KITA nak ke mana ni, Syam?” Rifhan
bertanya sebaik sahaja menyarung topi keledar yang dibawa Hafsyam. Terkial-kial
dia memijak pedal motosikal untuk naik. “Alah... macam mana ni? Han tak biasa
naik motorlah...” Dia kaku di belakang Hafsyam. Dijarakkan sedikit tubuhnya
daripada Hafsyam. Nafas dihela perlahan. Terasa berdosa pula dia kerana inilah
kali pertama dia membonceng motosikal dengan seorang lelaki yang bukan
mahramnya. Sepatutnya dia menolak apabila Hafsyam mengajaknya membonceng
motosikal itu. Mereka boleh saja duduk berbual di restoran yang berdekatan
tetapi motosikal sudah mula bergerak.
Hafsyam
ketawa mengekek. Itulah kali pertama dia menunggang motosikal dan Rifhan
menjadi pemboncengnya.
Rifhan
terus memaut kedua-dua bahu Hafsyam. Takut dia apabila motosikal mula bergerak.
Hafsyam pula masih terus mentertawakannya. Geram pula dia. Serasa mahu terjun,
namun bila difikirkan, teruk dia nanti. Terbaring di atas jalan dengan luka
sana sini.
Hafsyam
memecut laju. Lelaki itu sengaja mengambil kesempatan. Itu kesimpulan yang
dibuat oleh Rifhan apabila Hafsyam terus ketawa ketika dia mencengkam erat
bahunya.
“Syam
ni teruklah. Dah tahu Han takut, sengaja bawa laju-laju,” rungut Rifhan sebaik
sahaja Hafsyam memberhentikan motosikal di kawasan meletak motosikal yang
disediakan untuk pengunjung taman selera yang pernah dikunjungi mereka sebelum
ini.
Mereka
turun lalu menanggalkan topi keledar.
Rifhan
membetulkan rambutnya yang tidak kemas.
Hafsyam
senyum. Sungguh-sungguh dia sayangkan gadis itu. Bukan setahun dua dia berkawan
dengan Rifhan tapi sudah terlalu lama. Sejak mereka sama-sama belajar di
sekolah berasrama hinggalah masing-masing melanjutkan pelajaran. Biarpun dia di
Kuala Lumpur dan Rifhan di Kelantan, hubungan mereka tidak pernah terputus.
Surat-surat yang dikirim oleh gadis itu sudah menimbun dikumpulnya. Penuh satu
beg. Itu pun sampulnya sudah dibuang, cuma isinya yang masih tersusun kemas.
Kalau
dahulu mereka cuma keluar dengan menaiki bas, ada kalanya menaiki teksi.
Apabila dia sudah bekerja, dia membeli sebuah kereta Viva terpakai. Ikutkan
hati mahu saja dia membeli motosikal tapi Rifhan tidak membenarkan. Rifhan
tidak akan keluar dengannya jika dia membawa motosikal tapi malam ini Rifhan
sudah memecahkan tradisi.
Tersenyum-senyum
Hafsyam merenung buah hatinya. Rifhan yang manis, yang comel dan baik hati.
Rifhan sanggup berkongsi wang belanja yang dihantar oleh ayahnya ketika dia
kesempitan. Rifhan turut sama mengikat perut kerana hendak membantunya membayar
yuran peperiksaan. Pengorbanan Rifhan tidak mungkin dilupakannya. Rifhan adalah
segala-galanya.
“Kenapa
senyum-senyum ni?” tanya Rifhan.
Hafsyam
masih tersenyum. Terus-terusan merenung wajah si manis hingga Rifhan akhirnya
menunduk ke lantai. Malu dia direnung begitu.
“Han
dah pecah tradisi.”
Rifhan
merenung wajah Hafsyam di hadapannya. Tidak mengerti.
“Kan
dari dulu Han tak nak naik motor? Han tak benarkan Syam beli motor.” Hafsyam
mengingatkan Rifhan.
