Home Novel Cinta Suamiku Si Tuan Rumah!
Suamiku Si Tuan Rumah!
Nurul Izah
10/2/2014 15:53:16
580,986
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 21

Fahmi menghempaskan tubuhnya di Sofa. Hari itu dia balik agak lewat dari biasa. Hatinya geram!

“Fahmi nak makan ke? Nak Mak Jah siapkan?”

Fahmi mendongak. Memandang Mak Jah yang muncul di muka pintu.

“Mana Alia Mak Jah?”

“Eh, katanya kursus. Dia tak cakap dengan Fahmi ke?”

Fahmi mendengus kasar. Kursus? Bila? Kenapa tak cakap?

“Lia tak cakap ke?”

“Entahlah Mak Jah, saya tak ingat agaknya. Berapa hari ya Mak Jah?”

“Empat hari. Jumaat ni baru balik”

Fahmi bangkit dari duduknya lalu terus menuju ke bilik. Dia menghempaskan tubuhnya di atas katil. Fikirannya menerawang kepada Nur Alia dan Ikbal di hotel tadi. Apa agaknya yang dilakukan malam-malam begini. Pastinya sedang bergurau senda dengan Ikbal. Argh... kenapalah dengan dia ni! Dari tadi asyik terbayang Nur Alia sedang menganyam kasih dengan Ikbal. Bayangan itu yang membuatkan hatinya tidak senang. Membuatkan dia gelisah.

Dia tidak sanggup duduk lagi. Pantas dia bangkit dari, lalu keluar. Kelibat Mak Jah sudah tidak ada. Tanpa berfikir banyak, dia terus memandu keretanya menuju ke Shah Alam. Dia tak akan lepaskan peluang ini!

Sampai di Shah Alam, jam baru menujukkan pukul 10 malam. Ketika Fahmi tiba di Lobi kelihatan Nur Alia baru saja keluar dari dewan besar di tingkat satu dan menuruni anak tangga menuju ke Lobi. Melihat kehadiran Fahmi di situ, Nur Alia terkejut. Nasib baik tidak ada sesiapa bersamanya ketika itu. Mereka yang lain sudah menuju ke kamar masing-masing. Dia turun kerana telefon bimbitnya tertinggal di bilik kursus tengah hari tadi.

“Terkejut ke tengok Fahmi? Macam tak suka aje Fahmi datang?”

Wajah Nur Alia pucat. Apa yang Fahmi buat malam-malam begini di sini. Takkan Fahmi tak ingat yang dia sedang berkursus hari ini. Dia sudah memaklumkan lelaki itu minggu lepas lagi.

“Apa yang Fahmi buat kat sini? Fahmi tak percaya dengan Lia ke?” Mahu saja dia menghalau lelaki itu malam itu juga. Geram betul hatinya. Sampaikan ke sini pun dikejar seolah-olah tidak percaya dengan dirinya. “Lia tengah kursus. Kan Lia dah cakap minggu lepas?”

“Tau! Habis tu salah ke datang sini jumpa isteri sendiri? Atau takut nanti Ikbal nampak?”

Nur Alia mendengus kasar. Memang sah! Bagaimana pula Fahmi tahu yang dia sedang kursus dengan Ikbal. Tapi itu hanya kebetulan. Dia sendiri pun tidak tahu Ikbal mengikuti kursus yang sama.

“Dah lah... Fahmi baliklah. Nanti yang lain nampak, lagi susah. Boleh tak kalau tak susahkan Lia?”

“Habis tu, kalau Ikbal yang susahkan tak apa ke?”

“Fahmi!” Nur Alia semakin marah. Malas dia mahu melayan Fahmi. Selepas mengambil telefon bimbitnya Nur Alia terus menuju ke lif. Fahmi masih tidak puas hati dengan Nur Alia. Melihat isterinya berlalu pergi dia turut mengekori langkah Nur Alia.

“Fahmi nak ke mana?” bentak Nur Alia kasar. Tahap kesabarannya mula hilang.

“Ke bilik kita. Fahmi nak rehat, penat sangat!”

