Home Novel Cinta Suamiku Si Tuan Rumah!
Suamiku Si Tuan Rumah!
Nurul Izah
10/2/2014 15:53:16
578,364
Kategori: Novel
Genre: Cinta
bab 14

Fahmi tiba di Ipoh ketika hari hampir petang. Salah satu pasarayanya di sini akan ditutup buat sementara waktu akibat kerja-kerja pengubahsuaian. Fahmi harus bertemu dengan pengurus disini. Masalah pekerja harus diselesaikan. Mungkin sebahagiannya akan dihantar kecawangan berdekatan.

Sebaik tiba tadi, dia cuba menghubungi rumahnya di Bangi. Tiada siapa yang jawab telefon. Kemudian Fahmi menghubungi uminya. Datin Ani begitu gembira menerima panggilan dari Fahmi. Sudah hampir seminggu dia tidak mendengar khabar Fahmi.

“Macam mana perkembangan Fahmi di sana? Semalam abah call umi. Dia gembira sangat bila dengar Fahmi dah take over masalah di Putrajaya. Mereka masih lagi di Mekkah. Mungkin lusa nak singgah di Turki.”

“Alhamdulillah. Semuanya boleh diselesaikan. Mereka banyak bantu Fahmi di sini. Kejap lagi Fahmi nak jumpa Encik Shukur. Nanti ada masa Fahmi call umi semula. Bye Umi, miss u

Talian terputus. Mengenangkan uminya, dada Fahmi berdebar. Bagaimana dia mahu memaklumkan uminya yang dia sudah berkahwin. Bagaimana dia mahu beritahu berita dia ditangkap khalwat. Fahmi teringat kata-kata bapa mertuanya tempoh hari. Pasti lelaki itu akan terus membenci dia dan Nur Alia kalau orang tuanya tidak dapat menerima hakikat ini. Dia takut uminya tak dapat terima Nur Alia.

Wajah Nur Alia muncul. Lia, Fahmi rindu!

Seminggu Fahmi pergi. Dunia Nur Alia seakan sunyi. Selalunya dia akan merasakan kehangatan tangan Fahmi yang suka membelai rambutnya. Dia ingat ketika malam Fahmi menghadiahkan kucupan lembut di lehernya. Nur Alia tersenyum sendiri di tepi katil. Lelaki itu langsung tidak menghubunginya, marahkah dia?

“Kenapa senyum sorang-sorang ni? Dah angau ke? Rindu kat Fahmi ye?” Lina yang dari tadi memerhati Nur Alia di muka pintu menepuk bahu sahabatnya itu.

“Ish….kesitu pula. Tak adalah” Nur Alia berpaling kearah sahabatnya yang sudah duduk di sisinya.

“Baru sebut pasal Fahmi muka dah merona merah…..patutlah senyum sorang-sorang. Engkau dengan Ikbal macam mana? Semalam aku jumpa dia di Metro Point. Macam-macam soalan dia tanya pasal kau. Dia kata kau tak layan dia. Betul ke? Aku tengok kau ni sekarang senyap aje. Aku rasa kau ni macam ada masalah. Pasal Ikbal ke?”

“Aku dengan dia hanya kawan ajelah. Dari dulu lagi macam tu. Dia yang salah faham. Aku ambil keputusan malas nak layan. Aku tak nak nanti dia lagi harapkan aku”

Lina mengangguk setuju. Ada benarnya kata-kata Nur Alia itu.

