RIFHAN memasukkan beg pakaiannya ke
dalam boot kereta. Linda akan memandu kereta tersebut. Kereta yang
disediakan oleh syarikat bagi memudahkan mereka bergerak untuk ke tempat
pelanggan syarikat itu. Selepas ini mereka akan menjemput Amy pula. Hari ini
mereka bertiga ditugaskan untuk membuat audit di sebuah syarikat yang terletak
di Perak.
Terlopong
Hafsyam seketika melihat dia sedang mengemas pakaian sebaik masuk ke dalam
bilik.
“Han
nak lari ke mana?” tanyanya, resah.
Berlapis
dahi Rifhan. Lari? Kenapa pula dia hendak melarikan diri?
“Han
nak outstationlah,” ujar Rifhan.
“Tak
cakap dengan Syam pun.”
Rifhan
merenung wajah suaminya. Terlupakah Hafsyam tentang apa yang dikhabarkannya
pada minggu lepas? Dia sudah memaklumkan tugasan yang perlu dilaksanakannya di
Perak. Sangkanya Hafsyam mendengar dan akur dengan tuntutan kerjanya.
“Minggu
lepas lagi Han dah cakap.”
“Mana
ada?”
Rifhan
berdiri di hadapan Hafsyam sambil bercekak pinggang. “Apa yang Syam fikirkan
masa Han bagitahu minggu lepas? Berangan ya.” Dia mencuit hidung suaminya.
Berkerut
dahi Hafsyam. “Tak ada, Han tak cakap.” dia cuba mengingati bila Rifhan
memberitahunya.
“Ada.
Syam yang tak dengar. Tulah... leka lagi depan televisyen.” Seingat Rifhan, dia
memberitahu kerja luarnya itu ketika suaminya menonton televisyen.
Terdiam
Hafsyam untuk seketika. Sememangnya dia maklum akan tugas Rifhan yang ada
ketikanya memerlukan dia berkunjung ke syarikat lain sama ada di dalam atau di
luar daerah. Sebelum mereka berkahwin lagi, Rifhan memaklumkannya terlebih
dahulu jika dia terpaksa bertugas di luar daerah. Masakan kali ini Rifhan terlupa
untuk berbuat begitu atau mungkin juga dia yang tidak mendengar apa yang
diperkatakan oleh Rifhan ketika itu.
“Hah...
dah ingat?” Rifhan merenung wajah suaminya. Hafsyam sedang menggaru-garu
kepalanya. Mungkin baru tersedar akan perkara itu.
“Yalah
tu. Syam tak perasan.” Hafsyam mengalah juga.
Rifhan
tertawa kecil. Dia pasti merindui suaminya tapi ketika itu tugasnya harus
diberi keutamaan. Sejak mereka berkahwin, inilah kali pertama dia akan bertugas
di luar Kuala Lumpur yang memerlukan dia bermalam di tempat lain. Ipoh-Kuala
Lumpur, jaraknya agak jauh. Tidak wajar rasanya dia berulang-alik. Dia bakal
menyusahkan rakan-rakannya pula jika dia berbuat begitu.
“Nanti
Han tak ada, jangan pula Syam merayap ke sana sini,” pesan Rifhan. Dia sudah
duduk semula di hadapan beg pakaiannya. Masih ada sehelai dua pakaian yang
hendak dimasukkan ke dalam beg.
“Nak
merayap ke manalah pula? Syam bukannya rajin nak ke sana ke mari.” Hafsyam
sudah berbaring di atas katil. Dia akan keseorangan di rumah itu. Pastinya dia
akan kebosanan tanpa Rifhan nanti. Isterinya itu yang menjadi teman dia
berkongsi cerita. Apa saja cerita yang menarik yang berlaku ketika di pejabat
atau di tapak pembinaan akan dikongsi bersama Rifhan. Rifhan pula akan tekun
mendengar, berminat dengan cerita yang disampaikan padanya. “Bosan Syam nanti.”
Terluah juga apa yang ada di dalam fikirannya ketika itu.
Rifhan
tersenyum. Terhenti tangannya yang ketika itu sedang melipat sehelai tuala
kecil. “Kalau bosan, Syam keluarlah dengan kawan-kawan Syam.”
Hafsyam
menoleh ke arah Rifhan. “Han tak kisah?”
Rifhan
menggeleng. Masakan dia hendak menyekat langkah suaminya? Tidak menjadi
kesalahan jika Hafsyam mahu bertemu dengan rakan-rakannya, apatah lagi ketika
dia tidak berada di Kuala Lumpur.
“Hmm...
jangan sampai tak balik rumah, sudahlah ya!” Rifhan mengenyit matanya kemudian
tertawa kecil. Mengharapkan Hafsyam mengerti apa yang dimaksudkannya.
Hafsyam
mengerti akan apa yang dimaksudkan oleh Rifhan.
AZIRA melangkah masuk ke dalam rumah
teres setingkat itu dengan menggunakan kunci pendua yang ada padanya. Kereta
abang iparnya berada di halaman. Mungkin Rifhan dan Hafsyam ke tempat kerja
dengan menunggang motosikal.
Suis
lampu dihidupkan lalu ruang tamu rumah itu terang-benderang. Azira hela nafas
berat. Masih berbekas rasa sakit hatinya dek kata-kata yang dihamburkan oleh
ibu. Kerana itu dia melangkah keluar dari rumah lalu membawa diri ke rumah
kakaknya.
