Home Novel Cinta Jatuh Hati Di Paris
Jatuh Hati Di Paris
Zura Rahman
29/1/2014 09:49:37
49,588
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

Sebelas tahun yang lalu

Nadia mencapai beg galas yang berisi barangan peribadinya dan menggalas ke belakang.

“Kau orang cepat sikit, nanti kita lambat.” Nadia mengingatkan rakan-rakannya. Sekilas dipandang jam tangan yang terikat kemas di pergelangan tangan kirinya. Jam itu dihadiahkan oleh ibu dan bapanya ketika dia mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, sekali gus membawanya ke United Kingdom.

Nadia mengingatkan teman-teman yang merangkap kawan serumahnya sekali lagi. “Pastikan tak tertinggal apa-apa yang penting!”

“Mana Aza?” Nadia bertanya kepada Mutia yang sedang memeriksa kandungan beg galasnya.

“Dia dalam tandas!”

“Dia sakit perut ke?”

“Apa lagi, seperti biasalah.”

Nadia mengerti apa yang dimaksudkan oleh Mutia. Jika hendak keluar berjalan-jalan, akan menjadi kemestian bagi Aza untuk melawat tandas.

Lyn muncul dari biliknya bersama dua beg galas. Beg galas yang lebih besar disandang manakala beg yang lebih kecil dijinjing. Mutia memandang Lyn dengan rasa kurang senang.

“Kenapa banyak sangat beg? Kata nak bawa barang penting aje?”

“Ini semua barang penting…” jawab Lyn.

“Banyak sangat tu… nanti berat. Lyn, kita nak naik kereta api tau… kau larat ke nak berjalan ke sana sini dengan beg macam ni?” Mutia cuba membantah.

Bagi gadis seperti mereka untuk menggalas bebanan yang berbelas kilogram di atas belakang dan berjalan ke sana sini menaiki kereta api adalah sesuatu yang amat membebankan. Jadi sebagai langkah berjaga-jaga mereka hanya perlu membawa barang yang penting sahaja.

“Mana ada… tak beratlah. Aku boleh bawa,” kata Lyn.

“Baiklah, tapi jangan kompelin berat pula nanti. Aku tak nak dengar…” Mutia memberi amaran. Dia menggalas begnya, kasut sukan diambil dari rak kasut di tepi pintu.

“Nanti kita boleh letak beg-beg ni di dalam lokar di stesen kereta api.” Lyn cuba mempertahankan diri.

“Kalau jumpa… kadang-kadang keadaan mungkin tak menyebelahi kita.” Mutia cuba mengingatkan Lyn.

Nadia yang memerhati pertelingkahan kecil di antara Lyn dan Mutia hanya menggeleng perlahan. Dia bukan tidak tahu, barang yang ‘penting’ dan ‘sedikit’ bagi Lyn sekurang - kurangnya satu beg troli bersaiz sederhana. Apa yang penting bagi Lyn akan termasuk sekotak tisu, loysen tangan, losyen badan, bedak, pakaian dalam secukupnya, sehelai baju setiap hari bersama seluar panjang dan beberapa helai tudung untuk perjalanan yang dianggap mencabar dan singkat itu. Tidak seperti Mutia yang hanya membawa satu helai seluar gantian dan beberapa helai baju sahaja dan sehelai cardigan. Tidak lupa seluar dalam pakai buang kerana lebih mudah dan ringan, yang tidak akan sekali-kali dilakukan oleh Lyn. Dia rela membawa lebih muatan dan menggalas beg yang lebih berat untuk lebih selesa.

“Apa hal?” tanya Aza yang tiba-tiba muncul.

Nadia menjawab bagi pihak Lyn dan Mutia. “Tak ada apa... budak-budak tu. Small matter.”

“Apa? Budak-budak?” Lyn mencekak pinggang.

“Tengok, siapa yang lebih besar…” Lyn mendekatkan badannya dengan Nadia. Memang dia lebih besar daripada Nadia. Cuma perangainya sedikit keanak-anakan kerana dia anak manja. Nadia menjengketkan badannya supaya dia dapat menandingi ketinggian Lyn sekali gus nampak lebih dominan daripadanya yang bertubuh agak gempal. Dia tersengih lebar. Lyn mencebikkan bibir.

Mutia menjeling ke arah mereka berdua. “Whatever!” Dia sudah menyarung kasut dan bersedia untuk bergerak.

“Sudahlah tu… kita kena keluar sekarang. Nanti tertinggal kereta api!” Aza bersuara tegas selaku ketua kumpulan yang dilantik secara tidak sengaja.

