RIFHAN keluar dari biliknya dengan
hati yang sebal. Puas dia menyelongkar almari bajunya. Mencari sehelai blaus
yang dihadiahkan oleh Hafsyam untuknya di sebuah pusat membeli-belah beberapa
bulan yang lalu. Dia sayangkan blaus itu kerana harganya mahal. Mana mungkin
dia dapat melupakan bagaimana suka hatinya dia melihat blaus tersebut tetapi
sebaik saja melihat harganya, dia meletakkan blaus itu semula.
“Kenapa?”
tanya Hafsyam yang berdiri di belakangnya.
“Mahal.”
Rifhan bersuara.
“Mahal
sikit pun tak apa, kan? Han dah suka.”
“Tak
apalah. Banyak lagi benda penting yang Han boleh beli untuk duit yang Han
bayarkan untuk baju ni.”
“Kenapa
berkira sangat? Han dah bekerja. Han kena juga fikirkan diri Han. Untuk apa Han
bekerja?”
“Untuk
famili.” Pantas Rifhan menjawab sambil menentang pandangan Hafsyam.
“Habis
untuk diri sendiri? Takkan semuanya Han nak habiskan untuk famili?”
“Han
simpan juga, buat bekalan di kemudian hari.” Rifhan tersengih.
Dua
hari kemudian, dia mendapat satu bungkusan yang dihantar oleh seorang pemuda.
Katanya dari syarikat penghantaran barang. Berdebar juga hatinya ketika membuka
bungkusan itu. Alangkah terkejutnya dia melihat isi kandungan bungkusan tersebut
merupakan blaus yang disukainya. Pengirimnya ialah Hafsyam. Hampir saja dia
menjerit dek terkejut dan gembira. Hafsyam memang lelaki yang baik dan
prihatin. Tidak pula dia begitu berhajat untuk memiliki blaus tersebut tapi
Hafsyam sudah menghadiahkannya.
Rifhan menolak pintu bilik Azira. Adiknya
sedang meniarap di atas katil sambil membaca buku.
“Ada
apa, kak?” tanya Azira dengan dahi berkerut. Jarang sekali kakaknya masuk ke
biliknya.
“Nampak
blaus kuning akak tak?”
“Yang
mana satu?”
“Akak
ada satu aje blaus warna kuning. Akak mana ada banyak baju warna kuning?”
Sedikit keras nada suaranya. Bukan niatnya hendak memarahi Azira. Di dalam
fikirannya ketika itu cuma Anita. Adiknya yang seorang itu memang tidak tahu
menjaga perasaan orang lain.
“Entah...
Zira tak tahu, tapi kalau akak tak percaya, bukalah almari Zira.” Azira
menjongketkan bahu. Memang dia tidak tahu. Dia tidak kisah jika Rifhan
menyelongkar almari pakaiannya. Memang dia tidak mengambil blaus tersebut.
Rifhan
teruskan langkahnya. Dibuka pintu almari pakaian Azira. Diselak setiap pakaian
yang tergantung. Memang dia tidak mengharapkan blaus itu berada di situ. Azira
bukan orangnya yang suka mengambil barang orang lain.
“Ada?”
soal Azira.
Rifhan
tahu. Soalan itu satu sindiran. Dia beralih ke arah almari pakaian Anita pula.
Anita mungkin sudah berada di tingkat bawah. Sudah bersedia untuk keluar ke
pejabat.
Dia
tidak peduli. Anita berhak memarahinya kerana menceroboh almari pakaiannya. Dia
tetap akan mencari blaus pemberian Hafsyam padanya. Seperti tadi, almari
pakaian Anita dibukanya agak kasar. Buntang matanya melihat blaus kesayangannya
tergantung di dalam almari pakaian Anita. Menyirap darahnya. Anita memang
melampau. Sesuka hati mengambil hak orang lain.
Dicapai
blaus tersebut kemudian dia terus melangkah turun ke bawah. Dia mendengar suara
ibu berbual dengan ayah dan Anita.