Buntang mata Nur Alia memandang Fahmi. Apa kena dengan Fahmi ni!

“Fahmi jangan nak buat hal! Lia kursus lah kat sini. Bukan nak suka-suka”

Fahmi tidak mengendahkan kata-kata Nur Alia. Sebaik saja pintu lif terbuka, dia meloloskan diri ke dalamnya sambil menarik tangan Nur Alia. Terkejut Nur Alia dengan tindakan pantas Fahmi. Fahmi terus menekan butang lif. Sampai di tingkat lima dia menarik Nur Alia keluar.

“Fahmi apa ni! Sakitlah...”

“Buka pintu!”

Nur Alia akur. Pintu bilik 501 dibuka. Lampu dihidupkan. Masuk saja Fahmi, dia terus menutup pintu bilik. Walaupun hatinya takut, dan gementar. Tapi dia terpaksa. Fahmi sudah merebahkan badannya di atas tilam. Nur Alia yang masih bertudung, hanya duduk di kerusi sambil memandang cermin. Geram hatinya tidak terkata.

Hampir satu jam berlalu. Suasana sunyi tanpa seorang pun yang mahu berbicara. Nur Alia membelek majalah wanita yang baru dibelinya tadi. Letih badannya akibat seharian kursus. Niatnya, habis saja sesi akhir hari ini dia akan terus tidur. Namun sebaik melihat Fahmi kantuknya terus hilang. Marahnya membuak-buak. Nur Alia memandang ke arah tilam. Fahmi sudah terlena. Hai! Sedap dia tidur, tak hirau langsung aku kat sini yang duduk macam tunggul. Dahlah datang tiba-tiba, lepas tu sedap hati aje nak tidur di sini. Hatinya bersungut sendiri. Mahu saja dia mengejutkan Fahmi, tapi tak sampai hati pula melihat Fahmi begitu lena.

Nur Alia bangkit dari duduknya. Lalu mengambil bantal dan selimut dari almari dan meletakkan di atas lantai. Baru saja dia meletakkan kepalanya, dia sudah tidak ingat apa-apa. Matanya sudah tidak boleh dibuka lagi.

Fahmi terjaga tengah malam itu. Digosok matanya yang masih berat. Dia memandang sekeliling. Baru dia ingat di tidur di bilik Nur Alia Di Concorde Hotel. Pantas dia memandang sisinya yang kosong. Hanya dia yang tidur di situ, mana Lia? Hatinya berdetik. Perlahan dia bangkit. Matanya terpaku kepada tubuh yang mengerekot kesejukan di atas lantai. Ya Allah, apa yang dia dah lakukan. Membiarkan Nur Alia tidur di lantai sedangkan dia begitu lena di atas tilam yang tebal. Hatinya tersentuh. Dia tidak pernah tidur sebilik dengan Nur Alia. Pasti tidak mungkin Nur Alia akan merebahkan tubuh di sisinya. Perlahan dia turun lalu mengangkat Nur Alia ke atas katil. Wajah yang masih dibaluti tudung itu diamati. Lena betul tidurnya. Diangkat pun tak sedar!

Selepas meletakkan Nur Alia, Fahmi merebahkan diri di sisi Nur Alia. Pandangannya masih tertumpu dengan sekujur tubuh yang ayu. Bibir yang seksi dengan bulu mata yang melentik. Serta kening yang terbentuk sempurna tanpa di cukur. Akhirnya Fahmi terlena. Dia tidak ingat apa-apa lagi. Letihnya masih terasa. Sedap sungguh tidur malam itu, seakan tidak pernah tidur selena itu.

Bangun pagi itu, seluruh badan Nur Alia sakit. Baru saja dia mahu mengalihkan tangannya, dia terkejut melihat tangan lain melingkar di tubuhnya.

“Fahmi!” Pantas dia meloncat dari atas katil. “Apa Fahmi dah buat dengan Lia ni ha!” Mata Nur Alia meratah setiap inci tubuhnya sendiri. Masih elok berpakaian, malah tudung yang dipakainya pun masih kemas di kepala. Hanya tempat tidurnya saja yang berubah.

