Home Novel Cinta Jatuh Hati Di Paris
Jatuh Hati Di Paris
Zura Rahman
29/1/2014 09:49:37
49,424
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 11

Gadis tinggi lampai itu mengurai-urai rambutnya yang perang dan lurus melepasi bahu sambil memeriksa solekannya di hadapan cermin besar. Setelah berpuas hati dengan pakaian dan rupa parasnya, dia mencapai tas tangan hitam berjenama Channel lalu turun untuk sarapan. Dia jarang bersarapan di rumah, namun hari itu disebabkan ayahnya ada bersama, Natasya ingin makan bersama-sama ayahnya.

“Selamat pagi, daddy,” sapa Natasya riang sambil melabuhkan punggung ke kerusi.

“Selamat pagi. Apa khabar anak daddy? Sudah lama kita tak sarapan sama-sama,” ujar Tan Sri Mudzafar tersenyum kepada anak manjanya itu.

“Baik sangat-sangat! Mummy tak sarapan sama?” tanya Natasya setelah dilihat ibunya tiada di situ.

“Hari ni kita bertiga sarapan sama-sama.” Puan Sri Junaidah yang muncul dari dapur terlebih dahulu menjawab soalan Natasya. Dia menyenduk sedikit bihun goreng ke pinggan suaminya sebelum meletakkan sedikit ke pinggan Natasya.

“Mihun goreng Singapore? Mummy masak?” tanya gadis itu lagi.

“Ya… sesekali apa salahnya mummy masak sarapan kegemaran suami dan anak mummy, kan?”

“Mesti sedap, nampak pun sedap…”

“Tasya makan lebih sikit ya? Mummy masak special pagi ini,” kata Puan Sri Junaidah, tersenyum.

Natasya menganggukkan kepala. Dia tersenyum manja.

“Saya ada jumpa Puan Sri Zulaikha semalam,” beritahu Puan Sri Junaidah setelah suapan pertama. Sebenarnya, dia ingin bertanyakan sesuatu dengan suaminya semalam selepas perjumpaan itu, namun kerana kesibukan suaminya, dia langsung terlupa. Hanya pagi itu dia teringat.

“Katanya, Arief akan balik tak lama lagi.”

Natasya yang teruja dengan berita itu terus memintas cakap mummynya. “Arief nak balik? Bila?”

Tan Sri Mudzafar yang turut terkejut mengerling ke arah isterinya. “Betul ke budak tu nak balik? Tan Sri tak cakap apa-apa pun pada saya masa kami jumpa di kelab minggu lepas….”

“Betullah. Sudah besar panjang budak tu, bang. Saya pun dah tak dapat bayangkan bagaimana rupa dia sekarang ni. Sudah lama Arief menetap di Amerika tu, kan?” jawab Puan Sri Junaidah yang kedengaran seperti pertanyaan.

“Baguslah kalau dia nak balik. Dapat juga dia tolong Hashim tu,” kata suaminya, merujuk kepada kawan baiknya.

Puan Sri Junaidah menoleh ke arah Natasya yang sedang menikmati mihun. “Natasya dan Arief masih berhubungan atau tak?” tanya Puan Sri Junaidah yang tidak pasti mengenai status anaknya dengan Arief.

Natasya hanya menggeleng-geleng perlahan. “Dia tu sombong dengan Tasya sekarang ni, mummy. Dia pergi U.S mana ada dia hubungi Tasya! Macamlah dia sibuk sangat… Kalau sibuk sekalipun takkan tak ada langsung waktu untuk e-mel ke, Facebook ke….”

Suaminya masih lagi diam, hanya memerhati perbualan antara ibu dan anak itu. Mihun disuap ke mulut perlahan. Mata dikerling ke arah anak gadisnya.

“Tasya tak cuba ambil hati Arief ke?” tanya mummy.

“Entah-entah dia sudah ada girlfriend mat salleh di sana!” jawab Natasya tidak senang. Baki mihun yang ada di dalam pinggannya dikuis-kuis. Entah kenapa, hatinya yang berbunga riang tadi bertukar sakit tiba-tiba. Sudah lama hal berkenaan Arief tidak dibincangkan setelah lelaki itu meninggalkan bumi Malaysia. Pada mulanya pemergian Arief mengejutkan mereka semua, tetapi beberapa tahun selepas itu, hal mereka langsung tidak disentuh.

