“SHAFIQ!” tegur Dalia. Pantas, dia berlari menuju ke arah Shafiq di dapur.
Shafiq tersentak. Dia memandang ke arah Dalia yang sudah pun menghampirinya.
“Kau nak buat apa ni?” Dalia merampas periuk yang berada di tangan Shafiq.
“Aku nak masak,” balas Shafiq. Dia mendengus ringan.
“Kaukan tak sihat lagi. Bawalah berehat.” Dalia menyimpan semula periuk ke tempat asal. Dia memapah Shafiq menuju ke ruang tamu.
“Aku okey!” Shafiq melabuhkan duduk di atas kerusi.
“Okey? Dengan kaki berbalut macam ni kau kata okey?”
Shafiq tidak membalas.
“Aku ada belikan makanan untuk kau. Nanti kau makanlah.”
Shafiq hanya membisu. Wajah adiknya dipandang sayang.
“Kalau kau nak apa-apa, kau beritahu saja pada aku. Nanti aku uruskan.”
“Iyalah!” Shafiq mengalah. Tingkah laku adiknya yang sedang memeriksa luka di lengan dipandang lembut.
“Aku cuci luka kau sekejap,” kata Dalia sebaik sahaja melihat luka di lengan Shafiq. Dia bangun dari duduk lalu mencari ubat yang dibekalkan oleh klinik.
Shafiq memandang luka di lengan. Masih merah. Peristiwa semalam meniti dalam minda. Dia dipukul disebabkan tidak membayar hutang seperti yang telah dijanjikan.
“Kau menungkan apa?” tegur Dalia tatkala melihat Shafiq termenung.
“Haa… tak ada apa-apa,” balas Shafiq sedikit terkejut.
“Kau masih tak nak beritahu aku macam mana kau dapat luka ni?”
“Kan aku cakap aku jatuh motor.”
Dalia memandang ke wajah Shafiq.
“Selama ini pernah aku tipu kau?” tanya Shafiq lalu membalas pandangan Dalia.
“Aku tak pasti,” balas Dalia sambil mencuci luka di lengan Shafiq. Dia yakin Shafiq merahsiakan sesuatu daripadanya.
“Kau tak kerja ke?” Shafiq menukar topik perbualan. Dia mengerling jam di dinding. Masa sudah merangkak ke pukul 1.30 petang.
Dalia yang mendengar mematikan tingkah laku. Dia berkira-kira untuk menjawab.
“Kau tak kerja ke?” ulang Shafiq pada pertanyaannya tadi.
“Kan waktu rehat ni.” Dalia menyambung tingkah laku. Dia membalut lengan Shafiq dengan bandage yang baru. Ada baiknya dia tidak memberitahu Shafiq perkara yang sebenar. Tidak mahu menyusahkan hati Shafiq.
“Kau makanlah! Aku nak masuk kerja balik.” Dalia bersuara sehabis sahaja membalut luka di lengan Shafiq.
“Kau janganlah risau. Kau pergi masuk kerja balik. Dah lewat ni,” suruh Shafiq dalam nada lembut. Dia tidak mahu Dalia mendapat masalah nanti.
“Aku solat sekejap. Lepas tu aku masuk kerja,” kata Dalia lalu melangkah menuju ke bilik. Dia perlu beriak tenang di hadapan Shafiq.
Shafiq hanya mengangguk. Dia memandang langkah Dalia sehingga hilang di sebalik pintu bilik. Nafas ditarik lalu dilepaskan berat.
“Maafkan aku, Dalia. Aku terpaksa,” suara Shafiq dalam nada perlahan.
DALIA meninjau papan iklan yang terdapat di dalam kedai 7 Eleven. Satu persatu kertas iklan jawatan kosong dipandang. Mencari kerja yang sesuai. Keluhan berat dilepaskan. Tidak ada satu kerja pun yang sesuai buat dirinya.
Dalia keluar dari dalam kedai tersebut. Buntu ketika ini. Tidak tahu ke mana untuk pergi. Jika dia pulang ke rumah, pasti Shafiq akan bertanya kenapa. Dia tidak mahu merisaukan hati Shafiq. Cukuplah bebanan yang sedang ditanggung oleh Shafiq ketika ini dan dia tidak mahu menambahkan beban itu lagi.
“Mana aku nak cari kerja ni?” keluh Dalia sendirian. Dia melabuhkan duduk di atas bangku yang terdapat di situ.
“Kalau aku tak kerja, macam mana aku nak cover hutang tu?” soal Dalia pula. Dia mencongak jumlah hutang yang masih perlu dibayar. Pendapatan Shafiq tidak cukup untuk menampung segala-galanya.
“Ini semua mamat tu punya pasal. Disebabkan dia aku jadi penganggur. Tak selamat hidup mamat tu nanti aku buat,” marah Dalia pula. Dia menggenggam erat tangan tatkala wajah Ziqri menyapa mata.
“Marah nampak?” tegur Rafiq, tiba-tiba.
Dalia yang mendengar terkejut. Pantas, dia menoleh ke arah yang menegur.