“Han,
belum bersiap lagi?” Ibunya menyapa. Mungkin ibu belum sempat mengesan riak
kemarahan pada wajahnya. Memang dia sedang marah. Tidak suka hak peribadinya
diceroboh oleh orang lain walaupun adiknya sendiri
“Nita!”
Sedikit terjerit Rifhan tatkala memandang Anita.
“Apa?”
balas Anita, berlapis dahinya.
“Macam
mana baju akak boleh ada dalam almari Nita?” soal Rifhan. Diangkat baju yang
berada di tangannya. Biar jelas di mata Anita, baju mana yang dimaksudkannya.
Anita
meneruskan suapannya. Soalan Rifhan tidak terus dijawab.
“Kenapa
diam?” Masih meninggi nada suara Rifhan. Sakit hatinya apabila Anita buat muka
selamba.
“Alah...
Nita pinjam. Dah pakai hari tu tapi belum sempat basuh lagi,” jawab Anita tanpa
memandang ke arah kakaknya.
Mendidih
darah muda Rifhan. Anita bercakap tanpa memandang ke arahnya. Tanpa memikirkan
perasaannya.
“Kalau
meminjam kena minta kebenaran. Akak tak tahu pun ada orang minta pinjam baju
ni,” marah Rifhan.
“Kak...
pinjam baju pun tak boleh ke?” balas Anita tanpa rasa bersalah.
“Boleh
ke tak boleh... itu hak akak. Jangan suka masuk ke bilik orang dan ambil apa
saja yang awak suka,” luah Rifhan. Anita perlu menghormati hak orang lain di
dalam rumah itu. Jangan kerana ibu memberi muka padanya lalu Anita fikir dia
boleh berbuat apa sahaja.
Anita
menolak piring berisi nasi goreng yang masih berbaki. Hilang seleranya.
Pagi-pagi sudah disergah Rifhan.
“Kacau...
pagi-pagi dah bising. Buat orang hilang selera,” rungutnya.
“Siapa
benarkan Nita ambil baju akak?” Rifhan menyoal lagi. Tidak berpuas hati dengan
sikap kurang sopan Anita.
“Kan
Nita dah cakap? Nita pinjam. Ambillah balik. Nita pun tak suka baju tu.
Bukannya cantik pun, yang akak nak sibuk sangat.”
Pedas
sindirian Anita. Ringan saja Rifhan hendak mengangkat tangannya. Biar melayang
ke pipi Anita. Biar adiknya tahu bagaimana caranya hendak meminjam barang yang
menjadi milik orang lain.
“Barang
akak, hak akak. Jangan memandai nak ambil,” tekan Rifhan.
“Yalah...
yalah... Nita pun tak ingin. Perasan... ingat dia cantik sangat pakai baju tu.
Kurus sekeping,” sindir Anita tanpa memikirkan perasaan kakaknya.
Mencerlang
mata Rifhan, merenung Anita yang menghirup minuman di dalam cawan. Itu satu
penghinaan. Biarpun yang berkata itu adalah adiknya tapi penghinaan itu amat
menyakitkan.
“Nita!”
Suaranya melengking kuat. Kesabarannya sudah menipis. Jarang sekali dia
meninggikan suara pada adiknya. Apatah lagi di hadapan ibu dan ayah.
“Han,
pasal baju pun Han nak berkasar dengan Nita.”Hajah Saodah membela Anita.
“Tapi
dia kurang ajar, ibu. Suka-suka hati ambil barang orang. Tak reti nak cakap,
nak minta kebenaran.” Rifhan membela diri.
“Nita
kata dia pinjam kan?” tekan Hajah Saodah.
“Pinjam
apanya kalau main redah macam tu aje? Tak minta kebenaran. Tau-tau baju ni dah
ada dalam almari dia... pinjam ke macam tu. Dah tu... dah pakai tak reti nak
basuh.” Rifhan masih tidak mahu mengalah.
