DALIA masih lagi ketawa. Geli hati tatkala mengingati tingkah laku Shafiq sejam yang lepas. Tidak menyangka yang Shafiq pandai berlakon. Tidak sia-sia dia meminta pertolongan daripada pemuda itu. Malangnya, Shafiq tersalah orang.
“Dalia.” Shafiq menegur. Sakit hatinya mendengar suara ketawa Dalia.
Dalia mematikan ketawa. Wajah Shafiq di hadapan dipandang. Gerun pula dia melihat wajah bengang Shafiq.
“Kau memang kurang ajar Dalia.” Shafiq bengang. Dia mendengus kasar.
“Sorry la. Aku bukan sengaja nak ketawakan kau. Aku rasa kelakar. So, aku ketawa la.” Dalia membalas. Dia menyambung ketawa.
Shafiq menggenggam erat tangan. Ikutkan hati, rasa nak tampar sahaja Dalia di hadapannya itu.
“Macam tak percaya yang kau pandai berlakon. Nampak real.” Dalia memuji. Dia menunjuk ‘thumbs up’ kepada Shafiq.
Shafiq yang mendengar cuba mengawal riak di wajah. Rasa kembang tatkala dipuji Dalia.
“Kau nak aku rekemenkan kau pada penerbit drama tak?” tanya Dalia dalam nada serius.
“Kau ada kenal mana-mana penerbit drama ke?” tanya Shafiq pula bernada teruja.
Dalia mengangguk. Dia beriak serius.
“Aku pandai berlakon ke?”
Dalia sekadar mengangguk.
“Penerbit drama mana?”
Dalia memandang wajah Shafiq. Pemuda itu beriak serius. Seminit kemudian, dia ketawa. Shafiq mudah ditipu.
“Daliiiaaaa…” Shafiq melepaskan kemarahan. Dalia sengaja mempermain-mainkannya.
“Okey… okey… aku minta maaf.” Dalia meminta maaf. Serius!
Shafiq mendengus kasar. Geram!
“Dia bukan mamat yang kacau aku tu. Dia Rafiq. Aku cederakan dia. Jadi bos aku arahkan aku minta maaf pada dia. Kalau tidak gaji aku kena potong,” jelas Dalia sambil melepaskan nafas ringan.
“Dia ajak aku keluar makan tengah hari sama. Kebetulan tempat yang dia ajak tu tempat yang sepatutnya aku jumpa dengan mamat pengacau tu,” sambung Dalia lagi.
“Habis tu, yang kau tak halang aku tadi kenapa?” Shafiq mencapai gelas minuman lalu meneguk air dari dalamnya.
“Dah kau datang tiba-tiba tanpa bagi salam, macam mana aku nak halang kau? Then, kau pun aku nampak tergedik-gedik saja depan mamat tu tadi.”
“Aku kena la jayakan lakonan aku sebaik mungkin.”
“Malangnya mamat tu tak jadi datang.” Dalia ketawa mengekek.
Shafiq tidak membalas. Sakit pula hatinya mendengar suara ketawa Dalia.
“Aku chau masuk office dulu. Tak pasal-pasal gaji aku kena potong pula.” Dalia bangun dari duduk. Dia bersedia untuk beredar dari situ.
“Aku jumpa kau nanti.” Shafiq turut sama bangun. Dia memandang pemergian Dalia sehingga hilang dari pandangan mata. Dia menggeleng mengenangkan perbuatannya tadi.
“Eee… memang buang tabiat betul kau ni, Shafiq.” Shafiq ketawa. Dia turut sama beredar dari situ. Semoga itu yang pertama dan terakhir dia bertingkah laku seperti tadi.
*****
“ANAK mama macam mana hari ni? Sihat?” tanya Puan Raihan sambil melabuhkan duduk di birai katil. Wajah anak kesayangannya dipandang kasih.
Ziqri menoleh ke arah Puan Raihan. Dia hanya melemparkan senyuman kepada mamanya itu.