Hari ini buat pertama kali, Nadia dan rakan-rakan satu universiti yang merangkap teman serumah akan meraikan cuti musim panas dengan menjelajah beberapa negara di benua Eropah. Sebagai permulaan, mereka telah sepakat untuk melawat beberapa negara di Eropah Barat. Antara destinasi yang dipilih ialah Perancis, Switzerland dan Belgium.

Dari London, mereka akan ke Paris dengan menaiki TGV, kereta api berkelajuan tinggi yang menghubungkan London dan Paris menerusi terowong bawah tanah, The Channel Tunnel. Untuk ke Eropah, penduduk United Kingdom perlu menyeberangi The English Channel atau Selat Inggeris yang panjangnya 562 km. Kemudian, mereka akan ke Switzerland dan Belgium sebelum pulang semula ke London. 

Selepas urusan mendaftar masuk, mereka dikehendaki menunggu kereta api yang dijangka tiba dalam masa 30 minit. Ketika sedang sibuk berborak-borak sesama sendiri sementara menunggu kereta api tiba, Nadia dan tiga lagi rakannya ditegur oleh sekumpulan lelaki muda. Daripada rupa paras, mereka kelihatan seperti orang Malaysia.

“Assalamualaikum. Kamu semua dari Malaysia?” tanya salah seorang daripada mereka. Lelaki yang sederhana tinggi dan memakai cermin mata berbingkai hitam itu bertanya. Cara mereka bercakap dan berpakaian, dia amat pasti gadis-gadis itu merupakan pelajar Malaysia.

“Ya,” jawab mereka serentak.

“Oh, kami Kami pun dari Malaysia. Belajar di Imperial College,” kata lelaki itu tanpa ditanya.

“Kamu semua dari mana? Nak ke mana?” tanya lelaki itu ramah. Manakala rakan-rakan yang tiga orang lagi hanya memerhati.

“Kami dari LSE, London School of Economics, nak pergi Paris,” jawab Aza sambil tersenyum, jelas tergambar kegembiraan. Maklumlah, buat pertama kali ingin menjejakkan kaki ke ibu kota yang dianggap kota romantik itu.

“I, Zul. Itu pula Rizal dan Kamal. Yang sedang berdiri di situ namanya Arief…” Lelaki muda yang berkulit sawo matang itu memperkenalkan dirinya dan rakan-rakannya yang lain. “Kami juga nak ke Paris. Kami akan ke Berlin keesokan harinya. Macam mana dengan kamu semua?”

“Dari Paris kami merancang untuk ke Zurich,” ucap Aza selaku tukang cakap bagi ahli kumpulan mereka.

“Bermakna kita akan berpisah di Parislah ya...” kata Zul spontan. “Apa kata kita bergerak bersama-sama untuk hari ni? Lagi ramai lagi meriah!” cadang Zul. Dia tersenyum lebar.

Kawan-kawannya hanya mengangguk setuju.

“Kami tak kisah,” kata Aza apabila rakan-rakannya tidak keberatan dengan cadangan Zul itu.

Nadia, Lyn dan Mutia hanya menurut.

“Bagus juga, boleh kita berkenal-kenalan.” Aza berbisik ke telinga Nadia.

Keadaan tiba-tiba menjadi riuh. Zul yang amat ramah itu riang bercerita tentang cadangan perjalanan mereka ke negara Eropah kepada Aza manakala Rizal dan Kamal, yang suka membuat lucu itu sibuk melayan Lyn dan Mutia. Lelaki tinggi berkulit cerah yang mengenakan topi bola lisut bertanda huruf ‘A’ di hadapan topinya itu tidak banyak cakap. Dia sibuk menelaah peta yang sedari tadi berada di tangannya. Sesekali matanya melirik ke arah gadis-gadis yang tekun mendengar ‘taklimat’ daripada Zul, namun sorotan matanya berhenti agak lama pada gadis bertudung biru itu.

“Kita sampai Paris nanti hampir waktu tengah hari. Apa kata kita makan dulu?” cadang Zul yang secara tidak rasmi melantik dirinya sendiri sebagai ketua kumpulan pengembaraan mereka itu.

Aza memandang Nadia, Lyn dan Mutia untuk mendapatkan pendapat dan juga persetujuan. Selepas sesi konsultansi yang pendek, Aza memberitahu Zul bahawa mereka bersetuju dengan cadangannya. Aza seperti tidak kisah membiarkan Zul yang baru beberapa minit dikenali itu mengambil alih tugasnya.

“Okey, set. Kamu ada sebarang cadangan nak makan di mana nanti?”

