18
Pintu bilik yang
terkuak sedikit dilebarkan bukaannya. Imah melangkah masuk ke dalam bilik anak
tunggalnya itu. Afini yang sedang terbaring, bangkit dan menyandarkan tubuhnya
di kepala katil. Segaris senyuman dihadiahkan buat emak yang kian menghampiri
dirinya.
“Afini, kenapa mata tu
bengkak aje mak tengok?”
Pertanyaan emaknya
menimbulkan debaran di hati Afini. “Tak ada apa-apalah mak. Tak cukup tidur aje
ni,” balas Afini. Senyuman yang termati, 'dihidupkan' semula.
“Betul ke ni? Ke rindu
dekat Yus?” usik Imah. “Tak payah nak
rindu-rindu. Yus dah tunggu Afini dekat depan tu.”
“Dia datang?!” jerit
Afini tanpa sedar. Dia menarik muka. Dia tidak bersedia untuk berjumpa dengan
Yus lagi.
“Eh! Afini ni kenapa?
Macam tak suka aje Yus datang?”
“Hmm… taklah mak. Bukan
apa, semalam dia kata tak sempat nak singgah sini. Tup… tup… muncul pulak,”
bohong Afini.
“Si Yus dah datang pun.
Apa tercegat lagi, pergilah salam suami kamu tu,” bebel Imah.
Afini bangkit dan
mengatur lemah langkahnya. Tetapi belum pun sempat dia melangkah jauh…
“Lagi satu, mak tak
suka Afini bahasa Yus tu ‘dia’! Panggil ‘abang’, tanda hormat. Kamu tu isteri
dia!” tegur Imah.
Afini hanya mengangguk.
Huluran tangan
disambut tanda menghormati darjatnya sebagai suami. Mata masih tidak diarahkan
pada Yus. Masih terasa bisa akibat bicara yang dilemparkan oleh suaminya
itu semalam. “Kenapa datang?!” tanya
Afini dengan kasar. Dia mahu Yus tahu yang dia tidak pernah mengalu-alukan
kehadiran lelaki itu saat ini, disaat hatinya masih terluka.
“Nak jumpa you,” jawab
Yus selamba, seperti orang tidak bersalah.
“Kenapa tak call dulu?”
Afini masih menundukkan wajahnya.
“Kalau Icall, you angkat ke?” perli Yus.
Mendengar perlian itu, Afini pantas memandang
tajam wajah suaminya yang turut memandangnya. Entah mengapa, kali ini pandangan
Yus tidak seperti biasa. Yus memandangnya dengan pandangan lembut, seolah-olah
ada sesal di wajah lelaki itu. Mungkinkah Yus menyesal dengan apa yang
dilakukannya terhadapnya semalam? Namun persoalan itu tidak mampu difikirkan
lama, di saat emaknya datang menghampiri mereka.
Cepat sahaja Yus
menarik jari jemari Afini ke dalam genggaman tangannya. Sandiwara bermula.
“Kenapa Yus tak
beritahu yang Yus nak datang sini? Kalau mak tahu menantu mak ni nak datang,
awal-awal lagi mak suruh Afini masak. Boleh kita makan tengah hari sama-sama.”
“Tak apalah, mak.
Lagipun Yus datang sini sebab papa jemput mak dengan Afini untuk makan tengah
hari sama-sama hari ini. Papa kata ada hal nak dibincangkan.”
“Hal apa?” soal Imah
Afini hanya diam.
“Yus pun tak berapa
pasti,” kata Yus, jujur.
“Hmm… kalau macam tu
mak bersiap dululah.” Imah memberi kata persetujuan. Dia melangkah menuju ke
biliknya.
Melihat kelibat emaknya
itu kian menghilang, Afini melepaskan genggaman tangan Yus yang masih erat
bertaut. Tanpa bicara, dia terus mengatur langkah.
Yus hanya memandang
dengan pandangan sayu.
Kedatangan Afini
dan emaknya disambut gembira oleh Dato Haalim. Masuk kali ini sudah tiga kali,
Afini melangkah ke banglo dua tingkat milik insan yang bergelar Dato ini.
