Home Novel Cinta Gila-Gila Cinta
Gila-Gila Cinta
Izza Aripin
3/9/2013 21:00:15
40,706
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

“KAU memang hebat bro!” Logan menggeleng kepala ketika dia mengemudi bot meninggalkan Pulau Jawahir.

“Kan aku dah beritahu kau. Aku sentiasa dapat apa yang aku mahu. Tak boleh cara baik, aku cuba cara kurang baik. Lagipun Razanah berbeza dengan kebanyakan perempuan yang pernah aku sentuh. Sebab tu aku mahu jadikan dia milik aku. Aku tak akan lepaskan dia, Logan. Lepas aku uruskan hal aku dengan Sheena, aku akan bawa Razanah pulang bersama aku.” Karl memang selalu berfoya-foya dengan ramai wanita. Mudah sahaja dia meniduri mana-mana wanita yang dikehendakinya. Tetapi dia hanya memperisteri wanita yang benar-benar disayanginya, seperti Razanah.

Disebabkan keluarga Razanah yang berlagak sombong itulah dia terpaksa menggunakan cara kotor. Kalau sejak awal keluarga Razanah menerima hasrtanya dengan baik, perkara seumpama ini tidak akan berlaku. Keluarga Tok Penghulu pun tidak akan dapat malu. Tetapi nasi sudah menjadi bubur dan dia pun sudah selamat menyambung zuriat di pulau itu.

Dan dia bertambah gembira apabila diberitahu Razanah selamat melahirkan seorang bayi lelaki. Akhirnya dia mempunyai waris empayar telekomunikasi yang bersusah payah dibinanya. Hasil perkahwinannya dengan Gharsina dahulu, dia dikurniakan tiga orang anak perempuan. Lantas, dia kembali semula ke Pulau Jawahir untuk menjemput Razanah serta anak lelakinya kembali ke Kuala Lumpur. Perkahwinan dengan Gharsina hanya berlandaskan harta kekayaan. Dia sanggup memperisterikan wanita yang tidak dicintainya semata-mata mahu membolot harta wanita itu.

RAZANAH sungguh gembira kerana akhirnya dapat juga dia mengukir bahagia hidup di samping suami tercinta. Namun dia hanya mampu berangan-angan. Kehidupan yang dia bayangkan ternyata cuma anganan kosong semata-mata. Rupa-rupanya isteri pertama Karl sama sekali tidak tahu yang suaminya itu sudah bernikah satu lagi.

Karl juga melarang Razanah memberitahu yang sebenar kepada Gharsina. Razanah terpaksa akur dalam keterpaksaan. Pada mulanya dia memang berasa amat terkilan dan sedih atas nasib yang menimpa dirinya dan juga bayi kecilnya. Dia dijadikan ketua pembantu rumah di mahligai yang besar itu. Walaupun dia tidak menbuat kerja-kerja seperti pembantu rumah, hanya sebagai penyelia, dia tetap pekerja di mata keluarga suaminya.

Tetapi perasaan sedih dan sayu di hatinya perlahan-lahan mencair pergi setelah melihat cara Gharsina melayan Karl. Gharsina terlalu sibuk berpersatuan di luar rumah sehingga melupakan tanggungjawabnya sebagai isteri. Patutlah langkah Karl begitu panjang di luar rumah. Sedarlah dia kenapa Karl mahu memperisterikan dirinya. Di belakang pengetahuan Gharsina, Karl tetap memberikan layanan istimewa kepada Razanah dan hal itu sudah cukup membahagiakan mereka berdua.

“Abang dah makan?” Razanah menyambut tangan Karl dan tunduk menciumnya.

Karl tersenyum dan mengusap kepala isterinya. Satu ciuman hinggap di dahi wanita itu dan Razanah tersipu malu. Itulah yang paling disukai oleh Karl. Sikap Razanah yang masih malu-malu kepada dirinya, benar-benar disukainya. Sifat lemah lembut wanita itu juga semakin menambat jiwanya. Tidak sia-sia dia menggunakan cara kotor itu untuk mendapatkan Razanah. Sudah jelas, Razanah ialah sebutir permata yang belum digilap. Jika digilap sepenuhnya, pasti sinar permata itu akan memancar menerangi alam. Tetapi Karl tidak berniat mahu berkongsi sinar permata itu dengan orang lain. Razanah miliknya dan hanya dia yang boleh menikmati kecantikan wanita itu.

Maka sebab itu dia tidak membenarkan Razanah keluar dari rumah itu tanpa izin. Malah anak mereka juga diasuh oleh seorang pembantu khas yang turut sama mengasuh anak-anak perempuannya.

Walaupun Gharsina agak tidak senang dengan layanan yang diberikan kepada Razanah, Karl tetap mempertahankan keputusannya. Alasannya, ‘suami’ Razanah ialah pekerjanya yang paling berjasa. Demi hendak membalas jasa ‘suami’ Razanah yang terbunuh kerana kemalangan, dia akan melayan anak kecil itu seperti anaknya sendiri. Lagipun kekayaan mereka tidak luak walau sedikit pun jika dihabiskan untuk membesarkan seorang lagi anak kecil.

“Kalau abang nak makan, Zana hidangkan.” Briefcase yang dipegang oleh Karl tadi diambil dan diletakkan elok-elok di atas meja.

Keadaan mahligai besar itu sudah gelap dan sunyi. Semua penghuninya sudah lama tidur dibuai mimpi. Hanya Razanah yang masih berjaga kerana mahu menunggu suaminya pulang. Karl memang sering pulang lewat malam. Sengaja dia buat begitu sebab tidak mahu mengadap Gharsina. Sejak Razanah tinggal bersama mereka di rumah itu, Karl memang sengaja mengelak bertemu apatah lagi bermesra dengan isteri tuanya.