Mereka menggeleng. “Kami tiada sebarang pilihan tertentu, tapi I dengar berdekatan stesen kereta api tu ada restoran halal,” kata Aza.

“Di situ memang banyak kedai halal. Kebanyakannya restoran India dan Pakistan. Beriani di situ sedap...” terang Zul dengan penuh yakin.

“Zul, you pernah pergi Paris ke?” tanya Nadia seolah-olah Zul sudah biasa dengan tempat tersebut.

“Eh, tak pernah.My senior yang cerita…” Zul tersengih.

“Laa… kami ingat you pernah pergi sana. Beria-ia benar you bercerita. Tapi, tak kisahlah... janji kita makan sesuatu yang sedap dan murah…” Lyn menyampuk. Tiba-tiba perutnya berasa lapar. Beriani yang enak sudah bermain-main di hadapan mata.

“Kiranya ini kali pertama kamu semua melalui the Channel Tunnel?” tanya Zul kepada gadis-gadis itu.

“Ya. Hmm... tak sabar rasanya!” kata Lyn teruja.

“Sebenarnya, kamu juga boleh mengambil bas untuk menyeberangi Selat Inggeris ini, tapi perjalanan memakan masa selama lapan jam berbanding menaiki TGV yang hanya mengambil masa lebih kurang 2 jam 15 minit sahaja…” kata Zul.

“Malaslah naik bas… lama, rugi masa. Lagipun kami nak alami pengalaman itu sendiri. Sebelum ini, kami hanya dengar cerita daripada orang lain saja,” kata Aza yang sudah teruja untuk mengalami pengalaman menaiki kereta api laju yang sering diperkatakan orang itu.

“Kamu tahu tak, dengar cerita terowong tu sebenarnya tidak bertemu di titik pertemuan yang telah dirancang secara tepat, yang menyebabkan ia terpaksa dibesarkan sedikit di tengah-tengah titik pertemuan...” Zul bercerita mengenai terowong yang menjadi kebanggan United Kingdom dan Perancis.

“Mana you tahu Zul?” tanya Nadia.

“I dengar orang bercerita. Tak tahulah sama ada ia benar atau tidak. Tapi yang pastinya ia mempunyai jarak yang berada di bawah paras laut yang terpanjang di dunia, walaupun Seiken Tunnel di Jepun adalah lebih panjang serta berada 240 meter di bawah paras laut. Dan kerana kepentingannya juga, syarikat dari setiap negara telah dipilih untuk melakukan kerja-kerja tersebut.” Zul semangat bercerita.

“Sama ada cerita itu benar atau tidak, bukan menjadi satu masalah kerana yang pasti pembinaan terowong ini telah memungkinkan lebih ramai orang untuk melintasi Selat Inggeris dengan cepat dan mudah,” celah Aza pula.

“Yang I tahu, semasa pembinaan terowong tersebut, pelbagai masalah timbul bermula dari kebakaran sehinggalah kepada masalah kewangan. Setahu I, terowong itu telah mula dibina dalam tahun 1988 dan hanya dibuka kepada penumpang pada hujung tahun 1994!” terang Nadia pula. Rakan-rakan yang lain tekun mendengar.

“Lamanya baru siap!” Mutia yang sedari tadi sedang berbual dengan Kamal akhirnya bersuara.

“Memang lama, bukan senang nak bina terowong melalui bawah laut pula. Ia melibatkan satu pembinaan infrastruktur yang begitu kompleks dan melibatkan dua buah negara,” kata Nadia.

“Berapa banyak kos nak buat terowong ni ya?” tanya Aza pula. Perbualan yang tadi berkisar tentang Paris sudah beralih kepada The Channel Tunnel pula.

“Aku tak pasti, tapi ianya menelan perbelanjaan 80% lebih daripada jumlah yang telah dianggarkan.” Nadia menjelaskan.

“Kereta api dah datang!” Tiba-tiba Lyn menjerit, memberitahu kawan-kawan supaya bersedia.

Apabila kereta api tiba, kesemua penumpang mendapatkan tempat duduk masing-masing. Sejak awal-awal lagi mereka memilih tempat duduk yang memang disediakan bagi penumpang yang berjalan bersama tiga atau empat orang. Setelah mengenal pasti tempat duduk, Nadia memilih tempat duduk berdekatan dengan tingkap. Aza pula memilih untuk duduk berhadapan dengan Nadia.

Tiba-tiba lelaki yang bertopi bola lisut itu duduk di sebelah Nadia. Nadia memandang lelaki itu silih berganti dengan Mutia dan Lyn yang masih berdiri di laluan. Sepatutnya Mutia duduk bersama Nadia, namun tempatnya telah dirampas. Mutia mengangkat bahu sambil memandang Aza yang telah duduk bersama Zul. Tempat duduk Lyn juga telah diambil oleh Zul.