Fahmi yang sedang dibuai mimpi pantas membuka matanya. Senyumannya meleret kepada Nur Alia.

“Fahmi!”

“Kenapa nak jerit-jerit ni..... Hmm dah subuh ke? Fahmi nak solat dulu lah”

Nur Alia semakin geram. “Apa yang Fahmi dah buat ni ha! Cuba cakap!”

Fahmi menarik tangan Nur Alia menyebabkan tubuh Nur Alia jatuh diatas dadanya. Sekali lagi Nur Alia tersentak. Meronta-ronta tubuhnya bila Fahmi memeluk pinggannya. Nafasnya kencang. Mata mereka bertaut. Fahmi merapatkan bibirnya ke arah telinga Nur Alia.

“Fahmi tak buat apa pun. Lia kan tengah datang bulan”

Nur Alia membuntangkan matanya. Mana lelaki itu tahu, pasti Fahmi sudah melihat sendiri. Argh!

“Tak sentuh pun Fahmi tahu, bau badan Lia lain sikit dari biasa”

Nur Alia terkedu. Perlahan Fahmi melepaskan tangannya lalu meletakkan tubuhnya di atas katil. Lelaki itu bangkit. Tenang dia menuju ke bilik air. Sekali lagi Nur Alia mendengus kasar.

Fahmi terseyum lebar di dalam bilik air. Memang dia akui, sukar betul mengawal dirinya bila bersama dengan Nur Alia. Tapi dia sudah berjanji, tidak akan memaksa Nur Alia. Dia mahu isterinya dengan rela memberikannya. Tidak usah dipaksa.

Seminggu Nur Alia kursus, seminggu juga Fahmi berulang dari Shah Alam. Dia akan keluar ketika isterinya memulakan sesi kursus jam lapan pagi dan akan kembali ketika jam hampir sebelas malam. Nur Alia terpaksa akur. Nasib baik dia dapat satu lagi kad akses untuk memasuki kamar tersebut. Sekurang-kurangnya Fahmi akan masuk dan keluar sendiri tanpa menyusahkannya.

Nur Alia dengan terpaksa tidur sekatil dengan Fahmi. Namun dia bijak. Dia meminta pihak hotel memberikan bantal ekstra untuk diletakkan di tengah-tengah. Tapi dia tetap tidak dapat melelapkan mata. Tidurnya terganggu. Di sesi taklimat, adakalanya dia tersengguk-sengguk menahan matanya yang berat. Tidak pernah dia tidur sebilik dengan lelaki. Walau dia sedar lelaki itu suaminya sendiri. Tapi suami yang tidak dipinta hadirnya. Dia masih belum merelakan segalanya.

Hari terakhir kursus, dia sengaja tidak memberi tahu Fahmi yang kursusnya habis lebih awal. Ketika Fahmi sampai malam itu, pihak lobi mengatakan bahawa mereka sudah check out tengah hari tadi. Nombor biliknya juga sudah di daftarkan atas nama orang lain. Bukan Nur Alia.

Fahmi terus memandu kembali ke bangi. Ketika dia tiba di rumah, Nur Alia sendang leka mengemaskan dapur.

“Tak cakap pun kursus dah habis”

“Fahmi tak tanya” Jawab Nur Alia ringkas. Malas dia mahu melayan Fahmi tengah malam begini. Dia hanya ingin mengemaskan dapur sebelum melelapkan mata.

“Tak nak tidur di bilik Fahmi ke?” Fahmi menarik tangan Nur Alia. Jemari yang halus itu dibawa terus ke bibir. Nur Alia tergamam.

“Fahmi! Nanti orang nampaklah” Nur Alia menjarakkan tubuhnya. Cengkaman Fahmi dipergelangan tangannya direntap kasar.

Fahmi tersenyum lebar. Selepas Nur Alia menuju ke bilik dia juga kembali ke kamarnya. Senyumannya masih tersisa. Rindu pula saat manis di hotel semalam. Lia... Fahmi akan tunggu.


Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.