SEBAIK sahaja
jam berdetik pukul tiga petang, Eryssa terus masuk ke bilik rehat pekerja
menukar pakaian seragamnya. Terdapat sebuah bilik mandi di situ. Selepas
membersihkan diri, dia segera menyarung persalinan bersih. Rambutnya yang
separuh basah, disisir dan dibiarkan tanpa diikat. Setengah jam kemudian, dia
dan Zeek sudah melangkah keluar dari Restoran Tijani’s.
“Kita
nak ke mana?” soal Eryssa sebaik sahaja dia menghampiri kereta BMW milik Zeek.
Eryssa tertanya-tanya dalam hati apakah pekerjaan Zeek ketika itu sehingga
mampu memandu kereta mewah model terbaharu keluaran Jerman.
“Awak
pandu kereta ke sini tadi?” Soalan dijawab dengan soalan.
“Tak.
Saya datang dengan Tijani. Selalu balik pun dengan dia.”
“Saya
tak rasa macam nak memandu pula petang ni. Apa kata kalau kita jalan-jalan
dengan kenderaan awam?” Zeek mencadangkan. Sambil itu, dia menanggalkan tali
leher. Kemudian tali leher dan kot di tangan dicampak ke tempat duduk belakang.
“Awak
nak naik bas?” Wajah Eryssa berkerut.
Zeek
tersenyum mengerti dengan ekspresi wajah Eryssa. Sejak dahulu lagi Eryssa tidak
suka menaiki bas. Itu semua gara-gara dia diraba oleh penumpang gila seks
sewaktu pulang dari sekolah dahulu. Sejak daripada kejadian itu, Zeek selalu
menemani Eryssa pulang ke rumah.
“Di
sini ada stesen LRT?”
“Ada.”
Wajah Eryssa kembali ceria. “Tapi stesen Setiawangsa jauh sikit dari sini. Kita
terpaksa berjalan ke sana.” Eryssa menuding ke satu arah.
“Okey,
mari!” Zeek menghulurkan tangannya.
Mereka
berpimpin tangan meninggalkan Setiawangsa Business Suite. Setelah melintasi
pasar raya Giant, Restoran McDonald’s dan stesen minyak Petronas, mereka
melintas jalan di sebuah simpang tiga sebelum meneruskan perjalanan menuju ke
stesen Star LRT Setiawangsa yang berdekatan dengan stesen minyak Esso.
Destinasi
pertama mereka ialah Suria KLCC. Zeek tersenyum lucu sendirian. Kalaulah Eryssa
tahu pejabatnya terletak di sekitar kawasan itu, tentu gadis itu merajuk dan
berkecil hati. Buat seketika, dia terpaksa merahsiakannya. Ah...sudah terlalu
banyak rahsia antara mereka.
“Awak
kerja di mana sekarang?” Bagai dapat mendengar bisikan hati yang diluahkan oleh
Zeek tadi, Eryssa menyoal.
“Saya
uruskan perniagaan atuk.” Bagi Zeek, pengakuan itu separuh benar. Walaupun dia
Pengurus Operasi Malcel, dia juga masih menguruskan perniagaan keluarganya.
“Maknanya
awak selalu ulang-alik ke kampung?” Sejak mengenali Zeek, Eryssa memang tahu
yang Zeek mempunyai datuk yang menjalankan perniagaan barang perhiasan wanita.
“Selalu.
Hampir setiap minggu.”
“Boleh
saya tanya sesuatu?”
“Apa
dia?”
“Kenapa
awak ubah imej? Saya sukakan imej awak yang dulu. Selekeh dan macam budak
nakal.” Sebenarnya Eryssa agak kekok berjalan dan berbual-bual dengan Zeek ‘baharu’.
Dia berasa seperti sedang berpacaran dengan lelaki asing. Hanya senyuman Zeek
yang membuatkan dia rasa selesa dan selamat di sisi lelaki itu. Senyuman yang
tidak pernah berubah. Damai dan menenangkan.
“Siapalah
yang mahu membuat urusan perniagaan dengan budak yang bercakap kasar, berambut ala
afro dan berpakaian selekeh? Awak mahu perniagaan keluarga saya lingkup?” Penjelasan sementara, janji Zeek dalam
hati. Rasa bersalahnya semakin memuncak seminit demi seminit.
“Awak
masih takut naik bas lagi?” Demi mengelakkan soalan yang memaksanya
menyembunyikan kebenaran, Zeek menimbulkan persoalan lama. “Dalam LRT tak ada
orang gila seks?”