Banglo yang berkonsepkanmodern kampong
living ini sentiasa
memberi kedamaian kepada Afini tatkala ke sini. Walaupun banglo ini berlokasi
di tengah-tengah bandar, namun sesiapa sahaja yang bertandang ke sini pasti
dapat melupakan hiruk-pikuk di luar sana.
Afini masih membuang
pandangannya ke arah kolam ciptaan manusia yang dihuni oleh beberapa ekor ikan
koi.
“You tengok apa tu?”
Hampir gugur jantung
Afini disapa lelaki yang langsung tidak tahu untuk mengungkapkan kata salam
itu.
“Tengok buaya!” jawab
Afini geram.
Yus tersenyum. “Tak
tahu pula I yang buaya zaman sekarang ni saiz dia kecil-kecil.”
Afini hanya diam. Malas
untuk melayani kerenah Yus sementelah emaknya dan bapa mentuanya berada di
dalam sedang membincangkan sesuatu. Dia hanya akan melakonkan watak sebagai
isteri solehah di hadapan mereka.
“Sedap makanan tadi?”
tanya Yus.
Afini hanya diam.
“Papa masak khas untuk
menantu kesayangannya dia.” Yus masih tidak berputus asa untuk mengajak Afini
bercakap. Dia merenung Afini seketika sebelum mengeluh. “Afini… I… I nak cakap
pasal semalam.”
Afini masih lagi
berdiam diri.
Yus menjadi kian lelah.
“I nak minta maaf dengan apa yang telah I lakukan pada you. I harap… you dapat
maafkan I.” Akhirnya apa yang ingin dikatakan, dapat diluahkan.
Mendengar kata maaf
itu, timbul pula simpati di hati Afini. “Hmm… lupakanlah.”
Suasana kembali sepi
setelah Afini menuturkan kata-kata itu.
“You tahu jenis-jenis
ikan Koi?”
“Bukan satu jenis aje
ke?” soal Afini mula berminat dengan topik baru yang diutarakan oleh Yus.
“Taklah... Untuk
pengetahuan you, dalam kolam ni ada empat jenis ikan koi dan kesemuanya
berpasangan.”
“Empat jenis?!” soal
Afini bagai tidak percaya kerana pada pengamatannya kesemua ikan Koi yang
berada di dalam kolam ini kelihatan hampir serupa.
“Kalau you nak tahu.
Ikan Koi yang berwarna putih hampir keseluruhannya dan terdapat tompok merah di
atas kepala tu namanya Tancho Kohaku. Ikan dekat belakangnya, yang bercorak
putih, merah, hitam dan kebiru-biruan tu namanya Goshiki.”
Afini pantas sahaja
melihat ke arah ikan yang dimaksudkan oleh Yus. Memang benar, terlihat jelas
pelbagai corak berwarna putih, merah, hitam dan kebiru-biruan pada ikan jenis
Goshiki itu.
“Yang ada corak merah,
putih dan hitam tu namanya apa?” soal Afini lagi, kian berminat.
“Itu namanya Kanogoi
dan ikan koi yang badan dan kepalanya bercorak putih dan merah tu namanya Kin Sagura,”
seronok Yus melayani pertanyaan demi pertanyaan daripada isterinya itu.
“Betul ke? Ke you tipu
I?” soal Afini, mulai ragu-ragu dengan penerangan yang diberikan.
“Buat apa I nak tipu
you. I beritahu you ni supaya otak you tu bijak sikit. Bukan apa… lepas ni you
tahulah nak bezakan mana satu buaya dan mana satu ikan Koi,” perli Yus bersama
senyuman.
Kali ini hati Afini
sedikit pun tidak terasa dengan perlian itu. Dia kagum terhadap lelaki di
hadapannya ini. Yus bukan sahaja kacak, malahan dia juga mempunyai ilmu yang
tinggi dalam pelbagai perkara. Tapi sayang… kalaulah dia ‘normal’ seperti
lelaki lain, pasti kesempurnaan itu kian terserlah.