“Mama ada belikan makanan kesukaan Ziq. Kalau Ziq nak makan, mama suruh Mak Nab sediakan,” beritahu Puan Raihan.
“Nantilah Ziq makan,” balas Ziqri, malas. Dia memandang ke luar jendela. Awan petang berarak di dada langit.
Puan Raihan bangun dari duduk. Dia menghampiri Ziqri di jendela.
“Ziq bosan la mama. Boleh tak kalau Ziq nak kerja?” Ziqri meluahkan keinginannya. Hampir 2 tahun dia berehat di rumah. Sudah tiba masanya untuk dia bekerja di pejabat.
“Kerja?” ulang Puan Raihan berkerut dahi.
Ziqri sekadar mengangguk.
“Ziq dah fikir masak-masak?” tanya Puan Raihan inginkan kepastian.
“Dah, ma. Ziq dah bersedia nak bekerja.” Ziqri mengeluh ringan.
Puan Raihan duduk semula di birai katil. Dia sedang memikirkan sesuatu.
“Please ma…” Ziqri merayu. Berharap Puan Raihan bersetuju dengan permintaannya untuk bekerja.
“Mama bukannya tak nak bagi. Cuma…”
“Mama risau kalau Ziq tak boleh nak handle emosi, begitu?”
“Itu yang mama paling risau.”
Ziqri melangkah perlahan menghampiri Puan Raihan di katil. Dia melabuhkan duduk di sisi mamanya.
“Mama janganlah risau. Sekurang-kurangnya Ziq boleh bantu Rafiq uruskan syarikat arwah papa.” Ziqri masih memujuk. Berharap Puan Raihan bersetuju dengan permintaannya.
Puan Raihan memandang ke wajah Ziqri. Riak pengharapan terlukis di wajah itu.
“Ma…” Ziqri tidak berputus asa.
“Hurm… Baiklah. Mama setuju kalau Ziq nak bekerja. Tapi dengan satu syarat.” Puan Raihan mengalah. Dia terpaksa bersetuju dengan permintaan Ziqri.
“Syarat?” ulang Ziqri berserta kerutan di dahi.
*****
“APA? Ziqri nak bekerja di pejabat?” Rafiq terkejut. Wajah Puan Raihan dipandang meminta kepastian.
“Kenapa? Ada masalah ke?” Puan Raihan bertanya. Dia menyandarkan tubuh ke kerusi.
“Mama kan tahu keadaan Ziq macam mana.”
“Mama tahu.”
“So?”
“Mama ada hak untuk tentukan siapa yang bekerja dan tak bekerja. Raf cuma uruskan saja syarikat tu.”
Rafiq yang mendengar sedikit tersentap.
“Kalau Ziqri nak bekerja, mama tak boleh nak halang. Ziqri ada hak dalam syarikat tu juga. Perkara ni yang mama nak bincangkan dengan Raf semalam.”
Rafiq tidak membalas. Dia melabuhkan duduk di atas kerusi.
“Mama nak Raf uruskan semua tu untuk Ziq. Kalau ada masalah, beritahu pada mama.”
“Ziqri dah fikir masak-masak?” Rafiq sekadar bertanya. Dia tidak mahu perkara yang sama berulang kembali.
“Kenapa? Kau risau aku ambil alih tempat kau ke?” sampuk Ziqri tiba-tiba dari arah pintu bilik.
Rafiq dan Puan Raihan yang mendengar menghalakan mata ke arah Ziqri.
“Sebab itu kau berkira-kira nak setuju atau tidak. Betul, kan?” sambung Ziqri sambil melangkah perlahan masuk ke dalam bilik kerja Rafiq.
“Bukan macam tu maksud aku, Ziq.”
“Habis tu?”
“Kalau kau dah betul-betul bersedia, aku akan uruskan semuanya ikut arahan mama.”
“Kan senang kalau kau cakap macam tu dari tadi lagi.”
“Kalau tak ada apa lagi, mama masuk bilik dulu.” Puan Raihan bangun dari duduk. Dia segera beredar dari bilik itu.