“Bila dia balik ke sini, Ju?” tanya Tan Sri Mudzafar.

“Minggu hadapan,”

“Hmm… tak lama lagi tu,”

“Mummy, Tasya sudah lambat ke ofis ni,” ujar Natasya tiba-tiba dan terus bangun.

“Tasya jumpa daddy di pejabat nanti,” ucap Natasya sebelum berlalu pergi.

Kedua-duanya hanya mampu melihat perubahan sikap Natasya itu tanpa berkata apa-apa.

“Ju, saya pun kena beransur ke pejabat ni. Pukul 9.30 nanti ada mesyuarat.” Tan Sri Mudzafar memberitahu isterinya setelah menghabiskan saki-baki mihun. Air teh ‘O’ panas diteguk perlahan.

Kereta Audi TT berwarna perak yang tadinya bergerak agak laju berhenti mendadak di hadapan Menara Megah Holdings. Cermin kereta yang gelap menyukarkan sesiapa sahaja untuk melihat si pemandu. Beberapa orang yang berada di situ memberi perhatian ke arah kereta itu. Seorang lelaki berpakaian seragam berjalan dengan langkah panjang ke arah kereta itu. Tangan yang bersarung tangan putih sudah bersedia untuk membuka pintu di bahagian pemandu.

Tatkala sebelah kaki pemandu menjejak tanah, semua mata yang ada di situ tertumpu pada kaki yang berbentuk cantik. Sepatu hitam berkilat setinggi empat inci menghiasi sepasang kaki kepunyaan wanita itu. Beg tangan tersemat kemas di tangan kiri manakala tangan kanannya memegang kunci kereta. Kunci itu diberi kepada lelaki yang berpakaian seragam tadi. Lelaki itu menundukkan kepala sedikit seraya mengambil kunci dari tangan wanita itu.

Tanpa sebarang rasa kekok, wanita itu mengayun langkah dengan begitu yakin dan teratur. Langkahnya diiringi lirikan mata semua yang berada di situ. Tanpa mempedulikan perhatian yang diberikan, dia melangkah masuk ke bangunan yang setinggi 22 tingkat itu. Punat lif ditekan. Beberapa orang yang lalu-lalang di situ berbisik sesama sendiri. Tentu sekali wanita cantik bergaya itu bukan calang-calang orang.

“Selamat pagi, Cik Natasya,” ucap seorang pekerja lelaki yang kebetulan lalu di situ.

Sesampai dia di pejabatnya yang terletak di hujung sekali, seorang wanita berumur dalam lingkungan 30-an mengikutnya masuk ke pejabat.

“Cik Natasya mahu kopi?” Faridah sudah diarah untuk tidak membuatnya kopi jika tidak diminta.

“Tak perlu.”

“Cik Natasya mahu apa-apa lagi?”

“Beritahu Mamat, esok ambil saya di rumah.” Hari ini, dia memandu sendiri.

“Baik, Cik Natasya.”

“Faridah…” panggil Natasya ketika Faridah sudah hampir berada di hadapan pintu bilik. “Tanya bahagian akaun jika quarterly account dan budget sudah siap atau belum. Saya mahu hari ini.”

Faridah yang hampir tiga tahun menjadi setiausaha Natasya menggangguk sahaja.

Natasya menyandar di kerusi sambil mengetuk-ngetuk meja perlahan. Fikirannya menerawang sebentar.

Arief… nama itu meninggalkan satu bekas luka yang dalam di hatinya. Sehingga ke hari ini, luka itu masih ada. Entah mengapa, bukan tiada lelaki lain yang mengejarnya tetapi tiada yang setanding dengan lelaki itu. Ada sesuatu pada Arief yang dia tidak dapat lupakan.

