Home Novel Cinta Anehnya Cinta
BAB 23

23

Kehadiran anak menantunya disambut gembira oleh Imah. Apatah lagi saat terlihatkan pelbagai makanan dibawa bersama untuk menyambut hari kelahirannya.

Setelah segala persiapan sempurna. Afini melabuhkan punggungnya di sebelah Yus dan cepat sahaja suaminya itu menadahkan tangan dan mengalunkan bacaan doa.

“Amin...” Serentak Afini dan emaknya mengaminkan doa kesyukuran yang dibacakan oleh Yus.

Doa itu sebagai tanda mensyukuri nikmat hidup yang diberikan oleh Allah SWT kerana memanjangkan usia emaknya yang sudah menjangkau 51 tahun.

Cepat sahaja Afini menyalakan lilin-lilin kecil yang menyemarakkan cahayanya di atas kek coklat. Selepas itu, dia meminta emaknya meniupkan lilin-lilin tersebut seperti tahun-tahun sebelumnya. Namun, dapat dilihat emaknya itu bagaikan tidak mahu mengikuti kehendaknya. Dia pasti emaknya malu tatkala dirinya diperhatikan oleh Yus sewaktu meniup lilin-lilin itu nanti.

“Tak payahlah… dah tua-tua nak tiup lilin. Malulah.”

Memang benar sangkaan Afini.

“Alah... nak malu apa, mak. Bukannya orang lain, anak-menantu mak aje yang ada.”

Belum sempat Afini bersuara, Yus sudah mendahuluinya. Dia pantas memandang ke arah Yus. Terukir senyuman di wajah suaminya itu.

“Betul tu mak,. Cepatlah tiup, nanti cair pulak lilin-lilin tu. Lagipun kek tu abang yang buat untuk mak.”

“Betul ke? Kek ni Yus yang buat?”

Bukan sahaja kata-kata yang ditutur menandakan emaknya tidak mempercayai, tetapi riak wajahnya turut memberikan isyarat yang sama. Jangankan emaknya, malahan Afini sendiri pun kalau tidak melihat dengan dua biji mata Yus yang membuat kek itu, pasti hidup mati balik pun dia tidak akan mempercayainya.

Akhirnya, Imah meniup juga lilin-lilin yang masih bercahaya itu.

Afini dan Yus serentak bertepuk tangan. Gembira menyelubungi suasana. Afini mengeluarkan sebuah bungkusan yang sudah berbalut cantik dan dihulurkan kepada emaknya.

“Lah, apa ni Afini. Susah-susah aje. Tak payah semua ni. Kamu suami isteri balik pun, mak dah gembira sangat.”

“Alah... hadiah murah aje mak. Abang yang belikan hadiah ni. Afini cuma temankan aje.”

Yus pantas memandang ke arah Afini.

Afini tahu erti pandangan itu. Mungkin sebagai pengganti ucapan terima kasih. Sebenarnya dia sendiri tidak merancang untuk mengatakan hadiah itu pemberian daripada Yus apatah lagi satu sen pun duit lelaki itu tidak tercarum dalam pembelian hadiah tersebut. Tapi, apalah sangat nilai wang yang dia laburkan untuk pembelian hadiah itu andai mahu dibandingkan dengan keringat Yus menyediakan hidangan istimewa untuk sambutan kali ini. Dialah yang sepatutnya mengucapkan kata terima kasih kepada Yus kerana mampu menghadirkan senyuman di wajah emaknya.

Imah segera membuka hadiah yang diberi Afini dan Yus. Terkejut dia saat melihat hadiah itu. “Telefon bimbit!” katanya bagaikan tidak percaya. “Yus, buat apa susah-susah belikan mak telefon jenama Samsung ni. Belikan mak jenama yang biasa-biasa sudahlah.”

Yus hanya tersenyum. Dia sendiri tidak tahu gajet itu merupakan pilihan isterinya.

“Afini yang bagi cadangan pada abang supaya beli telefon bimbit baru ni untuk mak. Telefon bimbit mak yang lama tu orang dah tak pakai. Dahlah besar, berat pulak tu. Mak tahu tak… kalau telefon mak tu Afini guna untuk baling anjing, bukan telefon mak yang rosak. Tapi anjing tu yang mati.”

