“CIK DALIA, okey?” tanya Rafiq bernada risau.
“Okey!” balas Dalia sambil mengemaskan penampilan.
“Maafkan saya.” Rafiq serba salah. Disebabkan tindakannya tadi, Dalia hampir terjatuh.
“Tak apa, Encik Rafiq. Tak perlu minta maaf. Saya pun salah juga,” tukas Dalia. Dia mengemaskan rambutnya pula.
Rafiq tidak membalas. Dalia di hadapan dipandang mesra.
“Encik Rafiq buat apa di sini?” soal Dalia sebaik sahaja meredakan nafas.
“Saya nak jumpa dengan Ziqri,” jawab Rafiq berserta senyuman di bibir.
“Oh!”
“Dia ada ke?”
“Tak pasti. Mungkin ada. Mungkin menyorok.”
“Menyorok?”
“Iyalah! Pasal kes semalam.”
Rafiq berkerut dahi. Kurang faham dengan kata-kata Dalia.
“Jomlah kita ke bilik dia. Saya nak buat perhitungan dengan dia sekarang ni.”
Semakin berkerut dahi Rafiq mendengarnya.
“Saya pun nak tuntut RM50.00 daripada dia.” Dalia melangkah menuju ke bilik Ziqri. Tidak diendahkan Rafiq yang masih berkerut dahi.
Rafiq menggaru kepalanya yang tidak gatal. Tanpa menunggu, dia mengekori Dalia daripada belakang.
“Encik Ziqri!” sergah Dalia sebaik sahaja pintu bilik dibuka.
“Kau tak reti nak ketuk pintu dulu ke? Main sergah masuk saja. Kau sedar tak yang kau tu siapa dengan aku?” Ziqri menahan rasa terkejut. Dipandang tajam wajah Dalia di hadapan.
“Saya nak Encik Ziqri minta maaf pada saya.” Dalia tidak mengendahkan teguran Ziqri. Dia perlu membuat perhitungan dengan Ziqri. Lelaki itu perlu meminta maaf padanya.
“Maaf? Kau siapa sampai aku nak kena minta maaf?” Ziqri ketawa mendengarnya.
“Minta maaf sekarang,” suruh Dalia dalam nada serius.
“Sebab apa aku perlu minta maaf pada kau?” Ziqri sengaja bertanya. Serba tidak kena ketika ini.
“Encik Ziqri jangan nak banyak bunyi pula. Encik dah malukan saya. Tuduh saya sebarkan cerita dan malukan encik sebab kes semalam. Encik ingat saya nak berdiam diri saja ke?”
“Bukan kau ke yang buat semua tu?”
“Hish! Mamat ni memang nak kena betul.” Dalia menggenggam erat tangan. Riak selamba Ziqri dipandang tajam.
“Tuduh?” suara Rafiq dengan tiba-tiba. Dari tadi dia mendengar perbualan Dalia dan Ziqri. Seperti ada perbalahan di antara mereka berdua.
“Encik Ziqri!” tegur Dalia sedikit meninggi.
“Kau sedar tak diri kau tu siapa sampai kau nak tinggikan suara pada aku?” Ziqri bangun dari duduk. Dia turut sama meninggikan suara.
“Ziqri!” Rafiq pula menegur. Kurang senang dengan tindakan Ziqri yang meninggikan suara di hadapan Dalia.
Semakin erat genggaman di tangan Dalia. Rasa sakit hati dan marah menghuni dalam hati. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia mengheret Ziqri keluar dari bilik. Memaksa lelaki itu meminta maaf di hadapan pekerja-pekerja yang lain.
“Kau pergi buat kerja sekarang! Aku potong gaji kau nanti,” arah Ziqri masih meninggi.
Dalia mendengus kasar. Wajah Ziqri di hadapan dipandang tajam. Seminit kemudian, dia beredar dari situ.
“Cik Dalia… Cik Dalia…” panggil Rafiq. Matanya memandang pemergian Dalia.