“Oh maaf, boleh tak kita orang duduk di sini? Kami ada sesuatu yang ingin dibincangkan,” kata Zul sambil tersenyum lebar.

Soalan Zul itu menjadi tanda tanya kami semua, kecuali Aza. Nadia memandang Aza dan kemudian memandang Mutia dan Lyn.

“Kita orang nak bincang pasal iternary. Senang sikit kalau duduk dekat-dekat.” Aza tersenyum, meminta pemahaman daripada semua anggota kumpulan.

“Boleh I duduk sini?” tanya lelaki bertopi baseball itu yang sudah pun melabuhkan punggungnya di sebelah Nadia.

“Err… duduklah.” Apa lagi yang harus dikatakan oleh Nadia kerana lelaki itu telah duduk di situ. Takkan dia mahu menghalau lelaki itu pula?

‘Tadi bukan main sombong!’ getus Nadia dalam hati.

Tiada pilihan lain Mutia dan Lyn terpaksa duduk sebangku dengan dua orang rakan Zul di tempat duduk belakang, yang sepatutnya dihuni oleh Zul dan rakan-rakannya.

“Arief.” Dia memperkenalkan diri sambil memandang Nadia sekilas.

“Nadia,” jawab Nadia. Dia tersenyum sebagai salam perkenalan.

“Apa yang membawa you ke Paris?” Lelaki yang dianggap sombong tadi bertanya lagi.

‘Ramah pula dia. Tadi bukan main berlagak,’ omel Nadia.

“Eiffel Tower,” jawab Nadia pendek.

“Oh…” kata Arief tersenyum menawan, menampakkan giginya yang berbaris cantik seolah-olah faham akan maksud jawapan pendek tersebut.

Ada sesuatu di dalam senyuman dan panahan mata lelaki itu yang membuatkan Nadia kehilangan kata-kata. Dia telah berusaha untuk mencipta satu ayat yang sesuai dan memberangsangkan, namun jawapan pendek itu sahaja yang mampu diberi. Dia melontarkan pandangan ke luar kereta api.

Aza sedang rancak berbual-bual dengan Zul, sesekali mereka ketawa. Apa yang melucukan pun dia tidak tahu. Namun kedua-duanya kelihatan serasi seolah-olah telah lama berkenalan.

Nadia resah di tempat duduknya sendiri. Lelaki itu pula kelihatan sungguh bersahaja dan selesa berada di tempat duduknya sambil tekun menelaah peta yang dipegangnya itu. Terdapat beberapa brosur yang sedang diteliti oleh Arief.

Siapa gerangan jejaka ini? Pasti dia salah seorang pelajar Malaysia yang belajar di United Kingdom ini. Zul ada berkata mereka belajar di Imperial College, jadi kemungkinan besar dia juga sedang belajar di universiti yang sama. Dia ingin bertanya, tetapi rasa segan dan malu.

Mereka duduk terlalu rapat kerana fizikal Arief yang besar dan tinggi, dengan kakinya yang panjang. Sekali-sekala pahanya bersentuhan dengan paha Arief apabila kereta api bergoyang. Dia berasa seperti sedang diseksa secara mental.

Nadia menyilangkan kaki supaya terdapat lebih ruang di antara dia dan Arief dan cuba berlagak selamba. Lagi dua jam kereta api akan tiba di Stesen Gare du Nord Paris, bermakna selama itu dia akan berasa tidak keruan.

Nadia memerhati sekeliling. Selain mereka terdapat beberapa orang penduduk tempatan dan juga pelancong yang bersama-sama ingin menyeberangi Selat Inggeris itu. Seorang lelaki dan wanita berkulit putih yang duduk selang dua baris dari tempat duduk mereka menjadi perhatian Nadia. Dari segi pakaian dan beg-beg yang dibawa, Nadia menjangkakan mereka merupakan pelancong, bukan penduduk tempatan.

Dia berpaling ke arah Arief. Lelaki itu sudah terlelap tanpa disedaridiedari. ‘Kacaknya dia walaupun sedang tidur.’ Nadia tersenyum lagi.

Aza dan Zul masih belum penat berborak. Nadia cuba mencuri pandang wajah Arief, tetapi dia hanya mampu melihat sebahagian dari hidungnya yang mancung dan bibirnya yang berbentuk cantik. Tiba-tiba keadaan menjadi gelap. Nadia memandang ke luar tingkap. Rupa-rupanya kereta api sedang memasuki terowong yang agak panjang, ketika merentasi laut menuju ke Perancis.