Yus mengukirkan senyuman tatkala mendengar celoteh Afini. Spontan, tangannya cepat sahaja mencuit lembut hidung isterinya itu.

Imah yang melihat tingkah Yus hanya tersenyum. Pada pandangan matanya, Afini dan Yus merupakan pasangan yang amat bahagia. “Yalah. Terima kasih, Yus. Susah-susah aje.”

“Yus aje? Afini?” rajuk Afini.

Imah tersenyum. “Yalah... samalah tu. Kamukan isteri Yus. Kalau mak dah ucap terima kasih pada Yus, maknanya mak ucapkan terima kasih pada kamu jugalah. Hisy… dah jadi isteri orang pun nak merajuk.”

“Dia memang macam ni mak. Sikit-sikit nak merajuk. Lepas tu kalau bab bercakap pulak, asyik dia ajelah nak menang,” sampuk Yus sambil tersenyum sinis.

Afini menjeling Yus. Tidak senang dengan kata-kata itu. Memang dia tidak nafikan apa yang diucapkan oleh Yus itu benar. Tetapi, Yus pun apa kurangnya!

“Hah! Kan saya dah cakap. Tengok, depan mak pun dia berani jeling saya.”

Serentak Yus dan emak mentuanya itu tertawa kecil melihat riak wajah masam Afini, sebagai tanda protes.

Tetapi rajuk Afini tidak lama. Setelah mendengar ketukan di muka pintu, Afini pantas bangkit dan menuju ke arah pintu utama.

Afini kaku tatkala melihat tetamu yang datang. Mata mereka bertembung… Dia rindukan bayangan dan suara lelaki di hadapannya ini. Sungguh dia rindukannya.

“Siapa tu Afini?”

Laungan emaknya yang sedikit kuat itu menyedarkan Afini untuk kembali ke alam nyata.

“Zack,” jawab Afini sepatah, sebelum mempersilakan Zack masuk. Dia menyedari wajah Zack tidak seceria selalu. Apakah yang telah berlaku?

Yus yang melihat Zack di sisi Afini, mula tidak senang duduk. Kehadiran Zack tidak disenanginya.

Zack menghulurkan salam dan disambut mesra oleh wanita seusia emaknya itu. Kini, salam beralih pula kepada Yus.

Yus menyambut huluran tangan itu dengan terpaksa. Mujur jua Afini dan emaknya tidak menyedari akan riak wajahnya itu.

“Mak cik, ni mak beri pada mak cik.” Zack menghulurkantupperware berisi cempedak goreng.

“Wanginya bau. Susah-susah aje mak kamu ni Zack. Afini, hidangkan dalam pinggan. Boleh kita makan sama-sama,” arah Imah.

“Eh, tak payahlah mak cik. Saya nak kena balik dah ni.”

“Alah, tunggulah sekejap. Makanlah dulu, ni kek ni Yus yang buat. Cuba rasa.” Imah sudah menghulurkan sepotong kek kepada Zack.

Mahu atau tidak, terpaksa jua Zack menjamahnya. “Sedap. Untung Afini dapat suami yang pandai masak.”

Walaupun pujian itu terdengar ikhlas, namun riak wajah lelaki yang Afini kenali sedari kecil itu menunjukkan sebaliknya. Ke manakah menghilangnya ceria yang sering menyelubungi wajah Zack?

Setelah menghidangkan cempedak goreng pemberian daripada emak Zack, Afini mengambil semula tempatnya.

Pantas sahaja Yus menggenggam erat jari jemari Afini, bagai tidak mahu dilepaskan. Mujur sahaja dua orang insan di hadapan mereka tidak menyedari.

Afini menoleh ke arah Yus. Pandangan matanya meminta agar Yus melepaskan genggaman tangannya.

Yus tidak mengendahkannya malahan kian erat pula jari jemari Afini digenggamnya.

Malas hendak melayan kerenah Yus, Afini mengalihkan pandangannya ke arah Zack. “Mak cik sihat?”

“Sihat. Emak banyak kali tanya I, bilalah you nak datang rumah?” lembut Zack bersuara.