“Huh! Dia ingat dia tu siapa sampai nak arahkan aku semua,” suara Ziqri lalu melabuhkan duduk. Dia melepaskan dengusan kasar.
“Apa masalah kau orang berdua?” tanya Rafiq ingin tahu.
“Kau buat apa kat sini?” Ziqri menolak pertanyaan Rafiq.
“Aku datang nak jumpa dengan pak ngah. Ada perkara nak bincang dengan dia,” beritahu Rafiq akan kedatangannya itu.
Ziqri tidak membalas. Dia memikirkan sesuatu.
“Kau okey?” Rafiq berbasa-basi.
“Apa maksud kau dengan pertanyaan kau tu?” soal Ziqri seraya memandang tajam ke wajah Rafiq.
“Aku jumpa pak ngah sekejap,” balas Rafiq lalu beredar dari situ. Malas untuk bertekak dengan Ziqri.
Ziqri hanya memandang. Dengusan kasar terlepas daripada bibir. Hal apa yang ingin dibincangkan oleh Rafiq dan Encik Zaihan ketika ini?
“MEMANG nak kena betul mamat tu. Haish! Sakit hati aku ni dibuatnya,” marah Dalia sambil memukul dada sendiri. Cuba untuk meredakan kemarahan namun tidak berjaya.
“Haish! Sakitnya hati aku ni,” luah Dalia lagi. Dia mencapai segelas air lalu meneguk air tersebut. Tekak yang terasa kering sudah pun dibasahkan.
“Aku akan pastikan dia minta maaf pada aku,” sambung Dalia lagi. Tanpa menunggu, dia beredar dari ruang pantry menuju ke bilik Ziqri. Selagi pemuda itu tidak meminta maaf, selagi itu dia akan mengganggu Ziqri.
“Encik Ziqri!” panggil Dalia sebaik sahaja pintu bilik dibuka. Dia melangkah masuk ke dalam bilik.
“Encik Ziqri!” Dalia masih lagi memanggil. Melilau matanya mencari kelibat Ziqri.
“Mana pulak mamat ni? Menyorok ke apa?” soal Dalia pula. Matanya meneroka segenap ruang dalam bilik itu.
“Encik Ziq…” Dalia mematikan ayat. Tergamam dia melihat Ziqri yang sedang berbaring di atas lantai.
“Dah kenapa pulak dengan mamat ni?” Dalia merengus. Dia menghampiri Ziqri di meja kerja.
“Encik Ziqri! Encik Ziqri!” panggil Dalia berkali-kali. Namun, lelaki itu tidak memberi respon dengan panggilannya.
“Encik Ziqri ingat saya mudah ditipu ke? Ha… ni mesti kes malu, kan? Iyalah, malu sebab tuduh saya yang bukan-bukan,” bebel Dalia pula. Dia mencangkung di hadapan Ziqri.
“Encik Ziqri… Encik Ziqri…” Untuk kesekian kali Dalia memanggil. Seperti tidak ada tanda untuk Ziqri bangun. Perasaan risau menujah ke hati.
“Encik Ziqri jangan nak main-main dengan saya. Siang-siang macam ni mana ada hantu.” Dalia tidak senang duduk. Berdebar-debar ketika ini. Adakah sesuatu terjadi kepada Ziqri ketika ini melihatkan pemuda itu tidak ada tanda-tanda untuk sedar.
“Tolong!!!” jerit Dalia sehabis berfikir. Dia yakin ada sesuatu yang berlaku kepada Ziqri.
“Tolong!!!” Dalia cuba membangunkan Ziqri namun tidak berjaya. Ziqri tidak sedarkan diri.
“Dalia… kenapa ni?” tegur Sakinah dengan tiba-tiba dari arah muka pintu bilik. Dia yang baru hendak ke bilik Encik Zaihan terkejut tatkala mendengar suara meminta tolong dari arah bilik Ziqri. Lantas, dia menuju ke bilik Ziqri sekadar untuk melihat.
