Home Novel Cinta Jatuh Hati Di Paris
Jatuh Hati Di Paris
Zura Rahman
29/1/2014 09:49:37
49,565
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1

San Francisco, Amerika Syarikat

MUSIM panas yang baru muncul mengusir perlahan musim bunga. Namun kabus tebal masih menyelimuti pagi di bumi San Francisco ini, meminjam satu kedinginan di tengah-tengah musim panas. Dia memandang ke luar jendela yang menjamu pandangan ke jalan utama. Kelihatan penduduk setempat sudah memenuhi ruang pejalan kaki dan di jalan-jalan. Semuanya sibuk dengan aktiviti sendiri. Ada yang berjaket tipis dan ada hanya berpakaian biasa. Ada juga yang telah mengenakan pakaian musim panas. Yang pasti, suasana pagi itu terasa lebih dingin dari semalam.

Televisyen dibiarkan terpasang tanpa penonton. Alunan muzik dari sistem hi-fi tidak dapat mengusir gundah dari lubuk hati dan kotak fikirannya. Tidak seperti biasa, mindanya dapat dijinakkan dengan satu alunan muzik yang enak. Tetapi tidak kali ini. Umpama gesekan viola yang songsang, segala perbuatannya terasa sumbang.

Arief berlalu dari birai tingkap lalu duduk di meja kerjanya di ruang studio apartmen yang terletak di pinggir kotaraya San Francisco yang telah didiami sejak empat tahun lalu. Sebelum itu, dia bekerja dan tinggal di sebuah bandar kecil di Cupertino, kira-kira satu jam perjalanan dari situ. Setelah hidup menyewa di situ selama lima tahun, dia dan rakannya berpindah ke bandar ini untuk merasai satu kehidupan yang lebih mengujakan seperti kata temannya, Tylor.

Arief bersandar malas di kerusi kerjanya sambil jari-jemari bermain dengan bebola besi yang tersusun seperti jambatan gantung di atas meja bacaan. Satu jarinya menarik bebola besi pertama menjauhi bebola besi yang lain dan kemudian dilepaskan. Tenaga kinetik yang dihasilkan memaksa bebola besi lain bergerak ke hadapan dan kemudian ke belakang. Hanya bunyi denting bebola besi itu yang memasuki mindanya ketika itu.

Dia masih lagi bersandar malas di atas kerusi sambil jari telunjuknya terus-terusan mengusik bebola besi itu. Sementara tangan kanannya bermain-main dengan bebola besi itu, tangan kirinya hanya berehat di atas paha. Sepasang mata memandang serius ke arah bebola besi yang masih lagi melantun perlahan beserta satu kerutan di dahi, seperti memikirkan satu masalah yang besar.

“Papa minta Arief balik ke Malaysia.”

Kata-kata papa masih lagi tergiang-giang di telinga seolah-olah baru sebentar tadi mereka berbual. Seingatnya kali terakhir dia bercakap dengan papa hampir sembilan tahun lepas, tetapi suara itu tetap tidak berubah. Sembilan tahun adalah waktu yang terlalu lama, tetapi dek kesibukan dengan kerjaya, tempoh itu dirasakan cepat berlalu. Dia masih lagi mengenali suara papa yang dalam dan tegas walaupun kedengaran sedikit kurang bermaya. 

Namun sesiapa sahaja yang mendengar suara itu akan dapat rasa satu aura yang kuat dan dapat mengagak tuan punya suara bukan calang-calang orang. Ya! Itu adalah papanya. Satu-satunya ayah yang dia sayang. Sayangkah dia?

Jika diberi pilihan, dia tidak mahu berada di sini, jauh daripada orang tersayang dan keluarga. Namun dia tiada pilihan yang lebih baik. Di tengah-tengah kebahagiaan hidupnya di bumi Amerika ini, satu panggilan daripada papa telah meragut ketenangan jiwa Arief. Sekali gus meletakkan dirinya dalam dilema yang maha hebat.

“Papa minta sangat-sangat Arief pertimbangkan permintaan papa ni,” ucap papa di talian tempoh hari. Suara papa kedengaran sayu, seolah-olah merayu. Papa yang dikenali tidak akan sekali-kali berbuat begitu.