“Han,
pagi-pagi Han dah cari pasal dengan Nita. Cubalah bersabar sikit. Han tu kakak,
Nita tu adik. Takkan tak boleh beralah?” Hajah Saodah masih hendak memenangkan
Anita sedangkan terang-terangan lagi Anita yang bersalah. Anita yang mengambil
hak orang lain tanpa kebenaran.
Anita
tersengih. sukanya dia. Hajah Saodah membela Anita dan menyalahkan Rifhan.
Haji
Ahmad yang hanya menjadi pendengar sejak tadi menggelengkan kepalanya. Ada
empat orang anak perempuan. Macam-macam hal dan perangai.
Rifhan mengetap bibirnya, geram. Benar kata Azira. Ibu
tidak adil. Ibu menyebelahi Anita. Ibu sengaja hendak menyakitkan hatinya.
Rifhan berpaling, mahu beredar. Semakin lama dia berada di situ, semakin sakit
hatinya melihat senyuman Anita. Seronoklah tu, ibu menyebelahi dirinya.
“Kak...
dah marah orang pagi-pagi buta macam ni, buat orang terbantut selera. Takkan
nak jalan macam tu aje? Tak reti nak minta maaf ke?” Anita bersuara, menjeling
ke arah kakaknya.
Semakin
mendidih darah muda Rifhan. Anita memang sengaja mencabar kesabarannya.
“Entah
Han ni. Kan ibu dah cakap? Orang yang buat salah kena minta maaf.” Ibu
menyokong Anita pula.
Berdesing
telinga Rifhan mendengar kata-kata ibu. Secara terang-terangan ibu membela
Anita. Ibu langsung tidak memikirkan perasaannya. Apa... Anita sudah
mengguna-gunakan ibu hingga ibu terlupa dia juga anak ibu? Sengihan Anita
semakin membakar hatinya. Sejak kecil ibu selalu sahaja menangkan Anita. Dia
juga anak ibu tapi ibu perlakukannya dirinya seperti dia itu anak angkat...
anak pungut.
“Oh...
orang salah kena minta maaf? Siapa yang salah sebenarnya ni? Han atau Nita?
Siapa yang ambil barang siapa ni?” Rifhan bersuara lagi, meninggi suaranya.
“Kan
ibu dah cakap? Kakak kena beralah dengan adik.” Hajah Saodah masih menyebelahi
Anita.
Rifhan
menggelengkan kepalanya. “Beralah... beralah... Itu saja yang ibu tahu cakap.
Nak suruh Han beralah sampai bila? Sampai Nita pijak kepala Han? Sepak kepala
Han?” Dia sudah hilang kesabaran. Sakit hatinya mengenangkan sikap ibu.
Ketidakadilan yang cukup ketara. Kasih sayang yang diberikan pada anak-anak
tidak pernah sama.
“Han...”
“Ibu,
Han ni anak siapa? Anak pungut?” potong Rifhan sebelum sempat Hajah Saodah
meneruskan ayatnya. Ditentang pandangan mata ibu tanpa memikirkan perasaan
wanita itu.
“Ibu
layan Nita... macam Nita tu sorang anak ibu. Ibu buat Han macam Han ni bukan
anak ibu. Anak yang ibu lahirkan. Han tak pernah berkasar dengan ibu, tapi hari
ini... Han minta maaf. Ibu yang buat Han berkasar. Kalau ibu tak suka Han duduk
dalam rumah ni, Han boleh keluar. Masih ramai orang kat luar sana yang sudi
terima Han,” luah Rifhan. Sudah terlalu lama dia memendam perasaan. Sakitnya
menikam ke hati. Sudah acap kali dia diperlakukan begitu dan setiap kali itu
juga dia terpaksa beralah dan memberi kemenangan percuma kepada Anita.
Dia
terus berpaling. Dia tahu ibu memandang tepat ke wajahnya. Dia tahu ibu
terkejut dengan kelancangan mulutnya tapi ibu perlu sedar. Bukan hanya Anita
seorang anak ibu. Dia juga anak ibu, tetapi kenapa ibu tidak adil dalam perkara
itu?
