Home Novel Cinta Gila-Gila Cinta
Gila-Gila Cinta
Izza Aripin
3/9/2013 21:00:15
40,690
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

KEJADIAN buruk yang menimpa Eryssa semalam tak dikongsi bersama rakan-rakan yang lain. Bagi Eryssa perkara itu sungguh memalukan dirinya. Dia juga berharap agar Zeek tak menghebohkan perkara itu di sekolah.

Tepat jam 10 pagi hari itu, pertandingan catur antara sekolah-sekolah di daerah Hulu Langat bermula. Eryssa bersungguh-sungguh mahu menang kerana tak mahu diejek sebagai pencacai najis seperti yang diugut oleh Zeek.

Entah kenapa dia dah tak marah kepada pelajar itu kerana mengugutnya. Sebaliknya Eryssa berasa terhutang budi kepada Zeek kerana menyelamatkannya semalam.

Kesungguhan Eryssa membuahkan hasil apabila dia berjaya menewaskan lawan dan layak memasuki pertandingan di peringkat negeri yang diadakan pada bulan hadapan. Bukan saja Eryssa layak, Zeek, dan beberapa orang pelajar dari sekolahnya juga turut berjaya melayakkan dirinya. Kejayaan mereka disambut dengan meriah oleh rakan sekolah yang lain dan guru-guru.

Sebagai membalas kesungguhan mereka, guru-guru telah sepakat membawa ahli kumpulan kelab catur yang seramai 20 orang itu bersiar-siar ke Kuala Lumpur. Aktiviti itu diadakan sebagai daya pendorong kepada pelajar-pelajar lain agar mereka juga turut berusaha bersungguh-sungguh.

Antara tempat-tempat yang mereka bakal lawati ialah Petrosains, Akuaria dan jambatan gantung di KLCC. Mereka bertolak pada hari Sabtu depan.

Kegembiraan Eryssa pudar pada petang itu sewaktu nak pulang dari sekolah. Walaupun waktu persekolahan tamat pada pukul dua petang, dia sering pulang lewat kerana menghabiskan masa di kelab catur. Paling awal Eryssa pulang adalah pada pukul tiga petang.

Tapi kebiasaannya dia pulang pukul lima petang memandangkan jika dia pulang awal ke rumah, tiada sesiapa di rumah sebagai teman bicara. Mama yang mulai berjinak-jinak dalam dunia politik, sering pulang lewat. Dulu sewaktu dia masih ada pengasuh, taklah sunyi di rumah.

Kini selepas dia memasuki sekolah menengah, abang dan kakaknya di sekolah berasrama, mama berhenti menggaji pengasuh dengan alasan Eryssa dah cukup dewasa menguruskan hidupnya sendirian.

Hari itu Huda pulang lebih awal daripadanya. Itu pun kerana ayahnya datang menjemput. Dengan berat hati Eryssa menghampiri pondok bas. Walaupun ramai pelajar yang turut sama menanti di situ, Eryssa tahu mereka turun awal daripadanya nanti.

Disebabkan berasa takut kejadian semalam berulang lagi, Eryssa sengaja melepaskan bas pukul 5.30 petang yang selalu dinaiki olehnya dengan harapan dia tak bertemu lagi dengan lelaki keparat itu.

Kini tinggal dia sendirian menanti bas pukul 6.00 petang. Keadaan yang sunyi menyebabkan Eryssa berasa menyesal kerana tak menaiki bas tersebut.

Nak berjalan kaki, memanglah jauh dan memenatkan. Sementelah, jarak dari rumah ke sekolah pula 20 kilometer. Jika berkereta, hanya mengambil masa tak lebih suku jam. Tapi dengan bas buruk boleh jadi hampir 45 minit kerana bas bergerak perlahan dan banyak kali berhenti. Tambahan pula keadaan jalan kampung yang bengkang-bengkok, sempit dan berbukit menyebabkan bas tak boleh bergerak laju.

Selepas hampir sejam menanti, sebuah bas tiba. Eryssa berasa lega. Tiada tempat duduk di dalam bas ketika itu walaupun keadaannya taklah sesak seperti bas pukul 5.30 petang tadi. Selang beberapa perhentian, Eryssa dapat tempat duduk. Mujur dia duduk di sebelah seorang wanita muda.

Selang satu perhentian dari kebun getah tempat di mana lelaki keparat itu naik semalam, wanita muda berkenaan turun. Eryssa berasa cuak apabila bas mula bergerak. Dia berdoa agar bas itu tak berhenti di kebun getah berkenaan.

Sewaktu degup jantungnya bergerak pantas menanti dalam ketakutan, seorang pelajar dari arah belakang datang dan duduk di sisinya.

Eryssa yang terkejut segera menoleh. Dia mengeluh lega apabila mendapati Zeek yang duduk di sebelahnya. Entah dari mana pelajar itu datang. Walaupun hairan, Eryssa tetap bersyukur kerana Zeek ada di situ melindunginya lagi.

Bas yang berhenti di kebun getah membuatkan jantung Eryssa semakin pantas. Sungguhpun Zeek ada di sisinya, dia tetap juga berasa takut.

Seperti yang Eryssa takutkan, lelaki keparat semalam menaiki bas itu. Setelah memasukkan upah tambang di dalam tong duit, dia berjalan menuju ke belakang. Tapi sebaik saja ternampak Zeek yang menunjukkan bet besbal, langkah lelaki itu mati. Lantas dia duduk di satu tempat kosong di bahagian tengah bas. Wajahnya jelas menunjukkan rasa tak puas hati.

Eryssa pula sebaik saja terlihat lelaki keparat itu, terus menggenggam jari-jemari Zeek secara tak sengaja. Dia memang amat takut apabila terpandang wajah lelaki keparat yang berjambang dan bermisai selekeh itu.

Lelaki keparat itu turun di perhentian seterusnya. Eryssa berasa lega. Ketika itulah baru dia sedar akan tindakannya sebentar tadi.

“Maaf!” Dia segera melepaskan tangan Zeek.

Wajahnya merah padam menahan malu. Habislah dia kali ini. Tentu Zeek akan menuduhnya sebagai perempuan yang tak tahu malu.

Namun Zeek hanya diam sehinggalah mereka tiba di perhentian yang terakhir. Waktu itu hari dah gelap. Azan Maghrib mulai berkumandang dari corong surau berdekatan.

“Kalau dah tau takut, lain kali jangan suka pulang lewat.”

Eryssa terdengar suara Zeek bergema di belakangnya. Dia tersenyum.

Entah mengapa hatinya rasa bahagia. Ingin saja dia menoleh ke belakang mengucapkan terima kasih. Tapi dia malu. Lantas dipendamkan saja niatnya itu. Seperti semalam, Zeek menghilangkan diri sewaktu dia tiba di luar pagar rumahnya.

Eryssa mengeluh kesal kerana tak berpeluang mengucapkan terima kasih dan memulangkan sapu tangan milik pelajar itu.

SEJAK kejadian itu, tiap-tiap hari Zeek menemaninya pulang dari sekolah. Sungguhpun begitu mereka tak pernah berbual-bual. Eryssa ingin sekali berbual dengan Zeek tapi dia malu. Dia bimbang pelajar itu berkata sesuatu yang kasar terhadapnya.

Aneh sungguh ‘persahabatan’ ini. Eryssa tak memberitahu sesiapa pun mengenai perkara itu hatta kepada Huda sekali pun. Dia mahu menganggap perkara itu sebagai rahsia istimewanya.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Izza Aripin