Ziqri tersenyum puas. Dia turut sama beredar dari situ.
“Aku harap kau boleh kawal emosi kau bila kau dah bekerja di pejabat nanti.” Rafiq bersuara sebelum Ziqri beredar dari bilik itu.
Ziqri mematikan langkah.
“Aku tak nak pisang berbuah dua kali,” kata Rafiq penuh tersirat. Dia menyambung kerja yang tertangguh sebentar tadi.
Ziqri menggenggam erat tangan. Rafiq sengaja mendatangkan kemarahannya.
“Kau jangan risau. Aku tak akan susahkan kau.” Ziqri membalas. Dia beredar dari bilik itu. Senyuman sinis meniti di bibir.
Rafiq beriak tenang. Setelah itu, dia melepaskan nafas lega. Mungkin ada baiknya dia memberi peluang kepada Ziqri untuk menguruskan syarikat. Berharap, peristiwa lama tidak berulang kembali.
*****
“SO?” suara Haikal Hafiz seraya menghulurkan setin air minuman kepada Rafiq.
Rafiq membalas huluran. Dia meneguk air dari dalam tin sekadar membasahkan tekak selepas bermain badminton.
“Kau setuju dengan cadangan mama kau?” sambung Haikal sambil melabuhkan duduk.
“Siapa aku untuk menghalanganya?” balas Rafiq, tenang.
“Kau ada hak juga pada syarikat tu, kan?”
“Memang aku ada hak pada syarikat. Tapi, aku tak ada kuasa dalam membuat keputusan.”
“Habis, selama ini macam mana kau uruskan syarikat tu?”
“Aku sekadar mentadbir saja. Segala keputusan perlu kelulusan daripada mama aku.” Rafiq menjelaskan. Dia melepaskan nafas berat.
Haikal mengangguk faham. Wajah kawannya dipandang seketika.
“Aku tak tahu sampai bila harus aku bertahan, Haikal,” ujar Rafiq, lemah.
“Maksud kau?” Haikal kurang faham.
“Tak ada apa la.” Rafiq berdalih. Dia tersenyum seketika.
Haikal tidak membalas. Matanya masih terpahat di wajah Rafiq. Riak tenang terlukis di wajah kawannya itu. Bukannya dia tidak faham dengan maksud kata-kata Rafiq sebentar tadi. Pasti Rafiq tidak mahu mengungkit kisah lama.
“Eh! Encik!” tegur seseorang dengan tiba-tiba.
Rafiq dan Haikal tersentak. Masing-masing menghalakan mata ke arah yang menegur.
“Encik kenal dengan saya lagi?” tanya Dalia sedikit teruja.
Rafiq bangun dari duduk. Dia mengamati wajah Dalia seketika. Haikal turut sama bertingkah laku yang sama. Dia berkerut dahi memandang gadis di hadapannya itu.
“Kenal! Apa pula tak kenalnya,” balas Rafiq berserta senyuman.
“Fuh! Nasib baik encik kenal dengan saya lagi. Kalau tidak terpaksalah saya ingatkan kenangan kita sebelum ni.”
“Kenangan?” ulang Rafiq kurang faham.
“Oh ya! Terima kasih encik pasal siang tadi. Bos saya tak jadi potong gaji saya.” Dalia melepaskan nafas lega.
Rafiq berkerut dahi. Masih tidak dapat menangkap maksud kata-kata Dalia.
“Encik penyelamat saya.”
“Ah! Baru saya teringat.”
Dalia ketawa kecil. Pasti Rafiq tidak faham dengan apa yang cuba disampaikannya sebentar tadi.
“Alhamdulillah,” sebut Rafiq berserta nafas lega.
Dalia tersenyum. Dia mengamati penampilan Rafiq seketika. Pemuda itu seorang yang kacak dan tampan walaupun sekadar berseluar track dan t-shirt.
“Ehem!” Haikal berdehem. Dari tadi dia berlagak seperti patung cendana.
