Home Novel Cinta Suamiku Si Tuan Rumah!
Suamiku Si Tuan Rumah!
Nurul Izah
10/2/2014 15:53:16
578,360
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 16

Hari hampir petang, Lina dan Sasha muncul diiringi Mak Jah di muka pintu. Baru saja mereka sampai, Ikbal tiba-tiba muncul. Langkahnya terus mendapatkan Nur Alia dan menggenggam tangannya. Nur Alia terkesima. Fahmi yang berada di sisinya berundur selangkah apabila Ikbal mengambil tempatnya.

Lina memandang wajah Fahmi yang berubah. Fahmi melangkah keluar. Nur Alia terkedu, mahu memanggil nama Fahmi tapi seolah suaranya tersekat di kerongkong. Mahu saja dia bangkit dan mengejar Fahmi tapi badannya masih lemah.

“Lia, kenapa boleh jadi macam ni?”

Nur Alia tersenyum kelat, perlahan dia menarik jemarinya dari genggaman Ikbal.

“Aku ok, demam biasa je. Esok lusa dah boleh keluar”

“Nasib baik tadi Ain cakap Lia masuk hospital, kenapa Lia tak call Ikbal. Mak dan ayah dah tahu ke?”

Nur Alia menggeleng kepala.

“Sakit biasa je, tak payahlah susahkan mereka. Lagipun tak lama lagi dah boleh keluar”

Lina dan Sasha menghampiri Nur Alia.

“Lia, sorry ya. Sebab kami tak tahu pun kau demam. Kalau tak Mak Jah yang tengokkan entah macam mana kau sekarang”

“Aku ok, dulu pun macam ni juga. Engkau oranglah yang menjaga aku kan”

“Tak apalah kali ini aku nak jaga, boleh tak?” Ikbal memandang penuh harapan.

Nur Alia memandang wajah Ikbal. Lelaki ini masih tidak putus asa untuk mencuba.

“Tak apalah Ikbal, lagipun awak nak pergi kelas. Kat sini ramai yang jaga”

Lina bersuara. Melihat wajah Nur Alia yang serba salah dia tahu gadis itu mengharapkan sesuatu petolongan untuk mengelak dari Ikbal.

“Ha a…Ikbal, Sasha pun ada, Mak Jah pun ada, tak payah risaulah. Kami jaga Lia sampai dia sihat”

Sasha dan Lina semakin rancak bercerita, Nur Alia mahu saja bangkit tapi badannya lemah. Fikirannya teringat kepada Fahmi. Mak Jah yang mengejar Fahmi dari tadi tak masuk lagi ke biliknya. Hatinya resah. Tangan Ikbal begitu kuat menggenggam tangannya kembali. Sedangkan dia langsung kali ini tidak berdaya untuk menarik tangannya dari Ikbal. Setiap kata-kata Ikbal hanya disambut bagaikan angin lalu. Dia hanya fikirkan Fahmi…

Hampir satu jam berlalu, atas desakan Lina dan Sasha Ikbal pulang dengan berat hati. Nur Alia hanya mampu tersenyum. Baru beberapa minit Ikbal meninggalkan biliknya, Mak Jah masuk dengan senyuman. Hilang keresahan Nur Alia. Tapi kelibat Fahmi tiada, Mak Jah datang sendirian.

“Mana Fahmi Mak Jah?” Suara Nur Alia lemah.

“Dia kirim salam dengan kamu, dia kata ada hal penting kat office. Nanti dia datang balik”

Nur Alia hampa, terkilankah lelaki itu. Pasti dia marah! Lelaki mana yang tak marah apabila melihat isterinya berpegangan tangan dengan lelaki lain. Fahmi….Lia minta maaf bukan niat Lia…..

“Lia kami nak balik dulu”

Nur Alia tersentak, pandangannya di arahkan ke wajah Sasha.

“Kenapa muram ni…..sabarlah ye lusa bolehlah engkau keluar. Engkau nak pesan apa-apa tak?”

Nur Alia menggelengkan kepala.

“Lia, nanti Mak Jah cakap dengan Fahmi suruh dia datang ya”

Nur Alia menggelengkan kepala sekali lagi.