“Sehingga
ke hari ini, saya belum jumpa lagi. Kalau ada, saya tak ragu-ragu humbankan dia
keluar dari tren. Biar kena gilis dengan tren yang seterusnya.”
“Takutnya
saya. Awak dah semakin berani.” Zeek masih ingat lagi betapa eratnya Eryssa
menggenggam jari-jemarinya ketika mereka menaiki bas bersama sewaktu pulang
dari sekolah. Malah jika ada satu tempat duduk yang kosong, Eryssa tidak mahu
duduk. Dia tetap mahu duduk di sisi Zeek. Nyata sekali pengalaman ngerinya
diraba oleh lelaki tidak bermaruah itu begitu menghantui dirinya sehingga
mengubah persepsi mengenai kenderaan awam itu.
“Awak
tinggalkan saya sendirian lebih sembilan tahun. Saya terpaksa memberanikan diri
hidup tanpa awak. Mujur saya tak cari kawan baik lain untuk jadi teman saya.”
Eryssa cuba merisik tahap perhubungan mereka ketika itu. Untuk bertanya secara
terus, dia tidak sanggup kerana berasa malu.
“Jadi
selama ini kita hanya kawan baik sajalah?’ Sebaliknya Zeek juga turut menduga.
Sewaktu mereka berbual di alam maya, sudah banyak kali dia mengusik Eryssa
dengan lamaran. Adakah selama ini Eryssa menganggapnya tidak serius dan hanya
suka-suka mengusik? Memang nadanya mengusik, namun dia sebenarnya serius.
Itulah masalah yang sama yang dihadapinya sehingga hari ini. Dia tidak pandai
meluahkan perasaan dengan betul. Lain yang mahu disampaikan, lain pula yang
terucap dari ulas bibirnya.
“BFF,”
balas Eryssa sambil ketawa kecil. Dia sendiri tidak faham kenapa dia boleh
berkata demikian. Kenapa tidak sahaja dia bertanya status sebenar
perhubungannya dengan Zeek?
Buat
sementara, Zeek akan terima pengakuan itu. Dia tidak mahu memaksa Eryssa
menerima dirinya. Jika benar Eryssa masih belum bersedia menerima hubungan
mereka secara serius, dia akan tunggu.
“Baiklah,
Best Friend Forever. Saya nak ajak
awak tengok filem terbaharu di pawagam. Dah lama kita tak menonton wayang
gambar bersama-sama.” Zeek menarik tangan Eryssa menuju ke panggung wayang TGV
di tingkat empat pusat membeli-belah itu.
BFF? Best Friend Forever? Eryssa rasa sedih walaupun dia sendiri yang menuturkan
kata-kata itu. Kenapa dia mesti berkecil hati mendengar Zeek menyebutnya?
Bukankah dia menganggap Zeek hanya sebagai teman akrab? Tetapi kenapa pula
selama ini dia membahasakan Zeek sebagai buah hatinya di hadapan Tijani dan
Walin? Eryssa jadi keliru. Jika dia tidak mencintai Zeek, kenapa gambar-gambar
Zeek memenuhi kamarnya? Jika dia tidak mencintai Zeek, kenapa dia menolak
lamaran beberapa teman sekuliah yang mahu berpacaran dengannya? Jika dia tidak
mencintai Zeek, kenapa selama ini dia menganggap dirinya sudah berpunya?
Sewaktu
di dalam panggung, fikiran Eryssa langsung tidak tertumpu pada filem barat yang
ditayangkan. Dia masih memikirkan apakah status sebenar hubungannya dengan
Zeek. Jika dia hanya teman biasa kepada lelaki itu, tentu dia tidak kisah
sekiranya Zeek mempunyai hubungan dengan gadis lain. Tidak kisah? Eryssa mulai
disiram perasaan cemburu yang membuak-buak. Tidak mungkin dia membiarkan
perkara itu berlaku. Lantas apakah hubungan antaranya dengan Zeek jika bukan
kekasih sekiranya dia boleh berperasaan begitu. Eryssa semakin berserabut.
Tanpa
sedar, dia menyulam jari-jemari Zeek dan menggenggamnya erat. Manakala
kepalanya dilentukkan ke bahu pemuda itu. Kepalanya rasa berat pula tiba-tiba
memikirkan apakah hubungannya dengan Zeek.
Best Friend Forever? Zeek tersenyum lucu. Nampaknya dia dan Eryssa sama
sahaja. Kedua-duanya menyembunyikan perasaan sebenar. Entah sampai bila mereka
harus begitu?