“Lepas ni seronoklah engkau….minggu depan exam kan? Dah nak habis pun kan? Kau ni rajin betul belajar. Aku nak juga cuba tapi tak bolehlah. Pening aku. Lepas ni bolehlah kau aply jadi PTD”

“Engkau tak apalah, lepas ni laki tanggung. Untung engkau dapat anak Dato’ tak payah kerja duduk rumah lagi best. Aku lainlah, keluarga aku tak kaya. Baik aku belajar nanti kalau dah ada anak lagi susah. Lagipun aku memang minat belajar. Cuma sekarang saja baru ada rezeki”

“Alah……kalau kau dapat Fahmi samalah kita. Lepas ni boleh buat persatuan isteri-isteri bisnesman. Kau pikatlah Fahmi tu. Handsome, kaya pula tu”

Nur Alia ketawa. Tak sangka pula sejauh itu yang Lina fikirkan. Bakal suami Sasha pun bisnesman. Cuma bakal suaminya baru nak mula berjinak-jinak dengan dunia perniagaan. Namun begitu dari golongan berada juga. Lina, tunanganya anak Dato'. Anak tunggal pula tu. Memang bulan jatuh ke riba. Keluarga tunangnya memang senang lenang. Fahmi pula aku tak tahu……dia memang anak Datuk tapi aku tak pernah bertanya pasal keluarga dia. Yang aku tahu mereka pun tak tahu anaknya dah kahwin!

“Menung lagi…..engkau ni. Menung lepas tu senyum….dari tadi!”

Nur Alia tersenyum lagi. 'Aku rindukannya…..bila jauh aku terkenang tapi bila dekat, aku rasa benci sangat…. Benci sangat!'

“Lia, dah seminggu Ain tak bercakap dengan engkau. Aku hairan dengan minah tu, semua jantan dia nak. Kalau akulah…..dah lama aku halau dia dari rumah ni. Silap haribulan dengan nama kita buruk juga. Aku rasa dia marah sebab Fahmi layan kau”

“Biarlah…..asalkan dia tak kacau tunang engkau dah. Lagipun dia tu tak kacau hak orang. Esok lusa eloklah dia tu….lagipun kita di sini sama-sama bayar sewa rumah. Takkan sebab kecil ni nak halau orang pula, nak bergaduh bagai. Biar je lah dia tu. Yang kamu berdua ni sudah-sudahlah nak sebut nama Fahmi depan aku. Lagi meluat minah tu nanti”

Lina diam. Betul kata-kata Nur Alia. Jam sudah menunjukkan pukul sepuluh malam. Sasha di sisinya sudah lena. Dia pun turut merebahkan badannya. Terbayang wajah sahabatnya Aina. Dari semalam gadis itu tak pulang. Mungkin ke rumah temannya. Biarlah dia…….

Nur Alia masih terkebil-kebil memandang siling rumah. Sukar tidur semenjak kebelakangan ini. Lina sudah terlena. Baru tadi mulut rakannya itu tidak berhenti bercakap. Sekarang sudah terlelap. Nur Alia bangkit, dia mendengar suara kereta masuk ke halaman rumah. Mungkin Aina, fikirnya. Dia membuka pintu lalu menuju ke dapur. Dari dapur kedengaran pintu dibuka perlahan. Lalu terdengar bunyi langkah kaki menuju ke dapur.

“Lia!”

Degup jantung Nur Alia pantas. Suara Fahmi! Badannya terasa kaku. Dia takut untuk berpaling dan menatap wajah lelaki itu. Lagipun selama seminggu meninggalkan rumah, satu SMS pun dia tak hantar. Lelaki itu tiba-tiba pula muncul di dalam rumah. Langkah Fahmi semakin dekat. Tidak sedar tangan Fahmi sudah memegang bahunya. Nur Alia tidak tentu arah.. Lalu Fahmi memeluknya. 'Ya Allah, rindunya aku' Hati kecil Fahmi berbisik….tapi tubuh Nur Alia tetap kaku. Lama Fahmi memeluk pinggang Nur Alia lalu seperti biasa dia akan meletakkan kepalanya dibahu lalu bibirnya mengucup lembut leher Nur Alia. Mata Nur Alia terpejam, merasakan keasyikan pelukan Fahmi. Sehingga dia hampir terlupa kebencian dengan Fahmi selama ini.

“Lia, Fahmi…..apa kau orang berdua buat ni!”