Afini rasa bersalah saat Zack memberitahu keinginan emaknya untuk bertemu dengannya.

“Tapi I jawab. Youbusy, lagipun sekarang ni you bukan macam dulu lagi. Dah kahwin. Banyak komitmen,” kata Zack lagi.

Afini hanya mampu mengukirkan senyuman walaupun terasa tawar.

“Mak cik dengar kakak ipar kamu dah bersalin ya?” soal Imah.

“Bersalin? Kak long dah bersalin?” tanya Afini untuk kepastian. Memang sedari awal, dia sudah mengetahui bahawa kakak ipar Zack sedang mengandung. Namun tiada sesiapa pula yang mengkhabarkan kepadanya akan kelahiran si kecil itu.

“Dah. Anak lelaki,” jawab Zack sambil tersenyum.

“Lah… kenapa tak beritahu I,” lirih suara Afini seperti merajuk. Memang begitulah sikap Afini dengan Zack. Mudah benar terasa hati.

Zack hanya tersenyum.

Yus yang tidak senang dengan rajuk Afini sebentar tadi terus menjeling isterinya itu, tajam.

Imah menyedari jelingan tajam Yus. “Yus… kamu jangan tak tahu yang Afini dengan Zack ni memang rapat. Dia orang ni kawan dari kecil lagi. Dah macam adik-beradik.” Dia cuba menerangkan akan duduk perkara sebenar.

“Betul tu. Saya ingat lagi mak cik, waktu kecil-kecil dulu… saya, Afini dengan Siti berkepit aje ke mana-mana. Sampai naik pening orang sekeliling tengok kerenah kami. Paling nakal waktu kecil dulu, si Afini nilah. Suka mengusik orang. Kalau panjat pokok tu, dialah heroinnya.” Kali ini tawa dan senyuman Zack tampak lebih ikhlas.

Tetapi penerimaan Yus masih seperti tadi. Tidak menyenangi keakraban yang terjalin di antara Afini dan Zack.

“Yalah... mak cik ingat lagi. Dulu waktu kecil-kecil, Afini selalu pecahkan pasu bunga Mak Embun. Tapi kamu takut Afini kena marah, kamu mengaku yang kononya kamu yang pecahkan. Hai… entahlah, bila kenangkan balik waktu-waktu dulu… memang indah.” Imah juga terlihat begitu seronok menyambung penceritaan Zack.

“Zack. Siapa nama anak buah you?” soal Afini.

“Tak tahu lagi. Kak long pun baru keluar dari hospital. You bila lagi?”

Afini mengerutkan dahi. Dia tidak faham apa yang Zack maksudkan. Dia memandang pula ke arah emaknya, meminta kepastian andai emaknya itu memahami akan maksud Zack.

“Kamu tu bila nak berisi? Yalah, Zack dah dapat anak buah. Kamu dengan Yus bila pulak nak bagi mak cucu? Seronok tengok mak Zack ni dah bercucu. Kalau boleh mak pun nak merasalah.”

Terasa haba panas menyelubungi wajah Afini. Dadanya terasa berdebar. Dia menundukkan wajahnya.

“Insya-Allah... mak. Kalau ada rezeki tahun depan dapatlah,” kata Yus tiba-tiba.

Afini terkejut mendengar kata-kata Yus. Dia memandang Yus. Terpancar keyakinan di wajah Yus tika ini. Kenapa? Kenapa Yus begitu yakin menuturkan kata-kata itu sedangkan dia sendiri tahu yang perkara itu tidak mungkin akan berlaku?! Harapan yang diberikan kepada emaknya itu hanyalah sekadar harapan kosong.

Semenjak memulakan perjalanan untuk pulang ke kondominium Yus, hanya kebisuan yang menyelubungi dirinya dan Afini. Masing-masing bagaikan melayani perasaan sendiri dan saat perasaan ingin tahu Yus membuak-buak, lantas mulutnya 'mencemari' kebisuan itu.

“You sukakan Zack?”

Terkejut Afini, mendengar persoalan yang terpacul dari mulut Yus. Afini masih membisu tidak tahu untuk menjawab apa.

