Home Novel Cinta Gila-Gila Cinta
Gila-Gila Cinta
Izza Aripin
3/9/2013 21:00:15
40,689
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1

“Rys...tengah hari ni meeting dengan Tan Sri. Proposal dah siap ke?” Walin menjengukkan diri ke dalam bilik Eryssa

“Dah. Harry pun dah semak.” Eryssa masih tunduk menatap planner dan membelek kalendar.

“Dah tu...kenapa aku tengok kau cemas aje ni? Asyik duk belek-belek slaid sejak tadi lagi.” Walin sudah berpeluk tubuh memandang Eryssa.

Eryssa melepaskan keluhan berat. “Tan Sri orang yang cerewet. Sangat! Aku takut dia tolak mentah-mentah proposal ni nanti. Bukannya senang nak dapatkan appoinment dengan dia.” Eryssa mengurut pelipis kepalanya.

“Berapa ramai yang fight untuk projek ni?” Hendak menenangkan gundah di hati Eryssa, memang dia tidak pandai. Tetapi kalau bertanya, dia memang handal.

“Dua aje yang shortlisted. Production yang satu lagi tu dah present. Sekarang giliran kita pula. Mana tak cuak!” Tidak pernah Eryssa rasa perasaan bimbang sebegitu. Selalunya dia tenang-tenang sahaja.

“Emm...aku tak jadi ikut. Kau dengan Harry aje pergi. Aku ada appoinment dengan Hastro.” Walin kembali menyentuh topik utama dia berjumpa dengan Eryssa. Tidak sangka jauh pula perbualan mereka menyimpang.

“DAH sedia?” Harry terjengul di bilik Eryssa tengah hari itu.

“Dah.” Eryssa sudah siap menyarung kot putih ke tubuh yang sama warna dengan seluarnya. Di bawah kot, dia memakai blaus belang menegak berwarna merah hati yang sepadan dengan beg tangan. Sambil menyandang beg tangan, dia membawa beg laptop untuk business presentation sebentar lagi.

Meeting venue dah tukar,” beritahu Harry ketika mereka masuk ke dalam kereta lelaki itu.

“Kat mana?” Jantung Eryssa berdebar-debar tiba-tiba. Adakah itu petanda tidak baik?

“Pulau Indah. Atas Princess Jawahir.”

“Atas kapal?” Terkejut beruk Eryssa mendengarnya.

“Ya. Kenapa? You mabuk laut?” Harry menjeling sekilas ke arah Eryssa sebelum menumpukan perhatian kepada jalan raya.

“Tak...tapi...wow....” Tidak dapat Eryssa hendak menggambarkan perasaannya ketika itu. Dia belum pernah menaiki kapal persiaran. Kapal terbang memang sudah biasa. Hilang sekejap gundah di jiwa.

Harry sudah tergelak. Kini tahulah dia bagamana hendak menarik perhatian Eryssa. “Nanti I proposed kat bos supaya adakan company retreat kita atas kapal.”

“Menarik tu!” Eryssa sudah teruja. Dia memang sukakan bayu laut yang menyegarkan.

BOT persiaran Princess Jawahir, walau tidak sebesar kapal persiaran mewah, ia tetap cantik dan selesa. Deknya luas hingga boleh memuatkan set sofa separa bulat yang sesuai dijadikan tempat bersantai mahupun tempat berbincang mengenai bisnes. Ketibaan mereka disambut oleh Tan Sri Haiqal sendiri. Perbincangan perniagaan terus dimulakan. Kata Tan Sri Haiqal, dia tidak mahu membuang masa. Dan Eryssa juga turut sama tidak mahu membuang masa sesiapa.

“Dokumentari 12 episod ni akan dikendalikan oleh produksi kami sendiri. Penerbitnya Cik Walin.” Eryssa menghulurkan sebuah fail nipis kepada Tan Sri Haiqal. Fail itu disambut dan diselak sekali lalu sebelum diserahkan kepada pembantu khas yang sentiasa bersedia di sisinya.

Seterusnya Eryssa menunjukkan slaid demi slaid contoh storyboard untuk dokumentari yang bakal ditaja oleh syarikat Tan Sri Haiqal. Eryssa begitu bersungguh-sungguh dan amat profesional ketika itu. Harry berasa bangga dengan kelancaran bicara dan tutur kata Eryssa yang bagaikan tersusun seperti membaca skrip. Sebagai ketua, tidak pernah pun dia meragui kemampuan Eryssa untuk membentangkan mana-mana proposal kepada pelanggan mereka. Tujuan sebenar dia menemani Eryssa hari itu adalah semata-mata mahu meluangkan masa berdua-duaan bersama gadis itu.

