementelah, jarak dari rumah ke
sekolah pula 20 kilometer. Jika berkereta, hanya mengambil masa tak lebih suku
jam. Tapi dengan bas buruk boleh jadi hampir 45 minit kerana bas bergerak
perlahan dan banyak kali berhenti. Tambahan pula keadaan jalan kampung yang
bengkang-bengkok, sempit dan berbukit menyebabkan bas tak boleh bergerak laju.
Selepas
hampir sejam menanti, sebuah bas tiba. Eryssa berasa lega. Tiada tempat duduk
di dalam bas ketika itu walaupun keadaannya taklah sesak seperti bas pukul 5.00
petang tadi. Selang beberapa perhentian, Eryssa dapat tempat duduk. Mujur dia
duduk di sebelah seorang wanita muda.
Selang
satu perhentian dari kebun getah tempat di mana lelaki keparat itu naik
semalam, wanita muda berkenaan turun. Eryssa berasa cuak apabila bas mula
bergerak. Dia berdoa supaya bas itu tak berhenti di kebun getah berkenaan.
Sewaktu
degup jantungnya bergerak pantas menanti dalam ketakutan, seorang pelajar dari
arah belakang datang dan duduk di sisinya.
Eryssa
yang terkejut segera menoleh. Dia mengeluh lega apabila mendapati Zeek yang
duduk di sebelahnya. Entah dari mana pelajar itu datang. Walaupun hairan,
Eryssa tetap bersyukur kerana Zeek ada di situ melindunginya lagi.
Bas
yang berhenti di kebun getah membuatkan jantung Eryssa semakin pantas.
Sungguhpun Zeek ada di sisinya, dia tetap juga berasa takut.
Seperti
yang Eryssa takutkan, lelaki keparat semalam menaiki bas itu. Setelah
memasukkan duit tambang di dalam tong duit, dia berjalan menuju ke belakang.
Tapi sebaik saja ternampak Zeek yang menunjukkan bet besbal, langkah lelaki itu
mati. Lantas dia duduk di satu tempat kosong di bahagian tengah bas. Wajahnya
jelas menunjukkan rasa tak puas hati.
Eryssa
pula sebaik saja terlihat lelaki keparat itu, terus menggenggam jari-jemari
Zeek secara tak sengaja. Dia memang amat takut apabila terpandang wajah lelaki
keparat yang berjambang dan bermisai selekeh itu.
Lelaki
keparat itu turun di perhentian seterusnya. Eryssa berasa lega. Ketika itulah
baru dia sedar akan tindakannya sebentar tadi.
“Maaf!”
Dia segera melepaskan tangan Zeek.
Wajahnya
merah padam menahan malu. Habislah dia kali ini. Tentu Zeek akan menuduhnya
sebagai perempuan yang tak tahu malu.
Namun,
Zeek hanya diam sehinggalah mereka tiba di perhentian yang terakhir. Waktu itu
hari dah gelap. Azan Maghrib mulai berkumandang dari corong surau berdekatan.
“Kalau
dah tau takut, lain kali jangan suka pulang lewat.”
Eryssa
terdengar suara Zeek bergema di belakangnya. Dia tersenyum.
Entah
mengapa hatinya rasa bahagia. Ingin saja dia menoleh ke belakang mengucapkan
terima kasih. Tapi dia malu. Lantas dipendamkan saja niatnya itu. Seperti
semalam, Zeek menghilangkan diri sewaktu dia tiba di luar pagar rumahnya.
Eryssa
mengeluh kesal kerana tak berpeluang mengucapkan terima kasih dan memulangkan
sapu tangan milik pelajar itu.
SEJAK kejadian itu, tiap-tiap hari Zeek menemaninya pulang dari sekolah.
Sungguhpun begitu, mereka tak pernah berbual-bual. Eryssa ingin sekali berbual
dengan Zeek tapi dia malu. Dia bimbang pelajar itu berkata sesuatu yang kasar
terhadapnya.
Aneh
sungguh ‘persahabatan’ ini. Eryssa tak memberitahu sesiapa pun mengenai perkara
itu hatta kepada Huda sekali pun. Dia mahu menganggap perkara itu sebagai
rahsia istimewanya.
Sebelum
ini Zeek memang tak pernah dilihat berkawan rapat dengan mana-mana pelajar
perempuan. Walaupun sikap Zeek menjengkelkan, sebenarnya ramai juga pelajar
perempuan yang menaruh minat kepadanya. Tapi tak ada sesiapa yang berani
berkawan dengan pelajar itu. Masing-masing takut dengan mulut celoparnya.
Bak
kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Mereka belum sebenar-benarnya mengenali
hati budi Zeek. Mereka hanya nampak yang di luar saja. Hakikat sebenarnya, Zeek
bukan seburuk yang semua orang sangka. Dan mungkin juga sebenarnya Zeek sengaja
bersikap menjengkelkan kerana sebab-sebab tertentu.
Teringin
juga Eryssa nak tahu sebab Zeek bersikap begitu. Mungkin suatu hari nanti, dia
boleh tanyakan soalan itu.