“Afini, I tanya you. You sukakan Zack?” tanya Yus sekali lagi apabila Afini hanya diam.

“Kenapa you nak tahu?” Tidak senang, Afini bertanya.

“Sebab… I perlu tahu. I nak tahu sejauh mana hubungan you dengan Zack?” soal lelaki yang masih tenang memandu itu.

Afini mengambil sedikit masa sebelum menjawab soalan Yus itu. “Tak penting semua tu. Apa yang penting sekarang ni, I dan Zack takkan mungkin bersatu.”

“Jadi you cintakan Zack? Atau Zack yang cintakan you?” Yus mulai mendesak.

“Zack… tak mungkin cintakan I,” sayu nada Afini.

“Jadi betullah sangkaan I, you yang cintakan Zack. Kalau you cintakan dia, kenapa you tak kahwin aje dengan dia?” Yus cuba beriak selamba untuk menutupi rasa cemburu yang mulai menguasai jiwanya.

Perasaan sedih sedikit demi sedikit sudah mengambil tapak di hati Afini tatkala teringatkan perasaan kasih dan sayang yang pernah diluahkan kepada Zack tidak terbalas. Semuanya kerana lelaki itu menyintai insan lain. “Cinta tak boleh dipaksa. I tak mungkin boleh memaksa dia menyintai I sedangkan hatinya milik insan lain.”

“Maksud you… dia dah ada kekasih?”

Afini mengangguk. “Has… itulah nama insan yang amat dicintai Zack. Setiap nafas Zack hanya untuk Has. Has… dia junior kami waktu di sekolah menengah. Pada mulanya keakraban di antara mereka langsung tidak menimbulkan syak wasangka yang mereka sedang hangat bercinta. Tapi, bila Zack sendiri yang mengaku dia menyintai Has… apa lagi yang I boleh lakukan?”

“Setahu I… you bukan jenis perempuan yang suka mengaku kalah. You akan berusaha dan berjuang untuk mendapatkan sesuatu!”

“Itu betul. Tapi ada satu perkara lagi yang you perlu tahu tentang I… I takkan berusaha untuk mendapatkan sesuatu andai I tahu yang I takkan berjaya!” kesayuan sudah menjemput suram di wajah Afini.

“Maksud you?”

Afini mengeluh berat. “Bila I tahu… yang I tak mungkin dapat memilki Zack, I terus ambil keputusan untuk tidak mengharapkan apa-apa. Buat apa I nak usahakan sesuatu sedangkan yang I tahu keputusannya amat memeritkan.”

“Kenapa you betul-betul yakin yang Zack tak mungkin akan menyintai you?” Yus masih tidak berpuas hati. Kebenaran tetap mahu digenggami.

“Sebab cinta dan kasihnya hanya untuk Has!” Afini tekankan sedikit suaranya tatkala menyebut nama kekasih hati Zack itu.

Lama Yus mendiamkan diri. Hanya matanya sahaja yang ditumpukan ke jalan raya.

Pada sangkaan Afini, Yus sudah berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan. Namun, sangkaannya meleset.

“Afini…”

Tatkala namanya dipanggil lembut, Afini menoleh ke arah Yus.

“Kalau you tak kahwin dengan I, mungkin tak yang you akan bersama dengan Zack?”

Afini menarik nafas dalam-dalam sebelum menjawab soalan Yus itu. “Yus, sama ada sekarang ni status I bujang atau isteri you, I takkan mungkin dikahwini dan dicintai oleh Zack! Bila Zack beritahu I yang dia menyintai Has, semuanya musnah! Jadi, kesimpulannya bukan persoalan dengan siapa I berkahwin sekarang, tapi di manakah letaknya hati Zack? Hati Zack hanya untuk Has!”

“Macam mana pula dengan hati you? Hati you milik siapa?” Yus masih tidak berpuas hati dengan jawapan Afini.

Tersentak Afini mendengar soalan Yus itu. ‘Hatinya milik siapa? Biarlah persoalan itu tergantung tanpa jawapan. Biarlah jawapan terhadap persoalan itu menjadi rahsia yang tertanam jauh di lubuk hatinya.

 

Previous: BAB 22
Next: BAB 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.