“Zira
tak tahulah, ibu. Zira tak ambil duit ibu.” Azira membela dirinya. Belum hilang
penatnya berjalan kaki dari perhentian bas ke rumah setelah habis kuliahnya,
ibu pula menuduh dia mengambil duit ibu.
“Kalau
bukan Zira, siapa yang ambil? Hantu?” Ibu berdiri di hadapannya sambil bercekak
pinggang. Merah padam wajah ibu.
“Ibu
dah tanya Ila? Tanya Nita?” Bukan niatnya hendak menuduh Razila atau Anita, dia
cuma menyebut nama mereka agar ibu bertanya kepada adik dan kakaknya juga.
“Ibu
dah tanya Ila, dia tak tahu. Nita tak akan ambil duit ibu,” balas ibu.
“Habis...
ibu ingat Zira yang ambil?” Azira menentang pandangan ibu. Kenapa dia pula yang
harus menjadi mangsa? Memang dia tidak pernah meminta duit dari ibu atau ayah.
Rifhan sudah berpesan padanya, jika dia memerlukan duit, minta saja pada
kakaknya itu. Selama ini pun hanya Rifhan yang mengambil berat akan dirinya.
“Siapa
lagi yang ada dalam rumah ni?” Ibu masih tidak mahu mengalah. Masih mahu
mencari siapa yang punya angkara.
“Zira
tak tahu. Zira tak ambil.” Azira meneruskan langkah untuk naik ke tingkat atas.
Malas hendak terus berbalah dengan ibu. Sakit kepalanya semakin menjadi-jadi.
Hidungnya sudah berair, selesemanya semakin teruk. Dia cuma mahu makan ubat dan
tidur. Itu saja yang ada di dalam fikirannya ketika itu.
“Jangan
biadab, Zira. Ibu belum habis cakap,” marah ibu lalu menghalang langkahnya.
Azira
mengeluh. Apa yang hendak dilakukannya untuk membuktikan pada ibu yang dia
tidak mengambil duit ibu?
“Zira
tak sihat, ibu. Zira demam ni. Zira dah penat sangat. Janganlah ibu tuduh Zira
pulak.” Dia cuba berlembut. Berkali-kali Rifhan berpesan padanya supaya
menghormati ibu. Jangan dilawan cakap-cakap ibu namun ada ketikanya dia
berkasar juga. Masakan dia hendak berdiam diri saja kalau dia tidak bersalah.
“Kalau
Zira yang ambil, cakap ajelah...”
Azira
merenung wajah ibu. Tergores hatinya. Ibu masih menuduh dia yang mengambil duit
ibu. Sampai hati ibu. Ditarik nafas panjang-panjang kemudian dilepaskan. Jika
dia terus berada di situ dia akan menjadi biadap pula nanti. Di dalam
fikirannya ketika itu cuma Rifhan. Rifhan pasti mengerti akan keadaannya.
Mereka berdua sering menjadi mangsa ketidakadilan ibu. Azira berpaling ke
belakang, ada baiknya dia meninggalkan rumah itu. Meninggalkan ibu yang masih
diulit rasa marah hingga ibu menuduh dia yang punya angkara.
“Nak
ke mana pulak tu?” tanya ibu kasar.
“Keluar
saja ke mana yang boleh. Duduk dalam rumah ni pun macam duduk dalam penjara,”
balas Azira tanpa menoleh ke arah ibu. Berbekas rasa sakit hatinya.
“Jangan
nak kurang ajar dengan ibu!” marah ibu.
Azira
meneruskan langkahnya. Malas hendak melayan kerenah ibu. Berbakul-bakul pula
dosanya nanti jika dia terus berada di situ.
“Pergi
tempat yang orang suka Zira. Duduk kat rumah ni pun orang tak suka.” Azira
membalas juga.
“Hah...
pergilah mana kamu nak pergi! Tak payah balik ke sini lagi.”
Azira
menelan liur. Adakah ibu menghalau dia keluar dari rumah itu? Hah, lantaklah!
Keadaan diri sendiri yang harus diutamakan dulu.
AZIRA bingkas bangun, dia perlu
membersihkan diri. Peristiwa tadi dilempar jauh-jauh. Dia boleh meminjam pakaian
Rifhan kerana saiz badan mereka sama sahaja. Selepas mandi, dia akan makan apa
yang ada di dapur sebelum mengambil ubat yang dibelinya di sebuah farmasi
tengah hari tadi. Ubat selesema yang pastinya akan menyebabkan dia mengantuk.
Itu kata pegawai farmasi yang bertugas di farmasi tersebut. Dapatlah dia tidur
dengan senyenyak-nyenyaknya.
Jam
mencecah pukul 11.30 malam namun Rifhan dan Hafsyam masih belum juga pulang ke
rumah. Dia sudah menghubungi telefon bimbit Rifhan. Hampa. Tidak berjawah pula.
Peti pesanan suara yang menyambut panggilannya.
Matanya
sudah tidak mampu diangkat. Kesan dariada ubat yang diambilnya sudah mula
terasa. Lambat-lambat Azira bangun dari kerusi. Suis lampu di ruang tamu
dimatikan. Langkah terus diatur ke arah bilik yang terletak bersebelahan dengan
bilik utama. Bilik yang didiami oleh Rifhan dan Hafsyam.