“I setuju. Cuma ada beberapa maklumat yang perlu dikemaskinikan daripada skrip yang you berikan tempoh hari. Selepas you buat kemas kini, episod pertama dokumentari ni dah boleh dimulakan penggambarannya.”

Bulat mata Eryssa memandang Tan Sri Haiqal sebelum dia menoleh dan tersenyum lebar kepada Harry. Tan Sri Haiqal menerima proposal mereka tanpa sebarang bantahan. Bagaikan mimpi. Perkara ini belum pernah lagi berlaku kepada dirinya. Seringkali rundingan seperti ini akan berjalan sekurang-kurangnya tiga pusingan sebelum kata putus dibuat. Wah...ini sesuatu yang patut diraikan.

“Terima kasih Tan Sri sebab berikan peluang kepada stesen kami untuk menerbitkan dokumentari ni,” ucap Eryssa. Perasaan gembiranya tertahan-tahan.

Tan Sri Haiqal tersenyum. “I berpuas hati dengan skrip dan proposal yang you berikan. Sebab itu I tak perlu fikir panjang. Moga kita bertemu lagi.” Lelaki itu menghulurkan tangannya untuk bersalaman.

Eryssa kaget seketika. Seingatnya tadi, Tan Sri Haiqal hanya berjabat tangan dengan Harry. Kenapa pula tiba-tiba dia mahu bersalaman dengan Eryssa? Disebabkan tidak mahu memalukan Tan Sri Haiqal di hadapan semua orang, Eryssa terpaksa menyambut tangan lelaki itu. Lama barulah tangannya dilepaskan. Eryssa mula rasa lain macam. Tetapi segera dibuangnya jauh-jauh perasaan yang tidak enak yang tiba-tiba menyapa. Ah...mungkin dia membayangkan yang bukan-bukan.

“Syabas, Rys. I kagum dengan kebolehan you.” Harry juga turut sama berkongsi perasaan gembira. Mereka berjalan beriringan meninggalkan marina bot persiaran. “Tan Sri bukan seorang yang senang untuk dipuaskan. Cita rasanya tinggi. Cerewet. I sebenarnya takut tadi. Tapi ternyata I silap. You dah berjaya yakinkan dia dengan begitu mudah dan cepat! Kita perlu raikan kejayaan ini. Jom...I belanja you makan.”

“Bukan you sorang saja yang takut. I lagi cuak sejak pagi tadi lagi. Sampai tak lalu nak breakfast. Jomlah. I pun tengah lapar ni.” Barulah senang Eryssa hendak mengukir senyuman lebar. Lapang sungguh dadanya. Ternyata perasaan tidak sedap hati yang dirasainya tadi hanyalah mainan perasaan. Sepatutnya dia tidak perlu berasa risau keterlaluan. Mujur perasaan itu tidak mengganggu kelancaran penyampaiannya tadi.

TAN SRI HAIQAL memerhati langkah Eryssa dan Harry hingga kelibat mereka hilang di dalam bangunan yang menempatkan sebuah cafe dan pejabat urusan marina.

“Jasmina, dapatkan I butiran peribadi Cik Eryssa.” Dia memberikan arahan kepada pembantu khasnya.

“Baik, Tan Sri.” Jasmina menekan komputer tablet di tangannya memasukkan butiran tugas yang baru diberikan. 

“Masukkan nama dia sebagai tetamu kehormat I semasa majlis ulang tahun Malcel nanti.” Sekali lagi Jasmina mengangguk.

Sudah lama Tan Sri Haiqal tidak merasakan perasaan itu. Perasaan terpesona dan tertarik kepada seseorang. Wajah Eryssa yang ayu dan gayanya yang lemah lembut itu benar-benar menarik perhatiannya. Eryssa bagaikan mengingatkan dia kepada seseorang. Hatinya yang selama ini kesunyian, kembali terasa bergetaran. Selama ini, apabila dia berfoya-foya dengan ramai jelitawan, belum ada seorang pun yang berjaya mengembalikan perasaan itu di jiwanya. Pasti ada sesuatu mengenai Eryssa yang buat Tan Sri Haiqal seperti terpukau.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Izza Aripin