Masuk saja ke dalam bilik, Rifhan terus
memasukkan pakaian ke dalam beg. Dia sudah nekad. Dia akan keluar dari rumah
itu. Hatinya sudah terluka dengan kata-kata ibu.
“Kak!”
tegur Azira yang berdiri di muka pintu. Memandang ke arah kakaknya dengan
pandangan yang sayu. Dia juga seperti Rifhan. Kerap kali menjadi mangsa
ketidakadilan penghakiman ibu.
“Akak
nak ke mana?” Azira bertanya. Perlahan suaranya. Bimbang Rifhan akan
memarahinya pula.
“Dunia
ni luas lagi, Zira. Akak boleh sewa bilik dengan kawan-kawan,” jawab Rifhan
tanpa memandang ke arah Azira. Lincah tangannya melipat pakaian lalu dimasukkan
ke dalam beg.
“Akak
tak sayang Zira dan Ila?”
Rifhan
terdiam lalu memandang Azira. Dia sayangkan Azira dan Razila. Mereka berdua
sangat rapat dengannya.
“Siapa
yang nak bela Zira kalau ibu marah Zira? Siapa yang nak menyebelahi Zira kalau
Nita kenakan Zira lagi?” Azira sebak.
Rifhan
merenung wajah sayu Azira. Adik yang seorang itu bergantung harap padanya. Dia
yang menyara pembelajaran Azira selama ini. Dia juga yang menjadi guru pada
adiknya. Andai dia keluar dari rumah itu, siapa pula yang akan memberi tunjuk
ajar pada Azira? Ditolak beg ke tepi. Dia tidak perlu mementingkan diri
sendiri.
‘Sabar,
Rifhan. Bukan ke kau seorang sabar?’ Beristighfar dia berkali-kali. Baru dia
tersedar. Emosinya sukar dikawal, kemarahannnya datang mendadak sedangkan dia
bukan orangnya yang cepat melatah. Diraup wajahya berkali-kali sambil cuba
menenangkan hati yang sedang marah.
“Akak
tak pergi mana.” Rifhan bersuara.
“Terima
kasih, kak.” Itu ucapan Azira sebelum adiknya berlalu.
Rifhan
bangun semula. Dia perlu ke pejabat. Ada mesyuarat yang perlu dihadiri. Dia
tidak mahu terlewat. Niat hendak bergaya dengan blaus, pemberian Hafsyam
terpaksa dibatalkan.
SEBAIK turun dari bilik, dilihatnya
tidak ada sesiapa di meja makan. Anita tentunya sudah keluar untuk ke pejabat.
Mungkin juga dijemput teman lelakinya yang berkereta besar. Itu yang
dibangga-banggakan oleh Anita. Memang Anita gadis yang cantik tapi sayang
sekali hatinya tidak secantik wajahnya.
“Han
dah nak pergi?” Haji Ahmad menyapa Rifhan.
Rifhan
menoleh ke arah ruang tamu. Seperti biasa, Haji Ahmad akan duduk di situ sambil
membaca surat khabar yang dihantar oleh Ramu. Dilencongkan langkahnya, kemudian
menyalami ayahnya.
“Han
pergi dulu. Lambat nanti terlepas bas. Ada meetingpagi ni.”
Haji
Ahmad hanya mengangguk. Merenung kosong anak keduanya yang lemah lembut dan
sopan santun tapi yang lembut itu jangan disangka tidak akan meletup. Anita
memang sudah melampau. Isterinya juga tidak berlaku adil dengan anak-anak.
Anita sering dijemput dan dihantar oleh lelaki berkereta besar. Isterinya
melebih-lebihkan Anita. Bangga dengan anak yang seorang itu hingga mengetepikan
perasaan anak-anak yang lain. Hafsyam teman lelaki Rifhan tidak pernah disenangi
kehadirannya. Katanya... setakat Viva buruk, siapa pun mampu membelinya. Memang
isterinya tidak pernah senang dengan Rifhan.