“Kak Kinah! Tolong saya! Panggilkan Encik Rafiq ke sini,” arah Dalia dalam nada kalut. Serba tidak kena ketika ini.
“Haa… baiklah! Kak Kinah pergi panggil sekarang.” Sakinah turut sama kalut. Tanpa berlengah, dia segera menuju ke bilik Encik Zaihan.
“Cepat, Kak Kinah!” arah Dalia tidak sabar. Dia memukul lembut pipi Ziqri. Sekadar untuk menyedarkan Ziqri dari pengsan.
“Encik Ziq…”
“Kau buat apa ni?” pintas Ziqri sebaik sahaja sedar. Dia menolak kasar tubuh Dalia.
Terduduk Dalia disebabkan tolakan kasar Ziqri itu. Dia memandang wajah Ziqri tidak berkelip. Apasal dengan mamat ni? Rengusnya dalam hati.
“KENAPA ni, Ziqri?” tegur Rafiq sebaik sahaja masuk ke dalam bilik. Perasaan risau menujah ke dalam hati sebaik sahaja Sakinah memberitahu tentang keadaan Ziqri.
“Perempuan ni cuba nak apa-apakan aku,” beritahu Ziqri tidak berperasaan.
Dalia yang mendengar menoleh ke wajah Ziqri.
“Buat apa?” Rafiq berkerut dahi.
“Dia… dia…” Ziqri berkira-kira dalam hati.
“Dia apa?” tanya Rafiq ingin tahu.
Dalia turut sama menanti jawapan daripada Ziqri.
“Dia nak cium aku,” beritahu Ziqri tanpa perasaan.
“What?!” sebut Dalia dan Rafiq, serentak.
“Encik Ziqri ni dah gila ke? Bila masa saya nak cium Encik Ziqri?” suara Dalia selepas itu. Dengusan kasar terlepas daripada bibir.
“Tadi tu bukan ke kau nak cium aku?” Ziqri menegakkan kenyataannya.
“Haish! Sakit hati aku dengan mamat ni,” luah Dalia dalam nada perlahan.
“Ziq, kau jangan nak main tuduh saja. Mungkin Dalia…”
“Dia apa?”
“Encik Ziqri ni dah gila ke apa? Encik Ziqri ingat saya ni murah sangat ke?”
“Memang kau murah.”
“Ziqri!” tegur Rafiq sedikit meninggi.
“Kalau kau bukan murah, kenapa kau masuk ke dalam bilik aku? Kenapa kau pegang pipi aku?” tanya Ziqri bertalu-talu.
Dalia menggenggam erat tangan. Wajah Ziqri di hadapan dipandang tajam. Riak selamba terlukis di wajah itu. Telinganya menangkap perbualan di kalangan pekerja-pekerja. Masing-masing sedang memandangnya dengan pandangan yang jelak.
Tanpa menunggu, dia beredar dari situ. Ada baiknya dia beredar. Khuatir dia tidak dapat untuk menahan kemarahan dalam hati.
“Kau ni kenapa, Ziqri?” soal Rafiq sebaik sahaja kelibat Dalia menghilang.
“Kenapa? Kau tak puas hati dengan aku?” balas Ziqri bernada sinis.
“Memang aku tak puas hati dengan kau.”
“Wow! Kau dah pandai nampak.”
“Apa masalah dengan kau ni, Ziqri. Kau sakit?”
“Aku tak sakit!”
Rafiq melepaskan nafas ringan. Tanpa membalas, dia beredar dari situ. Malas untuk berlawan kata dengan Ziqri.
“Aku tak sakit, Rafiq! Kau tu yang sakit!” suara Ziqri sebelum Rafiq beredar.
Rafiq menghentikan langkah. Dia menoleh memandang ke wajah Ziqri yang beriak tidak bersalah. Kau sakit, Ziqri! Suara Rafiq dalam hati.