“Papa dah tak punya sesiapa yang boleh diharapkan lagi kecuali Arief,” sambung papa apabila tiada jawapan kedengaran dari talian di hujung sana.

Permintaan papa membuatkan Arief resah. Semalaman dia berjaga memikirkan tindakan yang wajar dilakukannya. Selama ini, papa tidak akan merayu atau meminta begitu. Papa hanya akan menyuruhnya berbuat itu dan ini. Jika tidak semua ini tidak akan berlaku.

Dari tadi dia bermonolog sendirian. Perbualannya dengan Tylor dua hari lepas singgah ke kotak fikiran.

“Adakah aku terlalu pentingkan diri sendiri meninggalkan tanggungjawabku terhadap keluarga? Melepaskan semuanya ke bahu abang aku seorang?” Satu pertanyaan dilemparkan kepada Tylor. Arief menghela nafas bersama keluhan yang berat. Sehingga kini, dia masih belum ada jawapan bagi permintaan papa. Juga jawapan bagi pertanyaan hatinya itu.

“Aku suka jika kamu di sini menguruskan syarikat kita, tetapi aku juga rasa kamu harus fikirkan hal ini masak-masak. Kamu begitu bertuah kerana masih mempunyai seorang ayah dan keluarga yang menyayangi kamu, tidak seperti aku,” kata Tylor yang kehilangan ayahnya sejak kecil lagi.

“Jadi kamu tidak kisah jika aku pulang ke Malaysia?”

“Bukan aku tidak kisah, tapi aku rasa sudah tiba masanya kau fikirkan kembali tentang hubungan kau dengan bapa kau. Perkara lain, kita boleh uruskan kemudian,” jawab Tylor tenang.

Tiba-tiba Arief berasa keseluruhan pangsapuri begitu kecil sehingga menyesakkan nafasnya. Tanpa berfikir panjang, jejaka muda itu menyarung satu jaket yang nipis dan mencapai kasut jogingnya. Dia perlu keluar dari situ untuk melegakan fikiran dan mencari jalan terbaik mengatasi masalah yang sedang dialaminya. Kurang lima minit, Arief sudah pun berlari-lari anak di jalan yang mula sesak dengan manusia daripada pelbagai golongan.


Kuala Lumpur, Malaysia.

Banglo tiga tingkat beratap merah hati yang terletak di Bukit Jalil Golf Resort itu kelihatan sepi, sesunyi keadaan di keseluruhan taman perumahan yang didiami oleh golongan tertentu. Tidak ada banyak aktiviti yang berlangsung ketika itu. Penghuni banglo-banglo yang tersergam indah di situ masih nyenyak diulit mimpi walaupun matahari sudah menggalah.

Sudah lebih sepuluh tahun keluarga Tan Sri Hashim mendiami banglo itu setelah jatuh hati dengan persekitarannya yang begitu aman dan nyaman. Sebuah padang golf seluas 165 ekar di sekeliling memberikan satu suasana eksklusif dan tersendiri kepada kawasan kediaman itu. Sebagai pemain golf tegar, padang golf yang mempunyai 18 lubang itu memudahkannya untuk menikmati sukan kegemarannya bila-bila masa.

Tan Sri Hashim ralit duduk di sofa ruang tamu sambil membelek telefon bimbitnya. Sudah jemu duduk, dia berdiri pula. Selepas itu, satu keluhan dilepaskan. Fikirannya melayang jauh. Kehadiran isterinya di situ tidak disedari. Puan Sri Zulaikha melangkah ke ruang tamu, mendekati suaminya.

“Dari tadi saya lihat abang mundar-mandir di sini. Abang tengah tunggu panggilan seseorang ke?” Puan Sri Zulaikha bertanya suaminya. Sejak tadi, dia lihat telefon bimbit di tangan suaminya diletakkan di telinga dan kemudian ditenung asyik begitu.

“Hmm…” jawab Tan Sri Hashim ringkas.

“Panggilan daripada siapa?”

Tiada reaksi daripada suaminya. Hati perempuannya terusik. Adakah suami yang sudah melebihi umur separuh abad itu sedang berlagak seperti orang muda kembali? Seperti sesetengah suami rakan-rakannya yang mengidam pucuk muda pada umur-umur senja begini.