“Sheena mana?” Sempat lagi Karl memandang ke arah tangga di tingkat atas. Manalah tau kalau-kalau isteri tuanya mengintai.

“Datin pergi Macau. Dia tak beritahu abang?” Razanah menghulurkan secawan teh kepada Karl.

“Betul?” Karl menyambut cawan yang dihulurkan tetapi segera meletakkannya kembali ke atas meja. Hatinya gembira bukan kepalang. “Berapa lama?”

“Seminggu katanya...eh..abang!” Razanah terpaksa menekup mulutnya sebab takut jeritannya kedengaran. Dia terkejut apabila Karl mencempung tubuhnya.

“Jom honeymoon dalam bilik!” Karl segera membawa Razanah menuju ke bilik wanita itu yang terletak di tingkat dua mahligai besar itu. Bilik Karl dan Gharsina terletak di tingkat tiga bersama dengan bilik anak-anak perempuannya.

“Abang!” Wajah Razanah dah merah padam menahan malu. Dia juga bahagia kalau Gharsina tidak ada kerana Karl bebas menunjukkan kasih sayang kepada dirinya.

Biarlah orang lain tidak tahu yang dirinya ialah isteri Karl. Yang utama lelaki itu tahu tanggungjawabnya. Dia redha kerana terpaksa bermadu dalam sembunyi. Cuma dia amat bimbang kalau Gharsina dapat tahu mengenai hubungan mereka. Apakah yang akan terjadi pada dirinya dan anaknya nanti? Adakah kasih sayang Karl dapat mempertahankan mereka?

RAZANAH memuntahkan segala isi perutnya ke dalam mangkuk tandas. Perutnya terasa pedih. Tekaknya perit. Dia berkumur-kumur sebelum keluar dari bilik air. Tiba-tiba wajahnya ditempeleng kuat. Razanah terus terjelepok di atas lantai. Perutnya terasa sakit.

“Perempuan durjana! Murahan!” Gharsina seperti dirasuk hantu. Tubuh Razanah dipukulnya berkali-kali. Tetapi Razanah diam tidak melawan. “Pura-pura baik! Rupa-rupanya kau nak rampas suami aku!” Rambut Razanah ditariknya hingga menyebabkan wanita itu menjerit kesakitan.

“Datin...sakit Datin!” Razanah cuba menolak tangan Gharsina daripada terus menarik rambutnya.

“Padan muka kau! Kalau ikutkan hati aku, aku bunuh saja kau dengan anak kau tu. Mengandung anak haram! Kau keluar dari rumah ni dan jangan datang lagi! Kalau kau cari suami aku, tahulah apa aku nak buat dengan kau, perempuan sundal!”

Puas hati Gharsina kerana memukul dan menghalau Razanah keluar dari situ. Sama sekali dia tidak menyangka Karl sanggup menduakannya dengan orang gaji. Tahulah dia bagaimana hendak mengajar Karl apabila dia pulang dari luar negara nanti. Patutlah selama ini Karl begitu baik hati kepada Razanah dan anak kecilnya. Rupa-rupanya ada udang di sebalik natu. Membalas budi konon! Padahal membuat hubungan sulit. Mujur dia perasan keadaan Razanah yang seperti tidak berapa sihat sejak kebelakangan ini. Bila diintip, rupa-rupanya Razanah muntah-muntah. Bila dirisik dengan pembantu lain, barulah ada yang mahu membuka mulut menceritakan kisah selingkuh antara Karl dengan penyelia rumah besar itu.

Gharsina betul-betul rasa malu dengan pembantu rumahnya yang lain. Dia rasa maruahnya tergugat dek seorang pembantu rumah. Kalau Karl membuat hubungan dengan wanita yang berkarier dan berkedudukan sepertinya atau dengan model sekali pun, dia tidak kisah kerana taraf mereka lebih tinggi daripada seorang pembantu rumah!

“YOU halau dia?” Suara Karl sudah memetir. Pembantu rumah semuanya lari bertempiaran apabila Karl mengamuk setelah mendapat tahu Razanah dan anaknya sudah keluar dari rumah itu beberapa hari yang lalu.

“Kenapa you nak menangkan perempuan murahan tu? Apa istimewanya dia?” Suara Gharsina kuat menengking suaminya. Dadanya berombak marah kerana Karl berani meninggikan suara kerana mempertahankan perempuan perampas itu.

“Dia isteri I yang sah. Dan anak lelaki dia waris I yang utama. You memang sengaja cari pasal dengan I, Sheena. Kalau jadi apa-apa pada dia, you I bunuh!” Karl menyepak pasu hingga pecah sebelum keluar dari rumah itu.

Berhari-hari dia mencari Razanah dan anaknya namun jejak wanita itu langsung tidak ditemui. Karl menyusul ke kampung halaman isterinya. Dia tiada juga di situ. Malah bapa mentuanya juga sudah berpindah. Ke mana...tiada seorang pun yang tahu. Seolah-olah Razanah dan keluarganya hilang begitu sahaja. Karl tidak tahu sebenarnya Razanah telah disembunyikan oleh ayahnya di sebuah kampung di daerah Hulu Langat.

Dia terus juga mencari tanpa berputus asa. Setahun berlalu barulah dia berjaya menemui Razanah. Malang sekali hanya kuburnya sahaja yang tinggal. Karl sungguh kecewa. Dia amat menyayangi Razanah. Hanya Razanah yang dicintainya. Jika tidak kerana memikirkan masa depan anak-anak perempuannya, sudah lama dia menceraikan Gharsina. Demi hendak menghukum Gharsina. Karl terang-terangan berfoya-foya dengan ramai wanita. Dia sengaja mahu memalukan wanita itu. Biar dia terhukum seumur hidupnya.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Izza Aripin