“ADA orang tu tak malu betul. Ada hati nak mengorat Encik Ziqri. Dia ingat dia tu lawa sangat ke?” sindir Norin bersuara perlahan. Namun, masih dapat didengari oleh Dalia.
“Entah! Tak sedar diri. Ada hati nak tackle Encik Ziqri. Cermin diri tu dulu. Lawa ke tidak,” sahut Maya turut sama menambah perasa.
Dalia masih memasang telinga sambil tangannya lincah mengemas pinggan mangkuk di pantry itu.
“Ada hati nak cium Encik Ziqri pulak tu. Haish! Kalau aku Maya, aku berhenti kerja terus. Malu punya pasal.”
“Itulah pasal. Tapi, yang ni tak tahu malu. Tebal macam kulit buaya. Dulu Encik Zaihan. Sekarang ni Encik Ziqri pula. Eee… memang tak tahu malu betullah!”
Dalia yang mendengar melepaskan gelas ke lantai. Dia memandang tajam ke arah dua orang gadis di hadapannya itu. Ikutkan hatinya yang sedang marah, mahu ditampar kedua-duanya itu.
“Kau orang dah habis menyindir?” tanyanya selepas itu.
Norin dan Maya mencebik meluat. Mereka berdua membuat muka.
“Kalaubelum, aku nak cilikan mulut kau orang berdua yang macam bontot ayam tu.”
“Eh! Suka hati kau saja nak cilikan mulut kita orang berdua,” suara Maya, bengang.
“Habis? Kalau dah mulut macam longkang, busuk, aku kenalah cilikan bagi mulut tu bersih dan tak bau busuk.”
“Kurang ajar kau, Dalia!” marah Norin pula. Pantas, dia menerpa ke arah Dalia lalu menolak gadis itu sehingga jatuh.
“Kau ingat kau tu siapa nak cilikan kita orang,” marah Maya lalu beredar dari situ. Norin turut sama membontoti Maya.
“Memang nak kena kau orang ni. Kau tunggulah nasib kau orang nanti,” kata Dalia dalam nada geram. Dia bangun dari jatuhan dan duduk di atas kerusi yang ada di situ. Diraba punggungnya yang terasa sakit akibat jatuhan tadi.
“Mentang-mentanglah kau orang berpangkat besar, suka hati kau orang saja nak pandang rendah pada aku. Hey! Kau orang ingat kau orang tu lawa sangat ke? Rosnah Mat Aris lagi lawa daripada kau orang la,” bengang Dalia berserta dengusan kasar. Terasa sakit di pinggangnya pula.
“Aduh! Sakitnya pinggang aku,” adu Dalia pula. Diurut seketika pingganggnya itu.
Seminit kemudian, dia bangun dari duduk. Dia perlu mengemas serpihan kaca yang bertaburan di atas lantai. Khuatir pekerja-pekerja lain masuk ke dalam pantry.
Deringan telefon mematikan tingkah laku Dalia yang sedang mengutip serpihan kaca. Dia menggagau poket seluar lalu mengeluarkan telefon bimbit. Dilekapkan ke telinga tanpa melihat nama pemanggil.
“Shafiq?” tanya Dalia tatkala mendengar suara mengerang kesakitan dari hujung talian. Pantas, dia melihat nama di skrin telefon. Nama Shafiq tertera di situ.
“Shafiq! Kau kenapa?” soal Dalia dalam nada risau.
“Daa… Llliiiaaaa… Too… lllooonnnggg aku!” pintas Shafiq lalu mematikan talian.
“Shafiq! Shafiq!” panggil Dalia sedikit meninggi. Berkali-kali dia memanggil namun talian sudah pun dimatikan.
“Shafiq, kau kenapa?” tanya Dalia dalam nada bergetar.
Dia segera beredar dari ruangan itu. Perasaan risau menujah ke dalam hati. Tidak diendahkan teguran seseorang kepadanya. Apa yang pasti, dia perlu menyelamatkan Shafiq.