Home Novel Cinta Anehnya Cinta
BAB 2

2

Sudah hampir sebulan arwah pergi menghadap Ilahi. Ini bermakna sudah hampir sebulan jualah Afini dan emaknya mengetahui satu kebenaran yang amat menyakitkan. Hancur berkecai hati Afini tatkala mengetahui emak kesayangannya itu dimadukan oleh lelaki yang amat dicintainya.

Semenjak mengetahui perkara itu, emaknya sudah tidak setabah dulu. Malah mulut becoknya sudah tidak lagi mengalunkan omelannya kepada Afini. Afini rindu… Rindukan bebelan, rindukan belaian dan juga rindukan segala perhatian emaknya yang selama ini tidak pernah kurang walaupun sedikit. Sementelah dia anak tunggal.

“Mak nak makan?” soal Afini dan seperti biasa hanya isyarat gelengan tanpa suara diterima.

“Mak tak boleh macam ni. Makanlah sikit. Kalau mak sakit, macam mana?” Afini masih memujuk. Namun, emaknya itu masih membisu seribu bahasa sedangkan pandangan matanya yang berkaca masih terhala ke hadapan, membuang pandangan ke luar rumah menghadap pokok kelapa yang kian redup menghadap senja.

“Kalau mak tak nak makan, Afini mandikan mak dulu ya. Lepas tu bolehlah kita solat maghrib sama-sama.”

Emaknya hanya mengangguk. Sekali lagi air matanya mengalir. Tidak sanggup rasanya untuk Afini terus melihat kesedihan itu. Tetapi apakan daya, dia sendiri sudah tidak tahu hendak berbuat apa.

Semalam dia menerima surat daripada bank. Terkejutnya dia tatkala membaca isi kandungan surat itu. Arwah ayahnya sudah tujuh bulan tidak membayar ansuran pembayaran cagaran tanah di bank. Cagaran pula di atas nama yang tercatit pada geran tanah... Fathimah binti Ahmad Shuib. Pening kepalanya. Ditambah lagi dengan emaknya yang mengalami masalah kemurungan.

Sudah hampir sejam Afini duduk termenung di pangkin bawah pokok mangga. Fikiran yang tadinya berserabut kini tenang sedikit apabila menikmati pemandangan yang mendamaikan. Jam menghampiri pukul 6.00 petang.

“Afini!”

Hampir gugur jantung Afini tatkala mendengar namanya dijerit dengan begitu nyaring sekali.

“Siti…” kata Afini sebaik ternampak kelibat sahabat baiknya itu. Namun, entah mengapa mudah benar air mata mengalir tatkala tubuhnya didakap begitu erat oleh insan yang amat diperlukan kehadirannya.

“Maafkan aku, Afini. Maafkan aku sebab tak dapat hadir ke pengkebumian arwah ayah kau hari tu. Maafkan aku.”

Afini hanya diam. Dia terlalu sedih.

“Afini… kau marahkan aku?”

Afini menggeleng.

“Aku ada seminar di Singapura waktu tu. Maafkan aku Afini,” pinta Siti lagi.

“Aku faham,” kata Afini sambil mengesat sisa air matanya.

“Afini… Kenapa? Maksud aku, aku tahu yang kau masih bersedih dengan pemergian arwah ayah kau… tapi…”

“Tapi apa?” soal Afini.

“Ada sesuatu ke yang kau cuba sembunyikan daripada aku?”

Afini terdiam.

Please, Afini. Jangan sembunyikan apa-apa daripada aku. Kita berkawan sejak dari sekolah rendah lagi. Mata kau tu… bengkak bukan hanya kerana kau rindukan arwah ayah kau, kan?”

Air mata Afini kian laju tatkala mendengar kata-kata Siti. Dalam tangisan, dia meluahkan segala penderitaan yang sedang ditanggungnya. Bermula dengan cerita arwah ayahnya yang berkahwin dengan perempuan perampas yang bernama Jannah itu! Sehinggalah kedatangan surat dari bank dan pihak peguamnya yang diterima semalam. Tidak lupa juga penderitaan dan perubahan sikap emaknya kini.

“Ya Allah… sabar banyak-banyak, Afini. Habis, mak kau tahu tak yang pihak bank bagi kau tempoh 14 hari sahaja untuk menjelaskan tunggakan tu?”

“Tak, Siti. Aku tak sampai hati nak beritahu. Lagipun aku dah tak boleh nak bebankan mak aku. Doktor beritahu, mak aku tak boleh terima apa-apa tekanan.”

“Habis,apa perancangan kau sekarang?”

“Aku pun buntu. Aku dah tak ada apa-apa. Yang aku ada sekarang, tanah dan rumah pusaka yang sedang aku duduki dengan kereta Wira arwah ayah aku. Itu aje,” kata Afini. “Dahlah aku tak bekerja,” keluhnya lagi.

“Kau dah berhenti kerja?”

Afini mengangguk.

“Hmm... aku sendiri tak ada kemampuan nak tolong kau selesaikan masalah kau. Tapi, hanya satu sahaja yang aku boleh tolong.”

“Apa dia?” soal Afini tidak sabar.

“Tempat kerja aku sekarang ni memang tengah cari pekerja yang ada pengalaman macam kau. Aku yakin dengan ijazah yang kau ada, dapat membantu kau untuk mendapatkan kerja tu.”

“Jawatan apa?”

“HR Manager.”

“Sama denganpost aku sebelum ni,” kata Afini.

Siti tersenyum. “Hah… sebab tulah aku kata yang kau ada peluang untuk dapatkan kerja tu.”

“Terima kasih ya Siti. Kau dah banyak tolong aku.”

“Jangan cakap terima kasih dulu. Aku nak kau pergi dulu temu duga tu. Lepas tu barulah kau ucapkan terima kasih dekat aku.” Lembut jari jemari Siti menyentuh bahu Afini.

“Afini… aku nak kau ingat satu perkara, walaupun aku tak berada di sisi kau, itu tidak bermakna aku mengabaikan kau. Sebagai sahabat kau boleh harapkan apa-apa sahaja pertolongan daripada aku. Jadi aku nak kau janji yang kau takkan rahsiakan apa-apa lagi daripada aku selepas ini.”

Afini mengangguk. Sekali lagi terbit permata di kelopak matanya, tanda terharu dengan perhatian dan kasih sayang daripada sahabat yang turut membalas pelukannya di saat ini… Siti Aminah!

Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.