“Marahkan Ziqri?” tebak Rafiq pula. Dia duduk bersebelahan Dalia.
“Encik Rafiq buat apa kat sini?” tanya Dalia masih terkejut.
“Saya ekori awak, Dalia.” Jujur Rafiq berkata.
“Ekori saya? Bila?”
“Dari rumah awak.”
“Tapi, kenapa?”
Rafiq tersenyum. Dia menyeluk poket seluar lalu mengeluarkan sekeping kad nama. Kemudian, dihulurkan kepada Dalia.
“Kad apa ni?” Dalia membalas huluran. Dia berkerut dahi.
“Esok awak jumpa dengan nama dalam kad tu. Dia akan bagi awak kerja,” beritahu Rafiq. Dia memandang Dalia yang masih berkerut dahi.
“Macam mana Encik Rafiq…”
“Encik Zaihan. Dia pak ngah saya.”
“Oh!” balas Dalia, sepatah.
“Awak pergi ya,” suruh Rafiq penuh harapan.
“Tapi, saya…” Dalia serba salah.
“Awak jangan risau. Kalau ada masalah, awak boleh call saya di nombor tu.” Rafiq memuncungkan mulut ke arah kad yang dipegang oleh Dalia. Nombor telefon miliknya tertera di dalam kad tersebut.
Dalia memandang kad di tangan. Nombor telefon tertulis di kad tersebut.
“Saya minta diri dulu,” ujar Rafiq lalu bangun dari duduk.
Dalia turut sama bangun dari duduk. Wajah Rafiq dipandang seketika.
“Jumpa lagi, Dalia.” Rafiq segera beredar dari situ. Nafas ringan dilepaskan buat seketika. Berharap, Dalia menerima tawarannya itu.
Dalia memandang pemergian Rafiq. Kemudian, dijatuhkan mata ke arah kad yang dipegangnya itu.
“Haikal Hafiz?” sebutnya selepas itu.
“AKU harap kau boleh bagi kerja yang bersesuaian pada dia,” pinta Rafiq penuh berharap.
“Kau dengan dia…” Haikal menggantungkan ayat.
“Aku sekadar membantu sebab aku kesiankan dia,” pintas Rafiq, laju. Faham dengan gantungan ayat Haikal itu.
“Mula-mula kesian. Lama-lama nanti dikasihi,” gurau Haikal dari hujung talian. Dia melepaskan ketawa.
Rafiq yang mendengar turut sama melepaskan ketawa kecil.
“Malam nanti on ke tidak?” tanya Haikal sebaik sahaja ketawa berhenti.
“Aku ada hal. Sorry!” jawab Rafiq berserta nafas ringan.
“Hal? Dalia?” tebak Haikal berserta sengihan di bibir.
“Mengarutlah kau ni, Haikal.”
“Okey! Lain kali.”
Rafiq sekadar mengangguk. Dia sedang memikirkan sesuatu.
“Ziqri macam mana?” Haikal sekadar bertanya.
“Luka kecil saja pun sampai nak masuk hospital bagai.”
Haikal ketawa mendengarnya.
“Ada perkara yang sedang mengganggu aku sekarang ni.”
“Perkara apa?”
“Wajah Dalia.”
“Kenapa dengan wajah Dalia?”
“Macam aku pernah jumpa dengan dia sebelum ni.”
Haikal tidak membalas. Dia berkerut dahi.
“Kau ingat tak kes aku dulu tu?”
“Aku ingat. Kenapa?”
Rafiq tidak membalas. Dia sedang memikirkan sesuatu.
“Raf?” panggil Haikal tatkala Rafiq membisu.
“Tak ada apalah. Aku letak dulu. Ada kerja sikit,” balas Rafiq lalu mematikan talian. Otaknya sedang memikirkan sesuatu.
Haikal tersentak dengan tindakan Rafiq. Dia memikirkan kata-kata Rafiq sebentar tadi.
“Kau fikirkan apa, Raf?” soal Haikal sendirian. Hatinya berasa kurang senang ketika ini. Mungkinkah Rafiq merahsiakan sesuatu daripadanya?
“SHAFIQ! Shafiq!” panggil Dalia dari arah ruang tamu. Tertinjau-tinjau dia mencari kelibat abangnya, Shafiq.
“Shafiq! Kau kat mana?” tanya Dalia pula tatkala kelibat Shafiq tidak kelihatan. Dia melangkah menuju ke dapur kemudian ke bilik. Shafiq tidak juga kelihatan.
“Mana pulak dia ni? Dengan kaki dan tangan berbalut bagai. Takkan keluar kut?” kata Dalia dalam nada risau. Telefon dari dalam poket seluar dikeluarkan. Nama Shafiq dicari.
“Shafiq!” terjah Dalia sebaik sahaja talian bersambung.
“Dalia!” balas Shafiq bersuara lemah.
“Kau kat…”
“Shafiq ada dengan aku,” pintas satu suara dari hujung talian.
“Kau siapa?” tanya Dalia sedikit terkejut.