Pelukan Fahmi pantas dileraikan dari pinggang Nur Alia. Mereka berdua sama-sama berpaling ke muka pintu. Wajah Nur Alia pucat. Aina dan Lina! Bila pulalah Aina balik? Bila pula Lina muncul, bukankah dia tidur tadi?

Fahmi turut terpaku. Tidak tahu kata-kata apa yang harus dilemparkan ketika ini.

“Fahmi bila pulang?” Mak Jah yang tiba-tiba muncul di dapur terkejut melihat kepulangan Fahmi. Matanya beralih kepada Aina dan Lina yang berdiri di muka pintu.

“Kan aku dah cakap, engkau ni semua jantan engkau nak. Dengan Ikbal hari tu duduk berdua, bergelak-gelak. Ni dengan Fahmi. Engkau ni sengaja nak jerat Fahmi kan? Perempuan mata duitan!”

Mata Nur Alia beralih kepada Lina. Sahabatnya seorang itu mengalihkan pandangannya. Tidak mahu memandangnya. Pasti sahabatnya itu jelik melihat kelakuan dia dan Fahmi tadi. Kelakuan yang boleh membuatkan orang salah sangka. Kemudian Sasha muncul terpinga-pinga di sisi Lina.

“Aina, kenapa ni?” Mak Jah merenung wajah Aina.

“Rumah ni dah jadi sarang maksiat Mak Jah. Mak Jah tengoklah duduk kat dapur gelap macam ni. Main peluk-peluk. Kalau saya tak datang entah apa yang diaorang buat! Kau tu Lia, nampak macam perempuan baik, pakai tudung tapi jalang! Tak puas kau kikis duit Ikbal, sekarang kau jual tubuh dengan Fahmi. Sebelum Fahmi datang bukan main lagi engkau kehulu-kehilir dengan Ikbal, kau ingat aku tak tau! Cakap dengan orang pergi belajar, belajar apa kalau sampai tengah malam baru balik ” Sinis suara Aina sengaja dia cuba burukkan Nur Alia dihadapan Fahmi. Aina yakin selepas ini Fahmi tak akan dekat dengan Nur Alia lagi.

“Ain!” Suara Fahmi tinggi. Baru saja Fahmi mahu meneruskan kata-kata Nur Alia suda meluru masuk ke dalam bilik. Wajah Aina dipandangnya, mahu saja dia menampar mulut perempuan itu. Kalau bukan kerana dihadapan Mak Jah, dia sudah halau gadis dihadapannya.

“Dah lah Fahmi….engkau masih nak kejar perempuan macam tu” Aina bersuara lagi.

“Ain! Mak Jah dah pesan engkau jangan cakap bukan-bukan pasal Lia. Kalau kau cakap macam tu lagi kau boleh keluar dari rumah ini!” Mak jah bersuara. Kali ini Aina memang melampau, langsung tidak hormat dengan dirinya sebagai orang tua di rumah ini. Apatah lagi menghormati Fahmi sebagai tuan rumah.

“Mak Jah dia tu dah buat maksiat, Mak Jah nak ke, rumah ni jadi sarang maksiat. Entah apa yang Fahmi terpikat dengan dia tu” Kendur suara Aina.

“Kau tak tau apa-apa, selama ini ada Mak Jah tegur kalau kau tak balik. Ada Mak Jah tegur kalau kau balik tengah malam. Dari dulu lagi Mak Jah tak suka perangai engkau. Tapi Mak Jah tutup sebelah mata. Engkau jangan pula nak burukkan Lia!” Giliran Mak Jah pula menghamburkan segala yang tersirat dihatinya.

Lina terpinga-pinga, terkejut melihat marah Mak Jah yang jelas dari raut wajahnya. Sasha yang baru muncul juga terperanjat. Tidak tahu cerita sebenar . Tapi dia kenal Nur Alia, takkanlah gadis itu mahu dipeluk begitu saja, sepanjang berkawan dengan Ikbal tidak pernah lagi dia melihat Nur Alia bertepuk tampar dengan Ikbal. Nur Alia begitu menjaga dirinya, begitu menjaga batas pergaulannya. Dia yakin ada sesuatu yang Nur Alia sembunyikan. Lagipun memang dia nampak sendiri Fahmi memeluk Nur Alia dari belakang. Betulkah mereka sedang bercinta? Bercinta sampai begitu sekali?