Rifhan
bertembung dengan ibu di muka pintu. Tiada senyuman di bibir si anak. Kasut
disarung kemudian dia terus melangkah ke pintu pagar.
“Kenapa
dengan anak dara awak tu?” Hajah Saodah bertanya kepada suaminya. Dilihatnya
wajah Rifhan masam mencuka. Masih marahkah Rifhan kerana perkara kecil tadi.
“Tanya
saya pulak? Awak tu yang kena fikir sendiri kenapa anak awak yang lembut tu tiba-tiba
hari ni jadi biadab. Jadi garang.” Haji Ahmad menyindir.
Hajah
Saodah melabuhkan punggungnya di sofa yang lembut. Sofa yang dibeli oleh Anita.
Kata anak gadisnya, teman lelakinya yang membayarkan harga sofa tersebut.
Beribu-ribu ringgit nilainya.
“Itulah...
biadab betul Han tu,” rungutnya.
Tergeleng-geleng
kepala Haji Ahmad. Masih tidak sedar diri rupa-rupanya. Hati si anak sudah
dilukakan. Si ibu pula masih duduk bersenang-senang di atas sofa sambil
tersenyum. Tidak faham betul dia dengan sikap isterinya itu. Mata duitan.
Rifhan melangkah pantas ke perhentian bas.
Dia tahu dia sudah terlewat. Wajah-wajah yang sering berada di situ bersamanya
sudah tidak ada. Tentunya bas yang selalu dinaikinya sudah berlalu. Gara-gara
marahkan Anita, dia pula yang terlewat tetapi Anita memang melampau. Dikerling
jam di tangan. Memang dia sudah terlewat dan dia tidak punya pilihan selain
menghubungi Hafsyam.
“Syam.”
“Assalamualaikum,
sayang.”
“Waalaikumussalam.
Syam kat mana ni?”
“Kat
rumah lagi. Kenapa? Dah rindu?”
“Alah,
Syam ni... jangan main-main, jemput Han. Han kat bus stop ni. Han dah
terlewat. Ada meetingpagi ni,” ujar Rifhan lalu menjeling jam di
tangan. Dia begitu berharap Hafsyam dapat menjemputnya.
“Okey...
Han tunggu sekejap. Nanti Syam sampai.”
Sepuluh minit Rifhan menanti. Kedatangan
yang sangat diharapkan namun dia dikejutkan oleh Hafsyam. Lelaki itu datang
dengan motosikal yang ditunggangnya malam tadi. Ah, dia pula mengenakan baju
kurung pula.
“Han,
kenapa ni? Kata dah lambat.” Hafsyam menegur sebaik sahaja berhenti di hadapan
Rifhan. Gadis itu kelihatan masam mencuka. Dia menghulurkan topi keledar kepada
Rifhan, namun gadis itu memandang sipi. “Han... kenapa ni?”
“Kenapa
naik motor?” tanya Rifhan, sedikit meninggi nada suaranya.
Hafsyam
tergelak mendengar pertanyaan Rifhan. Itu penyebabnya hingga Rifhan memuncung.
“Kawan
Syam belum pulangkan kereta. Nak buat macam mana. Jom naik motor. Lagi cepat
sampai. Han kan dah lewat?”
“Han
pakai baju kurung. Macam mana nak naik?”
Hafsyam
ketawa lagi. Seronok pula dia melihat kekalutan pada wajah Rifhan.
“Naik
macam semalamlah... tapi jaga-jaga sikit kain tu,” pesan Hafsyam.
Seperti
lembu dicucuk hidung, Rifhan mengenakan topi keledar di kepalanya. Dia duduk
juga di belakang Hafsyam. Diletakkan beg tangannya di tengah-tengah kemudian di
memegang bahu Hafsyam.
“Dah
sedia?” Lelaki itu memecut motosikalnya.
