Home Novel Cinta Jatuh Hati Di Paris
Jatuh Hati Di Paris
Zura Rahman
29/1/2014 09:49:37
49,416
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

Mereka bergegas pulang ke hotel untuk mengambil beg-beg yang ditinggalkan di concierge di hotel selepas mereka mendaftar keluar pagi tadi. Keempat-empat gadis itu perlu mengejar kereta api yang dijadualkan bertolak dari stesen kereta api di Budapest pada pukul 7.58 malam. Mereka ada masa lebih kurang 40 minit sebelum kereta api berlepas.

Setelah membayar tambang teksi sebanyak 2400HUF, Nadia bergegas mahu keluar dari perut teksi. Sewaktu dia melangkah keluar, dia terdengar pemandu teksi itu berkata.

“Ini satu jumlah yang besar bagi kami, tetapi mungkin kecil bagi penduduk Eropah yang lain.” Lalu, pemandu teksi itu memulangkan baki wang kepada Nadia.

Nadia melihat jumlah wang di telapak tangannya. Baru dia sedar bahawa dia telah memberi jumlah yang salah kepada pemandu teksi itu. Pada fikirannya dia sudah mengira duit itu secukupnya. Dia hanya mengambil helaian wang kertas yang dihulurkan pemandu teksi itu dan meninggalkan yang selebihnya untuk pemandu teksi itu.

Memang benar jumlah itu agak kecil bagi penduduk di Jerman ataupun Perancis, tetapi bagi penduduk Hungary, lebih-lebih lagi seorang pemandu teksi sepertinya, ia satu jumlah yang besar. Dalam keadaan tergesa-gesa dan tidak biasa dengan mata wang negara Hungary yang dikenali sebagai HUF ataupun Forint, dia telah tersilap mengira jumlah wang itu. Nadia terharu melihat keikhlasan pemandu teksi itu.

Nadia dikejutkan oleh suara Lyn yang berkata sesuatu yang tidak jelas butir bicara di telinganya. Dia mengalih pandangan ke arah Lyn. Lyn sedang terkial-kial mengenakan beg sandangnya.

“Lyn, cepat sikit. Kita sudah lambat!” kata Nadia. Dia menolong Lyn meletakkan beg galas itu dengan betul lalu menarik tangan Lyn.

Mutia, dengan langkahnya yang lebih panjang sudah berada di hadapan, diikuti oleh kawan sepejabatnya yang mengikuti trip itu. Mereka terpaksa berlari kerana waktu terlalu suntuk. Beg galas bergoncang-goncang mengikut tempo larian. Betapa sukar berlari bersama beg yang bergalas di belakang beserta beg troli di tangan. Ina yang berada di belakang Mutia berkata sesuatu. Mutia memperlahankan langkah.

Mereka mula berlari-lari anak ke stesen kereta api dan terus menuju ke platform. Kereta api tiba sebaik sahaja keempat-empat gadis itu sampai di platform. Tanpa memikirkan keadaan sekeliling, mereka melompat ke atas keretapi. Tercungap-cungap, nafas mereka turun naik. Beg troli masing-masing ditarik ke atas.

Beberapa orang penumpang tersenyum melihat aksi gadis-gadis yang pada dasarnya kelihatan sopan melompat ke atas kereta api dengan wajah yang pucat dan kalut.

Mereka bernasib baik dapat menaiki kereta api itu kerana jika mereka tertinggal kereta api itu masalah besar akan timbul. Apa tidaknya, kesemua tiket bagi perjalanan backpacking itu sudahpun ditempah dan dibayar sepenuhnya. Setiap perjalanan telah dirancang rapi, tanpa meninggalkan sedikit ruang yang merugikan. Mereka melepaskan nafas lega, kemudian ketawa meledak daripada Lyn.

“Kenapa Lyn?” tanya Nadia kehairanan. Sambil membetul-betulkan beg galas yang disandang di belakang masing-masing, mata meliar memeriksa koc kereta api, mencari-cari nombor 262 seperti yang tertera di tiket.

“Lega… kelakar pun ada. Aku rasa macam nak terbang aje tadi. Malu pun ada, semua orang tengok…” Ketawa Lyn masih bersisa. Kemudian diikuti oleh yang lain.

“Ha’ah…” Nadia mengiakan. “Memang malu. Tapi tak kisahlah, janji dapat naik kereta api.”

“Kalau kita terlepas kereta api ni memang haru… aku tak sanggup…” kata Lyn lagi.

“It’s the last thing that I want...” balas Nadia.

Kerana tertawan dengan keindahan kota Budapest, mereka telah terlambat dan hampir-hampir ketinggalan kereta api. Jika tidak mereka terpaksa mengubah perjalanan mereka dan yang paling ditakuti ialah jika mereka terpaksa membeli tiket lain dan mungkin juga terpaksa mengeluarkan duit untuk membayar hotel kerana sesetengah bil hotel telah pun dilangsaikan. Sudah beribu duit dihabiskan untuk pembelian tiket dan juga bil hotel itu. Mereka terpaksa berbuat begitu kerana mereka melakukan perjalanan dalam musim panas, di mana kereta api dan hotel mungkin penuh jika mereka tidak bernasib baik. Sejak itu, mereka berjanji untuk sentiasa beringat supaya perkara sedemikian tidak berlaku lagi.

Mereka bergerak dari satu koc ke satu koc yang lain.

Sedang mereka mencari koc yang telah ditempah, mereka disapa oleh seorang lelaki kulit putih yang berpakaian seragam. “Boleh saya bantu anda?” tanya lelaki yang pada tekaan mereka konduktor kereta api yang bertugas.

“Ya, kami sedang mencari koc kami,” kata Nadia yang berada paling hampir dengan lelaki berkulit putih itu.

“Boleh saya lihat tiket anda?” tanya konduktor itu lagi.

Tanpa berlengah, Nadia menghulurkan tiket yang sedang dipegangnya kepada lelaki itu.

“Sila ikut saya.” Lelaki itu mengiringi keempat-empat gadis Melayu itu ke sebuah bilik yang dipanggil couchette atau koc. Nombor 262 tercetak di pintu bilik itu. Pintu koc dibuka. “Bilik ini dapat memuatkan enam orang pada satu masa. Dua orang penumpang lain akan berkongsi koc ini dengan kamu,” jelas konduktor kereta api itu.

“Kamu ada sebarang pertanyaan?” Dia bertanya sambil memandang gadis-gadis itu satu per satu.

Mereka menggelengkan kepala.

“Kalau begitu, saya tinggalkan kamu di sini. Nikmati perjalanan kamu semua! Selamat malam,” kata konduktor yang begitu profesional dan mesra.

“Selamat malam,” balas keempat-empat gadis itu.


Nota : Siapakah yang akan berkongsi koc dengan Nadia dan rakan-rakan? Cerita lanjut di dalam versi cetak.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.