Rifhan
tergelak. Dia sendiri sudah lupa tentang perkara itu. “Kenapa tak cakap tadi?”
“Buat
apa nak cakap? Han dah nak naik. Syam lagi suka.” Hafsyam mengenyit matanya.
Rifhan
mencebik. Hafsyam memang suka mengusiknya. Bila bersama Hafsyam, dia akan
menjadi kekasih yang lembut dan manja. Cukup senang dengan layanan dan
kemesraan Hafsyam tapi bila berada di rumah, dia akan menjadi seorang kakak
yang baik, namun ada masanya agak garang, apatah lagi bila berhadapan dengan
Anita yang tidak makan saman. Tidak pernah memikirkan perasaan orang lain.
“Lepas
ni, Syam nak beli motor besarlah. Biar tertonggek Han kat belakang... sedap aje
Syam kena peluk.”
“Syam!”
Rifhan menjegilkan matanya.
Hafsyam sudah tergelak besar. Sudah bersedia hendak
melarikan diri apabila Rifhan mengangkat tangannya, memberi amaran hendak
memukul namun gadis itu menjatuhkan tangannya semula.
“Alah...
usik sikit dah nak merajuk. Syam bawa lari karang, pergi terus rumah tok kadi.”
Lelaki itu masih terus mengusik. Suka dia melihat wajah Rifhan yang merah padam
itu.
“Syam...
eeii... geram Han tau.” Rifhan menggeleng-geleng. Lelaki itu memang pandai
mengusik dan mengambil hatinya. Mana mungkin dia menolak kasih yang dihulurkan
oleh lelaki itu biarpun suatu ketika dulu mereka cuma berkawan? Kawan karib
yang berkongsi apa saja cerita. Baik suka atau duka, sama-sama berkongsi rasa.
“Han,
kita kahwin,” bisik Hafsyam tiba-tiba.
Rifhan
mendongak. Merenung wajah Hafsyam. Gadis mana yang tidak ingin berkahwin,
apatah lagi dengan kekasih hatinya tapi usianya masih muda. Baru empat tahun
dia bekerja. Masih banyak perkara yang ingin dilakukannya. Jika dia berkahwin,
tentu pergerakannya akan terbatas dan senarai perkara yang ingin dilakukannya
tidak akan terlaksana. Salah satu daripada impiannya... dia ingin menjejakkan
kaki ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah. Jika hendak mengerjakan haji, dia
harus menunggu gilirannya, suatu tempoh yang cukup lama.
“Kenapa
nak tergesa-gesa?” soal Rifhan.
“Bukan
tergesa-gesa tapi dah lama sangat kita berkasih. Kata orang... jangan tunggu
lama-lama, nanti lama-lama dia dikebas orang.” Hafsyam mengenyit matanya.
Rifhan
tersenyum. “Siapalah yang nak kebas Han? Ke hulu ke hilir Han dengan Syam. Mak
cik-mak cik kat kawasan rumah Han pun tak berkenan. Mengumpat adalah,” ujarnya.
“Tau
pun. Sebab tu Syam ajak kahwin. Orang tak akan mengata lagi.”
“Nantilah...
Han fikirkan.”
“Kenapa,
Han tak sayangkan Syam?” duga Hafsyam.
Pantas
Rifhan menggelengkan kepalanya. Tidak senang dengan tanggapan Hafsyam. Usah
dipertikaikan kasihnya itu. Tidak ada seorang lelaki yang disayanginya
melainkan Hafsyam.
“Jangan
cakap macam tu.”
“Kalau
Han sayangkan Syam. Han mesti nak kahwin dengan Syam.”
“Bukan
Han tak nak, tapi nantilah dulu. Han nak berbakti pada ibu dan ayah. Mereka
yang besarkan Han, sekolahkan Han sampai Han bekerja dan dapat menyara hidup
Han sendiri.” Rifhan memberi alasan.