“Kenapa abang termenung?” Hati perempuannya semakin berdebar.

“Tak ada apa-apa.” Satu keluhan kecil dilepaskan.

“Mustahil tak ada apa-apa? Abang jarang mengeluh. Selalunya abang bermain golf bersama Tan Sri Hamid dan Dato’ Zainal jika tak ke mana-mana? Sekarang dah pukul 9.30, abang masih lagi berada di rumah.”

“Saya tak ada mood hari ni.”

“Tak ada mood? Sejak bila pula abang ikut mood ni?” Puan Sri Zulaikha cuba memancing suaminya untuk bercerita. Suaminya kelihatan tidak bersemangat. Tidak seperti selalu.

“Sebelum ini, Arief pernah telefon ke sini?” Dia mengerling isterinya sepintas.

Pertanyaan suaminya yang tidak dijangka itu mengejutkan Puan Sri Zulaikha. “Kenapa tiba-tiba abang tanya pasal Arief?” tanya Puan Sri Zulaikha berhati-hati. Dia tidak dapat menjangka apa yang ada di benak suaminya. Dia juga tidak percaya dengan apa yang didengarinya sebentar tadi.

“Kenapa dengan dia, bang?”

Hampir sedekad nama itu tidak disebut di rumah ini. Tiada siapa berani menyebut nama itu sewenang-wenangnya, terutama di hadapan suaminya. Umpama jika menyebut nama itu akan datang musibah dan malapetaka.

Selama sembilan tahun juga mereka tidak bersua. Mereka dipisahkan dengan jarak yang terlalu jauh. Nasib baik dengan kemajuan sains dan teknologi, mereka masih dapat berhubung dan dapat melihat wajah masing-masing melalui webcam. Tetapi berjumpa di alam maya tidak sama dengan berjumpa secara berdepan.

Lagipun dengan tugas masing-masing yang sibuk dan perbezaan waktu sebanyak 14 jam itu menyukarkan perhubungan. Kadang-kadang mereka terpaksa berjanji pada waktu tertentu. Jika tidak berbual melalui Skype, dia akan mengutuskan pesanan ringkas kepada anaknya. Itu lebih mudah kerana tidak perlu membuat temujanji. Hubungan mereka umpama hubungan terlarang yang hanya dilakukan secara rahsia.

‘Arief! Mama amat rindukan kamu’. Sudah agak lama anaknya itu tidak menyampaikan berita. Dia amat risau. ‘Bagaimana keadaan kamu? Sihat? Bahagia? Ada masalahkah kamu?’ Saban hari dia panjatkan doa semoga Allah melindungi anaknya itu dan dipermudahkan segala urusan.

“Abang tanya, Arief pernah menelefon ke sini?”

Bagaimana dia mahu menjawab? Dia bimbang jika jawapan itu akan mengundang kemarahan suaminya. Haruskah dia menipu suaminya dengan mengatakan bahawa mereka tidak pernah berhubung? Tidak boleh! Dia tahu suaminya pasti dapat menghidu penipuannya. Dia memang tidak pandai berbohong, terutama kepada suaminya.

“Err… ada juga. Kadang-kadang. Kenapa bang?”

Suaminya termenung beberapa saat.

“Abang ada telefon Arief beberapa hari lepas…” Kata-kata suaminya berhenti di situ.

“Kenapa abang telefon dia?” Nampaknya rasa curiganya tidak berasas. Dia ingatkan suaminya curi-curi menelefon perempuan lain di belakangnya.

“Abang baru sahaja bercakap dengan Arief tadi,” ujar Tan Sri Hashim tanpa mengulas lanjut. Nadanya seperti orang kecewa. Dia merenung tepat ke hadapan. Fikirannya kosong waktu itu. Dia tidak dapat menjangkakan apa yang bermain di fikiran Arief, anak lelaki kedua mereka.

“Tiga hari lepas abang telah menelefon Arief supaya pulang ke sini segera. Abang perlukan dia untuk mengendalikan syarikat. Sekejap tadi abang bercakap lagi dengannya.”

Puan Sri Zulaikha masih menunggu cerita lanjut daripada suaminya. Lima saat dirasakan seperti lima minit. Dia menggoyang-goyang lembut lengan suaminya, berharap suaminya berkata sesuatu.