“Tak apalah Mak Jah, Lia faham. Dia banyak kerja agaknya”

Mak Jah tersenyum kelat. Tidak mahu menyalahkan sesiapa, kalau dilihat mereka pun mampu hidup seperti suami isteri yang lain. Tapi ini yang mereka pilih, menyembunyikan hak dan status masing-masing sehingga ada yang terluka.

“Kami pulang dulu ya……esok petang lepas kerja kami datang”

Nur Alia tersenyum kecil matanya mengiringi pemergian sahabatnya dan Mak Jah. Suasana kembali sunyi, sesunyi hatinya kini. Benarkah dia sudah jatuh hati dengan Fahmi……Nur Alia terlena, biarlah Tuhan yang tentukan.

Fahmi masih berteleku di hadapan komputer ribanya. Masih teringat bagaimana Ikbal memegang jemari Nur Alia petang tadi. Dia tidak sanggup, andai benar kata-kata Ain mengenai isterinya. Tapi dia tidak pernah lagi melihat Nur Alia keluar dengan Ikbal berdua-duaan. Betapa sukarnya untuk ditafsir. Lagipun salah dia juga yang tidak pernah memberi ruang kepada Nur Alia untuk mengenali keluarganya. Sudah sebulan dia berumah tangga tapi tak pernah sekali pun dia perkenalkan Nur Alia kepada orang tuanya. Tapi…..Nur Alia juga yang tidak memberi peluang kepada dirinya. Pintu hati isterinya itu masih tertutup.

Fahmi menutup komputer ribanya. Para pekerjanya sudah hampir setengah jam meninggalkan pejabat. Fahmi bangkit dari duduknya lalu menutup suis lampu sebelum ke tempat parking kereta.

Waktu malam begitu keadaan Hospital An Nur tidak begitu ramai. Hanya beberapa minit saja dia sudah sampai di muka pintu bilik Nur Alia. Tombol pintu di pulas perlahan. Matanya memandang sekujur tubuh yang lena diulit mimpi di atas katil. Perlahan Fahmi mendekati Nur Alia, takut isterinya terjaga. Fahmi duduk di kerusi lalu matanya merenung wajah isterinya.

Sungguh sempurna ciptaan Allah beri untuknya, mata yang sedikit bulat, dengan bulu mata yang melentik. Wajahnya halus, dan tetap berseri walaupun tanpa sebarang pewarna tambahan. Rambutnya yang ikal dan berombak menambah keayuannya. Dan paling dia tidak tahan apabila melihat isterinya ketawa atau tersenyum…lesung pipitnya mengancam. Mungkin itulah sebabnya Ikbal tergila-gilakan dia, seperti aku. Hati kecil Fahmi bersuara. Dia tahu haknya sebagai suami, tapi dia tidak mahu memaksa Nur Alia menerima dirinya. Biarlah lambat laun isterinya itu menerima dirinya sebagai suami walaupun dia masih belum pasti bila melihat kesungguhan Ikbal tadi. Kalau benar Nur Alia akan memilih Ikbal, dia tidak sanggup untuk melepaskannya…….

“Fahmi! Bila sampai” Suara Nur Alia lemah.

Fahmi tersentak pantas dia tersenyum malu menutup keterlanjurannya.

“Fahmi buat Lia terkejut ke? Sorrylah…..”

“Tak, Lia memang nak bangun. Rasa dah lama sangat tidur”

Nur Alia tersenyum. Hatinya berbunga melihat Fahmi kembali di sisinya. Fahmi membalas pandangan isterinya, dia yakin hati Nur Alia adalah untuknya. Dulu kata-katanya tidak selembut itu, tapi sekarang dia sendiri yang bahasakan dirinya dengan nama.

“Lia…..”

“Berilah Lia masa……Mungkin sekarang ni kita boleh beri ruang untuk mengenali hati masing-masing. Tapi Lia belum bersedia”

Fahmi mengangguk puas dengan jawapan Nur Alia yang jelas ihklas dari hatinya. Tangan Nur Alia dikucup lembut, lalu ciumannya singgah di dahi Nur Alia. Nur Alia tersenyum, dalam hatinya dia berdoa semoga pintu hatinya terbuka untuk menerima Fahmi dan yakin Fahmi dicipta untuk dirinya.


Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.