“Han
sindir Syam, ya?” Hafsyam terasa hati.
Rifhan
merenung wajah Hafsyam. Kenapa pula Hafsyam terasa dengan kata-katanya. Adakah
dia sudah melukakan hati Hafsyam?
“Han
tak berniat pun. Han cuma bercakap tentang diri Han.” Langsung tiada niatnya
mahu melukakan hati Hafsyam.
“Yalah...
Syam sibuk ajak Han kahwin sedangkan Syam pun ada mak dan ayah juga. Mereka
yang besarkan Syam... yang sudi terima Syam ketika keluarga Syam singkir Syam
dulu.” Kata-kata Hafsyam terhenti di situ. Ada keluhan yang dilepaskan. “Apalah
salahnya kalau mereka bela Syam, jaga Syam? Bukannya Syam nak menyusahkan
orang,” sambungnya lagi.
Rifhan
terdiam. Ke situ pula perginya Hafsyam. Masih berdendam dengan kedua-dua ibu
bapa kandungnya kerana menyerahkannya kepada emak dan ayah angkat.
“Syam,
dari dulu lagi Han dah cakap. Setiap apa yang mereka lakukan dulu tentu ada
sebabnya. Tidak ada ibu bapa yang mahu memusnahkan hidup anaknya. Kita tak tahu
keadaan mereka waktu tu. Mungkin waktu tu, menyerahkan Syam pada orang lain
adalah jalan yang terbaik. Jangan terlalu berprasangka, Syam.” Rifhan cuba
memujuk.
“Tapi
hidup Syam tak senang juga, kan? Syam terpaksa menyusahkan Han. Berkongsi wang
ringgit dan segala-galanya dengan Han. Kalau Han tak ada... mungkin Syam dah
berhenti sekolah,” luah Hafsyam. Itulah kenyataannya.Terlalu banyak budi Rifhan
padanya. Tidak mungkin dia mampu membalasnya kecuali Rifhan menjadi isterinya.
Akan dia bahagiakan gadis itu sehingga ke akhir hayatnya. Itu janjinya pada
diri sendiri. Janji untuk menyunting si gadis manis dan hidup bahagia bersama.
“Jangan
kesal apa yang berlaku, Syam. Tengoklah sekarang. Syam dah berjaya. Dah mampu
pakai kereta tapi hari ni... bawa Han naik motor... tak aci.” Rifhan memuncung.
Masih tidak percaya hari ini dia sudah memecahkan janjinya sendiri.
Hafsyam
tergelak mendengar kata-kata Rifhan. Cemberut macam mana sekalipun, Rifhan
tetap cantik di matanya. Rifhan manis dan memikat. Kata orang, waktu bercinta
memanglah, semuanya cantik tapi baginya, perasaannya pada Rifhan tidak mungkin
berubah.
“Syam
akan sayang Han sampai bila-bila. Syam akan nantikan waktunya bila Han dah
bersedia untuk menjadi isteri Syam. Syam berjanji Syam akan menjaga Han sampai
akhir hayat Syam.” Itu janjinya. Manis senyuman Rifhan menyejukkan hatinya.
“Han, Syam laparlah... asyik mengayat Han dari tadi, bukannya kenyang,”
rungutnya selepas itu.
Rifhan
tertawa kecil. Burger yang dibeli tadi juga ada pada Azira, perutnya juga sudah
berbunyi. “Jom kita makan, Han pun lapar juga.”
Hafsyam
tersengih. “Han belanja ya sebab penat Syam tunggu tadi.”
“Mana
aci? Bukan salah Han pun.” Rifhan sudah bercekak pinggang di hadapan Hafsyam.
Lelaki itu hanya ketawa.
“Okey...
okey... Syam belanja.”
“Hah...
macam tulah. Terima kasih,” ucap Rifhan kemudian mendahului langkah Hafsyam
menuju ke arah gerai yang menjadi kegemaran mereka bila berkunjung ke taman
selera itu.