“Apa kata dia, bang?” Suara Puan Sri Zulaikha sedikit kuat. Dia begitu terangsang dengan perkembangan terbaru itu. Mendengar sahaja kata-kata suaminya tadi, hati rawan Puan Sri Zulaikha berbunga riang. Dengan tidak semena-mena separuh beban perasaan yang ditanggung sekian lama hilang begitu sahaja.

Senyap.

“Bila dia akan balik, bang?” tanya Puan Sri Zulaikha lagi. Dia tidak dapat menyembunyikan keterujaannya. Dia tidak peduli. Dia sudah tidak sanggup menyembunyikan kerinduannya dan berpura-pura di hadapan suaminya seperti tiada apa-apa yang berlaku. Sudah sekian lama dia menjeruk perasaan.

Sepi. Kegembiraannya tadi hanya sebentar. Si suami masih lagi berdiam diri. Riak di wajah suaminya tidak memancar cahaya kegembiraan.

“Abang, saya tanya ni... ada tak Arief kata dia nak balik? Abang marah dia lagi?” soal Puan Sri Zulaikha bertalu-talu tanpa menunggu sebarang jawapan daripada suaminya. Dia sudah tidak dapat menahan sabar.

“Abang tak tahu apa yang dikejar oleh dia. Walhal semuanya dia boleh dapat dengan mudah di sini. Empayar perniagaan yang abang bina ni untuk isteri dan anak-anak, tapi dia sengaja menolak tuah. Dia lebih sanggup bersusah-susah di negara orang…” Tan Sri Hashim memandang wajah isterinya sayu.

“Abang tak pujuk dia? Sudahlah tu, bang... letak sahaja marah awak tu ke tepi demi keluarga kita.”

“Saya dah pujuk dia.”

“Apa kata dia?”

“Dia kata, dia akan fikirkan tapi dia tak janji akan dapat tunaikan permintaan abang,” Tan Sri Hashim berkata lemah. Satu lagi keluhan kecil kedengaran. Perbualannya dengan Arief tadi tidak menjanjikan sesuatu yang positif. Tan Sri Hashim rasa gundah. Apa akan jadi jika Arief tidak mahu pulang? Kenapa keras sangat hati anaknya itu?

Kali ini, dia tidak berani bertanya lebih lanjut. Biarlah suaminya yang bercerita.

“Apa kata saya pulak yang pujuk dia?”

Suaminya memandang sekilas. “Awak yakin dia akan balik?”

“Kita doa banyak-banyak bang supaya dibukakan pintu hati Arief untuk pulang ke Malaysia. Pulang ke rumah ni semula,” kata Puan Sri Zulaikha memberi semangat. Jauh di sudut hati, dia amat berharap hubungan antara dua beranak ini pulih. Dia sendiri amat merindui anaknya itu.

Puan Sri Zulaikha sudah tidak sabar untuk berkongsi berita gembira itu dengan Azreen, anak perempuan yang sedang belajar di tahun akhir di Uniten, Bangi. Sekejap lagi, dia akan menelefon Azreen. Dia rasa sungguh bersemangat hari ini, namun hati kecilnya terselit rasa risau jika Arief berkeras tidak mahu pulang.

Keadaan kembali sepi. Masing-masing berada di dalam dunia sendiri. Walaupun mentari mula memancarkan sinar menceriakan keseluruhan taman kediaman itu, di dalam teratak maroon ini, cuaca masih mendung. Keadaan di dalam rumah begitu hening. Tidak seperti selalu. Hari ini tiada bunyi riuh suara Alya dan Amani, dua orang cucunya yang pintar dan comel. Keletah manja anak-anak Afnan bersama Farah itu sentiasa menceriakan hari-hari Puan Sri Zulaikha terutama ketika rasa rindu terhadap Arief mula bertandang.

Hari ini,Alya dan Amani mengikut ibu bapa mereka ke rumah nenek mereka di Taman Tun. Ah, alangkah bagus jika dia mempunyai lebih ramai cucu! Tidak perlulah dia berasa sunyi sangat seperti hari ini. Rumah ini terlalu besar untuk mereka berdua.


Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.