Dia sebenarnya hampir dapat melupakan lelaki itu, tetapi berita yang dibawa oleh mummy pagi tadi telah mengusik rasa ingin tahunya. Bagaimakah rupa lelaki itu sekarang? Sudah lama mereka tidak bersua. Dia menjadi teruja tiba-tiba. Bibirnya melirik.

Natasya teringat perbincangannya dengan daddy semalam memgenai hala tuju syarikat itu. Tangkas dia menekan punat interkom. “Faridah, bawa masuk fail Projek Universiti.” 

“Ahli lembaga pengarah telah bercadang untuk fokus kembali pada aktiviti perniagaan utama Kumpulan Megah,” kata Tan Sri Mudzafar kepada Natasya. “Mereka tidak berpuas hati dengan keputusan beberapa tahun kebelakangan ini. Kerana kerugian di beberapa anak syarikat, prestasi kewangan keseluruhan Kumpulan Megah merosot.”

Natasya faham kenapa ahli lembaga pengarah mengambil tindakan begitu. Dia juga ada bersama ketika perbincangan itu diadakan.

“Antara anak syarikat yang mengalami kerugian ataupun merosot keputusan kewangannya ialah Megah Education Sdn. Bhd. Oleh kerana Megah Holdings Berhad memiliki 100 peratus kepentingan ekuiti di dalam Megah Education Sdn. Bhd, sebarang naik turun prestasi kewangan syarikat itu akan memberi impak kepada prestasi kewangan Megah Holdings Berhad,” ujar daddy lagi.

“Tasya tahu prestasi kewangan keseluruhan Kumpulan Megah sedikit terjejas. Tasya akan teliti masalah ini. Selaku Pengarah Urusan Megah Education Sdn Bhd, Tasya bertanggungjawab untuk memperbaiki prestasi syarikat. Tasya akan ambil tindakan yang sewajarnya.”

Lamunan Natasya dikejutkan oleh satu suara. “Cik Natasya, ini dia fail yang diminta.” Faridah meletakkan sebuah fail tebal di atas meja Natasya.

Natasya membelek beberapa helaian di dalam fail yang menyimpan maklumat terkini termasuk keputusan kewangan syarikat.

“Faridah, boleh you beritahu Rose dan Ashraf supaya berjumpa I sekarang?”

Sebentar kemudian, seorang gadis dan lelaki muda masuk.

“Saya nak awak berdua buat satu analisa bagi semua pelaburan kita. Teliti semula laporan kewangan dan selidik masalah yang mereka hadapi serta prestasi industri pendidikan secara keseluruhan. Buat satu ringkasan untuk saya juga. Saya nak tahu apa masalah sebenar dalam pelaburan ini.”

“Bila Cik Natasya mahu analisa ini?”

“Lusa?”

Gadis bernama Rose dan Ashraf berpandangan sesama sendiri.

“Boleh kami tahu kenapa Cik Natasya mahukannya secara tiba-tiba?” tanya Ashraf.

“Untuk pengetahuan awak berdua, pihak syarikat ingin mengkaji semua pelaburan syarikat, terutama pelaburan yang tidak memberangsangkan. Saya harap awak boleh lakukannya dengan pantas. Saya perlukannya sebelum perjumpaan ahli lembaga pengarah pada hari Khamis nanti.”

Mereka mengangguk-angguk. Beberapa buah fail bertukar tangan.

Di luar bilik Natasya, Ashraf meluahkan rasa tidak puas hatinya. “Banyaknya... sempat ke nak buat semua ni dalam masa dua hari?Aku Saya nak hantar laporan pula hari ni.”

“Banyak lagi ke laporan tu yang belum siap?”

“Boleh tahan lah.”

“Biar saya buat dulu mana yang boleh. Petang nanti kita diskus, then bolehlah kita bahagikan kerja…” Cadang Rose. Mereka sudahpun duduk di tempat kerja masing-masing yang hanya bersebelahan.

“Terima kasih, Rose.” Ashraf tersenyum. Lega sedikit.

“Sama-sama.”

“Nampaknya, hari ni kita terpaksa balik lewat lagi. Sejak minggu lepas saya tak pernah balik awal, banyak sangat kerja...” Giliran Rose pula mengomel.

“Samalah kita…”

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.