“Mak Jah, saya tak pernah buat kat rumah ni. Tak pernah buat kat depan Mak Jah. Tapi dia tu buat depan Mak Jah, Mak Jah boleh diam. Mak Jah pun subahat sama ke? Taulah rumah ni Fahmi punya, tapi tak fikir ke. Kalau ya pun nak buat tak senonoh pergilah diluar” Aina masih mahu menegakkan benang yang basah.

Lina dan Sasha membisu. Tidak tahu mahu mengatakan apa. Fahmi pula terpaku didepan pintu bilik Nur Alia. Berkali-kali nama Nur Alia dipanggil. Aina meluru keluar, mungkin masih tak puas hati sebab Fahmi lebih mementingkan Nur Alia dari dirinya.

“Itu sebabnya dia tutup pintu, pasti dia malu dengan awak. Dahlah, baik awak sedar sebelum terlambat”

Fahmi diam, terdengar samar-samar suara tangisan Nur Alia dari dalam bilik.

“Ain, engkau ni tak habis-habis nak sakitkan hati Lia. Engkau tau tak Lia tu siapa?” Mak Jah muncul dari dapur apabila mendengar suara Aina yang masih memburukkan Nur Alia. Mahu saja dia mengatakan bahawa Nur Alia itu isteri Fahmi. Suka hati mereka nak buat apa dalam rumah ini.

Lina dan Sasha meluru keluar. Rasanya pertengkaran malam ini besar. Lina memegang lengan Mak Jah. Takut kalau-kalau orang tua itu pengsan terkena darah tinggi. Tapi dia sendiri memang melihat perlakuan tak senonoh Fahmi dan Nur Alia. Dia tidak tahu mahu menyebelahi siapa. Hairan pula mereka bila Mak Jah menyebelahi Nur Alia dan Fahmi. Hmmm dah anak majikan agaknya.

“Mak Jah, benda dah salah. Depan mata pula tu takkanlah nak diamkan. Tengok tu duduk dalam bilik tak keluar-keluar. Kalau dia tu betul pasti dia dah keluar sekarang!”

Fahmi memandang tajam wajah Aina. Perempuan ni memang nak kena ajar!

“Cukup! Engkau kalau nak duduk lama kat sini jangan nak burukkan Alia. Aku tahu siapa dia!”

Masing-masing tercengang. Tidak pernah mendengar suara Fahmi setinggi itu. Aina terkebil-kebil memandang Fahmi, tidak percaya lelaki itu menengkingnya. Memang sah Fahmi sudah termakan pujukan Lia! Aina meluru masuk ke biliknya lalu menghempaskan pintu.

Fahmi duduk di muka pintu bilik isterinya. Terdengar tangisan halus suara Nur Alia. Peritnya yang di rasa ketika ini…..Ya Allah, akukah yang kejam kerana membiarkan dia menanggung sendiri. Benarkah dia mencintai Ikbal? Kalaulah benar cintanya untuk Ikbal, kejamnya aku kerana memisahkan mereka berdua.

“Fahmi……Dahlah tu….nanti Mak Jah pujuk dia. Kamu pasti penat, kamu pergilah berehat. Mak Jah pujuk Lia” Mak Jah mendekati Fahmi yang masih berteleku di muka pintu. Kasihan….tapi dia pun tak boleh campur tangan sebab kehendak Nur Alia sendiri yang mahu segalanya dirahsiakan.

Mata Mak Jah mengiringi langkah Fahmi masuk ke kamarnya. Segala kekusutan jelas terpamer diwajah Fahmi. Apalah nak jadi…………………..


Previous: bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.