Home Novel Cinta Jatuh Hati Di Paris
Jatuh Hati Di Paris
Zura Rahman
29/1/2014 09:49:37
49,566
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8

Panggilan terakhir pesawat ke San Francisco akan berlepas dalam masa 30 minit lagi. Arief akan meninggalkan bumi Malaysia setelah 9 bulan dia menghuninya. Belum puas dia bermanja dengan mamanya, dia terpaksa pergi. Kali ini, mungkin untuk masa yang lama.

Hanya mama, Abang Afnan dan Azreen yang menghantarnya ke lapangan terbang. Titisan air mata hiba mengiringi pemergiannya kini. Jelas papanya teramat marah akan pilihan dia. Apa tidaknya, selepas perbualan di meja makan tempoh hari, mereka jarang duduk semeja. Hanya mama yang menjadi perantaraan dia dan papa. Marah papa masih berbekas hingga ke hari ini. Dia tidak berani bertanya. Tadi, semasa dia berjumpa papa untuk meminta maaf dan mengucapkan selamat tinggal sebelum berlepas ke lapangan terbang, papa hanya diam seribu bahasa.

“Arief jangan lupa mama di sini. Papa memang begitu. Sedikit masa nanti sejuk juga hati dia. Jangan lupa jenguk mama di sini bila ada kesempatan,” pujuk mama.

“Insya-ALLAH, mama,” janji Arief yang dia sendiri tidak pasti dapat tunaikan atau tidak. Arief sendiri tidak pasti bila dia akan kembali.

Arief mencium kedua-dua pipi mama sebelum menyalami tangannya.

“Jangan lupa sembahyang. Jaga diri baik-baik. Ingat, mama sentiasa ada di sini.” Mata mama merah seperti buah saga akibat terlalu banyak menangis. Dia juga tidak dapat membendung kesedihannya. Mereka berdakapan sekali lagi.

Arief dan Afnan berpelukan pula. “Abang tolong jaga mama dan adik.”

“Jangan risau kami di sini. Jaga diri baik-baik di sana. Jangan lupa telefon.” Pelukan dilepaskan. Afnan menepuk bahu Arief dan mengangguk-angguk, merelakan dia pergi.

“Abang pun jaga diri baik-baik.” Dia yakin dengan Afnan, seorang abang yang amat bertanggungjawab. Abang Afnan yang selalu menurut kata mama dan papa, tidak seperti dirinya yang dikatakan suka menentang dan degil. Adik perempuannya juga dipeluk.

“Angah jangan lupa telefon selalu. Bila cuti baliklah ke sini.” Berjuraian air mata di pipi Azreen.

Adik perempuannya itu mungkin tidak faham apa yang sedang berlaku dan mengapa dia mengambil keputusan begini. Arief melambai-lambai ke arah mama, abang dan adiknya sebelum melangkah ke dewan berlepas. Pemergiannya diiringi linangan air mata yang bukan sedikit.

Air mata yang mencurah-curah sejak tadi masih tidak mahu berhenti. Puan Sri Zulaikha tidak tahu siapa yang harus dipersalahkan dalam hal ini. Kepentingan diri suaminya, kedegilan Arief atau kelemahan diri sendiri kerana tidak berdaya menyelamatkan keadaan? Entah bagaimana anaknya itu di perantauan orang.

“Mama, jom kita balik,” ajak Afnan. “Kapal terbang sudah berlepas. Insya-ALLAH, angah baik-baik saja di sana.” Afnan memegang tangan Puan Sri Zulaikha dan mengiringinya pergi.

Berat kakinya melangkah dari situ. Sekejap-sekejap, dia berpaling ke belakang. Mana tahu anaknya itu mengubah keputusannya. Dia masih berharap.

“Mama, angah sudah pergi. Jom, kita balik.” Azreen pula memujuknya pulang. Mata anak remaja itu masih berkaca.

Puan Zulaikha tidak mampu untuk berkata-kata. Umpama ada satu batu besar tersekat di kerongkongnya. Dia hanya menurut.

Perjalanan pulang ke rumah hanya ditemani celoteh juruhebah radio sahaja. Tiada siapa yang membuka mulut. Puan Sri Zulaikha melayan perasaan melihat ke luar tingkap kereta. Namun, pandangannya kosong. Dia tahu Arief mampu hidup sendirian di bumi orang kerana sejak kecil lagi anak itu sudah pandai hidup berdikari. Namun, dia masih lagi muda remaja yang senang dibawa arus kehidupan. Itu yang paling dibimbangkan.