Arief, lelaki yang duduk di sebelahnya terjaga apabila pengumuman dibuat bahawa kereta api akan sampai di Paris. Dia bergerak-gerak membetulkan duduk. Mereka bersedia untuk beredar apabila kereta api berhenti. Pasangan pelancong kulit putih tadi masih lagi nyenyak di kerusi masing-masing. Sebaik kereta api berhenti, Arief bangun dan mengambil beg dari tempat simpanan beg yang terletak di bahagian atas.

“Yang mana satu beg you?” tanya Arief.

Nadia mendongak ke arah datangnya suara. Dia baru perasan bahawa Arief memilik suara yang besar, sesuatu yang jarang dimiliki oleh lelaki Melayu.

Nadia menunjuk ke arah lokasi begnya yang terletak di sebelah kanan beg lelaki itu tadi. Dengan mudah Arief menurunkan beg itu yang agak berat pada perkiraan Nadia.

“Terima kasih,” ucap Nadia.

Nadia menyarungkan beg sandangnya. Kemudian, dia lihat lelaki itu seolah-olah sedang cuba menyatakan sesuatu kepadanya. Keadaan yang agak bising dengan penumpang yang tidak sabar untuk turun dari kereta api menyebabkan dia terpaksa bertanya lelaki itu apa yang dia sedang katakan.

Arief menundukkan kepalanya dan mendekatkan badannya ke arah Nadia. “Tudung you.” Nadia tidak memahami lalu dia mengangkat kening sedikit. Sekali lagi Arief berkata perkara yang sama sambil menunjukkan ke arah lehernya.

Secara spontan tangan Nadia bergerak ke arah yang ditunjukkan. Baru dia sedar bahawa tudungnya terselak sewaktu dia cuba mengendong beg galas dan telah menampakkan sebahagian lehernya. Nadia berasa sedikit malu. Dia mengalihkan pandangan ke arah Mutia dan Lyn, berpura-pura mencari mereka. Lagak selamba lelaki itu sedikit sebanyak melegakannya.

Perkara pertama sampai di Paris ialah mencari lokasi makanan halal di sekitar situ. Berpandukan peta dan petunjuk daripada teman-teman yang pernah ke situ, mereka memilih sebuah restoran India yang halal tidak berapa jauh dari stesen kereta api. 

Restoran itu agak kecil dan kelihatan sedikit buruk, tidak seperti yang disangkakan. Tiada pilihan lain, mereka berlapan memilih satu meja yang cukup besar. Selepas masing-masing membuat pesanan, pelayan restoran yang berketurunan India beredar dari situ. Pertemuan yang tidak dijangka itu secepat kilat berubah mesra.

Orang kata Paris ialah kota romantik. Romantik atau tidak, bukan dia kisah. Janji dia dapat saksikan dengan mata kepala sendiri struktur gah Eiffel Tower. Dari atas menara itu dia akan dapat melihat keseluruhan bandar Paris yang terletak di atas tanah yang rata. Dan dari mana-mana ceruk di ‘the City of Light’ itu, sesiapa sahaja akan dapat melihat menara tertinggi di negara Perancis. Dia juga tidak sabar untuk meneroka The Lovre, salah satu muzium terkenal dan terbesar di dunia. Dia mahu melihat sendiri muzium yang menggugat The Guggenheim di New York. Arief begitu teruja!


Eiffel Tower sedang berdiri gah di hadapan matanya. Kamera yang sememangnya tersangkut di leher diambil. Lensa kamera disunting ke arah menara itu. Klik.Klik. Klik. Dia belum puas. Beberapa gambar lagi diambil, dari pelbagai sudut. Rakan-rakannya sibuk mengambil gambar masing-masing. Keempat-empat gadis yang baru dikenali itu juga tidak melepaskan peluang bergambar penuh gaya. Gambar berseorangan. Gambar berdua. Gambar berempat. Semuanya ada. Dia hanya memerhati.

Berlatarkan Eiffel Tower, suasana waktu malam di situ akan membuatkan sesiapa sahaja jatuh cinta dengan Paris. Dia akan ke situ pada malam hari nanti. Belumpun malam menjelma, dia sudahpun jatuh cinta! Jatuh cinta dengan Paris. Jatuh cinta dengan apa yang ditemui di situ.Beberapa gambar diambil lagi, kali ini menghala ke arah lain. 

Yes, I am falling in love.’Jatuh cinta dengan keasyikan kota Paris dengan magik yang tersendiri dan jatuh cinta pada si gadis cantik berkulit mulus bermata bundar.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.