ZEEK
menghantar Eryssa pulang ke rumah hampir jam 12 tengah malam. Itu pun dia masih
belum puas berbual bersama gadis itu. Selama setahun, selepas pulang dari
melanjutkan pelajaran di luar negara, Zeek menyimpan hasrat mahu bertemu dengan
gadis pujaan hatinya itu. Namun niat tersebut terpaksa dikekang lantaran
kedudukannya di Malcel ketika itu masih goyah. Kini dia sudah boleh ‘berlari-lari
anak’ di Malcel. Sungguhpun taring sebenarnya masih disembunyikan, Zeek sudah
yakin yang dia boleh mengorak langkahnya dengan berhati-hati.
“Esok
kita keluar makan tengah hari bersama. Saya jemput awak.” Zeek seperti tidak
mahu melepaskan tangan Eryssa.
“Awak
nak jemput saya di mana?” Seingat Eryssa dia masih belum memberitahu Zeek di
mana dia bekerja sebenarnya. Tentu Zeek menyangka dia bekerja di Restoran
Tijani’s.
“Esok
saya tunggu awak di lobi Channel 11. Kita keluar makan di restoran berdekatan
saja.”
Eryssa
terkejut apabila Zeek tahu di mana dia bekerja ketika itu.
“I know almost
everything about you, my dear.”
Senyum Zeek. Walaupun dia tidak berpeluang bertemu dengan Eryssa selama ini,
berita mengenai hidup gadis itu sentiasa sampai ke pengetahuannya. Dia sanggup
mengupah penyiasat persendirian gara-gara mahu mengintip pergerakan gadis itu.
Bimbang benar dia jika Eryssa terlepas ke tangan orang lain.
“Awak
ni...tak adil tau. Awak tahu segala-galanya mengenai saya. Tapi saya sendiri
tak tahu apa-apa mengenai awak.” Eryssa
mula menyedari hakikat itu. Tidak banyak yang dia tahu mengenai diri Zeek sebab
selama ini dia tidak pernah kisah akan hal itu.
“Awak
dah tau segala-gala yang awak perlu tahu mengenai saya.” Zeek cuba menyedapkan
hati Eryssa. Sebenarnya dia tidak mahu Eryssa menyiasat mengenai dirinya. Hanya
dengan menekan nama penuhnya di laman enjin carian Google, Eryssa pasti tahu
siapa dirinya ketika itu. Dia sudah tidak boleh merahsiakan perkara itu lebih
lama lagi. Esok, dia berjanji mahu membongkar segala-galanya.
“Kita
jumpa esok.” Zeek menguncup belakang tangan Eryssa. Dulu semasa zaman
persekolahan, dia memang selalu buat begitu tatkala mahu berpisah dengan
Eryssa.
“Okey.”
Eryssa menarik tangannya perlahan-lahan. Nampaknya Zeek masih belum lupa
berbuat begitu. “Pandu kereta elok-elok,” pesanannya kemudian.
Eryssa
berdiri di luar pagar sehinggalah kereta Zeek hilang dari pandangan. Sewaktu
dia melangkah masuk ke dalam rumah semi D dua tingkat itu, keadaannya sunyi dan
suram menandakan Tijani dan Walin sudah lama diulit bahtera mimpi. Rumah itu
milik Tijani dan suaminya. Tetapi kini Tijani tinggal sendirian kerana suaminya
dihantar bertugas ke Dubai selama tujuh tahun. Disebabkan tidak berani tinggal
sendirian, Tijani telah mempelawa rakan baiknya sewaktu di universiti dahulu
tinggal bersama-sama dengannya buat sementara waktu.
Eryssa
naik ke tingkat atas dan menuju ke biliknya yang bertentangan dengan bilik
Tijani. Bilik Walin terletak di sebelah biliknya dan bertentangan juga dengan
bilik tidur utama itu. Ruang di antara bilik mereka dengan bilik tuan rumah ialah
ruang rehat tempat di mana mereka sering duduk menonton televisyen.
Selepas
membersihkan diri dan menyarung gaun tidur betali halus, Eryssa segera
membongkar kotak-kotak pelbagai warna dan corak yang disorok di bawah katil.
Kesemua kotak-kotak itu menyimpan pelbagai nostalgianya semasa zaman
persekolahan. Sudah lama kotak itu dibiarkan berhabuk di bawah katil. Eryssa
mencapai sebuah album gambar. Dia tersenyum membelek gambar-gambar lamanya
bersama Zeek, Si Rambut Kembang.