“Kau tak perlu tahu siapa aku. Kalau kau nak abang kau selamat, kau bawa duit yang dia sorok selama ini. Tak ada duit, tak ada Shafiq,” jawab suara lelaki itu.
“Duit? Sorok?” Dalia berkerut dahi.
“Ingat! Ada duit. Ada Shafiq. Tak ada duit. Tak ada Shafiq,” amaran lelaki itu lalu mematikan talian.
“Aku tak ada…” Dalia mematikan ayat. “Helo! Helo! Wei!” panggil Dalia. Namun, talian sudah dimatikan.
“Duit apa yang dia cakapkan tadi? Sorok? Shafiq sorokkan duit?” soal Dalia sendirian. Dia cuba mengingati kata-kata lelaki itu tadi.
“Mana aku nak cari duit tu?” keluh Dalia pula. Dia cuba mencari di segenap ruang dalam rumah itu. Berharap, dia berjumpa dengan apa yang dicari.
Dalia melabuhkan duduk di atas kerusi. Dia melepaskan lelah di situ. Fikirannya memikirkan keadaan Shafiq yang sakit. Seminit kemudian, dia bangun dari duduk. Dia perlu melakukan sesuatu demi untuk menyelamatkan Shafiq.
“SAYA nak awak siapkan laporan ni dan serahkan pada saya esok,” arah Rafiq dalam nada tegas. Sebuah fail diserahkan kepada Encik Mahmod.
“Baik, Encik Rafiq,” balas Encik Mahmod. Fail yang sudah bertukar tangan dipeluk.
“Kalau ada masalah, awak boleh rujuk pada Encik Izham. Dia akan bantu awak,” kata Rafiq lagi. Dia melemparkan senyuman kepada Encik Mahmod.
“Kalau tak ada apa lagi, saya minta diri dulu,” pamit Encik Mahmod. Dia segera keluar sebaik sahaja mendapat arahan daripada Rafiq.
“Cik! Cik!” tegur Azie dengan tiba-tiba.
Encik Mahmod yang baru membuka pintu terkejut tatkala seseorang menerjah masuk ke dalam bilik. Dia mengusap dada yang sedikit bergetar.
“Cik! Cik tak boleh masuk sesuka hati macam ni. Cik…”
“Tak apa, Azie. Awak boleh keluar,” pintas Rafiq berserta anggukan. Matanya tertumpu ke wajah Dalia di hadapan.
Azie mendengus perlahan. Tanpa menunggu, dia keluar dari bilik itu. Melampau betul minah ni. Ikut suka hati dia saja nak masuk ke dalam. Dia ingat Encik Rafiq tu laki dia ke apa? Bebel Azie dalam hati. Tajam pandangannya ke tubuh Dalia.
Encik Mahmod turut sama keluar dari bilik. Dia berkerut dahi sambil otaknya memikirkan siapa gerangan gadis tersebut. Belum pernah lagi dia melihat gadis itu.
“Encik Rafiq boleh tolong saya?” suara Dalia sebaik sahaja Azie dan Encik Mahmod keluar dari bilik. Dia memandang wajah Rafiq meminta simpati.
“Tolong? Tolong apa, Dalia?” tanya Rafiq. Dia melangkah menghampiri Dalia.
“Shafiq!” sebut Dalia sepatah dalam nada risau.
“Kenapa dengan Shafiq?” Rafiq masih lagi bertanya. Raut wajah Dalia yang beriak sedih menyapa matanya.
“Shafiq kena culik,” beritahu Dalia, sebak.
“Culik? Bila?” Rafiq terkejut mendengarnya.
“Tolong saya, Encik Rafiq. Saya tak tahu nak minta tolong pada siapa lagi. Saya cuma ada Shafiq dalam hidup saya. Dia nyawa saya. Dia satu-satunya orang yang saya sayang dunia akhirat. Saya takut kehilangan dia, Encik Rafiq,” esak Dalia tidak tertahan. Dia meminta simpati daripada Rafiq.
Rafiq tidak membalas. Wajah basah Dalia dipandang simpati.
“Tolong saya selamatkan Shafiq,” pinta Dalia lagi. Berharap, Rafiq sudi menolongnya menyelamatkan Shafiq.
“Insya-Allah, saya akan tolong,” balas Rafiq. Ada baiknya dia membantu Dalia menyelamatkan Shafiq. Rasa kasihan melihat Dalia ketika ini.
“Terima kasih, Encik Rafiq,” ucap Dalia berserta senyuman kecil di bibir. Bersyukur kerana Rafiq sudi membantunya menyelamatkan Shafiq.
Deringan telefon mengejutkan Dalia. Pantas, dia menggagau poket seluar lalu mengeluarkan telefon bimbit. Nama di skrin dipandang.
“Shafiq!” sebut Dalia sebaik sahaja talian bersambung.
Rafiq yang mendengar terkejut. Dia memberi perhatian kepada perbualan Dalia bersama seseorang di telefon.
“Kau ada kat rumah?” tanya Dalia dalam nada terkejut.
“Rumah?” sebut Rafiq, spontan.