“Ah! Sorry. Kenalkan kawan baik saya, Haikal Hafiz,” ujar Rafiq tatkala menyedari deheman Haikal.
“Dalia,” balas Dalia. Dia menundukkan kepala tanda perkenalan.
Haikal turut sama menundukkan kepada.
“Cik Dalia buat apa di sini?” tanya Rafiq sekadar ingin tahu.
“Cuci tandas,” jawab Dalia, selamba.
“Cuci tandas?” ulang Haikal dan Rafiq, serentak. Mereka berdua sedikit terkejut.
“Iya! Kenapa?” Dalia berkerut dahi.
Haikal tidak membalas. Dia memandang Dalia tidak berkelip. Kurang percaya dengan kata-kata Dalia sebentar tadi. Rafiq turut sama membisu.
“Saya buat part time cleaner di sini,” terang Dalia, jujur. Dia tidak berasa malu untuk bercerita tentang pekerjaannya itu.
Rafiq dan Haikal masih membisu.
“Err… kenapa?” Dalia berasa pelik. Dia menggaru kepala yang tidak gatal. Wajah Rafiq dan Haikal dipandang silih berganti.
“Tak ada apa,” balas Haikal berserta gelengan di kepala.
“Kami minta diri dulu. Dah lewat ni,” ujar Rafiq kemudian. Dia mencapai peralatan badminton lalu beredar dari situ.
Dalia mengangguk. Matanya memandang pemergian Rafiq dan Haikal sehingga hilang di sebalik bangunan.
“Apasal dengan dia orang berdua tu? Macam terkejut saja yang aku ni kerja cleaner,” suara Dalia selepas itu. Dia melepaskan nafas berat.
“Dalia!” panggil seseorang sedikit menjerit.
“Alamak! Nenek singa dah menjerit.” Dalia pantas menoleh. Wajah Puan Anom menyapa mata.
“Kau ni buang sampah ke kutip sampah? Kau nak curi tulang ya,” tegur Puan Anom. Dia melangkah menghampiri Dalia di situ.
“Mana ada saya curi tulang. Saya tengah kutip sampah ni,” balas Dalia sambil berpura-pura mengutip sampah.
“Dah… dah… tak payah nak berlakon sangat. Kau ingat aku tak tahu yang kau tu curi tulang?” tegur Puan Anom. Dia bercekak pinggang memandang Dalia yang sedang mengutip sampah.
Dalia menghentikan tingkah laku. Dia tersengih kepada wanita tua di hadapannya itu.
“Ha… sengih… sengih…” Puan Anom menyinga. Wajah Dalia yang sedang tersengih dipandang tajam.
“Sengih pun tak boleh ke?” tanya Dalia, berani.
“Tak boleh!” balas Puan Anom, serius.
Dalia menggaru-garu kepala.
“Kau bersihkan stor kat sana tu. Kalau kau tak siap malam ni juga, jangan harap kau nak balik Dalia,” arah Puan Anom bernada tegas.
“Mana boo… llee…” Belum sempat Dalia membalas, Puan Anom sudah pun beredar dari situ. Dia mendengus kasar. Marah atas arahan Puan Anom.
“Suka hati mak bapak dia nak arahkan aku macam tu. Dia ingat aku ni, siapa? Kuli dia?” rengus Dalia, keras. Dia mencapai penyapu lidi dan penyedok sampah yang terletak tidak jauh dari dia berdiri. Terkumat-kamit mulutnya menyumpah seranah Puan Anom.
“Haa… kau menyumpah aku, kan?” tegur Puan Anom dengan tiba-tiba.
Dalia terkejut. Adakah Puan Anom terdengar sumpahannya tadi? Tanpa berlengah, dia berlari anak menuju ke stor yang diberitahu oleh Puan Anom sebentar tadi. Namun, langkahnya terhenti tatkala teringatkan tingkah laku Rafiq dan Haikal.
“Hina sangat ke pekerjaan aku ni sampai mereka berdua terdiam?” soal Dalia berserta kerutan di dahi.