Sebagai seorang ibu, dia hanya mampu berdoa dan berharap apa yang dicari-cari oleh anaknya itu ditemui dan diredhai ALLAH. Bimbang juga dia jika Arief tersasar dari landasan Islam kerana pemergiannya dalam keadaan marah dan sedih. Jiwa yang kosong akan mudah ditemani syaitan. Dia bimbang. Kini, dia jadi rindu. Air mata merembes lagi.

“Emaknya, hari itu Nadia beritahu pukul berapa dia akan sampai di KLIA?” tanya Encik Lutfi kepada isterinya yang sedang menggosok baju untuk hari persekolahan keesokan hari.

“Katanya pesawat akan tiba pukul 5.30 pagi.”

“Awalnya kapal terbang mendarat. Nampaknya, kita kena bertolak dari sini sebelum subuh.”

“Nadia pesan, kalau kita terlambat sedikit pun tak apa. Dia akan tunggu sampai kita datang.”

“Kesian pulak dia kalau kita lambat. Tak apalah, kita bertolak dari sini sebelum subuh. Nanti, kita solat subuh di lapangan terbang. Kita tunggu dia di sana,” cadang Encik Lutfi kepada isterinya.

“Betul tu. Dia tentu penat. Jarak London-Kuala Lumpur bukannya dekat.”

“Ada Nadia beritahu nanti dia nak bekerja di mana?” tanya Encik Lutfi yang sedang menonton berita semasa.

“Tak ada pula. Kenapa abang tanya?”

“Tak ada apa-apa. Tanya aje.”

“Saya sebenarnya lebih suka jika dia bekerja di Seremban, jadi dia boleh tinggal di sini. Kita ni sudah semakin tua…” balas isterinya.

“Saya pun suka juga, tapi kalau dia bekerja di Kuala Lumpur pun bukan masalah besar. Seminggu sekali, dia boleh balik ke sini.” Air kopi ‘O’ kurang manis yang masih panas dihirup perlahan.

Puan Noraini yang sedang menggosok baju memandang suaminya.

“Lagipun peluang untuk mendapatkan kerja yang bagus lebih banyak di Kuala Lumpur berbanding di sini,” kata suaminya pula.

“Kita tengoklah nanti…” Puan Noraini menggosok tudungnya pula. Suhu seterika diperlahankan kerana material tudung yang lembut amat mudah terbakar jika suhunya terlalu tinggi. Selalunya dia akan menyeterika tudung dahulu kemudian diikuti dengan pakaian lain.

“Abang, awak tak teringin ke nak dapat menantu lagi?”

“Maksud awak?”

“Nadia tu. Kebanyakan gadis sebayanya sudah berkahwin atau sekurang-kurangnya sudah bertunang.”

“Jadi?” Encik Lutfi mahukan kepastian.

“Saya terfikir, jika kita kenalkan dia dengan anak kawan saya, macam mana?” Puan Noraini memberi cadangan.

“Kawan awak yang mana pula tu?”

“Anak Cikgu Fatonah. Kawan yang mengajar bersama saya. Anak lelaki sulungnya sudah pun bekerja. Jurutera katanya. Saya tengok budak tu baik…” kata Puan Noraini.

“Budak tu baru sahaja habis belajar awak sudah mahu kahwinkan dia. Biarlah dia kerja dahulu. Berseronok-seronok dahulu sebelum dia kahwin.”

“Saya bukan nak suruh dia kahwin sekarang, bang. Biar mereka bertunang dahulu. Lepas tu, kita bincang pasal kahwin.”

“Saya tak mahu masuk campur hal ini. Saya takut Nadia tak setuju. Budak zaman sekarang bukan macam kita dulu, ikut saja pilihan ibu bapa. Entah-entah dia sudah ada pilihan sendiri.”

“Abang, zaman dulu orang berkahwin dengan pilihan ibu bapa bertahan sehingga anak cucu tau…”

“Ikut suka hati awaklah.” Encik Lutfi tidak mahu bertegang urat berkenaan isu perkahwinan yang belum tentu akan terjadi. Baginya, biarlah perkara itu dibawa berbincang dengan tuan empunya badan. Kopi ‘O’ dihirup lagi.

Puan Noraini hanya mengerling ke arah suaminya dengan rasa tidak puas hati. Rancangannya, dia mahu mendapatkan sokongan suaminya untuk mencari jodoh buat anak daranya itu jika Nadia masih belum berpunya.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.