“Syam,
jangan main-main,” marah Rifhan lalu menepuk bahu Hafsyam. Dia memaut kedua-dua
bahu Hafsyam kejap. Kecut perutnya apabila Hafsyam mencelah di antara kenderaan
di jalan raya.
Sebaik
sampai di hadapan bangunan pejabatnya, Rifhan melepaskan nafas kelegaan. Dia
harus segera masuk ke dalam pejabat. Ada beberapa dokumen yang perlu disiapkan
sebelum masuk ke dalam bilik mesyuarat. Cukuplah dia dihentam teruk oleh Encik
Kamarul dek kegagalannya menyiapkan dokumen yang hendak dibincangkan pada
mesyuarat tersebut. Lelaki yang tidak ada perasaan itu hanya bercakap mengikut
sesedap mulutnya sahaja. Tidak kira lelaki atau perempuan. Tidak kira di mana
tempatnya. Bila marah dia akan marah.
Tugasnya
sebagai pembantu akauntan memerlukan dia untuk menyediakan dokumen audit untuk
syarikat yang telah diaudit, dokumen yang terlebih dahulu disemak oleh
akauntan. Kali ini dia sudah bersedia. Encik Fakhrul sudah menyemak dokumen-dokumen
tersebut dan dia perlu memastikan semuanya sudah tersedia di dalam bilik
mesyuarat nanti. Tidak akan dibiarkan Encik Kamarul mengenakannya sekali lagi.
“Kenapa
Han lewat pagi ni?” tanya Hafsyam sambil memandang Rifhan menanggalkan topi
keledar.
“Panjang
cerita. Nanti-nantilah Han cerita,” ujar Rifhan. Beg tangan sudah disangkut ke
bahu. Kelibat Encik Kamarul sudah kelihatan melangkah masuk ke dalam bangunan.
Lelaki bermisai lebat itu menjeling sekilas ke arahnya. ‘Huh... nak
jeling-jeling pulak, aku korek mata tu nanti baru tau.’
“Siapa
tu?” Hafsyam bertanya, menyedari jelingan lelaki itu sebentar tadi.
“Musuh
nombor satu,” jawab Rifhan. Serius wajahnya.
Hafsyam
tergelak mendengar jawapan daripada bibir comel Rifhan. Gadis secantik dan
selembut Rifhan juga ada musuh.
“Okeylah,
Han dah lewat ni. Nanti kena bambu lagi,” ujar Rifhan. Di dalam fikirannya
ketika itu cuma Encik Kamarul, entah apa pula ideanya hari ini hendak
mengenakan orang.
“Okey,
sayang... Syam jemput Han petang nanti.”
“Tak
payahlah. Han balik naik bas. Han tak nak susahkan Syam.” Rifhan cuba menolak
dengan baik. Cukuplah dia menyusahkan Hafsyam pada awal pagi begitu.
“Mana
ada susahnya? Kalau susah pun bukan untuk orang lain. Untuk bakal isteri Syam
juga, tapi Han kenalah tunggu. Dari Shah Alam nak ke KL, ambil masa juga,” ujar
Hafsyam. Dia bekerja di sebuah syarikat pembinaan sebagai arkitek. Tugasnya
memerlukan dia turut sama berada di tapak pembinaan dan ada ketikanya dia
terpaksa pulang lewat. Hari ini dia akan memastikan tugasnya diselesaikan
dengan segera agar dia dapat menjemput buah hatinya.
“Yalah...
Han tunggu tapi apa-apa hal Syam call Han, ya? pesan Rifhan.
“Yes,
boss.” Hafsyam sudah ketawa melihat Rifhan yang mencemik. “Bye, sayang.”
Bye...
thanks,” balas Rifhan lalu melambai pada Hafsyam yang sudah bergerak
meninggalkan pekarangan bangunan itu. Hilang kelibat Hafsyam daripada pandangan
matanya, dia segera memanjat anak tangga, kemudian masuk ke ruang lobi untuk ke
tingkat sembilan.